Wednesday 25 June 2014

Kepentingan Kokurikulum berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Matlamat Pendidikan Negara

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
            Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Kepentingan Kokurikulum berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Matlamat Pendidikan Negara

Jika dilihat kepada latar belakang pelajar cemerlang UPSR, PMR dan SPM sepanjang beberapa tahun ini, boleh dikatakan kita agak berjaya dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.   Nur Amalina misalnya, cemerlang dalam akademik dengan 17A1 dan turut cemerlang dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Bukan beliau seorang saja, malah ramai lagi pelajar cemerlang mempunyai pembabitan baik dalam kedua-dua bidang.
            Kokurikulum di sekolah telah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan di Malaysia ketika ini. Ianya telah menjadi satu kegiatan yang diwajibkan kepada setiap pelajar di semua sekolah menengah dan sekolah rendah. Aktiviti kokurikulum dianggap penting sebagai alat untuk memenuhi hasrat unggul dasar pendidikan kebangsaan, iaitu perpaduan di kalangan pelajar-pelajar yang terdiri dari berbilang kaum. Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) telah menyatakan bahawa semua pelajar hendaklah digalakkan supaya mengambil bahagian yang lebih aktif dalam aktiviti kokurikulum. Setiap pelajar perlu menyertai satu badan beruniform, satu sukan atau permainan dan satu kelab atau persatuan di sekolah. Antara tujuan aktiviti kokurikulum diadakan di sekolah ialah untuk memberi pengalaman kepada pelajar-pelajar yang akan membantu mereka dalam mencapai kehidupan yang sempurna.
            Menurut Falsafah Pendidikan Negara dalam usaha melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dalam aspek rohani, jasmani dan intelek, kokurikulum dapat menyumbang untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari semua segi tersebut. Menurut Mohd Sofian, Aminuddin & Borhan (2002) kokurikulum merupakan suatu pelengkap kepada kehendak dan keperluan kurikulum di mana ia menyediakan pelbagai peluang kepada pelajar untuk menambah, mengukur dan mengamalkan kemahiran, pengetahuan dan nilainilai yang telah dipelajari semasa pembelajaran di bilik darjah.
            Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti-aktiviti yang melibatkan kegiatan sukan, persatuan/kelab yang berkaitan dengan matapelajaran dan kebudayaan, dan pasukan badan beruniform. Kegiatan sukan yang dimaksudkan seperti bola sepak, ragbi, renang, bola tampar, memanah, tenpin boling, golf dan sebagainya. Kegiatan kelab/persatuan ialah Kelab Usahawan, Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Persatuan Sains dan Matematik, Persatuan Bahasa Cina dan sebagainya. Badan Beruniform pula ialah Kadet Tentera, Kadet Bomba, Kadet Polis, Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah dan sebagainya. 
            Kegiatan kokurikulum dianggap sangat berkesan untuk memupuk keseimbangan perkembangan mental dan perkembangan rohani, jasmani dan sosial pelajar. Aktiviti-aktiviti kokurikulum memberi arah dan hala tuju kepada pelajar supaya menceburkan diri dalam kegiatan yang berfaedah. Berikutan penceburan dalam kegiatan ini, diharapkan dengan kemahiran-kemahiran yang dipelajari melalui aktiviti-aktiviti tersebut boleh memupuk gaya hidup (life style) yang sihat. Kegiatan kokurikulum juga dapat mengukuhkan interaksi antara pelajar dan sekaligus memupuk integrasi antara kaum di samping memupuk sifat kesopanan, berdikari, kerajinan bekerja, berdisiplin dan patuh kepada undang-undang yang boleh membentuk pelajar supaya menjadi warganegara yang berguna (Wee Eng Hoe, 1996).
