Wednesday 9 July 2014

Teori Perkembangan Robert Havighurst

Teori Perkembangan Robert Havighurst

Menurut Robert Havighurst, faktor persekitaran boleh mempengaruhi perkembangan seseorang kanak-kanak.  Perkara ini penting dalam proses pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.  Beliau telah memfokuskan faktor persekitaran sebagai faktor yang paling besar dalam mempengaruhi perkembangan seseorang ketika kanak-kanak.  Menurut Robert Havighurst di dalam buku psikologinya, Human Development and Education (1953) seperti yang dinyatakan oleh Mok Soon Sang (2009), dia menyatakan bahawa contoh persekitaran yang mempengaruhi kanak-kanak dapat dilihat dari segi pemakanan, rakan sebaya, guru, bahan bacaan dan internet.  Havighurst telah membahagikan peringkat perkembangan awal kanak-kanak kepada tiga peringkat. 

            Peringkat yang pertama bermula sejak lahir sehingga berumur 6 tahun.  Dalam peringkat ini, kanak-kanak sudah mula bertutur namun masih bersifat egosentrik iaitu bercakap mengenai diri sendiri.  Ketika berusia 6 tahun pula, kanak-kanak sudah mampu bertolak ansur dan menerima pendapat orang lain.  Pada tahap ini, kanak-kanak sudah memiliki kemampuan untuk membezakan yang betul dan salah.  Walaubagaimanapun, kanak-kanak pada peringkat ini masih belum dapat menguasai konsep pengekalan dan transformasi. 

            Seterusnya ialah peringkat kedua yang bermula pada usia 6 hingga 12 tahun.  Pada usia ini, kanak-kanak sudah menguasai beberapa kemahiran termasuk kemampuan untuk bersosial dan bergaul dengan orang di sekeliling mereka.  Mereka juga mula belajar untuk membentuk sikap mengakui hak, keupayaan dan kelemahan individu.

            Peringkat yang ketiga pula ialah pada usia 12 hingga 18 tahun.  Pada tahap ini, remaja akan mencapai tahap kematangan fizikal seperti tinggi yang maksimum.  Dari segi kognitif pula, mereka berada pada peringkat operasi formal.  Dari segi emosi, wujudnya berbagai emosi dalam diri remaja seperti ingin berjaya dan mereka mampu untuk mengawal emosi. Remaja pada peringkat ini akan membentuk kumpulan rakan sebaya dan mula tertarik pada jantina yang berlawanan.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Antara aktiviti yang boleh dibuat bagi mengimplementasikan teori perkembangan Robert Havighurst pada peringkat ini ialah dengan menunjukkan mereka video mengenai perkara-perkara yang boleh dilakukan bagi membantu ibu bapa dirumah.  Pada pendapat saya, dengan menunjukkan video seperti ini, pengetahuan mereka lebih cepat berkembang kerana kanak-kanak sangat terpengaruh dengan apa yang mereka lihat.  Dengan memaparkan video seperti ini semasa proses pengajaran dan pembelajaran, perkara ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka dapat mengaplikasikan apa yang mereka lihat di dalam video tadi dengan membantu ibu bapa mereka dirumah.  Sebagai contoh, apabila mereka membantu ibu bapa seperti membasuh kereta dan memotong cili misalnya, kemahiran motor halus dan kasar mereka telah berkembang secara tidak langsung.  Malah, perkembangan motor halus dan kasar ini boleh ditingkatkan lagi apabila mereka sering membantu ibu bapa mereka di rumah.

Peringkat pertengahan kanak-kanak

Cadangan saya untuk peringkat ini pula ialah dengan menggalakkan mereka bercakap ketika aktiviti berkumpulan.  Sebagai contoh, guru boleh memberikan aktiviti lakonan semasa proses pembelajaran di kelas.  Aktiviti lakonan ini sebenarnya sangat membantu bagi meningkatkan perkembangan kemahiran sosial mereka.  Pada waktu inilah perkembangan sosial harus dipupuk kerana jika ia tidak dipupuk pada peringkat ini, kemungkinan besar ia akan menyukarkan mereka untuk bersosial apabila melangkah masuk ke sekolah menengah nanti.  Selain itu, guru juga boleh mengambil peluang untuk memperkembang kemahiran motor kasar mereka semasa mengajar subjek pendidikan jasmani dengan mengajar mereka kemahiran menendang, mengelecek dan menjaringkan bola. 

No comments:

Post a Comment