Wednesday 26 February 2014

Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Sarawak, SEKOLAH PEDALAMAN PERTAMA di Malaysia yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi

 

Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Sarawak.

            SK Ulu Lubai adalah sekolah pedalaman pertama di negara ini diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. SK Ulu Lubai membuktikan bahawa berada di luar bandar bukanlah halangan mencapai kejayaan. Walaupun keadaan sekolah yang sederhana dan bangunan kayu, sekolah ini menunjukkan pencapaian akademik yang amat cemerlang apabila Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga kini dan sentiasa menjadi sekolah terbaik di Sarawak. Menduduki tempat ke-54 pada 2009 dan melonjak naik ke tempat pertama pada 2010 merupakan satu kebanggaan bagi semua warga sekolah tersebut.

            Selain daripada itu, SK Ulu Lubai juga memenangi dua anugerah pada peringkat antarabangsa iaitu johan anugerah Commonwealth Education Good Practice Awards 2009, finalis Commonwealth Education Good Practice Awards 2009 yang dianugerahkan Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia.

            Tidak cukup dengan itu, sekolah ini juga merangkul lima anugerah di peringkat kebangsaan, 14 di peringkat negeri dan 46 di peringkat bahagian dan daerah. Di samping itu SK Ulu Lubai juga aktif dalam mewujudkan program jalinan dan jaringan dengan institusi luar negara pada 2009 dan 2010 membabitkan Universiti Bristol United Kingdom (UK), Jin Shan Primary School Singapore, Kingsford Community School UK dan Deptford Green School UK.




Friday 7 February 2014

Lima Unsur Yang Menyebabkan Sesuatu Bisnes Menjadi Haram


Lima Unsur Tersebut ialah :

1.JUDI

  • “Wahai orang beriman, sesungguhnya khamar, berjudi, sembelihan untuk berhala, mengundi nasib dengan panah ialah perbuatan keji, termasuk amalan syaitan.  Maka, jauhilah.  Agar kamu mencapai kejayaan”

(Surah Al-maidah 5:90)

2.HARAM

  • Syariat telah mengharamkan beberapa barangan daripada jual beli seperti arak, bangkai dan sebagainya.  Islam juga telah mengharamkan beberapa cara jual beli seperti jual beli dua akad jenis jual beli dalam satu, jual beli daripada orang yang tidak waras dan sebagainya.


3.RIBA

  • “satu dirham hasil riba yang dimakan oleh seseorang dalam keadaan mengetahui bahawa itu ialah riba, dosanya lebih besar daripada berzina sebanyak 36 kali.”

(Riwayat Ahmad)

4.GHARAR

  • Gharar bermaksud samar-samar atau tidak jelas.  Unsur ini akan wujud dalam bisnes yang berorientasikan penipuan.“Siapa yang memperdaya kami, dia bukanlah daripada kalangan kami (orang beriman)!”

(Riwayat Muslim)

5.ZALIM

  • Sekalipun satu-satu bisnes itu cukup syaratnya dari segi hukum, ia tetap haram sekiranya jelas ada kesan menganiaya orang lain.



Thursday 6 February 2014

Hikmah amalan hibah dan Cadangan Bagi Meluaskan kefahaman Masyarakat Mengenai Hibah


