Wednesday, 13 May 2015

SALASILAH KETURUNAN NABI MUHAMMAD S.A.W

Nasab keturunan adalah satu ilmu dalam masyarakat Arab, ilmu Nasab adalah merupakan satu ilmu untuk mengenal keturunan. Sebab itulah dalam topik ini kita akan melihat nasab Rasulullah s.a.w yang dikatakan nasab yang terbaik dan sampai nasabnya kepada Nabi Ismail a.s. Nasab baginda s.a.w ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qushayyi bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nazar bin Mu’iddu bin Adnan.

 Inilah batas nasab Rasulullah s.a.w yang telah disepakati. Selebihnya dari yang telah disebutkan masih diperselisihkan. Tetapi yang disepakati bahawa Adnan adalah salah seorang dari anak Ismail a.s bin Ibrahim a.s Khalilullah. Nasab Nabi s.a.w yang disebutkan di atas adalah nasab yang umum, sekarang saya nak tunjukkan bagaimana nasab bapa dan ibu Nabi s.a.w bertemu. Untuk memudahkan anda saya akan menerangkan dalam bentuk grafik:

Kalau kita perhatikan kepada perkembangan nasab Nabi Muhammad s.a.w, kita akan dapati bahawa Allah s.w.t telah memilih baginda dari qabilah yang paling bersih, keturunan yang paling suci dan utama. Tiada sedikit pun kecacatan jahiliyyah yang menyusup masuk dalam nasab Baginda. Imam Muslim telah meriwayatkan dengan sanadnya dari Rasulullah s.a.w. Baginda telah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah dari anak Ismail dan memilih Quraisy dari Kinanah, kemudian memilih Hasyim dari Quraisy, dan memilih ku dari Bani Hasyim”.

Dalam hadis di atas, membuktikan bahawa Allah mengutamakan bangsa Arab dari semua manusia, dan mengutamakan Quraisy dari semua qabilah yang lain. Ketahuilah, bahawa diantara maksud mencintai Rasulullah s.a.w itu adalah termasuk juga mencintai kaum dan qabilah di mana baginda s.a.w dilahirkan, bukan dari segi individu dan jenis tetapi dari segi hakikat semata. Ini kerana hakikat Arab Quraisy telah mendapat kehormatan dengan bernasabnya Rasulullah s.a.w kepada qabilah tersebut.

No comments:

Post a Comment