Latar Belakang Sejarah Pembukaan Makkah
Pembukaan Kota Suci Makkah atau disebut dalam bahasa Arab sebagai Fathu Makkah (مكة فتح) merupakan peristiwa yang terjadi pada tahun 630 masihi bertepatan 10 Ramadan tahun 8 Hijriah, di mana Muhammad berserta 10,000 pasukan bergerak dari Madinah menuju ke Makkah dan kemudian menguasai Makkah secara keseluruhan, sekali gus menghancurkan berhala yang ditempatkan di dalam dan sekitar Kaabah. Ibn al-Qaiyim (t.th) telah menyebutkan:
“la adalah satu pembukaan teragung yang dengannya Allah memuliakan agamaNya, RasulNya, tenteraNya dan partiNya yang beramanah, dengannya juga Allah telah menyelamatkan negeri-negeriNya dan rumahNya yang telah pun ditetapkan sebagai tempat hidayah untuk seluruh alam sarwajagat, menyelamatkan dari tangan-tangan kafir dan musyrikin, ianya pembukaan yang turut bergembira olehnya penghuni-penghuni langit, lanjutan kemuliaannya melimpah ke angkasa cakerawala hingga dengannya maka berduyun-duyunlah manusia menganut agamaNya, hingga denganNya wajah bumi terukir seribu senyuman mekar”.
Sebab-sebab yang Membawa Pembukaan Makkah
Faktor utama kepada pembukaan Makkah adalah pengkhianatan Bani Bakar dan sekutu mereka kaum Musyrikin Quraisy terhadap perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian yang termeterai pada tahun 6 Hijrah itu, antara lain telah menggariskan suatu syarat perjanjian berupa:
”Sesiapa yang ingin menyertai Muhammad dan bersekutu dengannya, beliau berhak berbuat demikian dan sesiapa yang ingin berpihak dengan Quraisy dan bersekutu dengannya beliau berhak berbuat demikian. Mana-mana kabilah yang bersekutu dengan mana-mana pihak maka dia dianggap sebagai sebahagian dari kumpulan itu sekali gus mana-mana pelanggaran ke atas kabilah yang menyertai mana-mana dua pihak tadi adalah dianggap sebagai pelanggaran ke atas pihak lawannya”.
Berdasarkan syarat ini maka Bani Khuza’ah telah bersekutu dengan Rasulullah dan umat Islam, manakala Bani Bakar pula menyertai Quraisy. Dengan itu, kedua-dua kabilah ini menikmati keamanan dan kesejahteraan, sedangkan sebelum ini kedua-duanya saling bermusuhan dan membalas dendam yang diwarisi sejak zaman jahiliah lagi. Dengan kedatangan Islam dan termeterainya perjanjian keamanan al-Hudaibiah maka tersemai benih-benih perdamaian dan keamanan di antara semua pihak. Namun demikian, perjanjian dilanggar juga. Banu Bakar masih tetap hendak membalas dendam, di mana Naufal bin Muawiyah bersama jemaahnya Bani Bakar telah keluar di bulan Sya’ban tahun ke-8 Hijrah, lantas menyerang Bani Khuza’ah di malam hari, sedangkan mereka di masa itu sedang berada di kawasan berair yang dikenali sebagai ”al-Watir”. Dalam kejadian berkenaan, Banu Bakar telah berjaya membunuh orang-orang Khuza’ah. Sebagai lanjutan dan serangan balas, maka terjadilah pertarungan danpeperangan di antara keduanya hingga seterusnya pihak Musyrikin Quraisy di Makkah telah bertindak menghulurkan bantuan senjata kepada sekutunya Bani Bakar. Bukan setakat itu sahaja, malah beberapa tokoh Quraisy telah turut serta di dalam peperangan berkenaan dengan berselindung di sebalik kegelapan malam, hingga mereka berjaya membawa Bani Khuzaʹah ke dalam kawasan al- Haram Makkah. Oleh yang demikian maka berkatalah Banu Bakar:
”Wahai Naufal! Sekarang kita telah memasuki kawasan al-Haram. Ingatlah, Tuhanmu! Ingatlah Tuhanmu! Lantas tawanan Bani al-Khuza’ah mencelah: Wahai Bani Bakar! Tiada Tuhan di hari ini, kamu sudah pun membalas dendam kesumat kamu itu. Aku bersumpah, sebenarnya kamu telah melakukan pencabulan di kawasan Haram ini, tidakkah di sini sudah terbayar dendam kamu itu?”.
