Wednesday, 9 July 2014

Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura


Teori pembelajaran sosial telah dipelopori oleh Albert Bandura, seorang ahli psikologi yang berkhidmat di Universiti Stanford.  Menurut beliau, manusia secara semula jadinya belajar melalui proses peniruan atau pemerhatian, iaitu dengan cara melihat orang bertingkah laku dalam kehidupan seharian seperti berjalan, makan, minum, mendapat penghargaan, pujian atau menerima hukuman.  Persoalannya, bagaimanakah kanak-kanak meniru perlakuan orang dewasa dan bagaimana persekitaran mempengaruhi kehidupan dan perlakuan kanak-kanak?

            Teori Pembelajaran Sosial yang dikemukakan oleh Bandura telah memberi penekanan tentang bagaimana perilaku kita dipengaruhi oleh persekitaran melalui peneguhan (reinforcement) dan observational learning, pandangan dan cara berfikir yang kita miliki terhadap sesuatu maklumat dan juga sebaliknya, iaitu bagaimana tingkah laku kita mempengaruhi persekitaran dan menghasilkan peneguhan (reinforcement) dan peluang untuk diperhatikan oleh orang lain (observational opportunity). 

            Menurut Bandura, pembentukan sesebuah tingkah laku boleh berlaku melalui beberapa cara, iaitu meniru secara langsung.  Kanak-kanak melihat model sendiri atau secara tidak langsung dengan menonton filem, video, mendengar huraian atau melihat gambar foto.  Contohnya, kanak-kanak meniru ibu bapa atau guru dari segi pakaian, pertuturan, gaya berjalan dan sebagainya.

            Selain itu, peniruan dapat dilihat melalui sekatlakuan dan tak sekatlakuan.  Sekatlakuan merupakan sekatan tingkah laku yang sesuai di dalam situasi A tetapi tidak sesuai dalam situasi B.  Contohnya, murid yang boleh bersorak-sorak di kantin ketika memanggil rakan tidak melakukannya di dalam bilik darjah.  Ini dipelajari oleh murid-murid disebabkan adanya peraturan-peraturan bilik darjah yang boleh menyebabkan hukuman jika amalan itu berlaku.  Murid-murid juga meniru melalui tak sekatlakuan.  Ini bermakna murid-murid akan terus meniru amalan di dalam sesuatu situasi.  Contohnya, kalau dia telah mempelajari bahawa tindakan sorak-menyorak tidak sesuai di dalam kelas tetapi kali ini dengan guru yang baru, amalan itu tidak dihukum, murid-murid berkenaan akan bermula dengan menjeritkan jawapan.  Perkara ini merupakan peniruan melalui tak sekatlakuan.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Bagi peringkat awal kanak-kanak, guru hendaklah menjadi role model bagi mereka.  Dalam hal ini, guru perlu mempunyai tingkah laku yang positif supaya pelajar dapat menirunya.  Hal ini kerana, segala tindakan yang ditunjukkan oleh guru hendaklah yang boleh dicontohi oleh pelajarnya.  Sebagai contoh, guru boleh menunjukkan teladan yang baik seperti bersopan santun dan tidak meninggikan suara di dalam bilik darjah.  Sekiranya guru ingin mengubah tingkah laku murid yang kurang menyenangkan seperti keadaan yang bising di kelas kepada keadaan yang terkawal, guru terlebih dahulu perlu menunjukkan kepada mereka contoh yang terbaik.  Selain itu juga, guru perlu tunjukkan kepada pelajar dalam kalangan rakan-rakan mereka ada yang menunjukkan contoh sebagai pelajar yang baik dari segi penghasilan kerja mereka.  Dengan berbuat demikian, pelajar boleh belajar daripada rakan-rakan dan meniru idea-idea yang berkualiti yang terdapat dalam kerja-kerja mereka.  Guru juga boleh menggunakan pelajar  yang berjaya untuk menunjukkan tingkah laku model yang baik dalam kelas.  Hal ini sangat membantu pelajar yang lain untuk turut sama berkelakuan dengan tingkah laku yang baik.

Peringkat pertengahan kanak-kanak

Dalam usaha bagi mengaplikasikan teori pembelajaran sosial Bandura, guru perlu menyediakan persekitaran sosial yang kondusif telebih dahulu agar modeling boleh berlaku.  Guru perlu memberi mereka sokongan moral bagi menggalakkan berlakunya tingkahlaku yang baik dalam kalangan murid-murid pada masa kini.  Bagi membantu keberkesanan dalam p&p, persembahan pengajaran seseorang guru seharusnya dapat menarik minat dan perhatian murid-murid serta dapat dijadikan model untuk diikuti oleh mereka.  Malah, guru perlu mahir dalam berkomunikasi agar mereka dapat memahami pembelajaran dengan baik. Contohnya, jika guru mengajar cara-cara untuk menghasilkan lukisan, guru mestilah menerangkan dahulu langkah-langkahnya agar ia dapat diikuti oleh murid yang lain secara mudah.  Guru juga boleh menjemput seorang murid agar menjadi contoh kepada murid lain berdasarkan kerjanya yang bagus ataupun untuk membuat demonstrasi mengenai hasil kerja yang dihasilkannya yang terbaik itu.  

No comments:

Post a Comment