Thursday, 14 May 2015

PERJANJIAN HUDAIBIYAH

Muhammad al-Ghazaliy (1996) menjelaskan bahawa Perjanjian Hudaibiyyah adalah sebuah perjanjian yang diadakan di sebuah tempat di antara Madinah dan Makkah pada bulan Mac 628 masihi bersamaan bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah.

Latar Belakang Perjanjian dan Faktor-Faktornya

(a) Latar Belakang Perjanjian Hudaibiyah

Perjanjian Hudaibiyah berlangsung susulan daripada ketibaan Baginda Nabi Muhammad s.a.w yang ingin melaksanakan ibadat umrah dan menemui kaum kerabat mereka di Makkah pada tahun enam Hijrah. Inilah ziarah Masjid al-Haram yang julung-julung kali mereka ingin laksanakan setelah mereka berhijrah dari Makkah ke Madinah. Ziarah umrah ini sekali gus bertujuan memadamkan sikap monopoli kaum Musyrikin Makkah terhadap pengurusan Masjid Haram Makkah sedangkan ia merupakan pusaka Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya Ismail a.s. Mereka bertolak ke Makkah dengan 1400 orang dan 70 ekor unta korban. Rombongan itu telah tiba di Zul Hulaifah, untuk memulakan ihram umrah dan memakai kain ihram. Sambil bertalbiah “Labbaika Allahumma Labbaika...!!” di tengah-tengah padang pasir, umat Islam ketika itu begitu bersemangat menuju ke Baitul ‘Atiq (Kaabah). Namun, sesampainya mereka di ‘Asafan, kira-kira 3.5 kilometer dari Makkah, tibalah berita
bahawa kaum Musyrikin telah bersumpah tidak akan membenarkan kemaraan umat Islam memasuki Makkah, bahkan mereka telah bersiap dengan angkatan perang yang dipimpin oleh Khalid bin al-Walid. Untuk itu, Saidina Usman bin ‘Affan telah dihantar kaum Muslimin bagi menjelaskan tujuan kedatangan mereka kepada pihak Musyrikin.

(b) Faktor-faktor Utama Perjanjian Hudaibiyah

Terdapat tiga faktor utama terjadinya Perjanjian Hudaibiyah iaitu:

(i)  Desas-desus Kematian Usman bin Affan
Rombongan umrah terpaksa menukar haluan perjalanan dan akhirnya berhenti di Hudaibiyah, tempat di mana unta Nabi bernama Quswa’ telah dihentikan oleh Allah s.w.t. Tiba-tiba timbul desas-desus kematian Usman. Bai’ah alRidwan dilaksanakan di bawah pohon Samra sebagai tindak balas Muslimin terhadap kematian Usman. Berita palsu sengaja diada-adakan untuk melemahkan semangat orang-orang Islam, bahkan jauh di sudut hati Musyrikin kegentaran mereka terhadap umat Islam.

(ii) Kaum Musyrikin Memohon Untuk Berunding Bagi Mengelakkan Serangan Umat Islam
Sebenarnya Saidina Usman selamat dan dia dikembalikan juga kepada umat Islam, setelah kaum Musyrikin mendengar Baiah al- Ridwan yang cukup tekad dan berani itu. Sebagai perundingan ke arah mencari kejernihan, akhirnya, perjanjian damai dimeterai dan peperangan atau pertumpahan darah dihindari. Orang musyrikin menghantar utusan bernama Budail bin Warqa’Urwah bin Mas’ud dan Suhail bin ‘Amru. Suhail bin ‘Amru membuat perjanjian dengan Rasulullah s.a.w dan Ali bin Abi Talib r.a sebagai jurutulis.

(iii) Peperangan Demi Peperangan Sebelumnya
Sebelum perjanjian Hudaibiyah ini termeterai, kedua-dua belah pihak menyaksikan siri peperangan yang berakhir dengan kematian meliputi Perang, Badar, Uhud, Khandaq dan sebagainya. Justeru, perjanjian ini dibuat bagi meredakan api peperangan daripada lebih marak dan gelombang permusuhan daripada lebih besar melanda.

Isi-Isi Perjanjian Hudaibiyah
a)    Gencatan senjata selama 10 tahun.
b)    Umat Islam dibenarkan melakukan ibadat umrah pada tahun hadapan dengan bermukim selama tiga hari dan membawa senjata bersarung.
c)    Kedua-dua belah pihak bekerjasama dalam kebaikan.
d)    Orang Quraisy yang masuk Islam wajib dikembalikan kepada kaumnya di Makkah.
e)    Mana-mana orang Islam yang murtad dan lari kepada pihak Musyrikin tidak wajib dikembalikan kepada Nabi.
f)     Kedua-dua belah pihak bebas menjalinkan hubungan atau perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tanpa melibatkan urusan peperangan.

Hikmah Perjanjian Hudaibiyah
a)    Perjanjian Hudaibiyah telah membuka ruang dan peluang kepada perkembangan Islam dengan lebih meluas. Ibn Hisyam (t.th) dalam kitab Sirahnya merekodkan bahawa Rasulullah s.a.w hanya bersama rombongan seramai 1400 orang pada masa perjanjian Hudaibiyah termeterai, namun dua tahun kemudian pembukaan Kota Makkah menyaksikan kemaraan 10,000 orang tentera Islam.
b)    Masyarakat di kedua-dua kota suci tersebut dapat hidup dalam aman dan damai tanpa sebarang pertumpahan darah dan peperangan. Muhammad al-Ghazali (1996) menyebutkan kata-kata Imam al-Zuhri r.a yang menyatakan bahawa; “Islam telah memperolehi kemenangan sangat besar melalui perjanjian Hudaibiyah. Dengannya kedua-dua belah pihak dapat berbincang, berdialog, bertemu dan berkomunikasi dengan sejahtera tanpa melalui pertembungan yang menumpahkan darah”.
c)    Perjanjian Hudaibiyah telah membuka jalan kepada Pembukaan Kota Suci Makkah hingga membebas dan memerdekakan kota suci itu daripada cengkaman Musyrikin dan belenggu syirik serta kegelapan jahiliah. 360 buah berhala di sekitar Kaabah yang selama ini menjadi punca ekonomi haram Musyrikin melalui tabungan yang diletakkan disetiap berhala
d)    tersebut telah musnah setelah Baginda membaca ayat al-Quran al-Karim.
e)    Pihak Islam mampu mengadakan ikatan perjanjian dan pemuafakatan dengan kabilah-kabilah Arab yang lain bagi menjalinkan kerjasama yang membina kekuatan Islam itu sendiri.

No comments:

Post a Comment