Sunday, 26 April 2015

Langkah mengatasi cabaran dalam mengeratkan hubungan etnik di Malaysia

3.1 Memperbaiki dasar pendidikan negara untuk membangunkan ekonomi kaum.

Dasar Pendidikan negara perlulah dirancang dan dilaksanakan dengan matlamat untuk melahirkan individu yang berilmu dan berkemahiran yang akhirnya mampu untuk bersaing dalam pelbagai bidang pada masa akan datang terutamanya bidang ekonomi.  Dalam sudut ekonomi ini, jurang ekonomi yang jauh berbeza antara kaum di negara ini menyulitkan kerajaan mencapai agenda perpaduan.  Melalui pendidikan, pengenalan identiti kaum mengikut jenis pekerjaan juga dapat dihilangkan. Untuk menilai sama ada berjaya atau tidak  matlamat dan hasrat kerajaan, ianya boleh dilihat dari sudut kejayaan mengurangkan jurang ekonomi di antara kaum dan kejayaan menghapuskan pengenalan identiti kaum melalui bidang ekonomi.

            Kita juga memahami bahawa jurang ekonomi yang besar akan menyukarkan agenda perpaduan dan integrasi kaum. Di negara ini, kaum Cina mendominasi bidang ekonomi. Keadaan ini menimbulkan rasa iri hati kaum lain terhadap kaum Cina. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan melalui dasar pendidikan hendaklah melahirkan ramai golongan terpelajar dalam bidang ekonomi. Justeru itu, ia akan membawa kepada kemunculan individu-individu daripada pelbagai kaum untuk menyaingi kaum cina dalam bidang ekonomi khususnya bidang perniagaan.

            Pada masa yang sama, kerajaan perlu memikirkan satu cara untuk meletakkan murid-murid daripada pelbagai kaum disatu sekolah yang sama supaya matlamat dasar pendidikan iaitu untuk menyatu dan mengintegrasikan kaum dapat dicapai. Penempatan murid daripada pelbagai kaum dalam satu sekolah atau kawasan mungkin dapat dilaksanakan sekiranya selepas kemerdekaan, kerajaan dapat mengubah keadaan ekonomi iaitu mewujudkan pelbagai pekerjaan yang menghapuskan pengenalan kerja mengikut kaum.

            Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa, dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan boleh membantu melahirkan golongan yang terpelajar dan berilmu daripada pelbagai kaum. Golongan terpelajar ini pastinya berupaya merubah corak kehidupan dan ekonomi di negara ini. Tiada lagi monopoli ekonomi oleh suatu kaum sahaja, bahkan ekonomi Malaysia terbuka luas untuk diterokai oleh semua kaum. Melalui corak ekonomi yang lebih terbuka ini, jurang ekonomi di antara kaum dapat dikurangkan.

 3.2       Menjadikan aktiviti sukan sebagai agen pengerat hubungan antara etnik

Negara kita telah mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Contohnya sukan skuasy,  badminton, bola sepak dan sebagainya. Pelbagai lapisan masyarakat dan kaum telah menunjukkan semangat patriotik dengan bersatu memberikan sokongan kepada ahli-ahli sukan negara dan juga peserta-peserta yang terlibat. Kemenangan sama-sama diraikan dan kekalahan turut sama dirasai. Ini menunjukkan kejayaan aktiviti sukan dan permainan dalam institusi pendidikan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang. 

            Usaha kerajaan mencapai perpaduan melalui ko-kurikulum di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi menampakkan hasil yang positif. Melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti kebudayaan, keseniaan dan sukan, ianya menampakkan semangat perpaduan yang positif diantara pelajar-pelajar pelbagai kaum. Aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan membangkitkan semangat tolong-menolong, semangat setiakawan dan saling percaya-mempercayai di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terlibat. Penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang ko-kurikulum akan melahirkan individu pelajar yang berfikiran terbuka dan matang dalam perhubungan dan bersosial.

            Melalui ko-kurikulum, bakat murid dapat diasah dan diperkembangkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi.  Malah, minat murid dalam bidang sukan dan kesenian dapat ditanam dan diperkembangkan.  Kejayaan seperti ini pastinya menjadikan kerajaan lebih ghairah dalam memperkenalkan dasar baru agar semua murid terlibat dalam aktiviti sebegini. Penubuhan sekolah sukan dan sekolah seni merupakan antara titik tolak usaha kerajaan dalam memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia. Dasar 1 Murid 1 Sukan juga telah dilaksanakan bermula tahun 2011 untuk memastikan perpaduan kaum dapat dicapai.

3.3       Penerapan kewujudan pelbagai etnik dalam subjek PSV

Dalam subjek pendidikan seni, murid-murid dididik supaya meminati seni dari peringkat sekolah rendah lagi. Melalui kesenian, murid-murid diajar tentang kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Malaysia. Pendidikan kesenian ini akan membuka dan mematangkan minda murid-murid. Mereka boleh menerima dan akan menghormati budaya orang lain. Minat yang disemai dari peringkat awal lagi akan melahirkan insan-insan seni dalam pelbagai bidang seperti seni lakonan, seni tarian, nyanyian, seni lukis  dan sebagainya.

             Insan-insan seni yang memahami kebudayaan dan sensitiviti bangsa lain akan melahirkan karya-karya yang bercorak perpaduan. Melalui karya-karya sebegini, ia akan membantu membuka minda individu lain ke arah kecemerlangan perpaduan. Sebagai contohnya seorang pengarah filem menghasilkan filem yang bercorak patriotik akan memberi kesan yang positif dan prasangka baik di kalangan penonton.

