Sunday 26 April 2015

Cabaran hubungan etnik di Malaysia


2.1       Sosial

2.1.1    Sistem pendidikan yang berasingan

Corak pendidikan vernakular yang menekankan kepada empat aliran pendidikan yang berbeza iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India telah lama wujud sebelum kita mencapai kemerdekaan.  Apabila kita berbalik kepada sejarah, belum wujud lagi sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu sehinggalah Penyata Razak 1956 dibentuk.  Sebagai contoh, sekolah Melayu hanya tertumpu kepada pendidikan agama di sekolah pondok.  Pendidikan sekolah rendah pula dibentuk bagi membolehkan orang Melayu tahu membaca, menulis dan mengira sahaja.

            Bagi masyarakat Cina, mereka telah menggunakan kurikulum, buku teks dan guru-guru yang diimport dari  Negeri Cina. Bagi kaum India, sekolah-sekolah Tamil didirikan di estet-estet berasaskan kurikulum dan buku teks yang diimport dari India Selatan.  Malah, sekolah aliran Inggeris yang didirikan oleh mubaligh-mubaligh Kristian dan British pula didirikan di bandar-bandar dan mendapat sambutan yang baik daripada kalangan penduduk bandar sama ada Melayu, Cina atau India.  Akan tetapi, ia tidak mendapat sambutan daripada masyarakat Melayu luar bandar kerana bimbang anak-anak mereka dipengaruhi agama Kristian.  Malah, Sistem pendidikan ketika itu tidak menitikberatkan perpaduan sosiobudaya dalam kalangan penduduk yang berbilang bangsa.

            Walaupun terdapat usaha-usaha untuk mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan dan menghapuskan sekolah-sekolah vernakular seperti Laporan Barnes 1951 dan Laporan Razak 1956, ianya mendapat tentangan yang hebat daripada masyarakat Cina.  Namun pada hakikatnya, matlamat utama yang sebenarnya adalah untuk memupuk perpaduan dan integrasi nasional seterusnya menyatupadukan penduduk pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia.

            Seperti mana yang kita tahu, penyelarasan kurikulum dan kokurikulum telah telah dijalankan di semua sekolah di Malaysia. Namun begitu, ia tidak begitu menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional kerana masih terdapat sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang menempatkan pelajar-pelajar yang terdiri dari kaum-kaum yang sama dalam satu sekolah.  Kewujudan sekolah-sekolah ini telah mengurangkan peluang-peluang untuk berinteraksi dan berhubung dengan pelajar-pelajar dari kaum-kaum yang berlainan. Semestinya ia menjadi penghalang kepada perpaduan.  Sesetengah ibu bapa juga cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan seperti kaum Cina dan India.  Hal ini kerana mereka tidak begitu yakin dengan pengurusan sekolah-sekolah kebangsaan yang kebanyakannya terdiri dari pelajar-pelajar Melayu.

            Sehingga kini, kita boleh melihat kewujudan sekolah-sekolah pelbagai aliran seperti sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK(C), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJK(T), sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah menengah Cina persendirian. Kesannya, ianya akan memberikan impak yang kurang elok kepada penstrukturan negara kerana mempunyai corak pendidikan yang berbeza-beza. Keadaan ini berlanjutan sebagai warisan sejarah yang amat bahaya ibarat ‘api dalam sekam’. 

            Adalah tidak mustahil bahawa golongan yang menuntut di sekolah itu juga akan menjadi bakal pemimpin untuk mentadbir negara Malaysia pada satu hari kelak. Sekiranya pemikiran mereka hanya disogok dengan etnik mereka sahaja, sudah pasti Malaysia tidak akan berada dalam keadaan yang aman.      

2.1.2    Pemisahan fizikal

Pemisahan fizikal berlaku timbul akibat daripada kesan dasar “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh British sejurus menjajah Malaysia.  Kesannya, orang Melayu menjadi petani dan menetap di kampung-kampung. Orang Cina pula di tempatkan di kawasan lombong biji timah yang mana akhirnya menjadi pekan-pekan baru dan berkembang menjadi bandar. Manakala kaum India pula bekerja sebagai buruh ladang getah dan menetap di estet-estet.  Ketiga-ketiga kumpulan kaum ini bukan sahaja terasing daripada segi lokasi tempat tinggal, malahan mereka  menjalankan jenis pekerjaan yang berbeza. Keadaan ini menyebabkan peluang untuk berinteraksi sesama mereka menjadi kurang. 