2.2 HIKMAH AMALAN HIBAH
Hibah disyari’atkan dalam Islam dengan galakan yang mendalam adalah untuk memaut hati kalangan masyarakat Islam itu sendiri sesama mereka dan memperdekatkan perasaan kejiwaan sesama manusia yang hidup dalam masyarakat Islam atau di luar masyarakat Islam. Keistimewaan hibah ini ialah ianya boleh dilakukan kepada orang yang bukan Islam sekali pun, bahkan kepada musuh-musuh yang membenci Islam apabila diketahui lembut hatinya apabila di’beri’kan sesuatu. Hibah ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang berkesan memupuk rasa hormat, kasih sayang, baik sangka, toleransi, ramah mesra dan kecaknaan dalam kehidupan sosial sesebuah negara. Secara ringkasnya, hikmah hibah ini boleh dirumuskan dalam perkara berikut (tanpa menghadkan kepada perkara di bawah) :
a)    Melunakkan hati sesama manusia.
b) Menghilangkan rasa segan dan malu sesama jiran, kawan, kenalan dan ahli masyarakat.
c)    Menghilangkan rasa dengki dan dendam sesama anggota masyarakat
Menimbulkan rasa hormat, kasih sayang, mesra dan tolak ansur sesama ahli setempat.
d)    Meningkatkan citarasa kecaknaan dan saling membantu dalam kehidupan.
e)   Memudahkan aktiviti saling menasihati dan pesan-memesan dengan kebenaran dan kesabaran.
f)      Menumbuhkan rasa penghargaan dan baik sangka sesama manusia.
g)    Mengelak perasaan khianat yang mungkin wujud sebelumnya.
h)    Meningkatkan semangat bersatu padu dan bekerjasama
i)     Dapat membina jejambat perhubungan dengan pihak yang menerima hibah.
2.3 Cadangan Bagi Meluaskan kefahaman Masyarakat Mengenai Hibah
Aspek amalan dalam berhibah terlalu janggal di kalangan masyarakat Islam. Akhir-akhir ini barulah hibah diwar-warkan ke dalam masyarakat, namun pelaksanaan belum lagi menjadi rutin dan membudaya di kalangan dermawan. Justeru itu, dicadangkan beberapa aktiviti berikut dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat Islam :
a)    Majlis kefahaman hibah dibuat pada setiap masjid dan surau yang ada melalui para imam yang bertanggungjawab di masjid dan surau tersebut.
b)  Mengeluarkan silsilah khutbah jumaat secara bersiri sehingga dipercayai konsep hibah telah difahami.
c)    Menggalakkan masyarakat Islam memperuntukkan 2.5 % daripada pendapatan kasar untuk dihibahkan kepada sesiapa yang berpatutan pada setiap bulan.
d)  Menganjurkan majlis-majlis penyampaian hibah daripada dermawan kepada penerima yang berkelayakan.
e)    Memasukkan tajuk-tajuk pengurusan harta terutama hibah ke dalam kurikulum dasar pelajaran negara.
f)      Mengadakan forum keistimewaan hibah di setiap parlimen seluruh negara.
Menulis maqalah ringkas tentang hibah dan diedarkan melalui akhbar akhbar yang laris dan menyeluruh.
g)    Memberi sumbangan hibah kepada tokoh-tokoh sebagai pengenalan amalan hibah.


HIBAH DI MALAYSIA


2.1  HIBAH DI MALAYSIA

Di Malaysia, tiada peruntukan khusus mengenai undang-undang hibah yang dikanunkan.  Ini bermakna Dewan Perundangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) tidak pernah meluluskan statut khusus mengenai hibah orang Islam untuk dilaksanakan di Mahkamah-mahkamah Syariah. Setakat yang ada hanyalah peruntukan yang menjelaskan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenainya termasuk dalam Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa:

            “Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan mewarisi harta berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, pelantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya dalam Negeri; adat istiadat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, mengadakan dan menghukum kesalahan kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu”.

            Peruntukan di atas menunjukkan bahawa hibah adalah sebahagian daripada perkara negeri yang diletakkan di bawah pentadbiran agama Islam di setiap negeri dan secara langsung ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sehubungan itu, Seksyen 46(2)(b)(v) dan (vi), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan: Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-

mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dalam bidang kuasa malnya, dan yang berhubungan
dengan-
  •  wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;
  • alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;

            Penggunaan perkataan “alang” sama ada semasa marad-al-maut atau semasa hidup dan “penyelesaian yang dibuat tanpa balasan” adalah merujuk kepada hibah atau pemberian.  Penggunaan perkataan yang sama dapat dilihat di negeri-negeri lain seperti Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak.   Sementara itu, Negeri Sembilan menggunakan perkataan “hibah”, Pahang dan Perlis menggunakan perkataan “pemberian” dan Kelantan menggunakan perkataan “alang hayat”

            Daripada peruntukan di atas, didapati pelaksanaan hibah bukan sahaja diperuntukkan di dalam undang-undang di Malaysia semasa hidup pemberi hibah, malah hibah semasa marad al-mawt juga ada diperuntukkan. Kes-kes hibah di Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia, selalunya melibatkan pengesahan hibah, pertikaian takat atau kadar hibah dan penarikan balik hibah. 

            Dalam kes Harun bin Muda dan Lain-lain lwn. Mandak binti Mamat dan Lain-lain [1999] XIII(I) JH 63, melibatkan kes pertikaian takat hibah yang dikemukakan oleh plaintif ke atas sebidang tanah. Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh plaintif adalah antara lain, untuk mengesahkan bahawa tanah tersebut sebagai pemberian hibah si mati (Muda bin Tahir) kepada mereka.

