Tuesday 24 September 2013

Hijrah Rasulullah S.A.W dan kaitannya dengan kepimpinan, dakwah dan kehidupan.


     Peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W merupakan satu kisah yang amat menarik untuk dibaca dan didengar walaupun setiap tahun kita mendengar ustaz-ustaz menyampaikan ceramah samada di masjid mahupun media alternatif lain seperti Facebook, You Tube, televisyen dan sebagainya.  Namun, kisah hijrah seperti ini tidak jemu untuk dibaca kerana terlalu banyak ibrah yang boleh kita ambil untuk dijadikan pengajaran yang boleh digunakan dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim yang sejati.
            Setelah membaca pelbagai buku dan meneliti sumber-sumber bahan bacaan di internet mengenai hijrah rasulullah S.A.W ke madinah, saya telah menganalisis mengenai peristiwa hijrah dan kaitannya dengan kepimpinan, dakwah dan kehidupan yang mungkin boleh kita ambil iktibar daripadanya.
            Jika dilihat dari sudut dakwah, kita boleh mengambil ibrah daripada strategi Rasulullah yang mengizinkan umat Islam yang ada di Makkah untuk berhijrah ke HabsyahPada permulaannya, penghijrahan umat islam yang pertama ialah menuju ke negeri Habsyah. Rombongan ini terdiri daripada sepuluh orang lelaki dan empat orang wanita kemudian disusuli oleh rombongan berikutnya sehingga mencapai seratus orang, diantaranya ialah Uthman bin Affan beserta isteri beliau Ruqayyah, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ja’far bin Abu Talib dan lain-lain.  Penghijrahan ini berlaku pada tahun kelima kenabian tahun 615 Masihi. Setibanya di negeri Habsyah, mereka mendapat sambutan, penerimaan dan perlindungan yang baik dari rajanya. Ketika itu nabi tidak ikut ke Habsyah. Beliau tetap tinggal di Makkah. Orang Quraisy telah mengutus Amr bin Ash dan Abdullah bin Abi Rabi’ah ke Habsyah supaya meminta Raja Habsyah menolak kedatangan kaum muslimim.  Namun, mujurlah Raja Habsyah bersikap bijaksana kerana baginda tidak hanya menerima keterangan dari sebelah pihak sahaja.  Akhirnya permohonan kaum muslimin untuk tinggal di Habsyah diperkenankan oleh raja dan secara automatik tuntutan Quraisy ditolak ( Faisal Ismail, 1984 ).  Dalam hal ini kita boleh mengambil pengajaran bahawa pentingnya strategi Rasulullah yang mengizinkan umat Islam yang ada di Makkah untuk berhijrah ke Habsyah kerana penghijrahan mereka ke Habsyah telah mendapat sambutan, penerimaan dan perlindungan yang baik dari raja habsyah pada ketika itu.  Hal ini pastinya secara tidak langsung membantu perkembangan dakwaah berjalan dengan baik dan meluas di Habsyah.
            Selain itu, jika kita melihat sejarah hijrah rasulullah ke Taif pula, kita boleh mengambil pelajaran dari segi kepimpinan rasulullah dalam berdakwah menggunakan tutur kata yang baik dan sikap yang penuh dengan hormat dan bijak ketika menemui pemuda-pemuda Kabilah Tsaqif untuk mengajak mereka mentauhidkan Allah dan memeluk agama Islam.  Namun begitu ajakan baginda tidak dihiraukan oleh pemuda-pamuda tersebut malah mereka menolaknya dengan kasar. Baginda diusir, diejek, dicemuh dan dilempari dengan batu. Baginda tabah menghadapi segala cubaan yang ditimpakan kepadanya.  Lihatlah, betapa hebatnya akhlak rasulullah dalam berdakwah.  Walaupun telah diusir, diejek, dicemuh dan sebagainya, beliau tetap bertahan dan bersabar atas segala dugaan yang dihadapinya.  Malah, pemaafnya rasulullah sehingga sebaik sahaja tiba ke Makkah baginda terus menuju ke Baitullah lalu beliau tawaf dan sujud berdoa semoga Allah mengampuni kaumnya ( Faisal Ismail et.all, 1984 ).  Jelaslah bahawa kepimpinan rasulullah dalam berdakwah haruslah kita contohi walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak.
            Seterusnya kita lihat pula hijrah rasulullah S.A.W ke Madinah.  Dalam usaha rasulullah berhijrah ke Madinah, kita boleh lihat dari segi kesediaan pengorbanan Abu Bakar untuk turut serta menemani rasulullah berhijrah ke Madinah.  Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari Allah Ta`ala, Nabi Muhammad S.A.W bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda.  Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi S.A.W berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu.  Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam.  Dalam hal ini kita boleh lihat betapa tingginya sifat pengorbanan Abu Bakar atas dasar cinta dan taatnya beliau pada perintah rasullullah.  Abu Bakar tidak mempersoalkan tindakan yang dirancang oleh rassulullah, sebaliknya bersedia untuk menemani rasulullah seperti yang dirancang.   Pengorbanan seperti ini seharusnya kita ambil iktibar untuk dicontohi.
