Wednesday 9 July 2014

Teori perkembangan moral Lawrence Kohlberg


Teori yang dikemukakan oleh Lawrence Kohlberg ialah lanjutan daripada teori Jean Piaget (ahli psikologi Swiss) dan ahli falsafah John Dewey.  Menurut Kohlberg, pada tahap perkembangan tertentu, kanak-kanak akan mempelajari apa yang betul dan apa yang salah. Daripada kajian beliau, Kohlberg (1983) menyarankan tiga tahap utama perkembangan moral dan tiap-tiap tahap boleh dibahagikan kepada dua peringkat.

            Tahap 1 ialah Pra-Konvensional.  Merupakan tahap yang paling bawah dalam penakulan moral.  Pada tahap ini perlakuan dinilai berdasarkan ganjaran dan hukuman yang akan diterima akibat perlakuan tersebut. Peringkat 1 merupakan orientasi kepatuhan dan hukuman.  Kepatuhan kanak-kanak kepada orang dewasa adalah untuk mengelakkan dendaan.  Peringkat 2 pula ialah Orientasi ganjaran peribadi.  Peringkat ini lebih menumpukan kepada kehendak dan perasaan sendiri.  Sesuatu perkara itu dinilai baik atau jahat adalah berdasarkan penilaian terhadap kesan ke atas mereka.

            Tahap 2 ialah Konvensional.  Ia merupakan tahap pertengahan di dalam teori perkembangan moral Kohlberg.  Dalam tahap ini, individu sudah mula mengaplikasi peraturan berdasarkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh ibubapa, guru dan komuniti.  Tahap ini mengandungi dua peringkat iaitu orientasi perlakuan baik dan akur kepada sistem sosial.  Peringkat 3 merupakan Orientasi perlakuan baik.  Individu pada tahap ini menolong orang supaya beliau dianggap sebagai orang yang baik.  Peringkat 4 pula ialah akur kepada sistem sosial dan etika peraturan.  Individu pada peringkat ini menghormati undang-undang di atas rasa keyakinan beliau terhadap undang-undang yang ada dan sanggup pula memperjuangkannya.

            Tahap 3 ialah Pos-Konvensional.  Tahap penaakulan moral ini adalah yang paling tinggi dalam perkembangan moral Kohlberg.  Pada tahap ini, individu rnula meneroka pilihan, memilih alternatif-alternatif lain dalam penaakulan moral.  Mereka mula mempunyai kod moral dan etika yang tersendiri.  Dua peringkat yang terdapat pada tahap ini ialah etika kontrak sosial dan hak individu dari etika prinsip sejagat.  Peringkat 5 merupakan Etika kontrak sosial dan hak individu.  Tingkah laku moral adalah berteraskan kepada kepentingan sosial dan perjuangan ke arah kedaulatan masyarakat.  Individu pada peringkat ini menghormati undang-undang tetapi percaya bahawa undang-undang perlu diubah suai untuk kesejahteraan umat atau manusia.  Peringkat 6 pula ialah Etika prinsip sejagat.  Pada peringkat ini, individu menunjukkan ciri-ciri tingkah laku moral berasaskan kesedaran kendiri yang meletakkan nyawa manusia, keadilan dan maruah pada peringkat tertinggi.  Mereka juga sanggup menerima hukuman di atas kesalahan yang dilakukan dengan rela kerana menghormati undang-undang yang telah ditetapkan.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Dalam usaha bagi mengaplikasikan teori perkembangan moral Lawrence Kohlberg pada peringkat awal kanak-kanak, guru perlu lebih bersifat mendidik mereka, bukannya bersifat menghukum.  Hal ini kerana, mereka perlu dididik untuk bersifat dengan akhlak yang baik kerana hanya dengan didikan yang betul daripada guru, kanak-kanak akan berusaha untuk berkelakuan baik.  Sebagai contoh, jika mereka melakukan kesalahan, guru hendaklah tidak bersikap terburu-buru dengan memberikan hukuman  kepada mereka.  Sebaliknya, guru perlu mendengar penjelasan daripada mereka dahulu.  Jika mereka didapati bersalah, guru perlu menjelaskan dengan memberi sebab mengapa sesuatu perkara tidak boleh dilakukan.  Dengan cara ini, perkara ini secara tidak langsung dapat membantu mereka dalam memperkembang tingkah laku mereka ke tahap yang baik dengan bantuan dan sokongan moral daripada guru.

Peringkat pertengahan kanak-kanak

Pada peringkat ini, guru-guru boleh menerapkan nilai-nilai murni terutamanya melalui kurikulum dalam subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.  Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, unsur seperti nilai-nilai murni sangat penting bagi membantu mereka dalam menterjemah tingkah laku mereka berasaskan nilai-nilai murni yang dipelajari disekolah.  Sebagai contoh, murid yang mempelajari adab terhadap jiran dalam subjek pendidikan Islam semasa di sekolah dapat menterjemah kefahaman mereka melalui penerapan nilai-nilai murni yang dipelajari di sekolah dengan sentiasa berbuat baik terhadap jiran mereka.  Dalam peringkat ini, guru perlulah mendidik murid dengan kasih sayang supaya mereka rasa dihargai.  Perkara ini sangat penting kerana ia membantu dalam mengubah tingkah laku mereka ke arah yang lebih baik kerana mereka sedar ada guru yang sentiasa mengambil berat terhadap diri mereka.

No comments:

Post a Comment