            Di samping itu, tuntutan juga dibuat supaya mahkamah mensabitkan bahawa tanah itu menjadi milik sah plaintif-plaintif berdasarkan takat yang telah disebutkan. Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah memutuskan bahawa tuntutan plaintif-plaintif mengenai takat keluasan masing-masing yang dinyatakan di atas tanah tersebut adalah benar dan berpuashati di atas kebenaran tuntutan itu lalu memberikan keputusan bahawa telah sabit hibah si mati kepada plaintif-plaintif.

            Dalam kes di atas juga, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu berpendapat bahawa berlakunya hibah walaupun qabul berlaku secara perbutan iaitu selepas berlakunya ijab harta itu telah dimajukan atau diusahakan atau dimanfaatkan oleh defendan. Sebaliknya, dalam kes Salmiah binti Che Mat lwn Zakaria bin Hashim [2001] XIV JH 79 Mahkamah Rendah Syariah Bukit Mertajam Pulau Pinang berpendapat bahawa hibah tidak sah walaupun qabul kepada ijab sudah berlaku secara perbuatan.

            Dalam penghakiman kes ini, Mahkamah telah mengemukakan beberapa soalan. Isu pertama yang dibangkitkan ialah apakah dalam kes ini telah terlaksana dengan sempurna rukun-rukun hibah. Mahkamah mendapati bahawa rukun pemberi hibah, penerima hibah dan barang yang dihibahkan telah mencukupi syarat-syarat yang telah dikehendaki oleh hukum syarak. Namun demikian, bagi rukun sighah pula Mahkamah mendapati bahawa ia belum terlaksana dan belum sempurna, yang berlaku hanyalah ijab daripada Che Mat sahaja dan tidak ada qabul daripada defendan sama ada secara lisan atau tulisan. Dengan demikian, Mahkamah berpendapat hibah Che Mat kepada defendan tidak sah oleh sebab rukun sighah belum terlaksana dan belum sempurna.

            Dalam kes ini, jelas bahawa Mahkamah tidak mengiktiraf penggunaan dan pembangunan yang telah diusahakan ke atas tanah tersebut oleh defendan dengan mendirikan sebuah rumah sebagai qabul. Namun demikian, antara alasan lain Mahkamah tidak mengesahkan hibah tersebut ialah kerana penggunaan dan pembangunan yang diusahakan ke atas tanah tersebut dilakukan sebelum keizinan diberi oleh pemberi hibah. Ini kerana menurut pendapat mazhab Syafie dan Hanbali, syarat pengambilan barang/harta yang dihibahkan adalah dengan keizinan pemberi hibah.

            Sementara dalam kes Eshah binti Abdullah dan Lima Yang Lain lwn Che Aminah binti Abdul Razak dan Dua Yang Lain [2004] XVIII(I) JH 47, isu yang timbul ialah adakah qabul disyaratkan secara terang dan jelas selepas pemberian atau cukup dengan qarinah-qarinah lain yang membuktikan adanya penerimaan. Dalam kes ini, pemeberi hibah telah meninggal dunia dan tidak ada penarikan balik hibah. Hibah tersebut juga telah disaksikan oleh saksi saksi, namun bangunan yang dipertikaikan sebagai harta hibah masih menggunakan nama si mati.

 Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu telah menerima rayuan yang dibuat oleh perayu-perayu berdasarkan kepada qarinah penerimaan daripada penerima, di mana ketigatiga penerima hibah mengaku bahawa mereka telah menerima hasil sewaan bangunan tersebut sejak si mati masih hidup. Apa yang menarik dalam kes ini ialah pandangan Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu iaitu:

Diandaikan jika pemberian tersebut telah bertukar kepada nama penerima-penerima, kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa kepada mahkamah, kerana segala-galanya telah jelas dan tercatat dalam dokumen”.

            Berdasarkan kepada keterangan kes-kes di atas dan banyak lagi kes-kes yang lain, sesuatu hibah boleh dicabar di Mahkamah Syariah, tidak kira sama ada is dibuat secara lisan atau bertulis dalam bentuk dokumen oleh individu atau peguam. Bagaimanapun, ia hanya boleh dicabar atau dipertikaikan dari sudut sahnya mengikut hukum syarak atau ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu selepas kematian pemberi hibah.
            Kini setelah muncul pelbagai agensi yang terlibat dalam soal penulisan hibah maka dengan itu timbul pelbagai cara yang dilakukan oleh agensi-agensi berkenaan dalam memperkembangkan ruang lingkup hibah seperti trust hibah. Trust hibah ialah kacukan antara hibah dan amanah. Ia adalah pemberian harta oleh seseorang atas dasar kasih saying yang berlaku ijab dan qabul pada masa hayat pemberi hibah. Harta hibah tersebut akan dipegang oleh pemegang amanah dan diserahmilikkan kepada penerima selepas kematian pemberi hibah atau menurut persetujuan pihak-pihak berkenaan. Begitu juga dengan hibah yang dibuat oleh pemberi hibah untuk memastikan dia masih menguasai hartanya tersebut kerana dia khuatir mungkin penerima akan mengabaikannya apabila semua harta telah dihibahkan.