            Melalui peristiwa hijrah ini juga, kita dapat melihat bagaimana Abu Bakar telah menggunakan seluruh ahli keluarganya untuk berkhidmat dijalan Allah.  Sebagai contoh, beliau telah menggunakan anak lelakinya Abdullah untuk menyampaikan berita-berita.  Selain itu, Abu Bakar juga menggunakan Asma’ yakni merupakan anak perempuannya untuk membawa makanan dan minuman.  Malah, beliau turut menggunakan Amir bin Fuhairah iaitu hambanya untuk menyembunyikan kesan-kesan tapak kaki. Sesungguhnya Abu Bakar As-Siddiq r.a telah menyebarkan cintanya pada rasulullah dengan melibatkan seluruh keluarganya untuk turut serta berjuang menjayakan hijrah baginda S.A.W ke Madinah.  Jelaslah disini bahawa pentingnya pentingnya pengorbanan dalam kehidupan yang telah ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar.  Apatah lagi apabila dia turut sama melibatkan keseleluruhan daripada ahli keluarganya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
            Disamping itu, kisah yang berlaku pada Suraqah Bin Malik turut memberi isyarat kepada kita pentingnya diplomasi dalam kehidupan yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhammad.  Suraqah telah memacu kudanya mengejar Rasulullah dan Abu Bakar. Abu Bakar yang mengetahuinya berkata, Ya Rasulullah, lihat Suraqah bin Malik mengikuti kita.” Rasulullah pun berdoa. Akhirnya kuda Suraqah beberapa kali tersungkur. Kemudian dia berputus asa, lalu meminta Rasulullah dan Abu Bakar berhenti.  Setelah bercakap dengan Rasulullah, Suraqah meminta dituliskan perjanjian persefahaman.  Persefahaman itu dipegangnya hingga peristiwa Fathuh Makkah.  Suraqah kemudian menyerahkan tambahan bekalan makanan kepada Rasulullah, namun Rasulullah menolak secara halus sambil mengatakan, “Tidak. Tapi alihkan perhatian para pengejar dari kami.” Maka setelah itu setiap kali bertemu dengan para pencari jejak rombongan Rasulullah, Suraqah selalu mengatakan: “Saya sudah mencari maklumat dan tidak terlihat yang kalian cari.’  Demikianlah betapa sifat rasulullah dalam berdiplomasi dengan Suraqah akhirnya membawa Suraqah kepada menjadi pelindung nabi Muhammad S.A.W.
            Seterusnya kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah yang berlaku kepada Ummu Ma’bad betapa pentingnya keyakinan terhadap berdoa dalam kehidupan seorang muslim.  Ibnul Qayyim menceritakan; “Rombongan Rasulullah telah meneruskan perjalanan dan singgah di khemah Ummu Ma’bad, yang tinggal di padang pasir (dan suka) memberi makan dan minum para musafir yang singgah di tempatnya.” Rasulullah bertanya kepada Ummu Ma’bad adakah Ummu Ma’bad memiliki sesuatu. Ummu Ma’bad mengatakan tidak ada kecuali kambing yang jauh dari tempat gembala. Seterusnya Rasulullah minta izin untuk memerah susunya. Ummu Ma’bad pun mengizinkan.  Rasulullah dengan menyebut nama Allah, mengusap susu kambing tersebut lalu berdoa.  Maka memancarlah susu kambing itu yang kemudian ditampung dalam sebuah bekas. Baginda menyuruh Ummu Ma’bad minum, setelah itu sahabatnya, baru kemudian baginda sendiri.  kemudian meneruskan perjalanan.   Disini kita dapat mengambil pelajaran bahawa keyakinan dalam berdoa adalah sangat penting.  Hal ini kerana, kadang-kadang Allah memberikan sesuatu yang kita tidak disangka-sangka.  Hal ini jelas telah ditunjukkan melalui doa rasulullah sehinggakan banyak susu kambing milik Ummu Ma’bad yang keluar walaupun kambing tersebut terletak jauh dari tempat gembala.
