Wednesday, 9 July 2014

Teori Perkembangan kognitif Jean Piaget


Menurut Jean Piaget, kemampuan kognitif manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui.  Perubahan daripada satu peringkat ke satu peringkat yang seterusnya hanya akan berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sesuai dan terdedah kepada pengalaman yang relevan.  Tanpa pengalaman-pengalaman tersebut, kanak-kanak dianggap tidak mampu mencapai tahap perkembangan kognitif yang tinggi.  Piaget telah mengenalpasti empat faktor yang saling berkait yang boleh mempengaruhi proses pemikiran individu iaitu kematangan biologi, interaksi individu dengan persekitaran, pengalaman sosial dan keseimbangan.  Jean Piaget telah membahagikan tahap-tahap perkembangan kepada empat peringkat.

            Peringkat yang pertama ialah tahap Sensorimotor (sejak lahir sehingga 2 tahun).  Pada tahap ini, perkembangan mental sangat berkembang dengan pesat.  Pada masa yang sama, bayi juga mampu untuk mengorganisasikan dan mengkoordinasi deria melalui gerakan-gerakan dan tindakan-tindakan fizikal.  Pada akhir tahap ini ketika anak berusia sekitar 2 tahun, pola-pola sensori motor mereka semakin kompleks dan mulai mengadaptasi suatu sistem simbol yang primitif.

            Tahap Praoperasi bermula pada usia 2 hingga 7 tahun.  Pada peringkat ini, kanak-kanak menggunakan simbol untuk mewakili objek-objek yang dilihat di sekelilingnya.  Kanak-kanak mula bertutur tetapi pertuturannya bersifat egosentrik, iaitu dia bercakap sendiri.  Mereka juga tidak berminat untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain.  Topik perbualan berkisar tentang dirinya.  Kanak-kanak belum memperoleh konsep pengekalan.  Konsep transformasi juga belum diperoleh.

            Tahap Operasi Konkrit bermula apabila anak-anak itu mencapai umur 7 hingga 11 tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak hanya dapat menyelesaikan satu-satu masalah yang melibatkan peristiwa atau objek yang konkrit (perkara yang boleh dilihat atau disentuh). Walau bagaimanapun, keupayaan untuk memanipulasikan konsep dan idea pada tahap ini adalah terhad serta bergantung pada objek yang boleh dilihat atau disentuh sahaja. 

            Tahap yang keempat pula peringkat operasi formal yang bermula pada usia 11 tahun ke atas.  Pada waktu ini, pemikiran mereka tidak lagi terikat kepada bahan-bahan konkrit.  Mereka juga boleh berfikir secara abstrak dan membuat hipotesis walaupun ianya bukan realiti.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Cadangan saya bagi mengimplementasi p&p pada peringkat awal kanak-kanak ialah dengan memberikan mereka permainan kanak-kanak berbentuk hands on seperti patung (soft toys).  Hal ini kerana, kanak-kanak banyak menggunakan sensori motor (seperti memegang) untuk berinteraksi dan memahami apa-apa yang ada di sekitarnya. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menekan butang pada patung (aktiviti motor) ianya akan menghasilkan bunyi (pengalaman kederiaan).  Bagi kanak-kanak yang berada pada peringkat akhir awal kanak-kanak, kita boleh mengajar mereka dengan kaedah bermain sambil belajar.  Sebagai contoh, permainan menyusun puzzle.  Dengan memberikan permainan sebegini, secara tidak langsung, keupayaan kognitif kanak-kanak boleh berkembang kerana mereka berusaha ingin mengetahui gambar yang mereka cuba susun dan juga menguji ketepatan mereka dalam menyusun gambar tersebut supaya sempurna.

Peringkat pertengahan kanak-kanak
Bagi membantu perkembangan peringkat pertengahan kanak-kanak dari segi kognitif, guru boleh membahagikan murid-murid di dalam kelas mengikut tahap kognitif yang hampir sama.  Guru boleh mengadakan aktiviti dalam kumpulan berdasarkan alat bantu mengajar yang sesuai.  Sebagai contoh, guru membantu pelajar untuk memahami konsep besi boleh mengembang ketika panas.  Para pelajar hanya dapat memahami konsep ini hanya melalui pengalaman konkrit.  Jadi, pentingnya peranan guru disini agar menggunakan kaedah yang boleh menarik minat pelajar supaya mereka dapat belajar dengan aktif.  Hal ini bagi memastikan mereka benar-benar memahami konsep tersebut. 








No comments:

Post a Comment