            Malah, pemisahan fizikal yang disebabkan keadaan geografi di Sabah dan Sarawak yang terpisah oleh Laut China Selatan memberi kesan terhadap pemupukan hubungan etnik di Malaysia. Perkara ini meningkatkan perasaan kekitaan atau etnosentrisme iaitu satu pandangan yang melihat kelompok etnik lain melalui kaca mata etnik itu sendiri. Keadaan sebegini hanya akan menimbulkan prasangka dan stereotaip sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain.

            Malah, tahap kefahaman yang rendah tentang cara hidup kaum yang lain menyebabkan kita kurang menghargai kaum yang berbeza daripada kita. Sebab itulah wujudnya masalah perkauman yang mengundang kepada permusuhan kaum. Tahap kefahaman yang rendah tentang kaum lain ini biasanya disebabkan kurangnya pendedahan mengenai kepelbagaian etnik di Malaysia.  Contoh yang jelas ialah kebanyakan penduduk di Semenanjung Malaysia sangat kurang memahami cara hidup masyarakat di Sabah dan Sarawak.  Contohnya dari segi budaya, keagamaan mahupun adat resam. Perkara sebegini mungkin berlaku jika kita hanya mengambil berat tentang etnik diri sendiri sahaja.

            Bukan itu sahaja, kebanyakkan masyarakat di Malaysia lebih cenderung untuk tinggal di satu kawasan yang terdiri dari penduduk yang sama kaum. Contohnya penduduk Bugis lebih banyak tertumpu di kawasan Tawau.  Kaum Cina di kawasan Sibu di Sarawak dan Bajau di kawasan Kota Marudu. Keadaan ini berlaku kerana mereka merasakan lebih selamat tinggal dan selesa bersama penduduk-penduduk yang sekaum dengan mereka.

2.1.3    Polarisasi dalam kalangan pelajar

Polarisasi dalam kalangan pelajar dapat dilihat pada peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta institut pengajian tinggi swasta (IPTS).   Mereka cenderung dalam memilih rakan yang seagama atau sekaum dengan mereka.  Keadaan sebegini semestinya menyukarkan lagi proses hubungan etnik di Malaysia. Kesannya, nilai-nilai bagi memupuk semangat kekitaan pada negara Malaysia tidak dapat diterapkan dengan berkesan.  Hal ini kerana wujudnya jurang di antara semua kaum.

            Malah, satu perkara baru yang wujud pada masa kini ialah, para ibu bapa kurang mempercayai untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Mereka lebih cenderung menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan kerana merasakan struktur pendidikan di sekolah tersebut dapat menjamin kecemerlangan akademik anak mereka.  Sukar sekali untuk kita memaksa ibu bapa ini kerana mereka mempunyai satu perspektif yang perlu kita hormati. Walau bagaimanapun, tidak semua ibu bapa yang bertindak sedemikian. 

2.2       Politik

2.2.1    Politik perkauman

Kepelbagaian kaum yang ada menyebabkan masyarakat masing-masing menubuhkan persatuan dan parti politik yang berasaskan kepada kaum masing-masing. Contohnya kaum Melayu memperjuangkan hak orang-orang Melayu melalui parti United Malaysian National Organisation (UMNO), orang Cina melalui parti Malaysian Chinese Assosiation (MCA), dan kaum India melalui parti Malaysian Indian Congress (MIC).  Oleh kerana setiap parti bebas menyuarakan pendapat dan isi hati, semangat perkauman semakin menyemarak dalam diri masyarakat di Malaysia.  Alasan parti-parti politik ini ditubuhkan mengikut kaum adalah untuk mengelakkan kaum itu ditindas oleh kaum lain. Hakikatnya, keadaan inilah yang sebenarnya akan lebih menimbulkan konflik tentang sesuatu isu yang dibangkitkan.  Perjuangan mereka lebih mementingkan pembelaan kaum masing-masing melebihi kepentingan negara. Manakala krisis nilai dan akhlak yang membelenggu personaliti ahli-ahli politik masa kini juga mengakibatkan berlakunya perselisihan kaum yang menyumbang kepada perpecahan.

            Perkara ini berlaku disebabkan kegagalan kita dalam melahirkan pelapis pemimpin negara yang menghormati dan memahami kaum lain. Hal ini bukan hanya berpunca daripada sikap kaum itu sendiri yang ego dan mementingkan kaum serta gagal untuk menerima perubahan yang terdapat dalam dasar pendidikan. Sebagai contohnya, perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan sekolah integrasi yang ditentang hebat oleh pelbagai kaum tanpa memikirkan kebaikan dan tujuan murni kerajaan untuk melahirkan generasi yang memahami dan peka terhadap kaum lain.  Corak politik yang sebegini akan menyumbang kepada perpecahan dan pertelingkahan dikalangan ahli-ahli politik dan para penyokongnya, seterusnya akan menghalang berlakunya perpaduan kaum di Malaysia.