            Maka dalam hal ini pemberi hibah telah membuat satu perjanjian asing di luar
akad yang memberi hak kepada pemberi mengurus dan menggunakan harta tersebut sehinggalah dia meninggal dunia.  Apa yang dinyatakan di atas adalah lebih hampir dengan apa yang dikatakan hibah ‘umra dan hibah ruqba.

            Dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-56 pada 5 Oktober 2000 memutuskan bahawa perletakan syarat adalah dibenarkan di antara pemberi dan penerima hibah setelah berlaku ijab dan qabul. Begitu juga dengan keputusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti dalam mesyuarat ke-44 pada 15 Januari 2003 menerima pakai prinsip hibah ruqba sebagai asas syariah dalam pelaksanaan borang akuan hibah untuk transaksi yang melibatkan akaun bersama tabung unit amanah terutamanya akaun yang dipegang oleh orang Islam.

            Dari perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa suatu undang-undang yang khusus berkaitan dengan pemberian hibah dan pentadbirannya amatlah diperlukan. Dengan adanya undang-undang yang khusus dapat mengurangkan kekeliruan dan dapat menegakkan kewibawaan Mahkamah Syariah dan mengukuhkan kredibilitinya dalam masyarakat apabila memutuskan soal yang berkaitan dengan hibah.

            Di samping itu, pada masa yang sama, ia boleh menjadi panduan kepada masyarakat yang ingin membuat hibah secara peribadi agar hibah yang dibuat itu menjadi lebih sempurna, atau dengan kata lain, masyarakat dapat menguruskan hartanya dengan cara yang lebih teratur dan kemas.



Hibah dalam Kewangan Islam


2.0 Hibah dalam Kewangan Islam

Hibah dalam Kontrak Pelaburan Mudarabah antara Bank

Hibah bermaksud pemberian pemilikan sesuatu barang kepada seseorang tanpa sebarang balasan.[9]  Pelaburan Mudarabah antara Bank merupakan urus niaga pelaburan antara peserta pasaran wang antara bank (money market) secara Islam yang dilaksanakan berdasarkan prinsip mudarabah. Kadar pulangan bagi institusi kewangan pelabur ditentukan berdasarkan kadar pulangan institusi kewangan penerima biaya (atau dikenali dengan kadar ‘r’). Kadar ‘r’ melambangkan kecekapan sesebuah institusi kewangan menguruskan dana atau aset perbankan Islamnya.

            Ini bermakna, institusi kewangan yang cekap biasanya mempunyai kadar ‘r’ lebih tinggi berbanding dengan yang kurang cekap. Sekiranya kadar ‘r’ institusi kewangan penerima biaya adalah rendah, ia akan memberikan pulangan yang rendah kepada institusi kewangan pelabur. Masalah timbul apabila kadar ‘r’ bagi sebilangan institusi kewangan Islam terlalu rendah daripada kadar ‘r’ pasaran yang menyebabkan institusi kewangan berkenaan sukar mendapatkan dana daripada pasaran.

            Bagi menangani masalah ini, terdapat cadangan untuk memperkenalkan konsep hibah sebagai satu amalan pasaran dalam kontrak Pelaburan Mudarabah antara Bank. Menerusi konsep ini, institusi kewangan penerima biaya yang mempunyai kadar ‘r’ yang lebih rendah daripada kadar ‘r’ pasaran akan menawarkan hibah sebagai saguhati kepada institusi kewangan pelabur yang bersedia melabur dengannya. Hibah boleh dibayar berdasarkan peratusan tertentu daripada kadar ‘r’ institusi kewangan penerima biaya, tertakluk kepada kesediaan institusi kewangan penerima biaya itu sendiri.

            Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada institusi kewangan penerima biaya boleh memberi hibah kepada institusi kewangan pelabur dalam kontrak mudarabah seperti Pelaburan Mudarabah antara Bank bagi memberi pulangan yang kompetitif dengan kadar pasaran.