            Menurut Adnan Khamis (1989) dalam kajiannya menyatakan bahawa penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum pada amnya dapat membantu mencapai objektif yang dikehendaki oleh sistem pendidikan hari ini bagi menghasilkan pelajar yang cergas, seimbang dan harmoni dari segala segi. Pelajar yang terbabit dalam aktiviti tersebut dapat menunjukkan sikap positif, semangat juang yang tinggi dan masih berupaya melangkaui halangan-halangan akademik. Bagaimanapun menurut beliau bahawa masih terdapat halangan-halangan dan masalah yang timbul dalam konteks pelaksanaan tanggungjawab terhadap aktiviti tersebut, sama ada di pihak guru mahupun pelajar. Ini kerana terdapat sesetengah guru mahupun pelajar dan ada kalangan pihak ibu bapa sendiri yang masih menganggap kegiatan kokurikulum sebagai membuang masa, menambah perbelanjaan keluarga dan yang paling menyedihkan menganggap kegiatan tersebut tidak penting. 
            Hamidah, (1999) juga telah mendapati kokurikulum adalah kegiatan di luar bilik darjah yang mempunyai hubungan dengan mata pelajaran kurikulum. Kegiatan kokurikulum yang dimaksudkan ialah aktiviti-aktiviti kelab dan persatuan, unit beruniform serta sukan dan permainan. Penglibatan pelajar khususnya pelajar Islam dalam kokurikulum dapat melatih mereka supaya bersifat bertanggungjawab, berdikari, berdisiplin serta mahir di dalam sesuatu lapangan yang mereka sertai. Penglibatan pelajar Islam dalam kegiatan kokurikulum suatu masa dahulu kurang terserlah kerana di kalangan ibubapa menganggap penglibatan anakanak mereka dalam kokurikulum menjejaskan pencapaian akademik. Tambahan pula guruguru yang berkebolehan dalam mengendalikan aktiviti kokurikulum sangat sedikit bilangannya
            Secara umum nilai-nilai murni dalam kurikulum merupakan kesepaduan antara nilai moral, nilai budaya, nilai agama dan nilai estetik. Pendidikan nilai adalah sebahagian daripada elemen yang menjadi asas dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Pendidikan nilai menjadi salah satu unsur yang penting setelah Kementerian Pendidikan melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke dalam kurikulum. FPN menegaskan penerapan 16 nilai murni masyarakat Malaysia dalam sistem pendidikan Malaysia. Nilai-nilai murni ini terdapat dalam agama, tradisi dan adar resam pelbagai kaum di negara ini serta selaras dengan nilai universal.
            Nilai-nilai murni ini dirancang untuk merentasi kurikulum dan kurikulm tersembunyi.  Justeru itu sukatan mata pelajaran yang dibentuk berdasarkan KBSR dan KBSM telah mencadangkan nilai-nilai yang dianggap releven dan dapat diserapkan ke dalam semua mata pelajaran. Malah dalam sukatan untuk panduan guru yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, nilai-nilai murni bagi sesetengah mata pelajaran telah disenaraikan untuk diterapkan oleh guru-guru ke dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
            Pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran nilai murni dalam Pendidikan Moral boleh digunakan semasa pengajaran dan pembelajaran dalam semua mata pelajaran dalam bilik darjah. Kerasionalan pengajaran nilai dalam merentasi kurikulum adalah kerana nilai-nilai murni ini menjadi teras penting dalam semua mata kurikulum mata pelajaran di sekolah dan juga FPK menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan berpegang teguh kepada agama. Justeru itu guru perlu memahami dengan jelas konsep nilai merentasi kurikulum. Seterusnya guru perlu dapat melihat kaitan nilai dengan aktiviti yang dicadangkan serta pendekatan yang sesuai yang dapat digunakan untuk menerapkan nilai tertentu.   Akhir sekali, guru juga perlu tahu bagaimana mengintegrasikan nilai yang telah diterapkan.