            Politik yang berasaskan kaum ini seringkali menimbulkan ancaman yang besar terhadap kesejahteraan negara.  Malah, ada dalam kalangan ahli politik yang cetek ilmu pengetahuan tentang sejarah di Malaysia mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu dan status kedudukan orang-orang Melayu.  Isu-isu ini bagaikan mencurahkan minyak ke dalam bara api. Ia boleh membangkitkan api kemarahan orang-orang Melayu dan boleh mencetuskan pertumpahan darah di negara ini.
           
2.3       Ekonomi

2.3.1    Dominasi sektor ekonomi

Melalui aspek ekonomi terdapat dua perkara yang perlu dilihat.  Pertama ialah penguasaan ekonomi dan yang kedua ialah perbezaan pekerjaan berdasarkan sektor ekonomi. Pertama, penguasaan ekonomi memperlihatkan jurang yang luas bagi setiap etnik. Majoriti kaum Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah.

            Kaum cina yang umumnya menguasai perniagaan, perdagangan dan menggunakan teknologi moden. Manakala, kaum India pula banyak terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Kenyataan di sini sudah membolehkan kita membuat satu kesimpulan iaitu terdapatnya jurang pendapatan yang begitu ketara dan tidak seimbang dalam ekonomi negara Malaysia.  Semua golongan etnik sentiasa mencuba untuk bersaing dalam ekonomi ini untuk berusaha mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar. Penguasaan ekonomi yang berbeza serta jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk.  Perkara ini memberi implikasi terhadap ketidakpuasan hati bagi semua golongan etnik terutamanya kaum Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian.

            Kaum India juga berdepan dengan nasib yang sama di mana harga getah dan kelapa sawit adalah berlandaskan kepada keadaan ekonomi di dunia. Jika harga meningkat, maka, pulangannya tentu baik dan sebaliknya juga akan berlaku.  Rancangan Malaysia Kedua ada menyatakan perpaduan negara tidak boleh dicapai tanpa kesaksamaan dan keseimbangan dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik Malaysia.  Fenomena kemiskinan bukan sahaja terdapat di kawasan luar bandar tetapi juga di kawasan bandar. Keadaan ini boleh mengugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan hanya menonjol dalam kalangan kelompok etnik yang tertentu sahaja. 

2.3.2    Perbezaan pekerjaan

Jenis pekerjaan pada masa kini tidak lagi menggambarkan identiti sesuatu kaum di Malaysia. Semua kaum bebas memilih pekerjaan yang mereka inginkan, sama ada dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri. Keadaan ini adalah hasil daripada dasar kerajaan yang telah berjaya memberi pendidikan kepada semua kaum. Dalam sektor awam, jawatan guru contohnya, terdiri daripada pelbagai kaum, Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya. Melalui percampuran pelbagai kaum, ianya memudahkan lagi matlamat kerajaan untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum di negara ini. Golongan ini lebih mudah memahami dan menghormati budaya dan adat resam kaum lain.

           Semasa pemerintahan British, mereka telah menetapkan bidang-bidang kegiatan ekonomi penduduk di Tanah Melayu mengikut keperluan ekonomi British. Oleh itu, orang Melayu, Cina dan India dibiarkan menjalankan aktiviti ekonomi yang berlainan. Kebanyakan orang Melayu di luar bandar merupakan petani, pekebun kecil, penoreh getah atau nelayan. Mereka merupakan komuniti yang kurang mendapat perhatian untuk terlibat secara langsung dalam rancangan pembangunan teknologi oleh British. 

