Saturday 11 April 2015

Model Terapi Realiti oleh William Glasser

2.5       Model Terapi Realiti oleh William Glasser

William Glasser merupakan pengasas kepada terapi realiti.  Menurut Glasser dalam Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2013), guru berfungsi sebagai fasilitator yang mengutamakan perkembangan murid berkaitan penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritikal.  Sepertimana menurut Choong, (2009), terapi realiti Glasser adalah berlandaskan 3 prinsip.  Antaranya ialah setiap individu bertanggungjawab ke atas tingkah laku masing-masing.  Selain itu, setiap individu berupaya untuk berubah dan hidup secara berkesan sekiranya diberikan bimbingan dan sokongan.  Pada masa yang sama, setiap individu bertingkah laku mengikut cara tertentu agar dapat membentuk persekitaran mengikut kehendak masing-masing.

            Glasser telah menggariskan pelan pengurusan bilik darjah dalam (Choong, 2009) yang boleh digunakan oleh guru bagi mengurus kelas dengan baik.  Antaranya ialah guru hendaklah melapangkan masa untuk mengenal pasti punca tingkah laku murid yang bermasalah. Seterusnya, guru perlu mempertimbangkan cara penyelesaian. Salah laku boleh dicegah melalui dua cara iaitu dengan memberikan latihan yang menarik dan yang kedua dengan membina hubungan positif dengan murid. Selain itu, cara penyoalan perlu dipertingkatkan disamping mengadakan perbincangan dengan murid-murid. Selanjutnya, murid dikehendaki membentuk satu pelan yang mengandungi tindakan positif dengan bantuan guru.  Murid juga boleh diasingkan dengan menggunakan time-out atau dihantar ke satu lokasi selesa dibawah seliaan seseorang seperti kaunselor. Ibu bapa akan dihubungi untuk berpindah sekolah sekiranya murid berada diluar kawalan.  Malah, bagi kes yang serius, murid akan dirujuk kepada pihak yang berkuasa.

            Glasser juga turut menyertakan elemen disiplin yang berkesan bagi membentuk tingkah laku positif murid.  Menurut Glasser dalam Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2013), murid perlu dibantu untuk membuat pilihan yang wajar.  Guru juga perlu mengajar murid untuk memikul tanggungjawab secara peribadi dan menangani tingkah laku masa kini, bukannya pada masa yang lampau.  Seterusnya, murid juga perlu membuat penghakiman berunsurkan nilai terhadap tingkah laku mereka.  Bukan itu sahaja, guru juga seharusnya membantu murid merancang ke arah perubahan tingkah laku dan sematkan dihati bahawa murid boleh berubah ke arah positif.

2.5.1    Sejauh manakah keberkesanan Model Terapi Realiti Glasser?

Kekuatan yang terdapat pada model ini menurut Choong (2009) ialah ianya memberi penekanan terhadap disiplin kendiri berbanding dengan hukuman.  Hal ini bermakna, ianya memberi fokus kepada pembentukan nilai murni yang ada pada diri murid.  Malah, pelan pengurusan bilik darjah seperti yang dicadangkan oleh Glasser dalam Choong (2009) adalah sangat sistematik dan berstruktur.  Perkara ini akan memudahkan guru bagi merujuk kembali pelan tersebut dalam mengambil apa jua tindakan secara sistematik.

            Terdapat juga kelemahan yang jelas didapati dalam model ini terutamanya dari segi pertukaran nama yang boleh mendatangkan kekeliruan.  Nama pada asalnya adalah terapi realiti ditukar kepada teori kawalan dan kemudiannya dikenali sebagai teori kawalan.  Bukan itu sahaja, disebabkan murid belum mempunyai emosi dan psikologi yang matang, perkara ini menyukarkan mereka untuk menyelesaikan masalah yang dialami.

2.5.2    Keberkesanan Model Terapi Realiti Glasser

Edward, murid tahun 6 Cemerlang sering memotong barisan semasa membeli makanan di kantin.  Dalam hal ini, Cikgu Hasan sebagai guru kelas Edward talah meluangkan masa untuk mengenal pasti punca tingkah laku Edward.  Seterusnya, Cikgu Hasan telah mempertimbangkan cara penyelesaian yang paling sesuai untuk Edward.  Hal ini boleh dilakukan sepertimana dicadangkan oleh Choong (2009) iaitu sama ada murid diberikan latihan yang mencabar atau bina hubungan positif.

            Memandangkan Edward tidak lama lagi akan menduduki ujian UPSR, Cikgu Hasan cuba untuk mengambil pendekatan untuk menyoal Edward dengan penuh berhemah.  Seterusnya dia juga berbincang mengenai tingkah laku negatif yang telah dilakukan oleh Edward.  Selanjutnya, Cikgu Hasan mengkehendaki Edward untuk membentuk satu pelan yang mengandungi tindakan positif.  Cikgu Hasan juga telah merancang bagi membantu Edward untuk mengubah tingkah laku Edward ke arah yang lebih positif. 


            Cikgu Hasan telah membantu Edward untuk membuat pilihan yang wajar.  Pilihan yang diberikan oleh Edward ialah sama ada dia terus memotong barisan semasa membeli makanan di kantin atau Edward akan dikenakan tindakan keluar lewat ketika waktu rehat.  Cikgu Hasan akan memberi time-out sepertimana yang dicadangkan dalam Choong (2009) atau menghantar Edward berjumpa dengan kaunselor sekiranya dia memilih untuk terus mempamerkan tingkah laku negatif tersebut.  

No comments:

Post a Comment