Dalam sistem pendidikan Malaysia dan global, kokurikulum adalah
pelengkap kepada kurikulum. Kokurikulum
dan kurikulum merupakan dua sistem yang menjana tenaga sumber manusia yang
seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kokurikulum ada peranan dan pengaruh sama ada
secara langsung atau tidak langsung dalam pembangunan individu. Namun begitu,
daripada segi keseimbangan kepentingan, kerap terjadi peranan dan kepentingan
kokurikulum diabaikan sama ada secara disengajakan atau tidak disengajakan.
Hal ini sangat
mendukacitakan kerana peranan dan kepentingan kokurikulum mencakupi skop ruang
lingkup yang cukup luas. Antaranya ialah membina negara menerusi pemupukan
integrasi nasional di kalangan pelajar, membantu perkembangan hidup masyarakat
dan pembentukan pembangunan diri individu melalui pelbagai kemahiran yang
terkandung dalam proses pengajaran dan pembelajaran kokurikulum itu sendiri.
Justeru itu, adalah diyakini bahawa kokurikulum mempunyai pertalian yang rapat
dengan kurikulum di kalangan pelajar. Oleh itu, sewajarnya kokurikulum
diletakkan di tempatnya yang ‘hak’ dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Pendidikan adalah salah satu daripada sektor yang
dipertanggungjawabkan untuk menyediakan generasi masa depan. Oleh itu kualiti
kehidupan rakyat dalam sesebuah negara dapat diukur melalui tahap pendidikan
rakyatnya. Kurikulum dan kokurikulum
adalah sangat berkait rapat. Sebab
itulah kegiatan pendidikan di sekolah terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu
kurikulum dan kokurikulum (Laporan Razak, 1956).
Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menggariskan
keseimbangan perkembangan murid dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani
semasa berada di peringkat alam persekolahan. Melalui Falsafah Pendidikan
Kebangsaan, kurikulum sekolah digubal bagi memenuhi keperluan mental, fizikal
dan sosial murid dengan penekanan kepada aspek pengajaran dan pembelajaran
formal yang melibatkan sukatan dan kandungan mata pelajaran aktiviti
kokurikulum sebagai lanjutan dari yang di atas, seperti penglibatan murid dalam
persatuan-persatuan dan kelab, sukan dan permainan dan badan-badan beruniform.
Segala aktiviti yang disediakan dalam sistem pendidikan bertujuan menggalakkan
perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek murid selain dari menggalakkan
pembentukan daya kepimpinan dan sahsiah kepimpinan yang boleh membina
keperibadian murid.
Mohd Najib (2007) menyatakan pendidikan seimbang
seharusnya menekankan kepada kedua-dua aspek akademik dan aktiviti
kokurikulum. Penekanan yang seimbang ini
akan dapat mewujudkan satu bangsa Malaysia yang harmonis dan seimbang. Umum
menerima hakikat bahawa generasi hari ini merupakan pemimpin masa depan. Apa
yang menarik untuk kita ketahui daripada kenyataan ini ialah sejauh manakah
generasi muda hari ini sedar akan hakikat bahawa untuk berjaya, kurikulum dan
kegiatan kokurikulum haruslah diseimbangkan?
Justeru, apakah perkaitan di antara kurikulum dan kokurikulum di dalam
membantu kepada kesinambungan hal ini?
Ramai murid berpendapat aktiviti kokurikulum hanyalah
merupakan satu aktiviti bebas atau aktiviti sampingan tanpa memperlihatkan
matlamat dan objektif yang nyata (Faridah, 1988). Tumpuan serta keutamaan hanya
diberikan kepada pemburuan keputusan akademik yang cemerlang sahaja. Ada juga
murid berpendapat murid yang aktif dalam kokurikulum akan menjejaskan kecemerlangan
prestasi akademik.
Walau bagaimanapun kenyataan ini telah disangkal oleh Lim
(1988) dalam kajiannya yang menyatakan tidak ada hubungan yang signifikan dalam
pencapaian akademik bagi murid yang aktif dan kurang aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Pengkaji berpendapat, walaupun ramai murid mengakui akan kepentingan aktiviti
kokurikulum dalam pembangunan modal insan yang mempunyai kemahiran dan
menghayati nilai-nilai murni seterusnya memupuk semangat menguasai kemahiran
dan kompetensi, namun sebenarnya mereka kekurangan penjelasan dan penegasan
yang sewajarnya dalam mengimbangi antara kepentingan akademik dengan aktiviti
kokurikum.
