Wednesday, 9 July 2014

Teori Perkembangan Bahasa (Chomsky)


Menurut Naom Chomsky (1957), seperti yang dinyatakan oleh Haliza Hamzah (2009) menyatakan bahawa setiap individu telah diprogramkan secara genetik untuk belajar bahasa.  Beliau turut menyatakan bahawa kanak-kanak telah dilahirkan dengan alat penguasaan bahasa atau LAD (Language Acquisition Device) iaitu satu mekanisme yang membolehkan kanak-kanak mengesan ciri-ciri dan peraturan dalam menggunakan bahasa yang digunakan di persekitaran mereka. 

            Keluarga dan persekitaran sangat mempengaruhi seseorang kanak-kanak dalam berbahasa.  Pengaruh dan sokongan daripada ibu bapa dan guru sangat penting di dalam memperkembang potensi untuk kanak-kanak berbahasa dengan baik.  Menurut kajian daripada Betty Hart dan Todd Risley (Santrock, 2007), mereka mendapati bahawa golongan profesional menyediakan persekitaran berbahasa lebih baik berbanding dengan golongan yang bukan profesional.  Malah, dalam kajian yang lain lagi juga mendapati bahawa ibu yang banyak berkomunikasi dengan anak mereka mempunyai empat kali ganda lebih perbendaharaan  kata berbanding ibu yang pendiam.

            Perkembangan bahasa boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat.  Antaranya ialah peringkat bayi.  Pada peringkat ini, bayi sentiasa mengeluarkan bunyi-bunyian untuk menarik perhatian orang-orang yang disekitarnya.  Selalunya mereka akan mula menyebut perkataan dalam lingkungan usia 10-15 bulan.  Perkataan-perkataan mudah seperti “mama”, “papa”, “susu” dan sebagainya adalah antara perkataan biasa yang boleh dilihat dalam usia bayi.  Setelah menjangkau usia 18-24 bulan, bayi sudah mula menggunakan dua patah perkataan yang disertai dengan isyarat badan dan juga intonasi suara.

            Peringkat yang seterusnya pula ialah peringkat kanak-kanak.  Pada waktu ini, terutamanya ketika peringkat prasekolah (4 hingga 6 tahun), kanak-kanak sudah mula mematuhi peraturan-peraturan tatabahasa dan menguasai lebih banyak perbendaharaan kata.  Kebanyakan kanak-kanak yang berusia 4 tahun sudah boleh menulis nama sendiri manakala kanak-kanak yang berusia 5 tahun pula boleh menulis semula perkataan yang yang diberikan.  Namun, mereka masih belum dapat menulis dengan baik kerana kemahiran motor halus mereka belum berkembang dengan baik dan memerlukan latihan yang berterusan.  Kanak-kanak yang sudah melangkah ke alam sekolah rendah sudah boleh menggunakan bahasa untuk menterjemahkan kehendak dan keperluan mereka.  Selain itu, mereka juga boleh mengolah idea dan menterjemahkannya dalam bentuk tulisan.  Di akhir peringkat kanak-kanak, mereka juga boleh merangka, menyemak tulisan dan juga membuat karangan.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Bagi membantu perkembangan bahasa kanak-kanak pada usia ini, guru haruslah berperanan dalam membantu mereka mempelajari banyak bahasa.  Hal ini boleh dilakukan dengan menyebut perkataan-perkataan dalam pelbagai bahasa supaya mereka terbiasa dengan perkataan-perkataan yang selalu mereka dengar.  Pada tahap ini, perkembangan kanak-kanak untuk mempelajari bahasa sangat pesat.  Guru boleh menggunakan flash card bagi menunjukkan mereka perkataan-perkataan baharu.  Hal ini perlu dilakukan secara kerap supaya mereka boleh mengingat kembali perkataan-perkataan yang kita tunjukkan.  Selain itu, guru juga boleh menggunakan bahan maujud supaya mereka boleh melihat dengan jelas apa yang hendak kita cuba tunjukkan kepada mereka.  Guru perlulah menyoal kembali perkataan-perkataan yang sudah diajar kepada mereka.  Hal ini bagi membantu mereka menyimpan perkataan-perkataan yang sudah mereka ketahui ke dalam memori jangka masa panjang.

Peringkat pertengahan kanak-kanak
Setelah mereka masuk ke alam sekolah rendah, guru boleh membantu mereka dengan menggalakkan mereka dengan menggunakan bahasa.  Sekiranya mereka tidak mengetahui sesuatu perkataan, guru perlu membantu mereka untuk memahami perkataan tersebut.  Hal ini bagi membantu mereka supaya menggunakan banyak perkataan bagi membantu memperkembang kemahiran berbahasa mereka.  Sebagai contoh, guru boleh menggunakan strategi bercerita semasa proses pengajaran dan pembelajaran.  Semasa bercerita, guru boleh menyoal kembali cerita yang telah disampaikan tadi.  Mereka akan cuba memberitahu kembali perkataan yang mereka dengar dari cerita tersebut.  Dalam hal ini, guru perlu bijak mengesan kesalahan mereka dalam berbahasa dan seterusnya membetulkan pemahaman mereka mengenai perkataan-perkataan yang mereka gunakan.



No comments:

Post a Comment