            Satu lagi kepimpinan melalui teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah ialah baginda tidak duduk diam semasa pembinaan masjid Quba dilakukan. Inilah masjid pertama yang dibangunkan sejak baginda tiba di Madinah.  Tanah lokasi masjid itu adalah milik dua anak yatim Sahl dan Suhail yang diasuh oleh As’ad bin Zuharah. Rasulullah telah membeli tanah itu untuk didirikan masjid di atasnya.  Setelah membersihakn tanah itu dari kuburan orang Islam dan pohon-pohon gharqad, tanah itu diratakan kemudian beberapa batang kurma ditebang dan disusun ke arah kiblat masjid. Ukuran panjangnya (dari kiblat sampai ke belakang) ketika itu sekitar 100 hasta (kira-kira 50 meter). Begitu pula kedua sisinya, hampir sama. Sedangkan tapak asasnya sekitar tiga hasta yang kemudian dibina dengan bata.  Atap masjid dibina menggunakan pelepah-pelepah kurma.  Lihatlah betapa rasulullah telah menunjukkan kepada kita kepimpinan melalui teladan yang telah ditunjukkan oleh baginda dalam usaha bagi membina Masjid quba bersama-sama penduduk Madinah yang lain.
            Malah, Rasulullah turut membuktikan kepimpinannya apabila telah berjaya mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.  Kaum Ansar sering mendahulukan kepentingan orang lain lebih daripada diri mereka sendiri.  Hal ini dapat dibuktikan melalui satu kisah yang terdapat didalam hadis yang diceritakan oleh Abu Hurairah riwayat Bukhari yang mana sepasang suami isteri sanggup berlapar demi menyediakan makanan untuk tetamu mereka sehinggakan ketika lelaki yang menyediakan jamuan itu menemui Rasulullah, baginda berkata : ‘Allah tertawa melihat perbuatan kalian terhadap tamu kalian tadi malam.’Maka Allah menurunkan firman-Nya: ‘…dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.’ Rasulullah telah mengingatkan pula sebagaimana dalam hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim: “Tidak (sempurna) iman salah seorang dari kalian, sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri.”
                Hijrah juga mempunyai nilai yang sangat penting kepada peningkatan tamadun masyarakat Arab pada masa itu dan masyarakat Islam pada hari ini. Setelah berlaku hijrah ke Madinah, dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung lagi, sedangkan di Makkah seruan terhadap Islam sering terganggu.
            Malah, peristiwa Hijrah juga telah dapat menyatupadukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Perkara sangat penting kerana dengannya, masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Tanpa perpaduan, keharmonian hidup dalam sesebuah masyarakat atau negara tidak akan wujud. Apabila keadaan ini berlaku, matlamat dan visi masyarakat atau negara berkenaan untuk mencapai kemajuan dan kemakuran tentu akan gagal.           
            Selain daripada itu juga, melalui peristiwa hijrahlah, wujud kiraan tahun hijrah dalam takwim Islam. Takwim hijrah ini telah mula digunakan pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin kedua, iaitu Khalifah Umar al-Khattab. Pada masa ini, takwim Hijrah digunakan di Negara Islam seperti Malaysia. Setiap tahun, Negara kita, Malaysia, mengadakan sambutan “ maal hijrah ” dan matlamatnya adalah untuk mengingati perjuangan umat Islam dahulu agar perkara itu sentiasa segar dalam ingatan generasi sekarang.
            Bukan itu sahaja, Hijrah juga memberi petanda kepada kita betapa pentingnya sikap toleransi kaum dan tolong-menolong boleh melahirkan masyarakat cemerlang dalam kehidupan kita. Dalam konteks hijrah ke Madinah, orang Madinah telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam Makkah yang berhijrah. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan asas yang lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan sebahagian daripada masyarakat Madinah. Oleh itu, sikap sedia berkorban, bekerjasama, dan tolong-menolong untuk membangunkan negara harus tersemat dalam jiwa kita.
            Peristiwa hijrah ini telah memperlihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting dalam kehidupan selain sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Contohnya, puteri Abu Bakar Al-Siddiq, Asma’. Beliau telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad S.A.W apabila beliau dengan beraninya telah menghantar makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy kepada Nabi Muhammad S.A.W di Gua Thur walaupun menyedari tindakannya berbahaya serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar.
            Hijrah juga menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sanggup berkorban dan meninggalkan kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam. Selain itu, baginda tidak pernah berputus asa apabila menempuh kegagalan. Sifat positif ini patut dicontohi.
         Dalam pada itu, kita boleh ambil pelajaran melalui peristiwa hijrah bahawa pentingnya seseorang pejuang dalam mengikhlaskan niat dalam membantu usaha didalam dakwah.  Penghijrahan yang dilakukan oleh para Sahabat bersama Muhammad SAW adalah ikhlas untuk menegakkan ajaran suci Islam – kebebasan, kebenaran, keadilan tanpa memikir ganjaran kebendaan, kedudukan, nama dan gelaran. Apa yang paling diharapkan hanyalah keredhaan dan rahmat Allah SWT jua. 
