Thursday, 14 May 2015

PEMBINAAN MASJID QUBA

Masjid Quba – Masjid Pertama Dalam Islam

Hj. Zainal Arifin Abbas dalam bukunya berjudul Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad (1970) ada mengisahkan serba sedikit mengenai program pertama yang diuruskan Nabi Muhammad setibanya baginda di Madinah al-Munawwarah iaitu projek pembinaan Masjid Quba (rujuk Rajah 7.1). Pembinaan ini merupakan suatu titik penting terhadap kepentingan pembinaan masjid dalam membina sebuah negara dan masyarakat yang bersatu padu, hingga projek itu dijalankan tanpa memerlukan masa untuk menyimpan dana atau “mesyuarat” yang berjela-jela.
AKTIVITI 7.1
Apakah kepentingan HIJRAH dalam proses dakwah? Cuba anda fikirkan kebaikan-kebaikan yang ada setelah anda melakukan HIJRAH di dalam diri anda!

Berikut adalah maklumat-maklumat mengenai Masjid Quba:
• Nama Projek : Pembinaan Masjid Quba
• Pemaju : Nabi Muhammad s.a.w dan Sahabat r.a
• Kedudukan : Selatan Pusat Bandar Madinah (kira-kira 10km darinya)
• Tempoh Siap : 5 hari (Ada riwayat menyatakan 14 dan 22 hari)
• Tarikh Mula : 12 Rabiul Awal Tahun 1 Hijriah (Isnin)
• Tarikh Siap : 16 Rabiul Awal Tahun 1 Hijriah (Jumaat)
• Keluasan : 50 meter persegi (50 meter panjang dan lebar)
• Ketinggian : 1 meter dari aras permukaan tanah
• Jolokan Nama : Masjid Dibina Atas Asas Takwa

Masjid Quba diabadikan pembinaannya dalam al-Quran sebagai masjid pertama yang didirikan atas asas ketakwaan pada Allah s.w.t. Ia seperti mana yang ditegaskan Allah Azza Wajalla dalam firmanNya berbunyi:


 “...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba) sejak
hari pertama adalah lebih patut bagimu bersolat di dalamnya. Di sana terdapat
orang-orang yang ingin membersihkan diri (mensucikan jiwa). Dan Allah amat
menyukai orang-orang yang membersihkan dirinya”. (At taubah : 108)

Setelah Baginda Nabi Muhammad s.a.w menyudahkan bersama para sahabat pembinaan masjid Quba, maka berangkatlah baginda menuju kota Hijrah Madinah dan dalam perjalanan itu, mereka sempat bersolat Jumaat di Kampung Bani Salim bin ‘Auf yang hanya terletak kira-kira 1km daripada Masjid Quba. Itulah solat Jumaat pertama sesudah Hijrah dan hari ini lokasi solat Jumaat bersejarah itu dikenali sebagai Masjid Jumaat. Hijrah Nabi masih belum berakhir lagi. Untuk pengetahuan semua pembaca, Quba pada masa dahulu belum dimasukkan dalam persempadanan Kota Madinah lagi. Jadi, Nabi meneruskan hijrah Baginda s.a.w menunggang unta kesayangannya al-Qaswa’ menuju lokasi hijrah terakhir iaitu Kota Suci Madinah.
1
Pembinaan Masjid Al-Nabawi

Muhammad al-Ghazaliy (1996) menyebutkan bahawa pekerjaan pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w ialah membangunkan masjid untuk mengembangkan syiar Islam yang selama ini terus-menerus dimusuhi dan diperangi. Masjid adalah tempat manusia berhubungan dengan Tuhannya dan tempat manusia membersihkan hati dari berbagai macam kekotoran dan dosa. Menurut riwayat, Rasulullah s.a.w membangun masjid baginda di tempat unta baginda berhenti pada saat kedatangan baginda s.a.w di Madinah (rujuk Rajah 7.2). Lokasinya ialah di Mirbad, sebidang tanah milik dua orang asuhan As’ad bin Zurarah. Mereka berdua adalah anak yatim bernama Sahal dan Suhail. Pada mulanya pemilik tanah itu ingin menyerahkannya kepada Rasulullah s.a.w dengan bersedekah demi keredaan Allah s.w.t, tetapi baginda menolak dan tetap hendak membayar harganya yang berjumlah 10 dinar emas. Akhirnya tampillah Abu Bakar al-Siddik r.a menghulurkan harta wakaf 10 dinar bagi pembinaan Masjid Nabawi yang bersejarah itu.