Keputusan

MPS pada mesyuarat ke-8 bertarikh 12 Disember 1998 telah memutuskan bahawa pemberian hibah oleh institusi kewangan penerima biaya kepada institusi kewangan pelabur yang membawa kepada jaminan keuntungan (kadar ‘r’) dalam kontrak Pelaburan Mudarabah antara Bank adalah tidak dibenarkan.

Asas Pertimbangan

Pemberian hibah ke atas kontrak perniagaan yang berasaskan mudarabah adalah tidak dibenarkan kerana mudarabah ialah satu bentuk kontrak yang berdasarkan perkongsian keuntungan. Sekiranya penawaran hibah dibenarkan, ia akan menjejaskan akad mudarabah tersebut kerana mudarib seolah-olah memberi jaminan terhadap keuntungan mudarabah. Selain itu, pemberian hibah juga bertentangan dengan objektif kontrak mudarabah kerana ia menafikan elemen perkongsian untung dan penyerapan kerugian oleh rabbul mal (jika berlaku kerugian).

Penggunaan Konsep Hibah dalam Kontrak al-Ijarah thumma al-Bai`

Sebuah institusi kewangan Islam berhasrat untuk menawarkan pemberian hibah dalam kontrak al-Ijarah thumma al-Bai` (AITAB) bagi memberikan insentif dan galakan kepada pelanggan membayar sewa bulanan mengikut jadual yang ditetapkan. Dalam aturan yang dicadangkan, hibah akan diberikan kepada pelanggan yang melunaskan bayaran sewa bulanan pada tahun pertama tanpa sebarang kelewatan.

            Kadar hibah yang dicadangkan ialah sebanyak 1% daripada jumlah pembiayaan dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pelanggan yang layak pada bulan ke-13.  Namun, pelanggan yang melunaskan semua hutangnya dan menamatkan kontrak AITAB dalam masa 12 bulan yang pertama tidak layak untuk memperoleh hibah ini.

Asas Pertimbangan

Pemberian hibah dan hadiah sememangnya digalakkan seperti saranan ayat
al-Quran dan hadis Rasulullah SAW berikut:
118
“...kemudian jika mereka memberikan kepada kamu dengan suka hatinya sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” .[10] 

“Abu Abdullah al-Hafiz telah mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata, aku telah mendengar Abu Zakaria Yahya bin Muhammad al-`Anbari berkata, aku telah mendengar Abu Abdullah al-Busyanji berkata, tentang kata-kata Nabi Muhammad SAW: Saling memberilah hadiah dan kamu akan saling kasih-mengasihi.” .[11] 

            Di samping itu, tiada sebarang halangan Syariah bagi penggunaan konsep hibah dalam kontrak AITAB kerana hibah merupakan sesuatu yang dilakukan secara sukarela dan berdasarkan budi bicara pemberi hibah.  Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada penggunaan konsep hibah dalam AITAB seperti di atas dibenarkan.
Keputusan

MPS pada mesyuarat ke-13 bertarikh 10 April 2000 telah memutuskan bahawa cadangan pemberian hibah dalam kontrak AITAB sebagai insentif kepada pelanggan yang membuat bayaran mengikut jadual adalah dibenarkan.
119

Hibah dalam Kontrak Wadi`ah

Salah satu kaedah penerimaan deposit oleh institusi perbankan Islam di Malaysia ialah berdasarkan konsep wadi`ah yad dhamanah. Sesetengah institusi perbankan Islam memberikan hibah kepada para pendeposit wadi`ah sebagai tanda penghargaan atas keyakinan pendeposit wadi`ah terhadap institusi mereka. Walau bagaimanapun, amalan pemberian hibah kepada pendeposit wadi`ah dikhuatiri akan menjadi `urf atau kelaziman yang ditegah oleh Syarak.  Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada pemberian hibah oleh institusi perbankan Islam kepada pendeposit wadi`ah dibenarkan.

Keputusan

MPS pada mesyuarat ke-35 bertarikh 22 Mei 2003 telah memutuskan bahawa amalan pemberian hibah oleh institusi perbankan Islam kepada pendeposit wadi`ah adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, pemberian hibah tersebut tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai `urf yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadi`ah.

Asas Pertimbangan

            Dalam konteks amalan perbankan semasa, wang yang didepositkan oleh pelanggan akan digunakan oleh pihak bank untuk tujuan tertentu seperti memberikan pembiayaan dan membuat pelaburan.