            Selanjutnya kita boleh ambil iktibar melalui peristiwa hijrah bahawa sesemangnya setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Hijrah tidak mungkin berlaku tanpa adanya pengorbanan harta hatta nyawa sekalipun. Inilah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para Sahabat, sama ada tua ataupun muda dan sama ada Muhajirin (yang berpindah dari Makkah) ataupun Ansar (penduduk di Madinah).
            kejayaan Hijrah adalah hasil dari kerapian persiapan dan perancangan. Jadi, kita boleh mengambil ibrah daripada peristiwa ini dan seterusnya untuk diaplikasikan dalam kehidupan kita.  Sebelum melakukan Hijrah ke Madinah, dua ekspedisi diutus ke Habsyah sebagai persiapan.  Pergerakan dan laluan hijrah juga diatur kemas dalam semua perkara demi mengelakkan kegagalan. Maka, setiap perjuangan perlu terancang rapi, teliti, strategik dan berkesan. 
            Kita lihat dari segi pembangunan pula.  Semasa penghijrahan rasul ke madinah, pembangunan di sana tidaklah membangun. Namun dengan kepimpinan rasulullah sebagai ketua negara Madinah, pembangunan disana telah berkembang dengan pesat. Rasul telah menekankan pembangunan jiwa, mental dan fizikal. Rasulullah telah menerapkan akidah-akidah yang kukuh pada setiap mukmin. pada masa kini, malaysia telah mengikut cara pemerintahan rasul. Contohnya pembangunan jiwa yang dilakukan oleh negara ini dengan pembinaan masjid-masjid sebagai pusat ibadat untuk mengukuhkan jiwa. Selain itu, madrasah juga didirikan bagi membangunkan mental seseorang. Negara ini juga menitikberatkan pembangunan fizikal.  Contohnya di dalam sukatan pelajaran negara kita terdapat subjek pendidikan jasmani. Ia penting bagi mengimbangi diantara kesihatan tubuh.
            Penghijrahan rasul ke madinah telah menunjukkan bukti bahawa kepimpinan rasulullah telah berjaya membawa kepada pembentukan sebuah negara islam. kepentingan hijrah rasul pada pada masa kini dapat dilihat dengan corak pemerintahan yang adil dan tidak mengamalkan penindasan. Contohnya malaysia, corak pemerintahan pada masa kini mengikut corak pemerintahan pada zaman rasul.Pemerintah tidak mengamalkan sikap sekularisama dan Al-Quran serta As-Sunnah dijadikan panduan sebagai perlembagaan di negara ini. Di dalam pemerintahan Rasulullah juga telah wujud pelbagai jawatankuasa agar tidak membebankan pemerintah serta tidak wujud penyelewengan.  Kesan tersebut jelas dilihat pada masa sekarang.Pentadbiran negara kita ia tidak membebankan.  Pelbagai jawatankuasa dibentuk berdasarkan contoh yang diambil daripada Rasullullah.  Kesan daripada aspek tersebut, perjalanan sesebuah pemerintahan akan berjalan lancar dan mantap.


Berpegang teguhlah kepada sunnahku dan sunnah khulafa al Rasyidun yang lurus dan gigitlah dengan gigi geraham kalian



فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ  "   "
 "  Berpegang teguhlah kepada sunnahku dan sunnah khulafa al Rasyidun yang lurus dan 
 gigitlah dengan gigi geraham kalian  



1.    Bincangkan maksud hadis diatas dengan mengambil kira sejarah kepimpinan Khulafa al Rasyidin yang boleh dijadikan ikutan.

Dari sudut bahasa, ungkapan فعليكم  yang bermaksud “hendaklah kamu berpegang” merupakan ism fi’l amar (kata nama suruhan) yang membawa kepada hukum wajib.  Kedudukan maksud suruhan yang terkandung dalam hadith ini sama seperti kedudukan maksud suruhan yang terkandung dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: كتب عليكم الصيام  yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu berpuasa”[10].  Oleh itu, perintah supaya berpegang teguh dengan Sunnah Nabi S.A.W seperti yang terkandung dalam hadith ini mesti difahami sebagai suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam sama seperti kewajipan solat, puasa dan lain-lain.
            Hadis Nabi S.A.W ini dilihat mengandungi mukjizat ilmiah yang sangat besar kerana ia menggambarkan suasana perselisihan yang akan berlaku kepada umat Islam selepas kewafatan Baginda.  Justeru, Baginda dengan tegas mengingatkan kepada sesiapa yang hidup pada zaman perselisihan itu supaya menghadapinya dengan cara berpegang teguh dengan Sunnahnya dan juga Sunnah para Khalifah yang menggantinya.
Selain daripada menggambarkan suasana perselisihan, khutbah Nabi S.A.W itu juga mengisyaratkan kepada bahaya pemikiran dan amalan bidah sebagai faktor yang menyebabkan berlakunya perselisihan tersebut. Menjelaskan kepentingan berpegang teguh dengan Sunnah Nabi S.A.W ini, Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata (maksudnya):
“Maka wajib ke atas setiap individu mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk mengetahui apa yang dibawa olehnya (Rasulullah) serta mematuhinya, kerana inilah saja jalan pelepasan daripada azab yang pedih dan juga jalan kejayaan bagi mendapat nikmat syurga”                                  
            Kaedah usul telah menetapkan bahawa Ma La Yatim Al-Wajib Illa Bihi Fahuwa Wajib, maksudnya: "Perkara yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia juga adalah wajib"[2]. Justeru, oleh kerana kewajipan berpegang dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidak akan terhasil melainkan dengan adanya usaha untuk menghidup dan menegakkannya, maka usaha menghidup dan menegakkan Sunnah itu juga mesti dilihat sebagai suatu kewajipan ke atas setiap muslim.
Usaha menghidupkan Sunnah Nabi S.A.W dilihat sebagai amat penting kerana setiap Sunnah yang dihidupkan bererti mematikan satu amalan bidah manakala membiarkan hidupnya satu amalan bidah akan mengakibatkan matinya satu Sunnah. Sabda Nabi S.A.W :
Maksudnya: “Urusan kamu selepasku akan dikuasai oleh kaum lelaki yang akan memadamkan Sunnah dan beramal dengan (amalan) bidah”[3].
Dalam sebuah hadith lain, Baginda S.A.W memberitahu Huzaifah Ibn Al-Yaman radhiallahu 'anh bahawa kebaikan yang ada pada umat Islam menjadi pudar kerana adanya unsur dakhan di kalangan mereka. Bila Huzaifah bertanya apakah unsur dakhan itu, Baginda S.A.W menjawab:
Maksudnya: “Golongan yang tidak beramal dengan Sunnahku dan yang tidak berhidayah dengan petunjukku, kamu mengetahui dan mengingkari mereka”[4].
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[2]             Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Fikr, Damsyik, Syria, 1986, 2: 67-71.
[3]             Ibn Majah, Muhammad Ibn Yazid Al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-Arabiyyah, Kaherah, t.th, 2: 956, No: 2865. Hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadith  As-Sahihah, No: 2864 dan Sahih Sunan Ibn Majah, No: 2332. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah.
[4]             Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, 1987, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 3: 1319, No: 3411 dan 6: 2595, No: 6673. Muslim Ibn Al-Hajjaj t.th, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabiyy, Beirut, 3: 1475, No: 1847.

            Seperti hadith sebelumnya, hadith ini juga mengandungi mukjizat ilmiah yang besar kerana ia menggambarkan kelemahan yang menimpa umat Islam disebabkan tindakan mereka meninggalkan Sunnah Baginda S.A.W, kemudian menggantikannya dengan amalan bidah yang mereka ciptakan. Justeru untuk memastikan prinsip berpegang dengan Sunnah Nabi S.A.W itu benar-benar mantap, umat Islam tiada pilihan melainkan terlebih dahulu menjauhi segala amalan bidah, kerana rawatan bagi sesuatu penyakit bermula dengan mencegah faktor yang menyebabkan timbulnya penyakit tersebut.
            Memang tidak dapat dinafikan bahawa cabaran menghidupkan Sunnah Nabi S.A.W sering kali dipandang serong oleh pihak-pihak yang tidak memahami kepentingannya.  Ada yang menganggap Sunnah Nabi S.A.W sebagai perkara kecil, remeh temeh dalam dunia yang serba moden ini.  Ada pula yang menolak Sunnah Nabi kerana menganggapnya tidak sesuai dengan kehidupan moden.
Penolakan sesetengah pihak terhadap Sunnah Nabi S.A.W disebabkan kejahilan mereka tentang perkara itu bukanlah cabaran yang paling utama bagi Ahli Sunnah, kerana orang jahil yang jujur akan mudah menerima kebenaran setelah mendapat penjelasan yang tepat dan terperinci. Tetapi cabaran paling besar yang perlu dihadapi sebenarnya datang daripada Ahli Bidah yang sengaja melontarkan pelbagai tohmahan terhadap Ahli Sunnah semata-mata untuk memburukkan usaha mereka.
Selanjutnya, hadis diatas juga turut menyeru untuk turut berpegang teguh dengan sunnah khulafa al Rasyidun.  Rasulullah S.A.W bersabda: Maksudnya: “Jangan kamu kecam Sahabat-sahabat ku! Jangan kamu cela Sahabat-sahabat ku! Kerana demi (Allah) yang nyawaku di tanganNya, jika seseorang kamu menginfaqkan emas sebesar Bukit Uhud sekalipun nescaya tidak menyamai nilai secupak emas atau setengah cupak emas yang dibelanjakan oleh mereka”[5].