            Aktiviti kokurikulum didefinisikan sebagai aktiviti terancang dan berstruktur di luar bidang akademik. Ia merupakan kegiatan luar bilik darjah seperti sukan, aktiviti badan beruniform aktiviti kelab dan persatuan yang dilakukan di luar jadual persekolahan atau kurikulum. Kegiatan kurikulum di sekolah diharap dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi fizikal, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ini juga kerana pendidikan bagi menghasilkan insan harmonis dan seimbang tidak akan berhasil jika kurikulum semata-mata digunakan sebagai media penerapan nilai-nilia murni sejagat. Justeru, pendidikan yang mantap dan kukuh dapat menyelurkan aspek kurikulum ke dalam kokurikulm bagi meningkatkan keupayaan pendidikan menghidupkan falsafah tersebut. Oleh yang demikian  pengetahuan yang diperolehi dari kurikulum akademik dapat diintegrasikan secara praktis semasa menjalankan aktiviti kokurikulum.  
            Aktiviti kokurikulum yang dirancang juga diharapkan dapat mengembangkan potensi, bakat dan kinta murid dalam pelbagai aktiviti beruniform, kelab, persatuan dan sukan. Kokurikulum perlu untuk menerapkan nilai-nilai murni melalui perkembangan diri inidividu ke dalam diri murid-murid. Nilai-nilai murni yang disisipkan melalui penerapan nilai semua mata pelajaran melalui pengajaran dan pembelajaran dapat dikukuhkan lagi melalui kegiatan kokurikulum. Pengalaman menjalankan aktiviti kokurikulum akan meluaskan daya fikir dan pengetahuan murid serta melahirkan kematangan fizikal, intelek, emosi, sosial dan nilai-nilai murni. Melalui kefahaman yang jelas terhadap konsep kokurikulum, adalah diharapkan nilai-nilai murni dapat diterapkan ke dalam kegiatan kokurikulum.  
            Negara Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Sikh. Kepelbagaian kaum ini juga mengundang kepada kepelbagaian dan keunikan budaya yang terdapat di negara kita. Kurikulum sekolah yang dibentuk dalam sistem pendidikan di negara kita adalah berorientasikan Malaysia bagi tujuan memupuk nilai-nilai murni. Namun ini bukanlah bermaksud untuk menolak atau menidakkan budaya sesuatu kaum dengan wujudnya nilai kemalaysiaan ini.
            Kurikulum ini dibentuk sebagai alat untuk menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini. Kurikulum yang terdapat dalam sistem pendidikan juga menerapakan dan mengintergrasikan nilai-nilai murni yang telah diterima oleh masyarakat di Malaysia. Malahan nilai-nilai murni yang dipilih secara khusus mengikut pelbagai budaya kaum dan bangsa di Malaysia ini. Maka dengan adanya keseragamanan nilai bagi semua murid di sekolah yang berorientasikan budaya Malaysia, maka dijangka akan dapat atau struktur yang sama bagi kefahaman budaya masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan juga fahaman.
            Pendidikan sebagai asas intergrasi juga bergantung kepada pemupukan nilai-nilai dan langkah-langkah penyebaran dan pembudayaan yang dilakukan oleh guru semasa pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  Malah dengan adanya penerapan nilai maka akan terbentuklah generasi yang mempunyai nilai-nilai yang sama melalui satu bahasa dan satu pembudayaan.   Justeru, sekolah sebagai sebuah institusi memainkan peranan yang penting dalam menerapkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. 
            Penekanan terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum merupakan satu kaedah yang berkesan dalam usaha mengasah kemahiran generik di kalangan pelajar. Aktiviti kokurikulum menjadi pelengkap kepada kitaran pendidikan yang melibatkan domain kognitif, afektif dan psikomotor yang merupakan wadah bagi pembinaan jasmani, emosi dan rohani. Di samping itu penglibatan pelajar dalam aktiviti tersebut akan dapat menerapkan beberapa elemen penting seperti disiplin kendiri, kepemimpinan, keusahawanan, kreativiti, inovasi dan kecintaan terhadap alam semulajadi. lanya juga secara tidak langsung dapat memupuk kepada pembentukan semangat kewarganegaraan, kesetiaan kepada bangsa dan negara serta integrasi nasional yang akan membantu pelajar menentukan halatuju kehidupan mereka dan masa depan negara.
            Saya melihat jika kita dapat melaksanakan aktiviti kokurikulum secara terancang dan praktikal di sekolah, kita akan dapat membantu pengembangan potensi murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Negara.  Dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kursus-Kursus Pengajian) Sekolah 1956, kegiatan kokurikulum disebut sebagai ‘kegiatan kumpulan’ yang merangkumi aktiviti seperti kelab mata pelajaran, kegiatan kesusasteraan, olah raga, permainan dan latihan.
            Secara keseluruhan ada 126 jenis kegiatan kokurikulum yang boleh dipilih pelajar merangkumi pasukan pakaian seragam sebanyak 23 jenis, persatuan dan kelab 51 jenis, persatuan sukan dan permainan 24 jenis.  Sebagai satu kegiatan kumpulan, penyertaan yang aktif boleh membantu pelajar meningkatkan kemahiran sosial (soft skills) mereka. Dengan kemahiran sosial yang baik, tahap interaksi dan integrasi di kalangan anak kita dapat dipertingkatkan lagi.  Dalam pasukan pakaian seragam misalnya, aktiviti berkumpulan ini akan meningkatkan semangat kerja berpasukan, ketahanan mental dan fizikal, semangat patriotik, tahap disiplin selain kemahiran di kalangan pelajar.  Penyertaan dalam kelab mata pelajaran pula boleh membantu mengukuhkan dan meningkatkan pengetahuan pelajar dalam pelbagai bidang.
            Peningkatan peranan kokurikulum sebagai pelengkap kepada kurikulum boleh mengelakkan kurikulum daripada terus terbeban (overloaded).  Penyertaan dalam aktiviti sukan dan permainan pula boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental, selain membudayakan cara hidup sihat. Dengan bimbingan, prasarana dan pendedahan yang mencukupi, aktiviti kokurikulum dapat meningkatkan minat, bakat, kemahiran dan semangat bersaing pelajar ke tahap kecemerlangan seperti kejayaan pasukan pancaragam Sekolah Alam Shah dan pasukan F1 Technology Challenge Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas pada peringkat antarabangsa.
            Kita juga melihat pentingnya peranan kokurikulum dalam mengeratkan perpaduan di kalangan anak kita.  Sebagai contoh, program Perancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) berasaskan pertandingan F1 in Schools dan Robotik dilihat sebagai satu aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan antara kaum di mana ahli setiap pasukan F1 in Schools dan Robotik ini terdiri daripada murid Melayu, Cina dan India. Anggota setiap pasukan terdiri daripada murid sekolah berlainan aliran (Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina atau Tamil).  Dengan adanya pendekatan ini, generasi muda negara akan lebih toleran dan reseptif dalam mengharungi kehidupan di negara majmuk seperti Malaysia.
            Saya yakin jika kita dapat merancang dan melaksanakan kegiatan kokurikulum ini dengan baik, ia boleh membantu meningkatkan bina upaya anak selain menjadikan persekitaran sekolah menyeronokkan. Para pelajar dapat meningkatkan daya kepemimpinan.  Daya kepemimpinan ini dapat dipupuk apabila seseorang pelajar dilantik sebagai ketua dalam sesuatu kegiatan.  Daya kepemimpinan ini juga amat berguna kepada para pelajar apabila sudah dewasa.  Sebagai contohnya, pelajar yang pernah memimpin sesuatu pertubuhan seperti pengakap, kadet remaja, dan sebagainya, mereka akan lebih yakin untuk menjadi pemimpin sesuatu organisasi pada suatu hari nanti.  Oleh itu, daya kepemimpinan ini haruslah dipupuk sejak awal lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
            Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum.  Ada banyak faedah kegiatan kokurikulum.   Salah satu faedah kegiatan kokurikulum ialah aktiviti itu dapat memenuhkan masa lapang. Mereka tiada masa untuk terlibat dengan gejala sosial. Mereka sentiasa sibuk dengan aktiviti di sekolah. Sebagai contoh, jika mereka aktif dalam bidang sukan, mereka akan berlatih setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. 
            Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan diperoleh daripada kegiatan kokurikulum.  Kebanyakan pelajar di sekolah lebih suka menyertai kegiatan sukan atau permainan disebabkan faktor-faktor tertentu.  Kegiatan sukan ini dapat membina stamina yang kuat serta membolehkan para pelajar mengeluarkan peluh, iaitu salah satu bahan perkumuhan manusia.  Sebagai contohnya, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina kekuatan stamina, manakala sukan catur pula akan mencerdaskan minda seseorang. Pepatah Melayu mengatakan bahawa badan sihat, otak cerdas.
            Seterusnya, kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Semangat perpaduan ini adalah amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur.  Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan.  Sebagai contohnya, pelajar berbilang kaum mewakili pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam pasukan bola sepak.  Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh bercerai roboh.
            Kegiatan kokurikulum juga dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar.  Sesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum.  Sebagai contohnya, ada pelajar yang tidak mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi setelah menyertai kegiatan kokurikulum, bakatnya terserlah dan terus bergiat dalam acara yang diminati, yang akhirnya menjadi juara di kelabnya.  Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah.  Secara tidak langsung, kejayaan pada peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya negara.
            Ko-kurikulum juga penting dalam merealisasikan FPK. Antara kepentingannya ialah untuk mewujudkan semangat kewarganegaraan dan semangat perpaduan. Apabila sesuatu aktiviti diadakan, penglibatan pelajar dari pelbagai bangsa dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Ko-kurikulum juga membantu untuk memaju dan mengembangkan bakat minat serta kemahiran murid. Sekolah yang aktif dalam bidang ko-kurikulum boleh membantu murid mengembangkan minat mereka dan mengasah bakat.
            Falsafah pendidikan kebabgsaan telah menggalakkan pelajar aktif dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Minat dan bakat murid yang diasah dan dibentuk boleh melahirkan individu yang berjaya serta membantu mengharumkan nama sekolah. Ko-kurikulum juga berperanan melatih murid mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Contohnya sekolah menganjurkan permainan kanak-kanak pada musim cuti sekolah. Aktiviti ini membolehkan pelajar mengisi masa cuti mereka di samping mengekalkan kesihatan yang baik. Selain itu, ko-kurikulum melatih murid dari segi ketahanan mental dan fizikal. Ini dapat mencapai hasrat FPK untuk melahirkan individu yang sihat dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
            Peranan sekolah dalam membentuk ko-kurikulum ialah memastikan penubuhan persatuan, kelab sukan dan permainan dan pasukan-pasukan unit-unit pakaian seragam. Sekolah juga perlu menentukan bahawa unit-unit ko-kurikulum itu berjalan dengan cergas, baik, teratur dan sempurna dengan susunan progaram yang lengkap, sesuai dan praktikal. Selain itu sekolah juga perlu menetukan perkembangan bakat dan potensi para pelajar dalam kegiatan ko-kurikulum saperti persatuan dan kelab, sukan dan permainan da juga unit berunifom.
            Bidang kokurikulum perlu diberi kedudukan yang sewajarnya, di samping memerlukan komitmen yang jitu daripada penyertaan pelajar dan guru iaitu dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat dan minat masing-masing. Jadual waktu kegiatan ko-kurikulum perlu lebig fleksibel agar tidak membebankan murid. Kad ko-kurikulum adalah penting kerana dapat mengesan dan merekodkan pencapaian pelajar sepanjang tahun penglibatannya. Data ini menjadi kriteria pemberian anugerah, sijil dan gred pelajar. Penglibatan ibu bapa, guru dan murid boleh membantu dalam membangunkan dan memajukan sekolah melalui aktiviti ko-kurikulum.
            Penyertaan maksima murid dan guru dalam aktiviti ko-kurikulum sememangnya boleh dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh oleh setiap warga sekolah. Cara dan tindakan yang sesuai perlu diambil agar murid atau guru boleh memberi sumbangan bermakna kepada sekolah. Sememangnya sokongan dan kerjasama semua pihak adalah penting dalam usaha menghasilkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
            Program kokurikulum adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kepentingan program ini juga setara dengan kepentingan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya merupakan penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja menyeronokkan malahan dapat mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar yang menyertainya.
            Kegiatan kokurikulum mampu membentuk watak dan peribadi seseorang pelajar. Antara perkembangan diri individu yang diharapkan melalui kegiatan kokurikulum ini seperti memupuk sifat kepemimpinan, membina dan membentuk sahsiah yang sihat dan seterusnya membentuk generasi yang berdisiplin. Kegiatan kokurikulum juga mampu membentuk personaliti yang positif dan rasa tanggungjawab. Penglibatan dalam persatuan, kelab dan aktiviti lain akan mengembangkan kemahiran bersosial, bercampur gaul dan berhubung mesra serta keupayaan dalam perhubungan awam yang dapat dimanfaatkan dalam masyarakat kelak. Oleh itu, watak dan peribadi pelajar haruslah dipupuk sejak awal lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
            Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan diperoleh daripada kegiatan kokurikulum. Kegiatan kokurikulum akan menyihatkan badan kerana aktiviti yang bersifat fizikal akan meningkatkan daya tahan. Kebanyakan pelajar di sekolah lebih suka menyertai kegiatan sukan atau permainan disebabkan aktiviti sukan dapat membina stamina yang kuat serta membolehkan para pelajar mengeluarkan peluh, iaitu salah satu bahan perkumuhan manusia. Murid yang aktif tidak diserang oleh penyakit dan badan yang sihat memungkinkan pebelajaran yang berkesan. Sebagai contohnya, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina kekuatan stamina, manakala sukan catur pula akan mencerdaskan minda seseorang.  Pepatah Melayu mengatakan bahawa badan cergas, otak cerdas. 
            Melalui kokurikulum, pelajar dapat memupuk semangat perpaduan. Hal ini semestinya juga akan dapat memupuk sikap bekerjasama dan toleransi dalam kalangan pelajar. Perpaduan kaum penting untuk membentuk sebuah negara yang aman damai, supaya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 tidak berulang lagi. Oleh itu, Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan.
            Kegiatan kokurikulum mengakibatkan proses integrasi berlaku dalam kalangan pelajar supaya pelajar boleh mengenali dan menghormati antara satu sama lain. Sebagai contohnya, dalam aktivitik pertandingan seperti bola sepak, kedua-dua pasukan ini bukan sahaja meliputi satu kaum sahaja malah ia juga disertai oleh pelajar dari pelbagai kaum. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh, bercerai roboh.
            Kegiatan kokurikulum juga dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar.  Sesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan pada peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya negara. Tujuan kegiatan kokurikulum adalah untuk memberi pengalaman kepada pelajar-pelajar dan seterusnya membantu mereka dalam mencapai kehidupan yang sempurna. 
          Faktor-faktor menyebabkan pelajar-pelajar dan masyarakat tidak mementingkan aktivitik kokurikulum ialah tangapan yang salah terhadap kegiatan kokurikulum. Ini adalah kerana kokurikulum bukan berbentuk akademik dan kegiatan ini tidak diberi penilaian atau gred seperti kurikulum yang berbentuk akademik dan mengutamakan sifat-sifat kognitif. Oleh yang demikian, kebanyakan ibu bapa enggan menggalakkan anak-anak mereka menceburi kegiatan kokurikulum dan sebaliknya menggunakan masa itu untuk anak mereka ke kelas tambahan, muzik dan membuat kerja sekolah.
          Dari perspektif yang lain, terdapat juga beberapa kelemahan pihak-pihak tertentu dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum ini. Mereka tidak menitikberatkan kegiatan kokurikulum dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penglibatan pihak guru dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum masih pada tahap kurang memuaskan dan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami garis panduan yang dapat dipegang sebagai landasan bagi merancang aktiviti dengan jelas selain daripada kurang kemahiran dalam aktiviti khidmat masyarakat.
          Langkah-langkah yang boleh diusaha untuk mengembangkan aktiviti kokurikulum iaitu pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling perlu memberi perhatian. Mereka tidak seharusnya berdiam diri dan menutup mata seterusnya membiarkan pelajar-pelajar tersebut terus tersesat dalam keseronokan dunia remaja tanpa pendidikan yang sempurna. Tindakan yang tegas perlu diambil oleh pihak tertentu seperti mengenakan denda kepada pelajar sekolah yang melepak dan ponteng sekolah atau mengenakan tindakan disiplin di sekolah. Dengan adanya penegasan dan perhatian sebegini, diharapkan mutu disiplin pelajar-pelajar yang bermasalah ini dapat ditingkatkan dan kegiatan seperti ‘gengsterisme’ dapat dicegah sebelum ia menjadi lebih berleluasa dan menjatuhkan imej pendidikan Negara. 
            Pelaksanaan aktiviti kokurikulum adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Penyertaan kokurikulum oleh KPM mampu menjadikan seseorang pelajar itu dapat berkembang dengan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.  Pelajar  juga perlu mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari di dalam kehidupan. Maka melalui kegiatan kokurikulum akan membuka ruang untuk pelajar menjadi insan yang berkembang secara menyeluruh.
            Kegiatan-kegiatan kokurikulum dapat menyemai perasaan muhibah, perpaduan, integrasi nasional dan nilai-nilai murni secara langsung atau secara tidak langsung.  Kepentingan program ini juga setara dengan kepentingan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya merupakan penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.  Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja menyeronokkan malahan dapat mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar yang menyertainya.
            Kegiatan kokurikulum mampu membentuk watak dan peribadi seseorang pelajar. Antara perkembangan diri individu yang diharapkan melalui kegiatan kokurikulum ini seperti memupuk sifat kepemimpinan, membina dan membentuk sahsiah yang sihat dan seterusnya membentuk generasi yang berdisiplin.
            Kegiatan kokurikulum juga mampu membentuk personaliti yang positif dan rasa tanggungjawab. Penglibatan dalam persatuan, kelab dan aktiviti lain akan mengembangkan kemahiran bersosial, bercampur gaul dan berhubung mesra serta keupayaan dalam perhubungan awam yang dapat dimanfaatkan dalam masyarakat kelak. Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan diperoleh daripada kegiatan kokurikulum.
            Kegiatan kokurikulum akan menyihatkan badan kerana aktiviti yang bersifat fizikal akan meningkatkan daya tahan fizikal dan mental. Namum acuan keagamaan perlu menjedi teras dan landasan yang unggul dalam perlaksanaan kokurikulum di sekolah. Kepincangan akibat desakan agenda songsang individu terbabit akan mewujudkan budaya dan etika yang merugikan pelaburan dan harapan semua pihak.
            Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan. Sebagai contoh, jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Ahli jawatankuasa juga belajar menguruskan aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin. 
            Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Sebagai contoh, apabila hendak menjalani latihan sukan atau bahas, kita mesti menepati masa. Jika terlewat, kita akan rugi. Hal ini kerana masa latihan itu sudah dibazirkan. Dengan menepati masa, kita sudah mematuh disiplin. Oleh itu, kita akan menjadi lebih berdisiplin apabila terlibat dengan kegiatan kokurikulum. 
            Tambahan pula, badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum. Kita boleh menjadi ahli kelab sukan seperti pasukan bola sepak dan pasukan bola tampar. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Sekurang-kurangnya latihan itu dijalankan tiga kali seminggu. Dengan latihan itu kita akan menjadi cergas. Kita akan mengeluarkan peluh. Badan kita akan menjadi sihat dan kuat. Kita tidak akan mudah sakit. 
            Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Ada yang berbangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Mereka boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama mereka. 
            Oleh itu, dengan kegiatan kokurikulum, perpaduan kaum dapat diwujudkan. Jelaslah bahawa, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.
            Kesimpulannya, program kokurikulum di sekolah bukanlah sesuatu yang baru dalam aktiviti pendidikan pelajar. Pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.



No comments:

Post a Comment