Setelah Bani Khuzaah melangkah masuk ke kawasan Makkah, mereka terus mendapat perlindungan di rumah Budail bin Warqa’ al-Khuza’i dan rumah kawan setia mereka yang dikenali sebagai Rafie’. Amru bin Salim al-Khuza’i terus meluru ke Madinah bagi menemui Rasulullah. Sesampainya beliau di sana, beliau pun mempersembahkan kepada Rasulullah s.a.w hasratnya melalui madahnya, sedang pada masa itu Rasulullah sedang duduk berbual di dalam masjid bersama-sama kaum muslimin.
Rasulullah s.a.w terus menjawab: ”Engkau dibela wahai Amru, kemudian baginda diperlihatkan mendung merintangi langit, maka katanya lagi: Awan berarak itu, pembuka pertolongan kalian”. Tidak berapa lama kemudian tiba pula Budail bin Warqa’ al-Khuza’i bersama beberapa orang dari Khuza’ah, di mana mereka menemui Rasulullah melaporkan bilangan mereka yang terkorban dalam serangan itu dan penyertaan langsung oleh Quraisy membantu Banu Bakar, kemudian mereka pun pulang semula ke Makkah. Begitulah pengkhianatan Banu Khuza’ah dan Musyrikin Makkah terhadap perdamaian Hudaibiyah akhirnya membawa kepada persiapan umat Islam untuk mengadili pengkhianatan itu melalui pembukaan Makkah.
Pihak Musyrikin Ingin Memperbaharui Perjanjian
Tidak syak lagi, puak kafir Quraisy dengan tindakannya bersama-sama dengan sekutunya Bani Bakar itu, jelas lagi bersuluh merupakan suatu pencerobohan kepada perjanjian dan pengkhianatan kepada perdamaian yang dimeterai bersama dalam Perjanjian Hudaibiyah lalu. Dalam kegusaran, kafir Quraisy mula menyedari kesalahan yang mereka lakukan itu, sekali gus merasai buruk padah daripada tindakan mereka di luar batasan. Untuk itu, mereka memanggil permesyuaratan untuk sidang tergempar. Keputusannya ialah menghantar pimpinan mereka Abu Sufian pada masa itu, untuk ke Madinah bagi memperbaharui perdamaian. Rasulullah (s.a.w) memberitahu kepada sekalian sahabatnya apa yang akan dilakukan oleh Quraisy dalam usaha mengatasi pengkhianatan mereka itu dengan sabdanya: ”Kamu akan didatangi Abu Sufian untuk mengemaskan perjanjian al-Hudaibiah itu, malah memohon untuk dilanjutkan lagi tempohnya”. Abu Sufian terus bergerak ke Madinah sebagaimana keputusan yang mereka persetujui, beliau bertemu dengan Budail bin Warqa’ dalam perjalanan pulang dari Madinah ke Makkah. Abu Sufian terus bertanya Budail: ”Kamu ini dari mana?” Abu Sufian mengesyaki yang beliau ini datang menemui Rasulullah (s.a.w). Jawab Budail: ”Aku bersiarsiar dengan Khuzaʹah di sekitar pantai tadi dan di sekeliling lembah-lembah ini”. Tanya Abu Sufian yang penuh meragui: ”Bukankah kamu datang menemui Muhammad?”Kata beliau: ”Tidaklah”. Setelah Budail berlepas ke Makkah, Abu Sufian berkata kepada teman yang mengiringiriya: ”Kalaulah Budail ini datang dari Madinah pasti tunggangannya memakan makanannya (alaf) yang mengandungi biji-biji al-Madinah”. Dengan itu beliau terus ke tempat najis unta dipecahkannya, memang beliau dapati bijian al-Madinah di dalam kandungan najis, maka kata Abu Sufian: ”Aku bersumpah demi Allah, Budail telah menemui Muhammad”. Walau bagaimanapun, Abu Sufian terus ke Madinah, pertama beliau datang menemui anak perempuannya, Ummu Habibah, setibanya di hadapan Ummu Habibah beliau pun mengayakan diri untuk duduk di atas hamparan Rasulullah (s.a.w), apa lagi Ummu Habibah pun menggulung hamparan tadi, maka kata Abu Sufian: “Kenapa wahai anakku apakah kau membencikan daku?” Maka jawab Ummu al- Mukminin: ”Itu adalah hamparan Rasulullah, kau ini musyrik najis. Jawab Abu Sufian: ”Selepas kau berpisah dari ku, kau telah terkena sihir. Dengan itu beliau keluar dari situ dan terus menemui Rasulullah s.a.w, Abu Sufian menegur baginda, tetapi Rasulullah tidak menjawab sepatah apa pun, kemudian beliau menemui Abu Bakar, meminta jasa baik beliau untuk menyampai hasratnya kepada Rasulullah s.a.w tapi jawab Abu Bakar: ”Aku tidak boleh berbuat apa pun, lantas beliau pergi menemui Umar dan beliau meminta Umar menolongnya dalam hal itu, maka jawab Umar: ”Apakah aku ini yang akan menjadi orang tengah untuk kamu? Demi Allah, kalaulah aku tidak mempunyai apa pun selain debu-debu, namun dengannya pun cukup untuk ku tentangi kamu, pasti aku lakukan. Kemudian beliau datang menemui Ali bin Abi Talib, di masa itu Fatimah sedang duduk di sampingnya, manakala anaknya Hasan sedang merangkak di hadapannya, kata Abu Sufian: “Wahai Ali, sebenarnya kaulah orang paling mengasihi daku, di hari ini aku datang memerlukan pertolonganmu, janganlah membiarkan daku pulang dengan hampa sahaja, daku memerlukan kau menjadi orang tengah, untuk menyampaikan hasrat ku kepada Muhammad, kata Ali pula: ”Celaka kau! Hai Abu Sufian, sebenarnya Rasulullah sudah berazam hendak melakukan sesuatu di mana kami tidak berhak untuk berbicara dengannya lalu beliau berpaling ke arah Fatimah dengan berkata: ”Boleh tak engkau menyuruh anak engkau ini melindungi manusia ramai, maka dengan itu beliau akan menjadi penghulu seluruh bangsa Arab hingga ke akhir zaman? Jawab Fatimah: Demi Allah mana boleh anak ku ini berbuat demikian, malah tiada siapa yang boleh menghalang Rasulullah s.a.w daripada bertindak.