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 [5]             Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar al-Matbaah as-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, No: 3673 dan Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ at-Turath al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, No: 2540 & 2541.
            Dalam menghuraikan maksud hadith ini, An-Nawawi rahimahullah (676H) berkata (maksudnya):  “Dan ketahuilah bahawa mencela Sahabat radhiallahu 'anhum adalah haram, (bahkan) dari seburuk-buruk perkara haram, samada mereka yang terlibat dalam fitnah-fitnah atau pun tidak, kerana mereka adalah mujtahid…”[6].
            Dalam kitabnya yang lain, An-Nawawi berkata (maksudnya) : “Sahabat secara keseluruhannya mempunyai keistimewaan, iaitu tidak perlu dipersoalkan tentang keadilan mereka, kerana mereka adalah adil secara mutlak berdasarkan nas-nas Al-Quran, As-Sunnah dan Ijma mereka (ulama) yang diiktiraf, bahawa mereka kesemuanya adalah adil, termasuklah yang terlibat di dalam fitnah-fitnah”[7].
            Jelaslah melalui kenyataan-kenyataan diatas, sememangnya para sahabat S.A.W merupakan orang-orang yang boleh dijadikan ikutan disebabkan mereka selalu berdamping dan orang yang paling dekat dengan rasulullah S.A.W semasa hayat baginda.  Jika kita menelurusi mengenai sejarah hidup sahabat terutamanya dalam kalangan khulafa al Rasyidun, sememangnya banyak perkara yang boleh kita dijadikan ikutan atau teladan terutamanya dalam aspek kepimpinan. 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[6]             An-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Minhaj Fi Sharh Sahih Muslim Ibn Al-Hajjaj, Al-Matbaah Al-Misriyyah, Qaherah, Mesir, 1930, 16: 93. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani membuat ulasan yang hampir sama dengan ulasan An-Nawawi ini, lihat: Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Matbaah as-Salafiyyah, Qaherah, Mesir, 1407H, 7: 44.
[7]             An-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Irsyad Tullah al-Haqaiq Ila Marifat Sunan Khairi al-Khalaiq, Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut, Lubnan, 1987, 2: 591-592.
            Sebagai contoh, kita boleh mengikut contoh kepimpinan Umar Al Khattab yang telah membuat pembaharuan dalam bidang pentadbiran dengan membentuk Majlis Syura.  Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am.  Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman B. Affan, Ali B. Abi Talib, Zaid B. Tsabit, Abdul Rahman B. Auf, Saad B. Abi Waqas Dan Muaz B. Jabal. Pemimpin negara kita seharusnya menjadikan Majlis Syura sebagai sistem yang patut diikuti kerana semua perkara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura Ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.  Oleh yang demikian, sewajarnya seseorang pemimpin itu menjadikan Majlis Syura sebagai satu contoh sistem yang boleh diguna pakai bagi melicinkan lagi proses dalam pentadbiran.
            Selain itu, kita juga sewajarnya menjadikan khalifah Umar sebagai ikutan dengan mencontohi kebolehannya di dalam pemilihan pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran.  Perkembangan Islam yang semakin luas dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru  telah memerlukan kepada pentadbir bagi mengurus sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam kepada beberapa wilayah demi menjaga kelincinan pentadbiran Islam.  Umar meletakkan beberapa orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran.  Mereka yang dilantik hendaklah datang ke Mekah tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat laporan.  Antara pegawai-pegawi yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, contohnya ialah Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. Al-Ash, Mughirah b. Syu'bah dan Zaid b. Sumyah.  Sebelum seorang gabenor itu dilantik, mereka haruslah mengistiharkan harta mereka bagi menggelakkan dari menerima rasuah.  Inilah Syarat yang dikenakan Khalifah Umar Al- Khattab bagi menjamin keadilan dan kesucian Islam.  Lihatlah betapa bijaknya khalifah Umar yang semestinya harus kita contohi di dalam memiliih pegawai yang cekap bagi memantapkan sistem pentadbiran kita yang ada pada masa sekarang. 
