Wednesday, 13 May 2015

NABI DIDIDIK DALAM MASYARAKAT DESA

Keadaan Masyarakat Arab Tempat Nabi Dibesarkan

Nabi dibesarkan dalam suasana masyarakat yang penuh dengan nilai-nilai murni dan berakhlak mulia. Menjadi kebiasaan masyarakat di desa hidup dalamkeadaan bersatu padu dan berkerjasama antara satu sama lain serta mempunyai ikatan persaudaraan yang kukuh dan kuat.

Di samping itu, masyarakat desa juga diasuh dengan akhlak yang mulia. Kehidupan di desa mengajar masyarakatnya hidup berdikari, mempunyai perasaan bertanggungjawab serta melahirkan insan yang mempunyai jati diri. Mereka juga menguasai bahasa Arab begitu baik berbanding dengan masyarakat kota.

Justeru itu, masyarakat desa terkenal dengan lembut tutur kata, mempunyai perasaan timbang rasa serta bersifat amanah dan sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran hidup. Di samping itu, masyarakat desa juga dapat menguasai bahasa Arab dengan baik, pandai mengembala kambing serta pergaulan yang baik dalam masyarakat. Oleh itu, Nabi telah diasuh dan dibesarkan dalam suasana masyarakat yangberakhlak mulia dan dipenuhi dengan nilai-nilai murni yang memberikan kesan yang amat baik kepada kehidupan Nabi.

Tujuan Nabi di Hantar ke Desa

Pada kebiasaan golongan bangsawan Arab, setiap kanak-kanak yang dilahirkan ketika usianya lapan hari, kanak-kanak tersebut dihantar menyusu dan diasuh di desa. Apabila berumur tujuh atau lapan tahun, maka barulah dibawa pulang. Tujuannya ialah supaya:

  1. Tubuh kanak-kanak itu menjadi sihat, cergas dan kuat, kerana di desa udaranya lebih bersih daripada di kota.
  2. Kanak-kanak itu mempelajari bahasa Arab asli (Arab fusha) dan boleh bertutur dengan fasih, kerana di kota, khususnya kota Makkah, bahasa Arabnya sudah tercemar dengan terdapatnya ramai bangsa asing di situ.
  3. Kanak-kanak itu terlatih dengan kesusahan. Apabila dewasa nanti dia akan merasa lebih bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Nilai-nilai Murni Masyarakat Desa

Pada kebiasaannya kehidupan masyarakat desa penuh dengan nilai-nilai murni,masyarakat yang bersatu padu dan berkerjasama serta memiliki persaudaraan yang kukuh. Mereka juga mempunyai akhlak yang mulia dan bertanggungjawab. Masyarakat desa juga terkenal dengan hidup berdikari dan mempunyai jatidiri yang tinggi. Di samping itu, mereka juga fasih berbahasa Arab asli.

Di antara nilai-nilai murni masyarakat desa ialah:

1. Rajin Berkerja.

Ibu-ibu susuan ini biasanya dari kawasan pergunungan dan gurun yang jauh dari kota. Mereka biasanya datang sendiri secara berkumpulan ke kota Makkah untuk mencari kanak-kanak yang bakal diasuh itu. Di antara yang paling masyhur menjalankan urusan penyusuan ialah qabilah Bani Sa’ad.

2. Semangat yang Tinggi

Kebetulan tahun kelahiran Nabi ialah tahun kemarau dan kesempitan hidup. Untuk mendapat upah yang lumayan sudah tentu Halimah binti Dhuaib tidak memilih seorang anak yang yatim seperti Nabi untuk diasuh. Dengan bersemangat Halimatus-Sa’diah berkata kepada suaminya: “Aku tidak suka kembali bersama para sahabatku tanpa seorangpun bayi, Aku akan mengambil anak yatim itu”. “Ya, lakukanlah” kata suaminya ,”barangkali Allah menjadikannya suatu barakah kepada kita”.

3. Kasih Sayang

Apabila sampai dua tahun berada di pangkuan Bani Sa’ad sepatutnya Nabi diserahkan semula kepada keluarganya. Ini kerana masa susuannya telah selesai. Tetapi ibu susuan Nabi masih sayang untuk menyerahkan Nabi kepada keluarganya dan meminta izin memanjangkan tempoh asuhannya.

4. Bertanggungjawab dan Amanah

Apabila berlaku peristiwa pembedahan dada Nabi dan keinginan beberapa orang lelaki Habsyah yang mahu membawa Nabi ke negeri mereka.Keluarga susuan Nabi merasa bimbang dengan keselamatan baginda dan meletakkan tanggungjawab menjaga keselamatan Nabi ke atas diri mereka. Justeru itu, mereka mahu menyerahkan anak susuannya kepada keluarganya.

Kesan Pembentukan Diri dan Pengalaman di Desa

Ketika diasuh di desa Nabi dididik dengan akhlak yang mulia dan mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan. Selain daripada itu, Nabi menjadi seorang yang lembut tutur kata, bersifat timbang rasa, amanah dan sabar. Di samping itu, Nabi juga memperolehi pelbagai kemahiran. Antaranya ialah dapat menguasai bahasa Arab dengan baik, pandai mengembala kambing dan pandai bergaul dengan masyarakat.

Dalam tempoh beberapa tahun bersama-sama keluarga Halimatus-Sa’diah dan saudara-saudara susuannya, memelihara kambing serta bersama-sama menjalani kehidupan orang   Badwi, telah meninggalkan kesan “tarbiyyah”  yang mendalam kepada diri Nabi. Sehingga biasalah Baginda dengan kesederhanaan yang jauh dari sifat-sifat kepura-puraan.

Mengenai keadaan hidup yang dilengkongi oleh fitrah serta kefasihan bahasa yang menjadi keistimewaan Bani Sa’ad, Nabi pernah bersabda:

انا اعربكم، انا قريشي، واسترضعت في بني سعد بن بكر

Akulah orang yang paling berada dalam suasana keaslian “Arab”, aku seorang dari Quraisy, aku menyusu di kalangan Bani Sa’ad bin Bakr.
(Sirah Ibn Hisham)

No comments:

Post a Comment