Hasrat untuk mewujudkan satu generasi muda yang mempunyai
daya kepimpinan yang unggul bagi mewarnai kepimpinan bangsa dan negara pada
masa akan datang tidak akan tercapai (Hamzah Rahman, 1996) sekiranya penekanan
yang lebih hanya diberikan kepada bidang akademik. Oleh itu murid-murid
seharusnya diberikan pendidikan yang mengintegrasikan kecemerlangan kedua-dua
aspek kurikulum dan kokurikulum supaya lebih ramai tenaga profesional dan
separuh profesional dapat dilahirkan bagi memastikan kesinambungan kemajuan dan
kemakmuran negara.
Menurut Azizah (1991), kokurikulum memberi ruang kepada
murid untuk mengembangkan minat, bakat dan daya kreativiti, di samping dapat
menyemai, memupuk dan menanam semangat kerjasama, bertolak ansur dan perasaan
kekitaan di kalangan murid. Ia juga bertujuan melatih murid supaya bersikap
berdisiplin, berdikari, dan berkemahiran dalam sesuatu bidang yang mereka
ceburi (Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Muridan, 1979).
Asiah (1985) mendapati ada pihak menyuarakan kebimbangan
mereka tentang keadaan sebenar yang berlaku di sekolah dan berpendapat fenomena
penglibatan yang tidak seimbang dalam aktiviti kokurikulum di kalangan murid
berlaku kerana kegagalan pihak pengurusan sekolah melibatkan murid secara
menyeluruh dalam aktiviti kokurikulum. Ini secara langsung telah menjejaskan
peluang murid memupuk sifat kepimpinan dan membentuk daya kepimpinan di
kalangan murid.
Berdasarkan kepentingan di atas, ternyata kokurikulum
mempunyai peranan dan pengaruh secara langsung atau tidak langsung di dalam
pembentukan diri dan personaliti murid.
Namun, haruslah diingatkan bahawa kurikulum tidak boleh dipisahkan
dengan kokurikulum. Omardin (1996)
menyatakan bahawa aktiviti kokurikulum yang diadakan di sekolah-sekolah
bertujuan melahirkan pemimpin di kalangan masyarakat murid untuk menjadi
pengganti kepimpinan pada masa depan.
Secara umumnya kita menyedari bahawa daya kepimpinan dalam
diri seseorang tidak wujud secara semulajadi. Menyedari realiti ini pihak
berwajib telah berusaha untuk menyemai dan menyuburkan pembentukan daya
tersebut dalam aktiviti kokurikulum. Hal
ini kerana, melalui kegiatan kokurikulum nilai kepimpinan dapat dibentuk dalam
diri seseorang.
Dalam membina satu perkaitan antara kurikulum dan
kokurikulum yang seimbang, guru merupakan agen yang memainkan peranan penting
dalam mereaalisasikannya. Langkah-langkah yang boleh di ambil oleh guru dalam
bidang kurikulum dan kokurikulum bagi memantapkan sistem pendidikan negara
ialah untuk melaksanakan sesuatu kurikulum dengan berjaya, guru hendaklah
terlebih dahulu memahami dan menghayati falsafah dan matlamat kurikulum,
struktur dan organisasi kurikulum serta sukatan pelajarannya.
Di samping itu, guru harus mempunyai pengetahuan tentang
mata pelajaran pengkhususannya serta mempunyai kemahiran mengajar termasuk
menghubungkan pengetahuan, kemahiran dan nilai di antara satu sama
lain, mengendalikan pengajaran bagi pelajar-pelajar pelbagai kebolehan, dan
mempunyai ciri- ciri keguruan yang positif dan kreatif untuk melaksanakan dan
menjayakan kurikulum yang terbentuk.
Apabila perkara ini sudah berjaya dilaksanakan, barulah penyerapan
nilai-nilai murni dalam kegiatan kokurikulum dapat diserap oleh pelajar.
Di negara kita, hubungan kurikulum sekolah dengan kokurikulum
adalah rapat. Selain memberi ilmu pengetahuan, kurikulum boleh membentuk
keperibadian dan perwatakan pelajar yang baik serta membawa ke arah kokurikulum
yang seimbang. Di setiap sekolah, guru
perlu merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti kokurikulum yang melibatkan
semua pelajar agar boleh memberi manfaat kepada semua kumpulan etnik. Melalui
aktiviti yang dijalankan seperti sukan, kelab dan persatuan pelajar akan dapat
bergaul dan berdamping dengan pelajar yang berlainan etnik. Guru perlu
memastikan pelajar yang terdiri dari pelbagai kaum dapat menyertai aktiviti
yang dijalankan. Pergaulan yang erat ini akan mendorong pelajar untuk
menghormati dan menerima adat, agama dan kebudayaan enik yang lain demi
kebaikan bersama. Seperti contoh, sukan tahunan yang dijalankan perlu disertai
oleh semua murid tanpa membataskan perbezaan agama atau budaya.