            Malah, jika dilihat dari segi ekonomi, kita boleh mencontohi kepimpinan  dalam bidang ekonomi yang banyak dilakukan oleh khalifah Umar apabila dia telah mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam.  Kadar dan sistem cukai telah diubah.  Cukai yang dikenakan mengikut jenis tanaman yang ditanam.  Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak adil akan dihapuskan.  Beliau juga sering menanyakan kepada golongan -golongan Dzimmi (orang bukan islam) untuk mengetahui sama ada cukai yang dikenakan membebankan mereka.  Inilah langkah yang dilakukan Oleh Saidina Umar sebelum perkara ini diperbaharui.  Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai menjadi cekap dan perbendaharaan negara bertambah.  Beliau juga turut memajukan sistem pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan, yang mana ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi hasil pertanian.  Jelaslah disini bahawa sewajarnya kita menjadikan Khalifah Umar sebagai contoh didalam mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam.  Hal ini pastinya dapat mengelakkan sesebuah pihak yang mempunyai kepentingan tersendiri daripada memonopoli semua pendapatan rakyat yang diperolehi daripada cukai yang dikenakan.
            Dari segi sosial pula, usaha Saidina Umar didalam mengalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran haruslah kita contohi.  Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Saidina Umar untuk mengembangkan pelajaran Al-Quran.  Beliau telah menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan untuk dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan.  Sekolah-sekolah telah ditubuhkan di masjid-masjid bagi mengajar perkara berkaitan Islam di seluruh wilayah Islam.  Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu di dalam Al-Quran bagi meghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah Al-Baqarah, An-Nisa, Al-Maidah dan sebagainya.  Seharusnya perkara sebegini dijadikan ikutan bagi pemimpin dalam negara kita dalam usaha bagi menggalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran terutamanya ilmu yang berkaitan dengan islam  hl ini bagi menjadikan pemahaman umat islam terhadap islam lebih kukuh daan mantap. 
            Pembaharuan Umar Al Khattab dalam bidang ekonomi dapat kita jadikan ikutan beliau dengan mencontohi beliau dalam memajukan sistem pertanian.  Khalifah Umar telah mewujudkan terusan bagi memajukan sistem pertanian yang mana terusan tersebut seperti Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 Batu dari bandar Fustat.  Di Iraq pula beliau membina Empangan Abu Musa yang menyambungkan sungai Duljah (Tigris) dengan bandar Basrah.  Tanah juga telah dikaji selidik bagi menempatkan tanaman-tanaman yang bermutu.  Rakyat juga digalakkan untuk membuka tanah-tanah baru bagi memperbanyakkan hasil pertanian.  Tanah yang tidak dikerjakan akan ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di dalamnya.  Begitu juga beliau telah mengadakan sistem cukai bagi menambahkan pendapatan negara.  Oleh yang demikian, wajarlah kita meneladani kepimpinan Saidina Umar didalam usaha beliau dalam memajukan sistem pertanian.

            Pelantikan pegawai yang dibuat secara bersurat dengan melampirkan senarai tugas dan bidang kuasa yang dibuat oleh khalifah Umar haruslah kita lihat sesuatu yang boleh dijadikan ikutan.  Antara pegawai terkenal dalam pentadbiran belaiu ialah Muawiyah b. abu Sufian, Amru b. al-As, Mughirah b. Syukbah dan Zaid b. Sumaiyah.  Setiap pegawai yang dilantik dan berkhidmat untuk negara akan diberi gaji tetap.  Terdapat sebilangan pegawai yang tidak mahu menerima gaji kerana sifat takwa mereka.  Setiap pegawai juga tidak dibenarkan menunggang atau menaiki kuda Turki iaitu kuda yang cantik, memakai pakaian halus, tidak memakai tepung yang diayak dan tidak menggunakan penjaga rumah pintu kediaman.  Ketika dilantik harta mereka turut direkodkan dan jika terdapat sebarang tambahan harta dan diragui pemilikannya maka mereka akan disiasat.  Semua pegawai dikehendaki datang ke Makkah pada musim haji untuk mendengar taklimat daripada Khalifah Umar serta mengkaji semula keputusan yang telah dibuat dan mendengar aduan daripada orang ramai.  Jelaslah disini bahawa rasionalnya kita melantik pegawai yang dibuat secara bersurat dengan melampirkan senarai tugas dan bidang kuasa mereka.  Hal ini bagi memastikan mereka memahami bidang tugas dan amanah yang harus mereka pikul.  Jika perkara ini dicontohi, pastinya setiap pegawai yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan sesuatu tugas dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap dan lebih baik.


            Satu perkara yang saya rasa amat wajar dijadikan ikutan ialah dengan memisahkan Jabatan kehakiman daripada jabatan lain.  Hal ini bagi mengelakkan penyelewengan daripada berlaku.  Pada zaman khalifah Umar, hakim akan menerima 500 dirham sebulan.  Itu merupakan satu gaji yang sangat tinggi pada masa itu.  Dalam konteks pada zaman sekarang, perkara ini sebenarnya boleh dilaksanakan.  Jika kerajaan kita memisahkan Jabatan kehakiman daripada jabatan lain, pastinya penyelewengan, penindasan dan suatu bentuk kezaliman dalam bidang kehakiman tidak akan berlaku sama sekali.  Saya yakin dan percaya usaha seperti ini adalah amat perlu untuk dicontohi.