            Dari perspektif Syariah, wang yang dimasukkan ke dalam akaun deposit berasaskan konsep wadi`ah yad dhamanah menyamai kontrak pinjaman qard dan pihak bank mesti memulangkan semula deposit kepada pelanggan apabila diminta berdasarkan terma dan syarat yang dipersetujui. Oleh itu, syarat-syarat dalam qard dan kesan lanjutan daripadanya adalah terpakai bagi produk akaun deposit yang berasaskan konsep wadi`ah yad dhamanah.

Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan:

            “Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling baik dalam menunaikan hutang.”.[12] 

            Dalam akad qard, syarat memberikan manfaat kepada pemberi pinjaman tidak dibenarkan. Contohnya, mensyaratkan peminjam supaya memberi tempat tinggal secara percuma atau dengan harga murah kepada pemberi pinjaman, memberikan balasan terhadap kebaikan atau memberikan hadiah..[13]    Pemberian hibah oleh peminjam kepada pemberi pinjaman digalakkan dalam Islam. Namun demikian, pemberian hibah tidak boleh disyaratkan dalam akad kerana ia boleh membawa kepada riba seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:.[14] 

            “Daripada Ali r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Setiap pinjaman yang memberi manfaat (kepada pemberi pinjaman) maka ia adalah riba.”.[15] 

Hibah dalam Kontrak Qard

Kontrak qard merupakan salah satu bentuk kontrak yang diterima pakai bagi tujuan pengurusan mudah tunai dalam kewangan Islam. Kontrak ini memerlukan pihak peminjam memulangkan jumlah wang yang dipinjam kepada pemberi pinjaman tanpa menjanjikan sebarang penambahan. Walau bagaimanapun, dalam amalan semasa, pihak peminjam kadang kala atas kerelaannya memberikan hibah kepada pihak pemberi pinjaman sewaktu melunaskan bayaran pinjaman.  Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada pemberian hibah ke atas qard seperti ini selaras dengan Syarak.

Keputusan

MPS pada mesyuarat ke-55 bertarikh 29 Disember 2005 telah memutuskan bahawa pemberian hibah yang tidak disyaratkan dalam kontrak qard adalah diharuskan. Walau bagaimanapun, pemberian hibah tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai `urf yang menyerupai syarat dalam kontrak qard.

Asas Pertimbangan

Walaupun pemberian hibah oleh peminjam kepada pemberi pinjaman digalakkan dalam Islam, pemberian hibah tidak boleh disyaratkan dalam kontrak kerana ia boleh membawa kepada riba. Sebarang penambahan kepada qard ketika pembayaran semula sama ada dari segi kadar, sifat, pemberian aset atau manfaat adalah harus sekiranya dilakukan tanpa syarat.  Hukum memberi hibah kepada pemberi pinjaman adalah sama seperti hukum pinjaman yang melibatkan manfaat, iaitu diharamkan sekiranya hibah tersebut disyaratkan dalam akad, tetapi dibenarkan sekiranya hibah diberikan tanpa syarat..[16] Sila rujuk juga asas pertimbangan seperti yang dinyatakan dalam perkara 76..[17] 
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
.[9]   Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al
        Kuwaitiyyah, 1993, j. 42, h. 120.
.[10]   Surah al-Nisa’, ayat 4.
.[11]  Al-Baihaqi, Al-Sunan al-Kubra, Maktabah Dar al-Baz, 1994, j. 6, h. 169, hadis no. 11726.
.[12]   Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Al-Matba`ah al-Salafiyyah, 1982, j. 2, h. 146, hadis no. 2305.
.[13]   Al-Juzairi, Al-Fiqh `ala al-Mazahib al-Arba`ah, Al-Maktab al-Thaqafi, 2000, j. 2, h. 227.
.[14]   Ibnu `Abidin, Hasyiyah Radd Al-Muhtar `ala al-Durr al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar, Dar `Alam al-Kutub, 2003, j. 7, h. 395.
.[15]   Ibnu Hajar al-`Asqalani, Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, Matba`ah al-Salafiyyah, 1928, h. 176.
.[16]   Ibnu `Abidin, Hasyiyah Radd al-Muhtar `ala al-Durr al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar, Dar al-Fikr, 2000, j. 7, h. 395.
.[17]  Hibah dalam Kontrak Wadi`ah.


Kadar Harta yang Boleh Dihibah


1.7 Kadar Harta yang Boleh Dihibah

Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka
terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebih lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak.

Pandangan Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie)

Sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah.

Menurut pandangan Abu Yusuf

Melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut.

Menurut mazhab Hanbali,

Keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib.