Guru juga dikatakan boleh menhubungkan perpaduan kaum
dengan melalui kegiatan kurikulum dan kokurikulum, serta menjalankan
aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Contohnya ketika diadakan kegiatan kokurikulum guru hendaklah memastikan
pelajar pelbagai kaum dapat menyertainya. Dalam permainan bola keranjang yang
biasa disertai oleh pelajar-pelajar kaum Cina, guru hendaklah menggalakkan
pelajar-pelajar Melayu dan India untuk mengambil bahagian. Dalam permainan
sepak takraw pula, guru hendaklah menggalakkan lebih ramai bukan Melayu untuk
menyertainya.
Kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan
dan perasaan kekitaan di kalangan pelajar-pelajar daripada pelbagai keturunan
dan kaum. Usaha untuk menanam semangat perpaduan merupakan salah satu agenda
utama negara. Melalui kegiatan kokurikulum di sekolah, semangat perpaduan dapat
dipupuk dan diperkembangkan ke dalam masyarakat. Aktiviti-aktiviti di dalam kegiatan
kokurikulum boleh melatih pelajar supaya bertanggungjawab, berdikari dan
berdisiplin. Pelajar-pelajar akan terlatih dengan sifat-sifat tersebut melalui
kegiatan kokurikulum di sekolah. Sifat-sifat tersebut perlu dibekalkan kepada
pelajar yang merupakan generasi penerus masyarakat akan datang.
Kegiatan kokurikulum yang terdiri daripada aktiviti
pasukan pakaian seragam, kelab dan sukan adalah penting untuk menyemai, memupuk
dan menanam perasaan kekitaan di kalangan pelajar pelbagai kaum. Sifat-sifat
seperti bertanggungjawab, berdisiplin, berdikari dan kemahiran dalam
sesuatu lapangan akan dapat dipupuk. Di
dalam kegiatan kokurikulum ini guru berperanan mengendalikan aktiviti
ko-kurikulum dengan cara yang menarik dan menggalakkan penglibatan pelajar
secara aktif. Aktiviti-aktiviti seperti
latihan kawat, gotong-royong, berkhemah dan latihan
kecemasan boleh dijalankan untuk menyemai nilai-nilai murni seperti
kerjasama, keberanian, berdikari, kejujuran, taat setia kepada ketua serta
semangat bermasyarakat. Aktiviti sukan diperingkat sekolah, daerah, negeri dan
kebangsaan perlu dipergiatkan supaya matlamat perpaduan antara kaum dapat di
capai.
Bukan itu sahaja, penerimaan kurikulum yang baik disekolah
dapat membantu murid-murid melibatkan diri dalam aktiviti kelab, persatuan dan
permainan. Penglibatan ini adalah mengikut kebolehan dan kecenderungan atau
minat murid-murid. Maka melalui aktiviti kelab, persatuan dan permainan, mereka
dapat saling kenal mengenali antara kaum dan etnik, dengan ini dapat
mengeratkan silaturahim apabila wujudnya sikap tolong menolong semasa
menjalankan aktiviti.
Pihak sekolah pula boleh mengadakan perlawanan
persahabatan antara sekolah-sekolah dengan lebih kerap untuk memantapkan corak
permainan selain mengeratkan hubungan sesama kaum. Melalui perlawanan
persahabatan antara sekolah-sekolah ini pelajar-pelajar lebih didedahkan dengan
pelbagai kaum. Etnik dan bangsa, hal ini dapat mewujudkan ukhwah dan hubungan
persahabatan antara mereka.
Bertitik tolak daripada itu, sebagai seorang guru, kita seharusnya
menjadikan bidang kurikulum dan kokurikulum sebagai langkah-langkah bagi memantapkan
integrasi pelajar pelbagai kaum dalam sistem pendidikan negara dan seterusnya
mewujudkan keseimbangan diantara kedua-duanya.
Dengan pelaksanaan pelan integrasi nasional, adalah diharapkan kita dapat
merealisasikan cita-cita wawasan 2020, iaitu membentuk masyarakat Malaysia yang
bersatu padu, bebas merdeka, berakhlak mulia, utuh, toleransi, daya saing dan
cinta kepada negara.
Sesungguhnya wawasan 2020 meletakkan matlamat untuk menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dalam semua aspek dan demensi ekonomi,
politik, sosial kerohanian, psikologi dan budaya. Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi
sebuah negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia mempunyai rasa
keyakinan diri, ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh,
menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokratif liberal lagi bertolak
ansur, berbudi bahasa, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur dan
sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing dinamis, tangkas serta
mempunyai daya ketahanan.
Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan
kecergasan fizikal murid atau pelajar di sekolah rendah dan menengah.
