Nabi Muhammad s.a.w. telah menjalankan dakwah secara sulit dan terang-terangan dalam menunaikan tanggungjawab baginda dalam menyebarkan ugama Islam. Sub topik seterusnya akan menceritakan tentang orang terawal memeluk Islam, dakwah Nabi secara sulit dan terang-terangan serta pengajaran kisah daripada dakwah tersebut.
Orang Terawal Memeluk Islam
Mustafa al-Siba`ie (2004) menerangkan bahawa orang pertama yang beriman dengan Baginda dan memeluk Islam ialah isteri Baginda, Khadijah r.ha.,kemudian sepupu Baginda, Ali r.a. Ketika itu Ali masih kanak-kanak berumur 10 tahun. Kemudian diikuti pula oleh bekas hamba Baginda, Zaid bin Harithah. Dakwah Islam ini akhirnya disambut baik pula oleh beberapa tokoh yang berkedudukan dalam masyarakat Mekah iaitu: Abu Bakar as-Siddiq, Uthman binbin Affan, al-Zubair bin al-Awwam, ÂAbd. Rahman bin Auf dan Sa’ad bin Abi Waqqaf r.hum. Hamba sahaya yang mula-mula sekali memeluk Islam pula ialah Bilal bin Rabah al-Habsyi. Proses wahyu terhenti dan perintah berdakwah semula dijelaskan seperti beikut:
a) Wahyu Terhenti
Kemudian wahyu terhenti untuk seketika. Berlaku perselisihan riwayat tentang tempohnya. Yang paling lama ialah tiga tahun dan paling singkat ialah enam bulan. Riwayat enam bulan itulah yang sahih. Ketika tempoh terputusnya wahyu, Rasulullah s.a.w. merasa amat susah hati dan dukacita.
b) Perintah Berdakwah Bermula
Baginda menyangka Allah telah meninggalkannya setelah memilihnya untuk tugas risalah yang mulia. Namun. selepas itu, wahyu kembali turun kepada Baginda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari, daripada Nabi s.a.w: Ketika aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar satu suara daripada langit. Aku mengangkat pandanganku. Rupa-rupanya ia adalah malaikat yang telah datang kepada aku di Gua Hira'. Malaikat itu sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi. Aku merasa takut kepadanya, lantas aku pulang. Aku berkata: Selimutkan aku. Akhirnya Allah Taala telah menurunkan firmanNya:
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi” (al-Muddathir 74:1-5)
Dakwah Nabi Secara Sulit
Dr. Ramadhan al-Buti (1991), menjelaskan peringkat dakwah secara sulit sebagaimana berikut: Dakwah Islam bermula di Makkah secara rahsia atau sulit. Ini bermakna Rasullulah s.a.w. mengembangkan ajaran Islam secara sembunyi-sembunyi dan menyampaikan kepada orang-orang yang rapat dengannya terlebih dahulu. Baginda juga memperkenalkan Islam di kalangan orang yang dipercayai dari segi penerimaan (akalnya). Peringkat dakwah secara rahsia ini berlangsung selama tiga tahun. Faktor utama pendekatan secara rahsia adalah bagi mengelakkan kejutan terhadap golongan musyrikin yang begitu taksub dengan sembahan berhala sekian lama.
Lokasi rahsia tempat umat Islam berkumpul pada tempoh tersebut adalah di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Hasilnya, beberapa orang lelaki dan wanita yang terkenal dengan pemikiran yang matang dan jiwa yang sejahtera, telah memeluk Islam. Bilangan mereka yang memeluk Islam mencapai kira-kira 40 orang dan kebanyakan mereka adalah di kalangan golongan fakir dan hamba yang tiada kedudukan di mata kaum Quraisy Makkah.
Dakwah Nabi Secara Terang-terangan
Dakwah Nabi secara terang-terangan telah berlansung seperti berikut: Setelah tiga tahun berlalu dakwah secara sulit dan bilangan umat Islam kian bertambah, maka akhirnya Allah s.w.t telah memerintahkan RasulNya untuk menyampaikan dakwah Islam secara terang-terangan. Firman Allah s.w.t:
“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu”(al-Hijr 15:94)
Ekoran dakwah secara terang-terangan itu, bermulalah peringkat menyakiti orang-orang mukmin yang baru memeluk Islam. Bahkan Rasulullah s.a.w. turut disakiti dan ada yang terbunuh syahid. Orang-orang musyrik berasa bimbang apabila Rasul mendedahkan kebatilan pemikiran mereka, membongkar kecacatan tuhan-tuhan mereka dan mengemukakan agama baru kepada mereka sedangkan agama Islam mengajak kepada pengabdian diri kepada Tuhan yang Esa serta tidak dapat dilihat oleh mata dan pandangan, sedangkan Dia yang Maha Mengetahui akan sekalian makhlukNya.
