Haji Perpisahan
Haji perpisahan atau Hajjah al-Wada’ adalah jolokan kepada ibadat haji yang dilaksanakan Nabi Muhammad s.a.w pada tahun ke 10 Hijrah sebelum kewafatan Baginda. Baginda s.a.w telah mengisytiharkan hasratnya untuk menunaikan haji kali pertama setelah berhijrah ke Madinah. Pengumuman tersebut telah menarik minat kira-kira 90 ribu umat Islam untuk menyertai ibadat haji yang julung-julung kali dipimpin Nabi s.a.w.
Dalam musim haji inilah, Nabi s.a.w mengajar para jemaah haji tentang cara-cara mengerjakan haji dengan kenyataan baginda berbunyi:
خُذُوْا عَنِّيْ مَنَاسِكَكُمْ !
“Ambillah daripadaku amalan haji kamu”. (Riwayat al-Bukhari)
Saat di Padang Arafah, baginda Nabi s.a.w telah pun memberi isyarat akan pemergiannya selama-lamanya dengan ucapannya:
“Wahai sekalian manusia, dengarlah kata-kataku ini, sebenarnya aku tidak tahu berkemungkinan aku tidak akan menemui kamu kalian selama-lamanya selepas tahun ini. Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu adalah haram ke atas kamu sama seperti haramnya hari kamu ini di bulan kamu ini dan bumi kamu ini.
Ketahuilah bahawa semua perkara mengenai urusan jahiliah tertanam di bawah kaki ku ini, darah-darah jahiliah adalah tertanam dan darah jahiliah yang mula-mula sekali yang ku hapuskan ialah darah Ibn Rabiah bin al-Harith, kejadiannya terjadi di mana beliau ini dibunuh semasa sedang mengambil susuan dari ibu susuannya Banu Saad, dan riba jahiliah juga dihapuskan, dan riba pertama yang ku hapuskan ialah riba Abbas bin Abdul Mutalib malah kesemuanya dihapuskan sama sekali.
Bertaqwalah kamu kepada Allah demi melaksanakan hak kaum wanita, lantaran kamu telah mengambil mereka sebagai isteri dalam bentuk amanah Allah, kamu halal berseketiduran dengan mereka melalui sebutan nama Allah, dan kaum wanita pula berkewajipan menjaga supaya tidak seorang pun manusia yang kamu benci dibenarkan masuk ke bilik kamu. Sekiranya mereka berbuat demikian maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak parah, ke atas mereka, kamu kewajipan memberi rezeki dan pakaian dengan baik.
Dan sesungguhnya telah ku tinggalkan pada kamu sesuatu di mana kamu tidak akan sesat selepas ini seandainya kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah. Wahai kalian manusia, sesungguhnya tiada nabi selepas ku ini, dan tiada umat lain selain dari kamu, beringatlah supaya kamu menyembah Tuhan kamu, tunaikanlah fardu sembahyang lima waktu, berpuasalah kamu di bulan Ramadhan, tunaikan zakat harta kamu dengan penuh kerelaan hati, tunaikan haji ke rumah Tuhan kamu dan taatilah pemerintah-pemeritah kamu nescaya masuklah kamu ke dalam syurga Tuhan kamu. Kamu semua akan ditanya esok mengenai perihal diriku, maka apa yang nak kamu jawab?”
Maka kata mereka semua: “Kami menyaksikan bahawa engkau telahpun menyampaikan, menunaikan dan menasihati kami”. Dengan mengangkat jari telunjuknya ke arah langit dan berkata ke hadapan orang ramai, “Allahumma Fasyhad!!” yakni, “Ya Allah Ya Tuhanku, Persaksikanlah”. (sebanyak tiga kali.)
Sejurus setelah itu di Padang Arafah jugalah, turunnya wahyu terakhir yang menandakan penutup kepada Risalah Islam yang sempurna telah disampaikan Allah s.w.t melalui utusanNya Nabi Muhammad s.a.w. Wahyu tersebut berbunyi:
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu ke atas kamu dan Aku telah meredai Islam sebagai agama anutan kamu”.
(al-Maidah: 3)
Semasa Umar mendengar firman Allah s.w.t itu, beliau terus menangis dan setelah ditanya, mengapa beliau menangis? Jawab beliau: “Kerana selepas kesempurnaan akan menyusul pula kekurangan”.
Kewafatan Nabi Muhammad S.A.W
Kesakitan yang dialami oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w mula terasa setelah Baginda pulang daripada mengerjakan haji perpisahan lalu yang juga digelar sebagai Haji Akbar. Ibn Kathir di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah menyebutkan bahawa kesakitan itu berlaku setelah 81 hari Baginda pulang dari Makkah.
Akram Dhiya’ al-Umariy (1994) menyatakan bahawa Baginda mula mengadu sakit ketika berada di rumah Ummil Mukminin Saidatina Maimunah r.ha hingga kira-kira 10 hari. Akhirnya Baginda Nabi s.a.w memohon izin daripada para isteri Baginda untuk berada di hari-hari terakhirnya di rumah Saidatina Aishah r.ha dan bakal dimakamkan di Hujrah Aishah (rumahnya).
Di hari-hari terakhir itu, Baginda s.a.w sempat memanggil puterinya Fatimah al-Zahra’ lalu membisikkan kepadanya dua bisikan. Bisikan pertama disambut deraian air mata puterinya manakala bisikan kedua disambut dengan senyum dan tawa manis di bibirnya. Bisikan pertama mengkhabarkan pemergian ayahandanya, manakala bisikan kedua memberitakan pemergian Rasulullah s.a.w bakal diiringi puterinya Fatimah r.ha tidak lama setelah itu.
Di hari-hari terakhir, baginda s.a.w masih mampu menyelengarakan penyerahan tugas-tugas kenegaraan dan imam kepada Saidina Abu Bakar al-Sidik r.a. Bahkan baginda s.a.w turut bersolat berimamkan Abu Bakar dengan dipapah oleh Saidina Abbas dan Ali r.a ke masjid. Baginda turut memanggil para isteri baginda dan menyampaikan wasiat kepada mereka.
Di pagi hari 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah ketika fajar baru menyingsing, baginda s.a.w sempat menyelak tabir kamar Aishah r.ha sambil melemparkan senyuman dan tawanya yang begitu manis lagi penuh makna. Abu Bakar r.a menyangka baginda ingin menyertai jemaah solat Subuh pada pagi itu. Namun baginda mengisyaratkan agar solat dijalankan lantas baginda menutup tabir dan kembali ke kamar itu. Sedang dhuha makin meninggi dan mentari sudah mulai membahang, baginda s.a.w berada di ribaan isteri kesayangannya iaitu Saiditina Aishah r.ha. Antara hadis pesanan Nabi yang terucap di akhir hayat Baginda adalah:
الصَّلاَة! الصَّلاَة! وَمَامَلَكَتْ اَيمْاَنُكُمْ
“(Jagalah) Solat! (Jagalah) Solat! Dan orang bawah tanggunganmu”. Di detik-detik mencemaskan itu, baginda sempat bersugi (yang dipinjamkan daripada Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a) sambil mengucapkan; “Ya KepadaMu! Tuhanku Yang Maha Agung”! Sedarlah Aishah r.ha bahawa Baginda ingin berangkat pergi selama-lamanya kepada Tuhan Yang Maha Esa. Lalu ketika pagi 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah itulah baginda yang berusia 63 tahun telah wafat lalu dimakamkan di mana tempat kewafatannya iaitu di kamar Saidatina Aishah r.ha bersebelahan Masjid Nabi pada zaman Rasulullah s.a.w.
No comments:
Post a Comment