Pada masa itu, Abu Sufian terasa dunia menjadi gelap dan berkata kepada Ali bin Abi Talib dalam keadaan serba kebingungan dan putus asa: ”Wahai Abu al- Hasan, aku mendapati keadaan semakin meruncing, cuba kau nasihatkan daku. Jawab Ali: ”Demi Allah, aku tak tahulah apa nasihat yang baik untuk kau, kerana kau sendiri adalah pemimpin Banu Kinanah, ayuh pergilah pinta perlindungan daripada orang ramai, kemudian pulanglah ke tanah airmu. Tanya Abu Sufian: ”Apakah itu boleh memberi sesuatu yang baik untuk ku? Jawab Ali: ”Demi Allah, aku tidak menyangkademikian, cuma aku tidak ada nasihat selain dari itu. Lantas Abu Sufian pun beredar dari situ menuju ke masjid, di sana beliau melaung: ”Wahai kalian, daku memohon perlindungan kalian, kemudian dia terus memecut untanya dan beredar”. Setibanya di pangkuan Quraisy, beliau terus disoal dengan kata mereka: ”Apa yang kau capai. Jawab beliau: ”Aku menemui Muhammad untuk berbicara dengannya dan demi Allah, tak sepatah yang dijawabnya, setelah itu aku menemui Ibnu Abi Quhafah, beliau pun sama, tidak suatu pun yang ku perolehi, kemudian terus kepada Umar Ibni al-Khattab: Ku dapati beliau musuh yang rendah profail, kemudian ku temui Ali bin Abi Talib, beliau adalah yang terlembut di antara kesemua. Beliau telah menasihati ku melakukan sesuatu, namun demikian aku pun tak pasti apakah pendapatnya itu boleh memberi sesuatu kebaikan? Tanya mereka: ”Apakah nasihat beliau kepada kamu?ʺ Kata Abu Sufian: ”Beliau menyuruh aku meminta perlindungandaripada orang ramai, maka aku pun buatlah seperti yang beliau syorkan itu. Tanya hadirin: ”Apakah Muhammad telah mempersetujuinya? Jawab Abu Sufian: Tidak. Kata hadirin: ”Celaka kau, penasihat kau itu tak lebih dari menambahkan cemuhan orang terhadap kau. Jawab Abu Sufian: ”Tidak! Demi Allah sebenarnya aku tak ada pilihan kecuali itu sahaja.
Pergerakan Tentera Islam Ke Arah Makkah
Sepuluh hari terakhir bulan Ramadan tahun ke-8 Hijrah Rasulullah pun bergerak keluar dari al-Madinah menuju ke Makkah dengan bala tentera seramai 10,000 orang yang kesemuanya dari kalangan para sahabat. Rasulullah meneruskan perjalanannya dalam keadaan berpuasa. Orang ramai pun turut berpuasa, hinggalah apabila baginda sampai ke al-Kadid, kawasan air yang terletak di antara ’Asafan dan al-Kadid, baginda membuka puasanya, maka sekalian tentera pun turut berbuka. Dari situ Baginda terus bergerak hingga sampai ke ”Mar al-Zahran dikenali juga sebagai Wadi Fatimah. Semasa Rasulullah singgah di situ, waktu sudah hampir Isyak. Di situlah Rasulullah memerintah tentera berkhemah, mereka menyalakan api, kira-kira ribuan api yang dinyalakan. Dari Mar al-Zahran tentera Islam menuju ke Makkah dengan memerintah al-Abbas supaya membawa Abu Sufian ke suatu lembah untuk memerhati pergerakan tentera Islam dari atas tebing cerun bukit. Al-Abbas pun membawa Abu Sufian ke sana. Bila tiba di situ, terdapat satu kabilah dengan panji-panjinya lantas beliau bertanya: ”Wahai Abbas itu siapa? Maka jawab Abbas seperti katanya: ”Itu Sulaim!, maka sampuk beliau: ”Apa peduli aku dengan Sulaim. Lepas itu berlalu pula kabilah yang lain, maka tanya Abu Sufian: ”Siapa mereka itu? Jawabal-Abbas: ”Itu Muzainah!. Kata Abu Sufian: ”Apa peduli aku dengan Muzainah. Hingga selesai semua Kabilah berlalu di situ dan diakhirnya Rasulullah memintas dari situ dalam satu kontinjen tentera yang serba hijau yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Dengan pandangan tajam Abu Sufian berkata: ”Subhanallah, siapa mereka ini wahai al-Abbas?. Jawab al-Abbas: ”Yang itulah Rasulullah bersama kaum Muhajirin dan Ansarnya. Maka kata Abu Sufian: ”Tak seorang punberdaya berhadapan dengan mereka ini. Sambungnya lagi: Demi Allah! Wahai Abu al-Fadhl, ”kerajaan anak saudara mu ini sudah menjadi agung di hari ini. Kata al-Abbas: ”Wahai Abu Sufian! Itu adalah ”kenabian.Jawab beliau: “Ya, itulah satu anugerah”.