Pada suatu hari, Rasul s.a.w. berdiri di bukit Sofa, menyeru satu persatu keluarga Quraisy. Baginda mengajak mereka kepada Islam danmeninggalkan penyembahan berhala. Baginda memotivasi mereka kepada syurga dan memberi amaran tentang neraka. Ekoran dakwah itu, Abu Lahab menengking Baginda: „Celaka kamu, adakah untuk ini kamu mengumpulkan kami.”
Puak Musyrikin Quraisy ingin bertindak ke atas Rasul s.a.w, namun bapa saudara Baginda, Abu Talib melindunginya. Beliau enggan menyerahkan Baginda kepada mereka. Setelah Quraisy beredar, Abu Talib meminta Baginda untuk mengendurkan dakwahnya. Baginda menyangka bapa saudaranya tidak lagi mahu membantunya, maka Baginda mengucapkan kata-katanya yang masyhur ini:
Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, sekali-kali aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memenangkannya atau aku binasa kerananya„.
Pengajaran Kisah
Mustafa al-Siba’ie (2004) menghuraikan beberapa pengajaran dan iktibar yang dapat kita ambil daripada peringkat dakwah secara sulit dan terang-terangan. Antaranya diterangkan seterusnya:
Dakwah adalah proses pemulihan dalam masyarakat yang menimbulkan sesuatu yang janggal terhadap kepercayaan dan mentaliti kebanyakan orang ramai, pendakwah tidak perlu menyampaikannya secara lantang.
Tindakan menangguh teknik berdakwah secara terang-terangan sehinggalah sebilangan manusia telah meyakini dakwah tersebut dan sanggup berkorban di jalan dakwah adalah tanda kebijaksanaan Nabi s.a.w. Pendekatan dakwah secara berhikmah dan berperancangan adalah faktor kejayaan dakwah Baginda Nabi s.a.w. hingga Islam berkembang ke seluruh pelusuk dunia kini.
Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat di zaman permulaan Islam menghadapi tentangan yang sangat hebat daripada musuh-musuh Islam. Ada yang diazab dan diseksa kaum Musyrikin Makkah, namum mereka tetap berpegang dengan akidah mereka. Ini menjadi bukti kejujuran iman dan keikhlasan pegangan akidah mereka. la juga menunjukkan ketinggian jiwa dan rohani mereka.
Ketegasan Rasulullah s.a.w. kepada bapa saudara Baginda Abu Talib dan keengganan Baginda menerima tawaran harta dan takhta yang ditawarkan oleh Quraisy menjadi bukti kebenaran dakwah dan kerasulan Baginda. la juga menjadi bukti kesungguhan Baginda membawa petunjuk kepada seluruh umat manusia.
Seorang pendakwah mestilah mengambil berat tentang kaum kerabatnya. Dia perlu menyampaikan dakwah dan kebenaran kepada mereka. Namun, sekiranya mereka menolak, dia akan mempunyai alasan di hadapan Allah dan manusia terhadap kerosakan dan kesesatan kaum kerabatnya itu.
Kita selaku umat Nabi Muhammad s.a.w. wajib bersyukur dengan nikmat agung di sebalik penyebaran dakwah kepada kita. Kesabaran dan ketabahan mereka di jalan dakwah wajar dijadikan contoh dan ikutan generasi sepanjang zaman.
RUMUSAN
- Nabi Muhammad s.a.w. merupakan insan pilihan Allah s.w.t. yang dipilihNya sebagai Rasul dan penyampai Risalah Islam yang suci.
- Riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w. bermula dari kelahiran hinggalah kewafatan baginda adalah qudwah dan ikutan kita selaku umat akhir zaman.
- Pendakwah perlu bersiap sedia dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual sebelum terjun ke medan dakwah yang suci ini. Sirah Rasul telah membuktikan bahawa keperluan asas pendakwah adalah penting bagi menghasilkan penerimaan yang optimum.
- Kebijaksanaan Nabi s.a.w. dalam berkomunikasi semasa berdakwah di samping penyusunan strategi yang terperinci adalah kunci kejayaan Nabi dalam bidang dakwah Islam di samping tawakkal dan pertolongandaripada Allah s.w.t.
- Para guru harus mendapatkan sumber-sumber rujukan Sirah Rasul yang terkini dan menyampaikannya dalam bentuk yang realistik agar menimbulkan kesan yang mendalam di kalangan murid-muridnya.
- Merujuk Atlas al-Sirah dalam pasaran adalah satu langkah terbaik bagi menghuraikan Sirah Rasul berdasarkan maklumat terperinci mengenai lokasi-lokasi penting dalam Sirah Rasul.
- Di samping itu, watak-watak remaja seperti Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Umar, Anas bin Malik, Usamah bin Zaid dan sebagainya perlu ditonjolkan bagi merapatkan murid-murid dengan Sirah Rasul.
Sangat baguss👍
ReplyDeletegood
ReplyDeleteOK TERBAIK
ReplyDeleteMuntazz
ReplyDeleteMantul 👍👍
ReplyDeleteorang sabah ni yang komen
ReplyDelete