Thursday, 14 May 2015

Perjanjian ‘Aqabah Pertama dan Perjanjian Aqabah Kedua

Perjanjian ‘Aqabah Pertama

Tahun Ke 11 Kerasulan

Aqabah merupakan sebuah lokasi ibadat haji (masy’ar al-Haram) di Mina,Bandar Makkah al-Mukarramah. Jaraknya kira-kira 10 kilometer daripada Masjid al-Haram, Makkah. Perjanjian ‘Aqabah pertama ini adalah hasil daripada pemelukan enam orang dari penduduk Yathrib (Madinah) di musim haji tahun ke-11 kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w. Mereka yang berada di Mina ketika itu sanggup dan bersedia menerima ajaran ‘baru’ ketika itu dan berjanji kepada Rasulullah untuk menyebarkan risalah Islam di Madinah, apabila mereka telah pulang daripada menunaikan haji kelak berbanding kaum Musyrikin Makkah yang memandang ‘lekeh’ ajakan Nabi kepada agama Islam yang murni ini.

Tahun Ke 12 Kerasulan

Hasilnya, pada musim haji berikutnya, bertepatan bulan Zulhijjah tahun ke-12 selepas kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w, bersamaan Julai 621 Masihi, seramai 12 orang lelaki termasuk 5 orang yang telah bertemu Rasulullah di tahun lepas telah tiba ke Makkah. Tujuh orang yang baru ini termasuk:

  1. Muaz bin al-Harith Ibn ʹAfa al-Najjari al-Khazraji
  2. Zakwan bin Abd al-Qais Banu Zuraiq al-Khazraji
  3. Ubbadah bin al-Samit daripada Bani Ghanam al-Khazraji
  4. Yazid bin Thaʹlabah sekutu Bani Ghanam al-Khazraji
  5. al-Abbas bin ‘Ubadah daripada Bani Salim al-Khazraji
  6. Abu al-Haitham bin Bani ‘Abd al-Tihan al-Asyhal al-Ausi
  7. Uwaim bin Saʹidah Bani Amru bin Auf al-Ausi

Dua yang akhir adalah daripada kabilah al-Aus manakala yang lain sebelumnya daripada suku al-Khazraj. Mereka kesemua telah bertemu dengan Rasulullah di Mina, terus berjanji dengan Rasulullah s.a.w berdasarkan Bai’ah al-Nisaʹ (Isi-isi Perjanjian Wanita), iaitu corak perjanjian yang dimeteraikan dengan kaum wanita semasa pembukaan kota Makkah. Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Ubbadah bin al-Samit bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata kepada mereka: “Ayuh mari berjanji denganku, untuk kamu:

  1. Tidak menyekutukan Allah dengan sebarang sesuatu
  2. Tidak mencuri
  3. Tidak berzina
  4. Tidak membunuh anak-anak kamu
  5. Tidak melakukan pembohongan dengan mendakwa anak-anak yang mereka pungut di jalan sebagai anak sendiri
  6. Tidak mengengkari aku pada kebaikan sesiapa di antara kamu yang menunaikannya maka balasannya adalah dari Allah s.w.t dan sesiapa  yang melanggarnya lalu dihukum maka itu adalah kaffarah baginya di dunia. Tetapi, sekiranya Allah melindunginya, maka itu terserah kepada Allah dan sekiranya Allah mengampunkannya maka itu adalah nasib baiknya”.

Sambung Ubbadah r.a “Dengan itu aku pun berjanjilah dengannya”. Dalam riwayat lain menyebut: ʺMaka kami pun berjanji dengannya di atas dasar ituʺ.

Perjanjian Aqabah Kedua

Tahun Ke-13 Kerasulan

Pada musim haji, bulan Zulhijjah tahun ke-13 selepas kerasulan pula, bersamaan Jun 622 Masihi, datang pula rombongan seramai 70 orang lebih kaum muslimin penduduk Yathrib, bersama-sama kumpulan haji musyrikin bagi melaksanakan ibadat haji. Dalam perjalanan itu, mereka memikirkan nasib Rasulullah s.a.w dan para Sahabat sudah tidak aman lagi di Makkah bahkan sentiasa menjadi buruan Kuffar Makkah dan diancam keselamatannya. Sebaik sahaja mereka tiba di Makkah, mereka telah membuat beberapa pertemuan sulit dengan Rasulullah hingga berakhir dengan persetujuan kedua belah pihak untuk mereka bertemu lagi di pertengahan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah), di persimpangan berhampiran ‘Aqabah di mana upacara Jamrah atau ibadat melontar dilakukan di sana. Pertemuanitu juga di dalam suasana rahsia di tengah malam gelap gelita. Di sini, salah seorang pemimpin Ansar untuk memberi laporan mengenai pertemuan yang bersejarah lagi penuh berkat itu, yang telah mengubah perjalanan masa dalam detik pertembungan di antara Islam dan penyembahan berhala, Kaab bin Malik al-Ansari r.a telah menceritakan:

Kami telah keluar ke tempat haji, sebelumnya kami telah pun membuat perjanjian dengan Rasulullah untuk bertemu di ʹAqabah pada pertengahan hari-hari Tasyriq. Pada malam yang kami janjikan itu, Abdullah bin Amru bin Hiram salah seorang ketua pimpinan kami dan orang yang kami muliakan, telah kami rencanakan satu perjumpaan yang sengaja kami rahsiakan daripada kaum sebangsa kami yang masih musyrik lagi, yang turut bersama untuk mengerjakan haji. Pada malam itu, kami telah berbincang dengan Abdullah bin Amru. Kata kami; ”Wahai Abu Jabir! Tuan adalah salah seorang pemimpin kami dan tokoh yang kami muliakan, sebenarnya kami tidak rela engkau dicampakkan ke dalam api neraka sebagai bahannya di suatu hari esok, dengan itu kami menyeru kepada Islam. Seterusnya kami ceritakan tentang pertemuan kami dengan Rasulullah di Aqabah. Kata Kaab tanpa berlengah: ”Abdullah bin ’Amru lantas mengucap dua kalimah syahada dan beliau turut serta di pertemuan ʹAqabah, di mana beliau telah dilantik menjadi naqib dan ketua”.

Sambung Kaab lagi: “Di malam itu, kami segera tidur bersama-sama kaum kami di samping peralatan perjalanan, sehingga apabila berlalu sepertiga malam, kami pun keluar dari perkarangan khemah untuk menemui Rasulullah s.a.w dengan penuh berhati-hati bak burung puyuh melalui denainya, hinggalah kami semuabertemu dan berkumpul di persimpangan al-’Aqabah. Kami yang berjumlah 73 orang lelaki dan 2 orang wanita iaitu; Nusaibah binti Kaab yang dikenali sebagai Ummu ʹAmmarah dari kabilah Bani Mazin bin Najar yang kedua ialah Asma’ binti Amru dikenali sebagai Ummu Hani’ dari kabilah Bani Salamah. Akhirnya, kami semua pun berkumpul di persimpangan yang dijanjikan,menunggu ketibaan Rasulullah. Tepat pada masanya, Rasulullah pun datang, dengan diiringi al-Abbas bin Abd al-Muttalib, yang masih lagi dengan agama kaumnya, namun beliau rela menyertai dan menyokong urusan anak saudaranya itu dan beliau pula orang pertama bercakap di dalam majlis itu”.

Jawab Kaab: “Kami menegaskan kepada al-Abbas: Sekarang kami hendak dengar dari Rasulullah, ayuh Rasulullah sebutkan apa sahaja kewajipan kami untuk dirinya (s.a.w) dan untuk Tuhannya sekehendak hati Rasulullah (s.a.w).” Jawapan Kaab itu menggambarkan keazaman yang memuncak, keyakinan, keberanian, keimanan dan keikhlasan yang bersifat infiniti di dalam rangka menanggung beban tanggungjawab yang amat agung itu, di samping mereka sudah menyangka dan mengambil kira risiko yang bakal menimpa mereka kelak. Akhirnya, Baginda Rasulullah s.a.w pun membentangkan isi-isi perjanjian dan dipersetujui oleh pihak al-Ansar.

Isi-isi Perjanjian ‘Aqabah Kedua

Imam Ahmad r.a telah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a bahawa daku berkata; “Wahai Rasulullah, di atas apakah yang akan kami berjanji dengan Tuan?” Jawab Rasulullah, kamu berjanji untuk:
  1. Mendengar dan mematuhi dalam keadaan sibuk mahupun lapang.
  2. Berinfaq semasa susah dan senang.
  3. Menyeru kepada maʹruf dan mencegah kemungkaran.
  4. Berjuang kerana Allah tanpa mempedulikan ancaman orang.
  5. Menyokong aku setibanya aku di kalangan kamu nanti, mempertahankan aku seperti mana kamu pertahankan diri dan anak isteri kamu, sebagai balasan, adalah syurga Allah di akhirat nanti.

Pengajaran Kisah

Mustafa al-Siba’ie (2004) telah menghuraikan beberapa pengajaran dan iktibar daripada perjanjian ‘Aqabah ini. Antaranya adalah seperti berikut :
a)    Penduduk Madinah bertemu Rasulullah dengan menunjukkan taat setia, semangat yang tinggi dan pengorbanan yang jitu ke atas baginda untuk membela baginda daripada ancaman kaum kafir Quraisy melalui perjanjian ‘Aqabah Pertama dan Kedua. Ia berfungsi sebagai jaminan dan pemangkin kelancaran dakwah Islam di zaman permulaannya.
b)    Kerahsiaan yang diamalkan oleh kaum muslimin dari Yathrib biarpun bersama rombongan kaum Musyrikin dari tempat yang sama termasuk kerahsiaan perjanjian daripada dihidu musuh Islam di Makkah adalah strategi dakwah yang efektif demi menjaga keselamatan diri dan kemaslahatan dakwah Islam itu sendiri.
c)    Perjanjian yang dilakukan menyebabkan bilangan dan kekuatan umat Islam bertambah. Seterusnya dapat membantu Rasulullah dalam mempertahankan kedaulatan agama Islam di samping menjamin syiar Islam berkembang ke seluruh Semenanjung Tanah Arab.
d)    Perpaduan dan persaudaraan kerana Allah s.w.t yang ditunjukkan dalam kisah perjanjian ‘Aqabah ini adalah teras kejayaan umat Islam dalam mengembangkan dakwah.
e)    Melalui kerjasama bulat dan perjanjian sepakat, maka umat Islam Makkah (Muhajirin) berjaya meraih jaminan politik dan kewangan yang kukuh serta paling kurang, sokongan moral penduduk Madinah.

No comments:

Post a Comment