Sewaktu Rasulullah melalui di hadapan Abu Sufian, al-Abbas berkata kepadanya;”Ayuh selamatkan kaum kau. Abu Sufian pun bergegas pulang ke Makkah, sesampainya beliau ke sana, terus beliau melaung sekuat-kuatnya: ”Wahai kalian Quraisy, itu dia Muhammad telah datang dengan tenteranya yang belum pernah ku saksi sebelum ini, maka sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat, lantas isterinya Hindun binti ’Utbah menuju ke arahnya lantas menarik misainya dan berkata: ”Bunuh si gemuk yang tak berguna ini, hodoh sungguh pengawal peninjau ini. Kata Abu Sufian pula: ”Binasalah kamu, di hari ini jangan kamu bersombong diri, kerana hari ini baginda telah datang dengan bala tentera yang belum pernah dilihat seramai ini, Ayuh cepat, siapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat. Jawab orang-orang Quraisy: ”Celaka engkau, apa yang boleh menyelamatkan kami sekiranya kami berada di dalam rumah mu ini?. Sambung Abu Sufian: ”Siapa yang masuk ke dalam rumahnya dan mengunci dari dalam, beliau juga terselamat dan sesiapa memasuki al-Masjid beliau juga selamat. Dalam pada itu, segolongan Quraisy yang singkat pemikiran berkumpul dengan Ikrimah bin Abi Jahal, Safwan bin Umaiyah dan Suhail bin Amru. Tempat itu dikenali sebagai al-Khandamah bertujuan memerangi kaum muslimin. Di antara mereka ada seorang dari kabilah Banu Bakar bernama Hamas bin Qais, beliau sebelum ini bertugas mengumpul senjata, di suatu hari pernah ditanya oleh isterinya: ”Kenapa kamu menyediakan apa yang ku lihat ini?. Jawab beliau: ”Kesemua ini untuk Muhammad dan sahabat-sahabatnya. Jawab isterinya: ”Tak ada suatu pun yang boleh menghalang Muhammad dan sahabat-sahabatnya.
(a) Tentera Islam di Zi Tawa
Rasulullah s.a.w telahpun bergerak hingga sampai ke Zi Tuwa atau Zi Tawa, semasa berjalan Rasulullah s.a.w sentiasa menunduk kepalanya merendah diri kepada Allah. Di situlah Rasulullah menyusun tenteranya, Baginda meletakkan:
(i) Arah Utara
Al-Zubair bin al-Awwam diletakkan di sebelah utara, bersama-sama beliau ialah Panji Rasulullah, beliau diarah supaya memasuki Makkah dari sebelah atas di mana panji itu dipacakkan di al-Hajjun, beliau menunggu di situ hinggalah Rasulullah sampai.
(ii) Arah Selatan
Khalid bin al-Walid di sebelah kanan bersama-sama dengan beliau ialah Aslam, Salim, Ghaffar, Muzainah, Juhainah dan beberapa kabilah-kabilah Arab yang lain. Diarahnya Khalid supaya memasuki Makkah dari sebelah bawah, dengan pesanannya: “Kalau kamu dapati ada orang-orang Quraisy yang menghalang kamu, kamu boleh bunuh mereka, hinggalah kamu menemui daku di al-Safa”.
(iii) Arah Timur
Abu Ubaidah bin al-Jarrah memimpin tentera pejalan kaki yang tidak membawa peralatan perang, beliau diarah supaya mengambil jalan ”Butun al-Wadi, bergerak hingga bertemu dan berdepan dengan Rasulullah di Makkah.
(iv) Arah Barat
Dari arah barat pula, Baginda Nabi Muhammad s.a.w telah meletakkan Saad bin Ubadah dan Ali bin Abi Talib bersama tenteramereka. Dengan itu, genaplah keempat-empat penjuru, telah dikuasai tentera Rasulullah s.a.w.
(b) Tentera Islam Memasuki Makkah
Setiap pasukan tentera Islam yang dibahagikan itu mengambil laluan masing-masing yang telah diarah kepada mereka. Adapun Khalid dan sahabat-sahabatnya tetap menundukkan sesiapa sahaja yang menghalang, namun dua orang dari sahabatnya iaitu Kurz bin Jabir al-Fihri dan Khanis bin Khalid bin Rabi’ah telah terkeluar dari kumpulannya, di mana mereka telah mengambil jalan lain menyebabkan mereka dibunuh. Golongan Quraisy yang singkat pemikiran telah bertembung dengan Khalid bin al-Walid dan sahabat-sahabatnya di al-Khandamah. Justeru, berlakulah satu pertarungan kecil hingga terbunuh dua belas (12) orang musyrikin dan berakhir dengan kekalahan Quraisy. Khalid terus mara menggeledah penjuru Makkah, akhirnya beliau sampai ke hadapan Rasulullah di al-Safa. Manakala al-Zubair maju ke hadapan hingga sampai ke Al-Hajjun, di tepi masjid al-Fatah di mana beliau memacak panji Rasulullah (s.a.w). Beliau kemudiannya tidak ke mana-mana hinggalah Rasulullah datang.
(c) Rasulullah Memasuki Al-Masjid Al-Haram
Setelah itu, Rasulullah pun bangun sedang kaum Muhajirin dan al-Ansar mengelilingi baginda dan memasuki masjid. Baginda terus menuju ke Hajar al-Aswad dan menyentuhnya dengan tangan baginda, kemudian bertawaf mengelilingi Kaabah, baginda menjatuhkan berhala-hala sebanyak 360 buah dari atas Kaabah, dengan busar panah (suatu riwayat –tongkatnya) yang di tangannya sambil berkata:
”Kebenaran telah datang dan kebatilan menghilang, sesungguhnya kebatilan itu
telah terpadam.(al-Isra’: 81)
NDIRI 6.
”Kebenaran telah datang dan kebatilan tiada lagi menjelang dan tiada pula ia
berulang”.(Saba’: 49)
Serentak dengan bacaan ayat-ayat mulia itu, maka berhala-hala pun jatuh dan tumbang, hancur berderai-derai. Rasulullah melakukan tawaf di sekeliling Kaabah dengan menunggang kenderaannya, di masa itu bertawaf dengan menunggang kenderaan belum diharamkan lagi di dalam syarak. Baginda hanya melakukan tawaf sahaja, apabila baginda menyempurnakan bilangan tawaf, Rasulullah terus memanggil Usman bin Talhah, baginda mengambil anak kunci Kaabah darinya dan disuruh membuka pintu Kaabah. Apabila baginda melangkah masuk baginda mendapati di dalamnya gambar-gambar, di antaranya gambar Nabi Ibrahim dan Ismail a.s yang sedang bersumpah dengan berhala.
Kata Rasulullah:
“Allah memusnahkan mereka yang mengada-adakan semuanya ini? Demi Allah mereka tidak pun pernah bersumpah dengan berhala”. Kemudian Baginda terlihat ukiran kayu seekor burung merpati, terus Baginda memecahkannya, manakala gambar-gambar di dalam Kaabah diperintah supaya dipadamkannya.
