Ibadah dari segi Bahasa : Merendah
diri, tunduk, patuh dan taat (abada, ya’budu dan abd). Abd
merupakan kata terbitan yang membawa makna hamba. Sebagaimana firman Allah
s.w.t yang bermaksud di dalam surah al-Baqarah ayat 21: ”Wahai sekalian
manusia, beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan
orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang
bertakwa.”
Dari segi bahasa
dapatlah diterjemahkan sebagaimana berikut:
- Patuh, taat, tunduk, menyembah dan memperhambakan diri kepada sesuatu.
- Merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada yang lain.
Menurut syarak, ibadah
ialah :
- Syeikh Muhammad Abduh di dalam Tafsir al-Manar : Ketaatan dengan kemuncak
ketundukan.
- Abu al-A’la Al-Maududi : Satu ubudiyah dan ketaatan. Sebagaimana dalam
surah al-Nahl ayat 38 yang bermaksud: ”Dan ingatlah aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat
kepadaku.” Firman Allah s.w.t lagi dalam surah al-Taubah ayat 24 yang
bermaksud: ”Katakanlah wahai Muhammad, jika benar kamu mengasihi Allah
maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan
dosa-dosa kamu. Ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
- Ibnu Taymiyah di dalam buku al-Ubudiyah : Asal ibadat
ialah kehinaan, tetapi ibadat yang disyariatkan Allah s.w.t ke atas
manusia merangkumi makna kehinaan dan kecintaan bersama.
- Fathi Yakan dalam bukunya: Apa Ertinya Saya Memeluk
Islam” : Ibadah merupakan kemuncak kepada sifat kepatuhan dan
kerendahan kepada Allah s.w.t dan kemuncak betapa ia merasai keagungan
Tuhan yang disembah.
Konsep Ibadah
Ruang lingkup bidang
ibadah bukan sahaja terikat dengan amalan rukun Islam sahaja, ianya merangkumi
segenap aspek kehidupan kita, bermula ditiupkan roh pada jasad sehinggalah
dicabut kembali roh tersebut. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Zariyat
ayat 56 yang bermaksud: ”Dan ingatlah aku tidak menciptakan jin dan
manusia itu melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada Aku”
Hakikatnya konsep ibadah
dalam Islam amat luas. Semua tindak tanduk yang dilaksanakan oleh seseorang
hamba itu perlu mendapat keredhaan Allah s.w.t. Tidak perlu disempitkan ibadah
tersebut kepada ibadah khusus semata-mata.
.
Jenis-jenis Ibadah
Ibadah khusus : Kepatuhan dan tunduk kepada hukum-hukum yang telah
ditentukan. Ibadah ini adalah berbentuk fardhu ain yang merangkumkan ilmu dan
amal seperti shahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa dalam bulan
ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji bagi yang berkuasa.
- Solat : Mendidik sifat bertakwa, sabar dan sebagainya. Firman Allah s.w.t
dalam surah al-Ma’arij: 19-20 yang bermaksud: ”Sesungguhnya
manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil) kedekut, apabila
dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah dan apabila dia beroleh
kesenangan, dia sangat bakhil, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat.
Perbuatan solat ialah perbuatan komunikasi dan perhubungan individu
antara hamba dengan Pencipta
- Puasa : Melatih diri manusia supaya bersabar dan berjuang menentang naluri
hawa nafsu liar yang merangsang kepada maksiat sekaligus meningkatkan
tahap keimanan dan keperibadian muslim.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ”Puasa
itu adalah pengawal daripada neraka jahanam. Sebagaimana perisai seorang
daripada kamu daripada pembunuhan.”
Sebagaimana Imam Ibnu Majah meriwayatkan hadis dengan sanadnya
daripada Abu Hurairah (r.a), sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ”Puasa
itu adalah separuh daripada iman.”
- Zakat : Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 264 yang bermaksud:
”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah rosakkan (pahala amal)
sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkitkan dan (kelakuan) yang
menyakiti.” Orang yang
mengeluarkan zakat Allah tumbuhkan dalam hatinya manis dan lazatnya iman.
Banyak fadhilat zakat antaranya dapat berkongsi kekayaan dan kesenangan
bersama mereka yang kurang mampu, dibersihkan hatinya oleh Allah s.w.t
daripada sifat-sifat mazmumah yang bersarang dalam hati jika zakat
ditunaikan dengan penuh rasa keinsafan dan keikhlasan. Zakat diwajibkan ke atas setiap mukmin
bagi membersihkan segala harta dan mata pencarian ke arah keredhaan Allah
s.w.t.
- Haji : Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 179 yang bermaksud:
”Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Maka sesiapa yang
telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadah haji itu, maka
tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat.” Pembentukan peribadi muslim melalui
ibadah haji ialah:
- Melatih seseorang bersabar.
- Merapatkan jurang perbezaan dan taaruf yang syumul antara umat Islam.
- Mengingatkan manusia kepada taraf semua hamba di sisi Allah s.w.t adalah sama.
- Menguji kekuatan dan komitmen yang tinggi daripada umat Islam terhadap segala ujian dan mehnah yang ditemui sepanjang bermusafir
Ibadah Umum : Kegiatan muslim dalam bidang yang lain daripada bidang
yang telah disebutkan di atas. Ibadah
umum juga disebut sebagai fardhu kifayah. Bidang ini tentunya berkaitan dengan
urusan masyarakat, keluarga dan negara.