Manakala menurut Imam Malik,

Tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.

Menurut pendapat Hanafi, Syafie, Maliki dan Abu Yusuf

Cara pemberian harta yang adil kepada anak-anak semasa hayat ialah dengan cara menyamakan pemberian tersebut tanpa membezakan di antara anak lelaki dan anak perempuan.

Golongan Hanbali dan Muhammad bin Hassan al-Shaybani

Berpendapat bahawa keadilan yang dikehendaki dalam pemberian adalah mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta pusaka, iaitu bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan.

1.8 Hibah pada Masa Marad al-Mawt

Perkataan marad al-mawt bermaksud sakit yang boleh menyebabkan kematian. Syarat syarat berikut diperlukan bagi menentukan marad al-mawt, iaitu:

1.    Penyakit itu yang menyebabkan kematian si mati.
2.    Penyakit itu menyebabkan kecemasan kematian dalam fikiran si mati.
3.    Terdapat tanda-tanda luar yang menuntukkan bahawa penyakit itu berat.

            Dalam Perkara 1595 Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah, istilah marad al-mawt bermaksud sakit yang kebanyakannya membawa kepada kematian, di mana sakit itu boleh melemahkan orang sakit daripada melihat maslahat (kepentingan) di luar rumahnya jika dia seorang lelaki, dan melemahkannya daripada melihat maslahat (kepentingan) di dalam rumahnya jika dia seorang perempuan. Pesakit itu mati dalam keadaan sedemikian sebelum berlalu masa satu tahun sama ada dia terlantar atas tilam (katil) atau sebaliknya.

            Sekiranya keadaan sakit tersebut berterusan dan telah berlalu masa satu tahun, maka hukumnya sama seperti orang sihat, ertinya segala urusannya (tasarruf) sama seperti urusan orang sihat selagi sakit itu tidak terlalu berat dan tidak berubah keadaannya. Tetapi sekiranya penyakit itu bertambah berat (serius) dan keadaannya telah berubah dan dia mati dalam keadaan sedemikian, maka keadaan (daripada waktu berlaku perubahan sehingga kematiannya) sakit itu dianggap sebagai marad al-mawt.

            Daripada definisi di atas, perkataan marad al-mawt mempunyai ciri-ciri berikut:
1.    Sesuatu penyakit itu yang meyebabkan kematian.
2.    Kematian yang diakibatkan oleh sesuatu penyakit itu berlaku dalam masa satu tahun atau selepas masa satu tahun (dalam keadaan penyakit itu bertambah berat).
3.    Sesuatu penyakit itu boleh melupakan dan melalaikan seseorang pesakit itu daripada kepentingan yang bersifat keduniaan.

            Hibah pada masa marad al-mawt ialah pemberian yang dibuat oleh seseorang yang sakit tenat yang boleh membawa kepada kematian. Dalam undang-undang Islam pemberian itu melibatkan dua jenis undang-undang iaitu undang-undang hibah dan wasiat. Sekiranya pemberi hibah menemui ajal berikutan dengan lafaz pemberian itu, maka pemberian itu samalah seperti pemberian melalui wasiat dan tertakluk kepada hukum wasiat iaitu:

1.    Pemberian itu tidak melebihi 1/3 daripada harta si mati.
2.    Pemberian itu tidak diberikan kepada waris kecuali waris-waris lain telah bersetuju.

            Walau bagaimanapun, jika pemberi hibah itu hidup maka pemberian itu termasuk di dalam hukum hibah dan tertakluk kepada hukum pemberian semasa hidup iaitu penyerahan hak pemunyaan oleh pemberi hibah kepada penerima hibah.
Dalam Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah juga telah menerangkan babarapa perkara yang berkaitan dengan hibah yang dibuat ketika marad al-mawt, antaranya:

1.    Apabila seseorang yang tidak mempunyai waris menghibahkan semua hartanya kepada seseorang pada masa marad al-mawt, kemudian pemberian itu diterima maka hibah itu hukumnya adalah sah (Perkara 877).
2.    Apabila seseorang suami menghibahkan semua hartanya kepada isterinya atau sebaliknya pada masa marad al-mawt dan hibah itu telah diterima, sedangkan mereka tidak mempunyai waris lain, maka hibah itu juga hukumnya sah dan baitulmal tidak boleh campurtangan dalam harta peninggalannya (Perkara 878).
3.    Apabila seseorang telah menghibahkan sesuatu harta kepada salah seorang daripada waris pada masa marad al-mawt dan selepas kematiannya waris-waris lain tidak bersetuju, maka hibah itu hukumnya tidak sah (Perkara 879).