(d) Ucapan Rasulullah Sebaik Bersolat di dalam Kaabah
Baginda Rasulullah s.a.w setelah itu, menutup pintu Kaabah sedang baginda di dalam Kaabah bersama Usamah dan Bilal, di situ baginda berdiri dengan membelakang pintu Kaabah, apabila baginda melangkah ke depan dengan jarak tiga hasta baginda berhenti di situ, jadi dua tiang sebelah kirinya dan satu tiang berada di sebelah kanan baginda. Di belakang baginda tiga tiang, kerana al-Haram di masa itu didirikan atas enam batang tiang. Baginda bersolat di situ, setelah baginda berjalan-jalan di dalam Kaabah, bertakbir di setiap penjurunya, menyebut kalimah Tauhid, kemudian barulah baginda membuka pintunya, di masa itu Quraisy sedang memenuhi ruang masjid secara bersaf menunggu apa yang hendak dilakukan oleh Rasulullah ke atas mereka. Rasulullah memegang lawang pintu Kaabah, sedang khalayak Quraisy menunggu di bawah, dengan sabdanya:
”Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya, benar janjiNya, membantu hambaNya, mengalahkan golongan Ahzab sendiriNya, ingatlah setiap warisan lama, setiap warisan Jahiliah samada harta benda atau darah kesemuanya di bawah kakiku ini, kecuali penjaga Baitullah dan pemberi minum kepada Jemaah Haji. Ingatlah, pembunuhan tanpa hak adalah dendanya terlalu berat, iaitu seratus ekor unta, empat puluh darinya sedang sarat mengandung. Wahai kalian Quraisy, sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan dari kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan baka keturunan, sebenarnya manusia adalah dari Adam sedang Adam adalah dari tanah”. Kemudian baginda membaca ayat:
”Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu sebagai lelaki dan perempuan, dan Kami ciptakan kamu berbangsa-bangsa berkabilah-kabilah untuk kamu berkenalan, sesungguhnya yang termulia dari kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
Lagi Bijaksana”. (al-Hujuraat: 13)
(e) Kemaafan yang Tiada Tolok Bandingnya
Rasulullah menyambung ucapan baginda dengan sabdanya:
“Wahai kalian Quraisy, apakah yang kamu fikirkan akan ku lakukan terhadap kamu semua? Jawab mereka: “Tentulah baik, kerana saudara seorang yang mulia anak kepada saudara yang mulia”. Maka jawab Rasulullah: Sesungguhnya aku berkata kepada kalian seperti Yusof telah berkata kepada saudara-saudaranya: Tiada tempelak ke atas kamu di hari ini! Pergilah! Kamu semua adalah bebas.(Yusuf: 97)
Isra’ dan Mikraj diabadikan dalam sejarah sebagai suatu mukjizat agung yang dikurniakan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w yang menyimpan pelbagai berita ghaib dan rahsia kekuasaanNya yang tidak terhingga.
- Perjanjian Aqabah pertama dan kedua adalah persefahaman yang bersejarah dalam pembentukan negara Islam pertama yang diasaskan Baginda Rasulullah s.a.w di Kota Suci Madinah al-Munawwarah.
- Peristiwa Hijrah membawa erti sangat besar kepada dunia Islam. Justeru, Saidina Umar telah mengambil sempena hijrah ini sebagai taqwim yang menentukan kalendar umat Islam yang kekal ke hari kiamat.
- Beralah bukan ertinya mengalah, bertolak ansur dan berdiplomasi bukan pula lambang kelemahan diri. Hal ini terbukti di sebalik sikap toleransi Rasulullah s.a.w melalui Perjanjian Hudaibiyah yang akhirnya membawa pulangan yang sangat produktif kepada perkembangan dakwah di Semenanjung Tanah Arab.
- Pembukaan Kota Suci Makkah adalah hadiah terbesar yang dikurniakan Allah s.w.t kepada umat Islam yang sanggup berkorban meninggalkan kota tersebut semasa hijrah yang lampau.
- Rakyat yang baik adalah hasil daripada teladan dan contoh daripada pimpinan yang terbaik. Abu Sufian adalah pimpinan Quraisy Makkah yang asalnya menentang dakwah Islam. Namun, apabila di‘pegang’ oleh Rasulullah s.a.w, maka seluruh masyarakat turut mengikuti jejak langkah pimpinan mereka.
- Kemaafan yang paling agung adalah di saat seseorang itu paling berkuasa menjatuhkan hukuman kepada pesalahnya. Nabi Muhammad adalah seorang insan mulia teladan yang tiada setaranya di dunia ini.
- Nabi Ibrahim a.s. – Abu Anbiyak dimuliakan Allah sebagai jurubina pertama Kaabah sedang Nabi Muhammad s.a.w – Khatamul Anbiyak dimuliakan sebagai Pembuka Kota Makkah daripada penjajahan Jahiliah dan kegelapan syirik.
No comments:
Post a Comment