Sebelum dibangunkan masjid, tanah tersebut ditumbuhi pohon-pohon kurma liar dan di dalamnya terdapat beberapa buah kuburan orang-orang musyrik. Setelah status tanah itu diselesaikan, Rasulullah s.a.w segera memerintahkan penebangan pohon-pohon kurma dan pembongkaran kuburan yang terdapat di tanah itu hingga rata. Pohon-pohon kurma yang telah ditebang kemudian dipasang berjejer sebagai kiblat bagi masjid yang sedang dibangun, ketika itu kiblat masih ke arah Baitul Maqdis. Dari tempat kiblat hingga bahagian belakang masjid, panjangnya lebih kurang 100 hasta, demikian pula di bahagian tepi kanan dan tepi kirinya. Bahagian kanan dan kiri diperkukuhkan dengan batu dan untuk pemasangan asas (foundation), tanahnya digali sedalam 3 hasta, kemudian dipasang batu-bata. Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya turut serta mengangkut batu-bata yang lain dengan bahu mereka untuk menghilangkan letih dan penat, selama bekerja mengangkut batu-bata, mereka menyanyikan bait-bait syair yang indah bermaksud: Ya Allah, tidak ada kehidupan bahagia selain kehidupan Akhirat, Limpahkan keampunanMu kepada kaum Ansar dan Muhajirin!

Kegiatan kerja para Sahabat semakin berlipat ganda setelah mereka menyaksikan Rasulullah s.a.w juga memeras tenaga seperti mereka dan tidak mengistimewakan diri. Mereka sedemikian kagum hingga ada seorang yang bersyair sebagai berikut: Jika kita duduk sedangkan Rasul bekerja giat, Itu merupakan perbuatan kita yang sesat ! Masjid tersebut selesai dibangun dalam bentuk yang amat sederhana. Lantainya terbuat daripada kerikil dan pasir. Atapnya pula diperbuat daripada pelepah dan dedaun kurma, manakala tiang-tiangnya diperbuat daripada batang pokok kurma. Bila hujan turun mungkin tanahnya akan menjadi berlumpur dan mengundang binatang tertentu untuk berteduh atau lalu di situ. Ringkasnya, masjid yang pertama didirikan semasa peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w ialah Masjid Quba. Masjid itu terletak di pintu masuk Kota Madinah al-Munawwarah. Setelah sampai baginda Nabi ke Kota Suci Madinah, baginda telah menguruskan pula pembinaan Masjid Nabawi sebagai masjid kedua yang dibina Nabi bersama para sahabat r.a.

Pengajaran Daripada Pembinaan Masjid Pertama

Berikut adalah pengajaran-pengajaran yang boleh kita renungkan hasil daripada pembinaan masjid pertama iaitu Masjid Quba:
a)    Keikhlasan membina masjid adalah rahsia kehebatan masjid yang pertama. Biarpun fizikal masjid Nabi pada zaman itu begitu ringkas, namun bangunan masjid yang amat sederhana itulah yang telah mengasuh manusia-manusia beriman teguh dan disebut Syed Qutub r.a sebagai Jil al-Quran al-Farid atau Generasi al-Quran Yang Unik. Justeru, para sahabat nabi dan para salaf dahulu lebih mengutamakan usaha membersihkan dan meluruskan jiwa dan mental manusia daripada memikirkan pembangunan masjid-masjid yang megah dan mewah serta jauh sekali sebagai pusat-pusat perlancongan.
b)    Masjid adalah pusat perhubungan dan perpaduan rakyat. Di dalam sejarah Islam, masjid berfungsi sebagai pusat penjanaan mental, spiritual, fizikal dan material seiring dengan peranannya sebagai tempat beribadat, madrasah dan pusat perhubungan dan perpaduan rakyat.

c)    Masjid adalah lambang kekuatan, jentera perpaduan dan pusat setempat yang memberi khidmat sosial kepada seluruh warga umat Islam.

d)    Di samping masjid bertindak sebagai pusat perhubungan hamba dengan Tuhannya dan muslimin sesama mereka, masjid juga berfungsi menjadi jambatan penghubung antara umat Islam dengan bukan Islam yang ingin berkenalan atau mempelajari agama yang suci murni ini.



e)    Abu Bakar al-Siddiq telah mendahului para Sahabat yang lain dalam memberikan sumbangan wakaf sebanyak 10 dinar emas yang pertama bagi membeli tapak masjid Nabi tersebut. Ini melambangkan kepentingan institusi wakaf dalam Islam sebagai pemangkin ekonomi dan kesejahteraan umat Islam sejagat.

No comments:

Post a Comment