Wednesday 25 June 2014

Maksud Kokurikulum

Kokurikulum ialah aktiviti pendidikan yang dirancang dan diperlaksanakan selepas waktu pelajaran formal di dalam dan di luar bilik darjah, berasas dan lanjutan pelajaran sesi persekolahan. Menurut Peraturan Kursus Pengajian, Akta Pelajaran 1956, kokurikulum adalah extra curriculum atau ‘kegiatan luar darjah’. Dalam pada itu, Peraturan-peraturan Kokurikulum Kebangsaan di bawah Warta Kerajaan, Akta Pendidikan 1995 yang bertarikh 31.12.1997 pula menyifatkan kokurikulum sebagai “kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan pelajar peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari dalam bilik darjah”.
            Kokurikulum juga dikenali sebagai kurikulum tambahan (extra-curriculum) atau pendidikan untuk waktu lapang (education for leisure) atau aktiviti kelas tambahan (extra-class activities). Aktiviti-aktiviti kokurikulum sebahagian besarnya dilakukan di luar bilik darjah. Ia merupakan aktiviti amali sebagai lanjutan kepada mata pelajaran di dalam bilik darjah, iaitu sebahagian daripada kurikulum formal yang merangkumi aktiviti-aktiviti persatuan, kelab, permainan dan sukan, serta unit beruniform yang dijalankan sebelum atau selepas waktu persekolahan.
            Proses pembelajaran dan pengajaran dalam aktiviti kokurikulum lebih banyak dilaksanakan secara tidak langsung, di mana ia menekankan perkara dan aspek yang tersembunyi seperti nilai, bakat, peranan, kepimpinan, sosial dan sebagainya. Pada tahun 60-an dan 70-an, masyarakat dan pendidik menganggap kokurikulum sebagai tempelan sahaja, sebagai sesuatu yang berasingan, tambahan dan tidak begitu penting dalam perkembangan dan proses pengajaran serta pembelajaran pelajar di sekolah. Walau bagaimanapun, pendapat itu telah berubah dan kini kokurikulum telah diterima. sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah.




1 comment: