Piagam Madinah juga adalah salah satu elemen penting dalam sejarah Islam. Huraiannya adalah seperti pada tajuk-tajuk kecil yang berikut:
Konsep Piagam Madinah dan Isi-isinya
Sai’d Hawwa (1991) antara lain menyebutkan bahawa Piagam Madinah yang dikenali sebagai Sahifah al-Madinah, adalah perlembagaan bertulis yang pertama diiktiraf di dunia. Sebuah dokumen yang disusun oleh Nabi Muhammad s.a.w bagi mengikat perjanjian formal antara dirinya dengan semua suku-suku dan kaum-kaum penting di Yathrib (Madinah) di tahun 622 Masihi. Tujuan utama Sahifah ini antaranya untuk menyatukan Bani ʹAus dan Bani Khazraj dan menetapkan sejumlah hak-hak dan kewajiban-kewajiban bagi kaum Muslim (Muhajirin dan Ansar), Musyrikin Arab dan kaum Yahudi (Bani Nadir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah), dalam komuniti ummah yang merdeka dan berdaulat serta bertanggungjawab memelihara keamanan negara Madinah.
Isi Kandungan Piagam Madinah
- Semua penduduk Madinah mengakui Rasulullah sebagai ketua negara.
- Mengakui Muhajirin dan Ansar sebagai satu umat yang bertanggungjawab terhadap Allah, Rasul dan umat Islam.
- Mengakui kewujudan orang Yahudi dalam kelompok masing-masing dan orang musyrikin di Madinah.
- Setiap kaum mempunyai kebebasan beragama dan mengamalkan cara hidup masing-masing dalam suasana hidup bersama.
- Semua penduduk bertanggungjawab terhadap keselamatan negara Madinah daripada serangan musuh.
- Orang Yahudi dibenarkan hidup dalam cara mereka sendiri dalam suasana menghormati orang Islam dan mereka tidak dibenarkan melindungi nyawa dan harta Musyrikin Quraisy.
- Semua penduduk tidak boleh menyakiti, menzalimi dan memusuhi antara satu sama lain sebaliknya mereka mesti hidup tolong-menolong untuk pembangunan, ekonomi dan keselamatan masyarakat.
- Setiap kaum hendaklah merujuk kepada Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara apabila timbul sebarang masalah atau permusuhan sesama mereka.
- Mana-mana pihak dilarang mengadakan hubungan dengan pihak luar terutama dengan Musyrikin Makkah dan sekutu mereka.
- Piagam ini mempunyai kuasa melindungi semua pihak yang mempersetujui dan mempunyai hak mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggarnya.
2.6.2 Kesan Positif Setelah Piagam Madinah Termeterai
Hikmah daripada piagam Madinah, penduduk Madinah yang berbilang bangsa dan agama hidup bersatu padu. Selain itu, ajaran Islam yang murni dan akhlak nabi yang terpuji menarik minat golongan musyrikin untuk memeluk Islam. Maka syiar Islam pun berkembang. Bilangan umat Islam pula semakin bertambah sekali gus memperkukuhkan negara Islam Madinah di persada Tanah Arab dan setanding kerajaan dunia semasa ketika itu seperti Rom dan Parsi. Perbandingan sebelum dan selepas Piagam Madinah yang termeteri dalam melihat kesan positif perjanjian tersebut, dapatlah anda lihat dalam Jadual 6.2 di bawah ini.
Jadual 5.2 : Perbandingan sebelum dan selepas Piagam Madinah
Aspek
Perbandingan
|
Sebelum Piagam Madinah
|
Selepas Piagam Madinah
(Kesan Positif)
|
PERKEMBANGAN
ISLAM
|
Dakwah Islam terhalang dan sukar diterima
masyarakat.
|
Islam tersebar pesat dan terbentuknya negara Islam negara Madinah.
|
KERJASAMA
ANTARA KAUM
|
Kaum-kaum di Madinah
saling bermusuhan.
|
Mereka hidup bersatu-padu dan aman-damai.
|
EKONOMI
|
Ekonomi agak mundur.
|
Ekonomi bertukar jadi
semakin maju dan stabil.
|
KEHIDUPAN
RAKYAT
|
Umat Islam menderita, disiksa dan tiada pembelaan mahupun perlindungan.
|
Umat Islam berada dalam keamanan, makmur dan terjamin keselamatan
|
[Sumber: Ar-Rasul Muhammad s.a.w oleh Sa’id Hawwa]
Pengajaran Daripada Pembentukan Piagam Madinah
Piagam Madinah terakam dalam lebaran tamadun kemanusiaan sebagai undang-undang bertulis yang diiktiraf sebagai yang terawal dalam sejarah dunia. Daripada peristiwa besar dalam Sirah Rasul berupa pembentukan Piagam Madinah ini, dapatlah kita rumuskan beberapa pengajaran penting antaranya:
- Negara tanpa undang-undang, ibarat manusia tanpa pedoman, manusia akan sesuka hatinya melakukan pelbagai jenayah tanpa rasa segan dan malu. Hawa nafsu dijadikan Tuhan sebagai bertentangan dengan suruhan Ilahi. Perasaan kemanusiaan akan pudar dan hilang. Oleh itu, mewujudkan negara berperaturan adalah amat wajar demi keselamatan rakyat seluruhnya.
- Rasulullah s.a.w sebagai pembimbing umat menyebarkan dakwah kepada penduduk Madinah melalui kebijaksanaannya memimpin dengan mewujudkan Piagam Madinah. Justeru, umat Islam seharusnya mencontohi Nabi dalam segenap aspek kehidupan termasuk pentadbiran negara yang berdaulat dan merdeka.
- Peraturan dan undang-undang yang terlaksana mewujudkan iklim politik yang stabil dan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Peningkatan ekonomi penduduk Madinah dapat dirasai, berbanding sebelumnya. Ini disebabkan ramai pedagang-pedagang berhijrah ke Madinah untuk berniaga dalam keadaan selamat dan mendapat hasil yang menguntungkan setelah diyakini politik negara itu yang stabil.
- Persefahaman dan undang-undang yang kemas menyeragamkan hubungan masyarakat setempat dan merapatkan jurang perbezaan pelbagai kaum. Dengan Piagam Madinah, terbukti kehidupan masyarakat Madinah yang majmuk tersebut bertambah harmoni dan jauh daripada api sengketa atau permusuhan dalaman antara komuniti setempat.
- Undang-undang seharusnya meletakkan Allah s.w.t dan RasulNya sebagai tonggak tertinggi, agar wujudlah negara yang dijoloki sebagai Baldatun Taibatun wa Rabbun Ghafur. Dengan itu, terhasil sebuah negara yang dinaungi rahmat dan berkat daripada Allah Yang Maha Kuasa. Penduduk Madinah mentaati Rasulullah dalam peristiwa ini sebagai ketua dalam negara sekali gus menjadikan syariat Islam sebagai sumber perundangan yang paling utama.
No comments:
Post a Comment