3.4       Perkahwinan campur

Perkahwinan berlainan bangsa bukan lagi menjadi perkara baru bahkan kebanyakkannya direstui oleh keluarga kedua-dua pihak. Senario ini banyak berlaku di negeri Sabah yang mana bilangan etniknya berjumlah 42 etnik. Jika pada suatu masa dahulu perkahwinan sebegini boleh menimbulkan persengketaan antara kedua-dua etnik, tetapi pada masa kini ianya sudah menjadi kebiasaan hasil daripada sifat tolak ansur dan menghormati antara satu sama lain.

            Pelbagai kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia mula difahami dan diterima oleh kaum lain selagi ianya tidak menyebabkan kehilangan identiti asal kaum. Sebagai contoh, budaya bertukar-tukar makanan di kalangan jiran, sambutan perayaan bersama-sama, pemberian duit raya dan sebagainya

3.5       Menjadikan guru sebagai agen penyemai perpaduan kaum

Guru merupakan agen kerajaan untuk menyampaikan dan melaksanakan dasar pendidikan kepada murid dan masyarakat.  Aspek guru juga menjadi cabaran untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum. Guru perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup dan lengkap untuk menghadapi pelbagai situasi di sekolah dan masyarakat sekitarnya.  Malah, guru perlu memahami misi, objektif dan matlamat akhir sesuatu dasar pendidikan supaya hasrat perlaksanaan sesuatu dasar itu terlaksana.

            Jika seseorang guru itu cetek ilmu dan malas untuk mengambil tahu isu semasa, ia akan menimbulkan masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya membawa murid-murid ke arah matlamat yang salah menyebabkan salah satu matlamat iaitu mencapai perpaduan dan integrasi antara kaum tidak dapat dicapai.

            Jelaslah bahawa, pihak kerajaan perlu memberi latihan dan kefahaman kepada setiap guru apabila melaksanakan sesuatu dasar yang baru supaya segala perancangan mengikut landasan yang betul dan generasi yang akan datang lahir sebagai individu yang mempunyai sifat cinta dan membudayakan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat.

3.6       Media massa memberi pendedahan kebudayaan dalam pelbagai etnik

Media massa bukan hanya membekalkan fakta dan data tertentu. Ia juga memberikan maklumat tentang matlamat, maksud dan kesignifikanan sesuatu peristiwa.  Media massa ini pula perlu peka dalam menyampaikan sesuatu dasar, lebih-lebih lagi jika isu tersebut menyentuh isu-isu sensitif supaya tidak menimbulkan konflik dikalangan masyarakat. Melalui matlamat yang tepat, masyarakat akan dapat memahami kehendak dan matlamat kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar. 

3.7       Bersifat Setia dan cinta akan negara 

Setiap daripada kita hendaklah berbangga menjadi rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit, bahasa dan kepercayaan.  Semua rakyat perlu mempertahankan nama baik negara dan berusaha untuk mengharumkan nama negara. Dengan memiliki sikap berbangga sebagai rakyat Malaysia, kita akan sentiasa berusaha mengekalkan hubungan kita dengan rakyat Malaysia yang lain, walaupun berlainan kaum, kebudayaan dan kepercayaan. Pendek kata, sikap ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ perlu diamalkan dan dijiwai sepenuhnya.

            Setiap daripada kita haruslah mempunyai sifat setia dan sayang akan negara dengan menghormati  dan menunjukkan taat setia kepada raja dan para pemimpin negara. Selain itu, kita juga mesti sayang dan hormat kepada lambang-lambang negara kita seperti Jalur Gemilang, Lagu Negaraku, Parlimen, Rukun Negara dan institusi lain yang berkaitan. Elakkkan sikap yang boleh menghina, menjejaskan dan menimbulkan provokatif terhadap lambang-lambang negara kita kerana ini akan memperlihatkan sejauh mana sikap patriotisme kita sebagai warganegara Malaysia.

3.8       Bersikap Kekitaan 

Dalam kehidupan seharian, kita hendaklah menunjukkan keikhlasan kita dalam menjalin hubungan dengan jiran dan anggota masyarakat yang berbeza warna kulit, kebudayaan dan agama. Dengan mengamalkan sikap kekitaan sesama kita, kita sebenarnya mewujudkan satu suasana hidup yang baik dan boleh menguntungkan kita semua di samping dapat memelihara soal keselamatan hidup setempat. Kesediaan kita dalam mengamalkan sikap kekitaan ini akan menjadi contoh yang baik kepada generasi muda hari ini dan mereka juga akan terdorong untuk mengamalkannya. Hal ini tentunya akan dapat menjalin semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat di negara ini. Lama kelamaan benteng prasangka dan prejudis yang bersarang di dada kita tentunya dapat dirobohkan.

3.9       Menjadikan rukun negara sebagai panduan 


Pematuhan terhadap peraturan, undang-undang dan rukun negara, menunjukkan kita bersedia bersikap adil terhadap kaum lain dan menghormati amalan dan kepercayaan mereka serta hak mereka untuk hidup di negara ini.  Kita hendaklah menunjukkan bahawa kita mahukan yang terbaik untuk kaum lain sebagaimana kita mahukan yang terbaik untuk diri kita. Hal ini akan mendorong kita untuk lebih  bersikap bertolak ansur dan cuba memahami hak kaum lain. Kita tidak akan memperjuangkan hak untuk kaum kita semata-mata dengan menindas atau membelakangkan hak yang sepatutnya turut diterima oleh kaum lain. Kita juga akan sentiasa bersedia untuk berkongsi dalam sesuatu perkara yang dibenarkan oleh budaya kita tanpa mengorbankan prinsip undang-undang dan keadilan selaras dengan prinsip rukun negara.

No comments:

Post a Comment