Kata-kata, “Otak yang cerdas terletak pada tubuh badan yang sihat” membuktikan
bahawa kecerdasan otak banyak bergantung pada keaktifan seseorang murid atau
pelajar dalam bidang sukan dan permainan yang diceburinya. Hal ini amat penting bagi keseimbangan
fizikal dan rohani dalam perkembangan pendidikan di sekolah pada masa akan
datang. Sukan juga penting dalam membentuk gaya hidup yang sihat dan dapat
mengurangkan masalah obesiti di kalangan pelajar di sekolah. Dasar tersebut memberi peluang setiap murid
atau pelajar melibatkan diri dalam bidang sukan yang digemari selain memantapkan
aktiviti berkenaan di sekolah.
Dasar 1 Murid 1 Sukan untuk mengembalikan kegemilangan
sukan ke peringkat sekolah selain meningkatkan semangat kesukanan dan
kesepakatan masyarakat bermula dari bangku sekolah dilihat sesuatu yang baik
bagi menunjukkan perkaitan diantara kepentingan kurikulum dan juga kokurikulum.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya menyambut
baik dasar itu dalam menghasilkan masyarakat holistik dan tidak meminggirkan
sukan. Beliau turut mencadangkan supaya
Kementerian Pelajaran menyediakan jurulatih sukan sepenuh masa di setiap
sekolah bagi menjayakan dasar tersebut. Ini lebih praktikal dan dapat
menjayakan program ini pada masa depan demi kejayaan sukan di sesebuah sekolah.
Menurutnya, jawatan Penolong Kanan Sukan di sekolah juga
perlu diwujudkan dalam melaksanakan dasar ini supaya perancangan aktiviti sukan
lebih sistematik untuk jangka panjang dan merasakan dasar itu tidak akan
membebankan ibu bapa dan murid kerana percaya sekolah mampu menyeimbangkan
keperluan sukan dan akademik mengikut kesesuaian seseorang murid atau
pelajar.
Sementara itu, ibu bapa seharusnya memahami bahawa sukan
adalah aktiviti fizikal yang memerlukan pelakunya menggunakan tenaga dan
bertindak tangkas seperti berenang, bermain bola dan berlumba lari. Aktiviti
sukan tertentu seperti bola sepak, bola keranjang, hoki, badminton memerlukan
suatu pasukan yang terdiri daripada beberapa orang individu. Pasukan yang dibentuk pula memerlukan paduan
tenaga antara anggota pasukan. Hal ini menunjukkan kewujudan perpaduan
masyarakat dalam aktiviti sukan tersebut. Gabungan tenaga fizikal dan fikiran
juga diperlukan untuk mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan
sukan. Dasar 1Murid 1Sukan 1Malaysia
bukan saja dapat meningkatkan mutu sukan di sekolah dan negara, malah dapat
memfokuskan bidang sukan yang perlu dimajukan di peringkat sekolah rendah dan
menengah lagi.
Dalam hal ini, Malaysia harus terus berazam dan berusaha
untuk menjadi sebuah negara maju yang teguh, bersatu dan kekal utuh walaupun
menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Sukan dapat meningkatkan tahap
fizikal dan kualiti kesihatan di kalangan murid dan pelajar. Usaha membangunkan modal insan perlu dibuat
secara holistik dengan menekankan terhadap penguasaan sukan dan ilmu
pengetahuan, modal intelektual termasuk ilmu, pembudayaan sikap progresif
dengan pengamalan nilai, etika dan moral yang baik. Melalui bidang sukan pembangunan
modal insan juga dapat direalisasikan.
Kita tidak mahu melahirkan golongan intelektual yang lemah tubuh
badannya. Sebab itulah kurikulum sangat
berkait rapat dengan kokurikulum.
Pembudayaan 1 Murid 1 Sukan 1 juga dapat menjadi nilai
budaya yang baik dalam mengekalkan kesihatan di peringkat sekolah rendah dan
menengah ke arah memupuk minda kelas pertama.
Sebagai kesimpulan, Kecemerlangan dalam aspek kurikulum juga banyak
bergantung pada kecemerlangan kokurikulum yang melibatkan murid dan
pelajar. Jelaslah bahawa, melalui
pelaksanaan dasar yang merapatkan jurang diantara kurikulum dan kokurikulum,
kita akan dapat meningkatkan kecemerlangan sekolah dengan melahirkan rakyat
yang mampu menghadapi cabaran baru dalam era globalisasi. Bidang sukan juga adalah
bidang penting dalam meningkatkan nama negara di mata dunia pada masa depan.
Melalui generasi yang terdidik dan mempunyai ilmu dalam bidang sukan, negara
bukan sahaja dapat melahirkan ahli sukan yang hebat, malah golongan intelektual
juga turut seimbang fizikal dan mentalnya.
Hal ini hanya boleh berlaku sekiranya kurikulum dan kokurikulum tidak
dipisahkan di antara keduanya.
No comments:
Post a Comment