1.9 Hibah dalam Bentuk al-‘Umra dan al-Ruqba (Hibah Bersyarat)

Al-‘Umra bermaksud pemberian semasa tempoh hidup penerima hibah atau pemberi hibah dengan syarat harta tersebut dikembalikan setelah kematian penerima hibah. Al-‘Umra juga bermaksud suatu pemberian yang bersifat sementara yang merujuk kepada hayat salah seorang sama ada pemberi hibah atau penerima hibah.  Sekiranya penerima hibah meninggal dunia maka harta yang dihibahkan itu dikembalikan kepada pemberi hibah.

            Sebaliknya, jika pemberi hibah meninggal dunia maka harta hibah akan dikembalikan kepada waris pemberi hibah. Contoh lafaz hibah al-‘umra adalah seperti pemberi hibah berkata:

“Tanah ini aku berikan (hibahkan) kepada kamu semasa kamu hidup dan jika kamu mati maka harta itu kembali kepada aku jika aku masih hidup dan kepada waris aku jika aku telah mati”.

Manakala al-ruqba pula ialah pemberian dengan syarat kematian salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebagai syarat pemilikan kepada salah satu pihak yang hidup. Al-Ruqba juga bermaksud suatu pemberian bersyarat yang ditentukan oleh pemberi hibah, di mana harta hibah akan menjadi milik penerima hibah sekiranya pemberi hibah meninggal dunia.

Tetapi jika penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah maka
harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah. Contoh lafaz hibah al-ruqba adalah seperti pemberi hibah berkata:

 “Tanah ini aku berikan kepada kamu sebagai ruqba dan jika kamu mati dulu maka harta itu kembali kepada aku dan jika aku mati dulu maka harta itu untuk kamu”.
           
            Para fuqaha’ sepakat tidak mengharuskan hibah yang disyaratkan pemilikannya akan terlaksana pada suatu tempoh masa yang akan datang. Majoriti ulamak berpendapat hibah yang bersifat sementara seperti hibah ‘umra dan ruqba adalah sah tetapi syaratnya terbatal.  Mereka berhujah bahawa jika syarat itu terpakai maka ia bertentangan dengan kehendak akad hibah itu sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Peliharalah harta kamu dan janganlah kamu (menghibahkannya) secara ‘umra kerana sesungguhnya sesiapa yang (menghibah) sesuatu secara ‘umra, maka ia menjadi milik orang yang dihibahkan”.

            Sebahagian daripada fuqaha’ mazhab Hanbali, Imam Malik, Imam al-Zuhri, Abu Thur dan lain-lain serta qawl al-qadim Imam Syafie berpendapat bahawa hibah ‘umra adalah harus dan syaratnya sah jika tidak dinyatakan oleh pemberi hibah bahawa harta yang dihibahkan akan menjadi milik waris penerima hibah selepas kematian penerima hibah. Ini bermakna harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah selepas kematian penerima hibah.  Sementara pendapat lain pula mengambil pendekatan bahawa hibah yang bersifat sementara pada hakikatnya bukanlah hibah tetapi ia adalah ‘ariyah (peminjaman).

            Imam Abu Hanifah dan Imam Malik mengharuskan hibah ‘umra tetapi tidak mengharuskan hibah ruqba. Pandangan mereka adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang telah mengharuskan hibah ‘umra dan membatalkan hibah ruqba. Namun hadis ini dikritik oleh Imam Ahmad kerana ia tidak diketahui kesahihannya. Mereka juga berpendapat bahawa hibah ruqba adalah hibah ta’liq ke atas sesuatu yang tidak jelas dari segi tempoh ia akan terlaksana.

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa antara isu penting yang membawa perbezaan pandangan di kalangan fuqaha’ mengenai hibah ‘umra dan hibah ruqba ialah tertumpu kepada unsur hibah yang bersifat sementara dan hibah sesuatu yang dita’liqkan dengan hayat seseorang. Kedua-dua isu ini telah menimbulkan reaksi yang berbeza di kalangan fuqaha’.

            Mazhab yang mengatakan hibah ‘umra dan hibah ruqba tidak diharuskan adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah kamu memberi (hibah) sama ada secara ‘umra atau ruqba”.

            Mazhab yang mengharuskan hibah ‘umra dan hibah ruqba pula berhujah dengan hadis yang bermaksud:

“(Hibah) ‘umra dan ruqba adalah diharuskan bagi mereka”.