Sunday 26 April 2015

Maksud hubungan etnik

1.0       Pendahuluan

Usaha kerajaan ke arah pemupukan hubungan etnik sebenarnya telah bermula sejak 1957, iaitu selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.  (Hasnah Hussin dan Mardiana Nordin, 2007).  Berikutan itu, kerajaan berusaha dengan lebih keras lagi dalam mencapai perpaduan berikutan berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang melibatkan rusuhan kaum yang amat dahsyat. Kemuncak usaha kerajaan ekoran peristiwa 13 Mei ialah terciptanya satu ideologi negara iaitu Rukun Negara yang dihasilkan berasaskan kepercayaan, keyakinan dan iltizam untuk membentuk satu jati diri rakyat Malaysia yang unggul serta bertujuan menyemai dan memupuk integrasi nasional serta semangat perpaduan antara kaum.

            Masyarakat berperanan dalam pemupukan hubungan etnik agar negara kita malaysia sentiasa dalam keadaan aman dan selesa. Salah satu contoh peranan masyarakat adalah dalam penerimaan budaya. Secara amnya, memang ada kesamaan unsur kebudayaan antara ketiga-tiga golongan rakyat di negara ini. Contohnya ciri-ciri hindu telah meresap masuk ke dalam kebudayaan masyarakat melayu. Kesannya, ia menyatukan nilai pelbagai bangsa.

            Kesimpulannya, perpaduan kaum adalah perkara utama yang harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara. Kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap isu perpaduan ini supaya dapat mengekalkan keharmonian kehidupan di negara kita selain menjaga kemerdekaan yang telah dicapai melalui perpaduan nenek moyang kita. Oleh yang demikian, setiap kaum, golongan masyarakat dan semua pihak adalah terlibat bekerjasama dalam mencapai usaha yang murni ini bagi menjamin kehidupan sejahtera yang berpanjangan.

1.1       Maksud hubungan etnik

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, hubungan ialah kaitan, pertalian, sangkut paut. Hubungan etnik pula bermaksud perkaitan atau pertalian antara etnik atau kaum.  Etnik pula dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kaum atau bangsa. Dari segi istilah, etnik adalah kelompok manusia yang ditentukan melalui perbezaan ciri-ciri budaya seperti adat resam, pakaian, bahasa, kegiatan ekonomi dan sebagainya.  Etnik juga dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya.  Malah, etnik juga dapat dikelaskan mengikut demografi iaitu mengikut kedudukan geografi dan sempadan negeri.  Contohnya di Sabah dan Sarawak terdapat pelbagai kumpulan etnik pada kedudukan geografi yang berbeza.

No comments:

Post a Comment