Langkah-Langkah Bagi Pembentukan Negara
Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang ketua Negara Madinah yang terulung dan pemimpin politik yang sangat sarat dengan visi, misi dan ambisi yang sistematik tanpa menolak peranan utamanya adalah sebagai utusan Allah s.w.t. Ini terbukti melalui pembentukan negara Madinah yang disusunkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam tempoh yang begitu singkat setelah berlaku peristiwa Hijrah tanpa ditunda-tunda dan memerlukan jangka masa persiapan yang begitu lama. Ini adalah kerana peri pentingnya pembentukan sesebuah negara dan amat berhajatnya umat Islam dan penduduk sesebuah negara Islam diuruskan melalui Siyasah Syariah (Sistem Politik Islam) yang mantap dan kemas. Hal ini dapat dilihat daripada noktah-noktah berikut:-
(a) Negara Madinah atau Kota Madinah dikenali dahulunya sebagai Yathrib. Namun nama lama itu ditukar Nabi Muhammad s.a.w bagi meniup ruh keimanan dan kekuatan di dalam kota tersebut serta seisi warganya.
(b) Populasi Negara Madinah adalah terdiri daripada orang-orang Ansar, Muhajirin, Yahudi dan bangsa Arab atau orang asing yang lain.
(c) Pembentukan Negara Madinah diperkukuhkan dengan beberapa langkah dan pelan strategik yang mantap iaitu:-
- Mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah s.a.w menyampaikan ajaran Islam serta pusat pentadbiran negara Madinah.
- Mengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin, bagi mewujudkan persefahaman dan membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar.
- Mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah daripada ancaman luar.
(d) Pembentukan Negara Madinah diperkukuhkan lagi dengan Piagam Madinah yang merupakan piagam bertulis yang pertama di dunia. Tajuk mengenai Piagam Madinah telah pun kita bicarakan pada topik 6 yang lalu secara panjang lebar.
(e) Piagam Madinah ini adalah pemuafakatan bertulis antara pelbagai kaum dan masyarakat majmuk yang berlatarbelakangkan agama, adat dan budaya berbeza di kota itu.
Analisa Umum Pembentukan Negara dan Piagamnya
Melalui analisa dan penelitian yang terperinci terhadap pembentukan negara Madinah dan penstrukturan Piagam Madinah seperti mana yang disebutkan sebelum ini dalam topik 6 dan 7 ini, ia menjelaskan:-
(a) Kerjasama dan semangat toleransi yang jitu yang dilaksanakan oleh baginda Rasulullah s.a.w di kalangan para penduduk Kota Madinah yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Jelas dan zahirnya, tidak ada perbezaan sama sekali antara orang-orang Islam dengan orang-orang bukan Islam dalam memikul tanggungjawab menjaga kemaslahatan negara ini.
(b) Di sini juga dapat dilihat bahawa sebenarnya Rasulullah s.a.w merupakan seorang pemimpin yang sangat berwibawa dan berkaliber dalam pembentukan sistem undang-undang yang ideal dan signifikan dengan kehendak negara dan kebajikan rakyat malah sistem tersebut merupakan sistem undang-undang yang pertama dan terulung di dalam sejarah Islam malah sejarah ketamadunan manusia.
(c) Dengan termeterainya Piagam Madinah yang sistematik ini, maka orang-orang Yahudi tidak dibenarkan keluar berperang melainkan dengan keizinan Ketua Negara iaitu Rasulullah s.a.w sendiri agar tidak berlaku sebarang insiden atau kes yang boleh mengganggu gugat kestabilan politik dan keamanan sesebuah negara.
(d) Piagam ini juga menekankan aspek kerjasama, toleransi, kemuafakatan, ruh bantu membantu dalam kebaikan dan bekerjasama bagi membanteras kegiatan yang merosakkan keamanan sesebuah negara dengan semangat muhibbah dan cintakan tanahair itu sendiri
Terima kasihhhðŸ˜
ReplyDelete