            Khalifah Umar telah membentuk tentera tetap dan tentera sukarela.  Perkara ini juga wajar untuk dicontohi.  Beliau menubuhkan Diwan al-Jund (Jabatan Ketenteraan) pada 20 hijrah untuk menjalankan urusan ketenteraan. Markas tentera pula telah dibina disempadan yang menghadap kawasan musuh seperti di Madinah, Kufah. Fustat dan Basrah.  Tujuannya ialah untuk mempertahankan wilayah-wilayah yang ditakluki serta meneruskan penyebaran agama Islam dikalangan penduduk tempatan.  Justeru, usaha Khalifah Umar dalam membentuk tentera tetap dan tentera sukarela adalah sesuatu yang boleh diikuti.  Hal ini bukan sahaja membantu bagi menguatkan lagi aspek ketenteraan bagi sesebuah negara.  Malah, ia juga membantu dalam meningkatan ilmu dalam bidang ketenteraan.  Saya melihat kewujudan program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan salah satu langkah awal bagi mewujudkan tentera sukarela yang melatih rakyat kita yang mana boleh memberi sumbangan untuk berkhidmat bagi mempertahankan negara kita.

            Jika dari segi dakwah, kita boleh mencontohi sifat Abu Bakar As-Siddiq yang berlemah lembut dan berhikmah dalam berdakwah.  Abu Bakar dikenali oleh kaumnya sebagai seorang yang mulia dan selalu menolong orang lain.
Oleh sebab itu, banyak orang yang selalu datang kepadanya untuk meminta tolong dan disebabkan oleh keperluan perdagangan.  Dalam kesempatan baik seperti ini, beliau selalu mengajak teman akrabnya untuk masuk Islam.  Antara teman akrabnya yang memeluk Islam akibat dakwahnya adalah Zubair Bin Awwam, Usman Bin Affan, Talha Bin Ubaidah, Saad Bin Abi Waqas Dan Abdurahman Bin Auf R.A. (Al-Kandahlawy, Muhammad Yusof,1983 : 178).  Oleh itu, sewajarnya kepimpinan Abu Bakar As-Siddiq yang berlemah lembut dan berhikmah dalam berdakwah kita ikuti.  Hal ini bagi memudahkan dakwah yang kita ingin sampaikan diterima oleh orang ramai.
            Kepimpinan saidina Uthman yang boleh kita contohi ialah dia telah pembaharuan dengan menubuhkan Al-Dawawin, iaitu sebuah badan sekretariat yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pentadbiran negara. Segala laporan dan surat-menyurat mesti melalui al-Dawawin. Tujuan penubuhan al-Dawawin adalah bagi memudahkan pentadbiran khalifah Uthman bin Affan untuk memantau hal ehwal Negara Islam (Abdul Latif 2009: 132). Hasil daripada penubuhan al-Dawawin tersebut, kebijaksanan kepimpinan Uthman dalam membangunkan ummah ketika itu amatlah menonjol dan memperlihatkan kepada umum bahawa dengan adanya badan sekreteriat yang berkesan dalam pentadbiran sepertimana al-Dawawin, sesebuah ummah dapat dibangunkan dan disatukan dengan baik. Hal ini jelas apabila laporan dan urusan surat-menyurat berjalan dengan lancar, lantas membawa kepada penyatuan semua gabenor Islam sewaktu itu untuk memberi sokongan dan taat setia kepada perlantikan Uthman bin Affan sebagai khalifah ketiga menggantikan Umar.  Jelaslah disini bahawa, sememangnya Negara kita patut juga menubuhkan Al-Dawawin supaya hal ehwal pentadbiran Negara kita khasnya dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan efisien.

           Satu lagi kepimpinan Saidina Uthman yang boleh kita ikuti ialah dengan mencontohi sistem pengurusan Baitulmal yang efisyen pada zaman pemerintahannya.  Melalui harta negara yang begitu banyak, beliau telah melonggarkan syarat-syarat Baitulmal supaya dapat membantu rakyatnya yang susah.  Malah, harta Baitulmal dapat digunakan untuk pembangunan negara contohnya membiayai kos infrastruktur dan mempertingkatkan sistem ketenteraan dengan pembelian peralatan senjata dan kapal-kapal untuk pertahanan negara.  Justeru, perlunya kita mengikuti contoh yang telah ditunjukkan oleh Saidina Uthman iaitu dengan mencontohi sistem pengurusan Baitulmal yang efisyen pada zaman pemerintahannya.  Hal ini seterusnya dapat membantu dalam pembangunan negara secara tidak langsung disamping dapat membantu golongan yang miskin.