.
Ciri-ciri Ibadah dalam
Islam
·
Pekerjaan atau ibadah yang dilakukan adalah diniatkan
semata-mata kerana Allah.
·
Perlu ada kaitan dan hubungan antara hamba dan
PenciptaNya.
·
Tidak lupa kepada Allah dan sentiasa tunduk dalam
melaksanakan pekerjaan.
·
Mengambil kira sepenuhnya halal haram yang menjadi
suruhan dan tegahan.
Firman Allah s.w.t dalam
surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:
”Sesungguhnya telah ada
pada diri Rasulullah s.a.w itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang
yang mengharap rahmat Allah s.w.t dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak
menyebut Allah.”
Yusuf al-Qardhawi telah
memberikan syarat-syarat sesuatu itu mendapat status ibadah ialah melalui
beberapa perkara iaitu:
- Bersesuaian dengan hukum Islam.
- Dilakukan dengan niat yang baik.
- Dilakukan dengan ikhlas
- Menurut lunas-lunas syarak.
- Tidak mengabaikan ibadah fardhu ain
Ibadah dan Adat
”Barangsiapa membuat
cara baru dalam urusan kami dengan suatu yang tidak ada contohnya maka dia itu
tertolak.”
- Adat atau ‘Urf’ daripada segi bahasa : Makrifah, kemudian
diertikan ‘sesuatu yang makruf yang
biasa diamalkan, yang dikira baik dan diterima oleh akal yang sejahtera.’ Al-Quran
menggunakan al-‘urf dengan pengertian sesuatu yang makruf seperti firman
Allah dalam surah al-A’raf, ayat 199 yang bermaksud, “Terimalah apa
yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik.” ‘Urf pada
istilah Fikah ditakrifkan oleh Mustafa Ahmad al-Zarqa’ dengan katanya, “
‘Urf itu ialah adat orang ramai atau majoriti sesuatu kaum pada perkataan
ataupun amalan.”
- Adat ialah amalan-amalan yang
menjadi kebiasaan bagi orang ramai atau pun segolongan pihak tertentu.
Dalam hal yang berkaitan ini para fuqaha’ mentakrifkan adat adalah seperti
perkara berikut: ”Perkara yang dilakukan secara berulang kali tanpa
berkaitan dari segi akal.”
- Ahmad Mohd Salleh (2008) : Perbuatan atau perkataan yang dilakukan
secara kerap kali dinamakan adat.
- Niat membezakan antara ibadat dan adat. Niat pemisah kepada amalan
ibadah dengan adat. Sebagai contoh, kita sedang melalui kawasan perkuburan
dan melihat suasana perkuburan dengan penuh insaf dan kesedaran di samping
membacakan al-fatihah kepada ahli kubur. Maka kita akan memperolehi
ganjaran pahala. Tetapi sekiranya kita sekadar melalui sahaja tanpa
melakukan beberapa perkara yang disebutkan tadi, maka kita tidak akan
memperolehi apa-apa pahala. Begitu juga dengan amalan-amalan yang lain
seperti kita membeli frame perhiasan untuk rumah. Jika diniatkan untuk
memperolehi keberkatan Allah dan mendapatkan pahala, maka itu akan dikira
sebagai ibadah. Jika sebaliknya iaitu sekadar perhiasan semata, maka kita
tidak memperolehi apa-apa ganjaran.
Panduan supaya setiap
perbuatan kita diterima sebagai ibadah, antaranya:
- Melakukan amalan tanpa bercanggah dengan syariah.
- Amalan hendaklah dilaksanakan sebaik-baiknya.
- Ketika bekerja hukum-hukum syariat perlu dipatuhi dan menjaga batas-batasnya seperti tidak menganiyai orang lain, tidak menipu serta tidak menindas hak-hak orang lain.
- Tidak melalaikan lain-lain ibadat fardhu.
Kesan Ibadah
- Merasa sentiasa terikat dengan hukum-hukum Allah s.w.t.
- Mendorong memperbanyakkan amal soleh
- Menyuburkan keimanan seseorang muslim.
- Membentuk akhlak yang mulia. Sebagai
contoh ibadah solat mampu membentukperibadi muslim yang syumul. Sebaik
sahaja azan berkemundang, maka fardhu solat setiap lima waktu wajib
ditunaikan.
- Memelihara diri manusia dari melakukan sebarang kemungkaran
- Menandakan kesyukuran atas nikmat Allah s.w.t puasa mampu melatih kita
supaya bersih daripada sifat-sifat yang mazmumah seperti hasad dengki,
tamak haloba, sombong dan takabur.
- Ibadah haji pula mampu mendisiplinkan diri seseorang muslim daripada
perkara-perkara yang fasik. Sebagaimana Firman Allah s.w.t dalam surah
al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud: ”(Musim) Haji adalah beberapa bulan
yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan
mengerjakan haji, maka ia tidak boleh bercakap kotor (atau bersetubuh)
berbuat fasik dan bantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji. Dan apa
yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya.
Bekalkanlah dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa dan
bertakwalah kepadaku wahai orang-orang yang berakal.”
No comments:
Post a Comment