            Sebaliknya, orang Cina yang tinggal di kawasan bandar terlibat secara langsung dalam sektor perniagaan, perlombongan, pembinaan dan kewangan.  Sebilangan besar masyarakat India pula menjadi buruh di ladang-ladang getah dan buruh kasar Kereta api Tanah Melayu dan Pejabat Kerja Raya.  Pengenalan kaum mengikut jenis pekerjaan yang berlaku di Tanah Melayu pada ketika itu sedikit sebanyak mencorakkan kehidupan rakyat Malaysia sekarang. Sebagai contoh ialah bidang perniagaan yang kebanyakkannya dikuasai oleh kaum Cina. Perbezaan sosioekonomi yang berlaku boleh menimbulkan rasa cemburu, sangsi dan takut terhadap kaum yang berkuasa.
            Tambahan pula, pengasingan kegiatan ekonomi ini telah mewujudkan jurang pendapatan yang tidak seimbang di antara kaum. Apabila wujud jurang ekonomi yang nyata,  maka akan wujud tanggapan negatif yang bakal mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum. Ianya merupakan satu lagi faktor yang menyebabkan timbul ketidakpuasan hati antara kaum terutamanya masyarakat Melayu dan masyarakat Cina. Tidak dapat dinafikan suasana sosioekonomi ini telah mengancam proses pembinaan negara bangsa Malaysia.

2.4       Agama, adat istiadat dan budaya  

2.4.1    Agama

Setiap kaum di Malaysia boleh dikatakan mewakili agama tertentu contohnya Melayu beragama Islam, Cina beragama Buddha, India beragama Hindu. Iban dan Kadazan beragama Kristian. Adalah jelas ketiga-tiga kaum utama di Malaysia mempunyai adat resam, bahasa, agama dan falsafah hidup yang berbeza. Masing-masing menganggap kebudayaan dan agama mereka adalah yang terbaik.

            Walaupun berlaku perkahwinan campur antara kaum tetapi ia adalah agak terhad kerana wujud halangan yang kuat dari segi agama.  Perbezaan dan pengasingan agama, budaya dan cara hidup ini bukan sahaja menguatkan lagi sikap prasangka buruk antara masyarakat malah menghalang proses integrasi sosial antara kaum.  Tidak seperti di Indonesia, warga berketurunan Jawa terasimilasi dengan baik. Mereka boleh terdiri daripada beberapa agama contohnya Jawa Hindu, Jawa Islam, Jawa Kristian dan Jawa Buddha. 

2.4.2    Kebudayaan

Kekurangan pendedahan kepada adat-adat dan kebudayaan etnik lain akan menjadi penghalang kepada pembinaan hubungan etnik antara kaum.  Kebudayaan meliputi agama, kepercayaan, adab resam dan cara hidup setiap kaum. Sekiranya masyarakat kurang terdedah mengenai budaya kaum lain, ia akan menjadi penghalang kepada usaha untuk memupuk perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia. Perbezaan kebudayaan akan menyebabkan timbulnya prasangka, perkauman dan etnosentrisme yang merupakan perkara utama yang menyumbang kepada masalah perpaduan.

            Pada masa yang sama, sikap setiap kaum yang terlalu mempertahankan budaya mereka juga menjadi halangan kepada usaha untuk mengeratkan hubungan etnik di Malaysia. Perkara Ini berlaku kerana mereka tidak dapat menerima amalan dan kepercayaan kaum lain yang berbeza dengan cara hidup mereka.  Salah satu cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan kerana pada sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri.

            Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar. Situasi sebegini hanya akan menyebabkan interaksi mereka hanya terhad di antara etnik yang sama sahaja. Perkara sebegini hanya akan memberikan kesan yang negatif kepada negara Malaysia. Semua etnik masing-masing mempertahankan bahasa ibunda mereka dan kurang bersifat terbuka untuk mempelajari bahasa ibunda kaum yang lain.  Mereka menganggap adalah tidak penting untuk mereka mempelajari bahasa kaum yang lain.

2.4.3    Adat istiadat

Kewujudan masyarakat berbilang bangsa sejak   zaman Kesultanan Melayu Melaka amat berbeza daripada masyarakat berbilang bangsa yang wujud akibat penjajahan British di Tanah Melayu pada abad ke-19. Perbezaan antara kedua-dua masyarakat berbilang bangsa tersebut ialah kesanggupan masyarakat berbilang kaum pada zaman Melaka untuk menerima budaya masyarakat Melayu seperti bahasa, makanan, etika dan pakaian. Sebaliknya, masyarakat imigran pada zaman British tidak berpeluang ataupun berkeinginan mengenali sosiobudaya masyarakat Melayu.


            Ada juga dalam kalangan masyarakat imigran yang memandang rendah kedudukan dan sosiobudaya masyarakat Melayu. Malahan mereka menganggap masyarakat Melayu tidak mempunyai perkaitan dengan mereka. Oleh itu, masyarakat berbilang bangsa atau masyarakat majmuk pada zaman penjajahan merupakan punca wujudnya beberapa aspek sosiobudaya negatif yang menghalang usaha-usaha mengeratkan hubungan etnik di Malaysia

1 comment: