Sunday 30 June 2013

Kasih sayang Allah. Sejauh manakah ukurannya?



Kasih sayang Allah.
Sejauh manakah ukurannya
?

 

Kita hidup sebagai manusia dia atas muka bumi Allah ini kadang-kadang kita pernah  di hina oleh manusia kerana itulah lumrah kehidupan seorang manusia.  Allah menciptakan lidah manusia tidak bertulang namun kadang-kadang lidah itu boleh menjadi sangat tajam daripada tulang apabila tidak dilembutkan dengan iman dan takwa kepada Allah.  Janganlah kita mudah jatuh akibat kata-kata buruk yang dilemparkan kepada kita, sebaliknya kita hendaklah pasrah dan redha serta berusaha memajukan diri daripada pelbagai aspek supaya tidak di pandang rendah oleh orang lain.  Sedangkan rasulullah lagi pernah dihina manusia apatah lagi kita sebagai manusia yang sentiasa melakukan kesilapan.

            Cukuplah Allah S.W.T sebagai tempat pengharapan kepada kita yang Maha Menyayangi, Maha Mengasihi dan Maha Merahmati.  Jika ada yang mengeji, mengadulah kepada Allah.  Jika ada yang membenci, harapkanlah kasih sayang Allah.  Jika ada yang menjauh, yakinlah bahawa Allah sentiasa mendekati daan merahmati kita.

            Ada satu hadis yang menarik perhatian saya yang membuatkan saya berasa termotivasi apabila mendengarnya.

            Imam Muslim meriwayatkan melalui Abu Hurairah r.a berkata nabi s.a.w bersabda yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat.  Diturunkan satu rahmat daripadanya (dan diberikan) kepada jin, manusia, binatang ternakan dan binatang berbisa.  Maka dengannya mereka saling berbelas kasihan dan saling merahmati.  Dengannya juga binatang buas mengasihi anaknya.  Allah S.W.T mengakhirkan (menangguhkan) 99 rahmat (yang berbaki) untuk dia merahmati hambanya dengan rahmat itu pada hari kiamat.

            Subhanallah, lihatlah, tiada siapa yang dapat menandingi betapa luasnya kasih sayang Allah kepada manusia.  Allah memberikan rahmat dan kasih sayang kepada sesiapun tanpa mengharapkan balasan.  Berbeza dengan makhluk yang mengasihi manusia yang lain agar turut dikasihi.  Sabda nabi s.a.w yang bermaksud.

            “ sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak akan dikasihi”

            Kasih sayang makhluk mempunyai sempadan,had dan harapan disebaliknya.  Berbeza sekali kasih sayang Allah tidak bertepi apatah lagi bersempadan.  Bahkan turut tidak sama seperti kasihnya seorang ibu terhadap anaknya.

            Pernah terjadi pada zaman rasulullah, seorang wanita yang menjadi tawanan perang telah buntu fikirannya untuk mencari anaknya yang telah hilang.  Jadi, untuk mengubat kerinduannya itu, setiap kali dia melihat kanak-kanak ditempat tawanan perang tersebut dia akan menimang dan menyusukan kanak-kanak tersebut.  Setelah itu lantas rasulullah bertanya  kepada para sahabat baginda:

“ Adakah kamu semua fikir wanita itu sampai hati unuk mencampakkan anaknya kedalam api?” Jawab para sahabat : “Tentu sekali tidak.” Rasulullah bersabda: “Allah lebih kasih kepada hambanya melebihi kasih ibu itu kepada anaknya.”

            Tiada siapa yang mampu memberikan kasih sayang seumpama Allah berikan kepada makhluknya. Kita dapat lihat betapa luasnya kasih sayang Allah dengan berterusannya nikmat dan kurniaan Allah kepada hambanya walaupun mereka melakukan sebesar-besar dosa dan maksiat.

            Orang kafir yang ingkar di dunia, yang tetap hidup senang dengan kemewahan dunia yang sementara adalah atas rahmat Allah.

            Orang islam yang turut mendapat kesenangan di dunia walaupun bergelumang dengan maksiat juga  adalah dengan sebab kasih sayang Allah.

Persoalannya? Adakah kasih sayang Allah diukur dengan kesenangan dunia?

            Makhluk yang mendapat kesenangan di dunia bukanlah menjadi ukuran bahawa mereka sahaja yang mendapat rahmat Allah. Manakala yang hidup susah di dunia bukanlah bermaksud bahawa Allah tidak mengasihi mereka.

            Tidakkah para nabi dan rasul adalah kekasih Allah?  Merekalah yang paling banyak menghadapi cabaran dan kesusahan sepanjang perjalanan hidup mereka, namun mereka jugalah yang paling banyak mendapat rahmat Allah sehingga menjadi kekasihnya.

            Kadangkala ujian dan cabaran yang kita hadapi merupakan tanda kasih sayang allah secara hakikatnya, walaupun tidak nampak secara zahirnya.  Apabila kita diuji, kita menjadi calon ahli yang mendapat kebaikan daripada Allah sebagaimana sabda nabi s.a.w yang bermaksud:

            “ Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan kepadanya, dia akan diuji daripada nya.”
            Kadangkala kita berdepan dengan situasi yang sempit dengan masalah, maka ketika itulah pengharapan kepada Allah amatlah tinggi dan menebal didalam hati manusia.

            Sebenarnya, secara tidak sedar, kita melalui proses untuk menjadi orang beriman yang sebenar kerana orang yang beriman akan diuji oleh Allah s.w.t.  maka, menjadi pilihan Allah untuk menjadikan kita dekat kepadanya sebagai tanda kasih dan sayangnya Allah terhadap kita.

            Di dalam Al Quran terdapat banyak ayat yang menyebut nama Allah dengan al-rahman dan al-rahim.  Kedua-dua nama ini menunjukkan maksud yang hampir sama iaitu maha memberikan rahmat.  Kasih dan sayang amat berkait rapat dengan sifat rahmat.

            Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih Al Ghayb menghuraikan ayat ketiga dalam surah Al Fatihah telah mendatangkan dua kisah yang amat menarik berkaitan dengan sifat dan kasih sayang Allah.

KISAH PERTAMA

            Kisah ini berkaitan dengan pengalaman Ibrahim Bin Adham iaitu seorang sufi yang terkenal.

            Ibrahim Bin Adham menceritakan bahawa suatu hari beliau pernah dihidangkan makanan berupa roti oleh satu kaum yang beliau kunjungi.

            Ketika beliau hendak menyuap ke dalam mulutnya, tiba-tiba datang seekor gagak mengambil roti itu.  Dia berasa hairan kerana gagak itu begitu berani mengambil rotinya daripada tangan manusia lantas dia segera mengikut ke mana gagak tersebut pergi.  Tidak berapa jauh dari situ, gagak itu tiba-tiba menjatuhkan makanan yang diambilnya itu ke sebuah tempat yang agak tinggi.  Dia pun bersegera ke tempat itu.  

            Apabila Ibrahim sampai ke tempat itu, di sana beliau melihat roti itu dijatuhkan kepada seorang pemuda yang sedaang dalam keadaan terikat kedua-dua tangannya.
 
            Mahasuci Allah daripada segala kekurangan dan bersifat dengan al-rahman dan al-rahim  yang telah menggerakkan gagak ini untuk membantu hambanya yangtidak mampu berbuat apa-apa.

KISAH KEDUA

            Kisah kedua pula berkaitan dengan pengalaman seorang sufi yang bernama Zunnun al-misri.  Suatu hari, hati dia berasa tidak tenang, lantas dia keluar dari rumah menuju ke tebing sungai Nil untuk menghilangkan kegelisahan hatinya.  Tiba-tiba dia melihat seekor kala jengking berjalan menuju sungai Nil.

            Dia mengekori arah jalan kala jengkig itu.  Apabila sampai di tepi sungai Nil, kelihatan seekor katak seolah-olah sedang menunggu kala jengking tersebut.  Kal jengking it uterus melompat ke belakang katak tersebut dan katak tersebut mengendongnya ke seberang Sungai Nil.  Zunnun segera mengikutinya dengan menggunakan sebuah kapal kecil.
            Disana, dia telah menyaksikan kejadian yang menakjubkan.  Dia sedang melihat seorang anak muda yang sedang tidur  di bawah pokok dan ada seekor ular hendak menyerangnya.  Kala jengking yang dibawa oleh katak tadi terus turun dan melompat kearah ular tersebut.  Lalu terjadilah perrtarungan antara kedua-dua makhluk tersebut.  Akhirnya, kala jengking dan ular itupun mati dan si anak muda tetap tidur nyenyak.
Kisah ini telah diceritakan oleh Imam Fakhruddin al- Razi dalam kitab tafsirnya.  Kisah ini  telah memberi isyarat kepada kita bahawa rahmat dan kasih sayang Allah amatlah luas tidak kiralah sama ada manusia merasai dan menyedarinya ataupun langsung tidak menyedarinya.


Jadi, bagaimanakah Allah S.W.T mengasihi hambanya?

            Antara bentuk kasih sayang Allah kepada hambanya ialah halal dan haram sesuatu perkara.  Setiap suruhan dan tegahan Allah juga merupakan tanda begitu kasih dan sayangnya Allah supaya tidak terjerumus dengan tipu daya syaitan yang menyesatkan.

            Setiap anggota badan yang ada ditubuh manusia terutamanya akal adalah nikmat Allah yang tidak dapat dihitung dan dibalas.  Melalui pancaindera yang dikurniakan inilah manusia menjadi makhluk yang terhormat daripada makhluk yang lain.

            Islam dan iman merupakan nikmat yang terbesar yang kita perolehi.  Bayangkan orang kafir yang melakukan kebaikan sebesar gunung, tidaklah dinilai disisi Allah berbanding dengan kebaikan orang yang beriman walau sebesar kuman sekalipun, akan dibalas dengan kebaikan yang setimpal.

            Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa hambanya walaupun dosanya menjangkau seluas langit dan bumi.

            Bahkan setiap kebaikan yang dibuat akan akan dibalas dengan 10 pahala.  Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

            “Sesiapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) 10 kali ganda amalnya.  Sesiapa yang membawa perbuatan jahat, maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengaan kejahatannya, sedang mereka sedikitpun tidak dizalimi (dirugikan).  Surah al-an’am ayat 160.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kasih sayang Allah?

            Konsep give and take perlulah disebatikan dalam jiwa setiap insan.  Kita perlu kembali kepada hadis yang selalu kita dengar, dalam riwayat al-bukhari dan muslim, nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

            “sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak akan dikasihi.”

            Walaupun hadis ini berlatarbelakangkan nasihat Rasulullah s.a.w kepada al-Aqra’ bin Habis r.a agar menyayangi 10 orang anaknya, namun begitulah  juga caranya untuk mendapatkan kasih sayang Allah s.w.t.  kita hendaklah terlebih dahulu cinta kepada Allah agar kasih sayang-Nya  dapat digapai.