Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti (1991) menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah menuju ke gua Hira’ yang terletak di sebuah bukit yang dikenali dengan Jabal Nur di bahagian sebelah barat laut Makkah untuk mengasingkan diri. Di sanalah baginda beribadah kepada Allah s.w.t. Tujuan baginda s.a.w. mengasingkan diri di Gua Hira’ adalah untuk:
- Beribadat kepada Allah s.w.t berdasarkan syariat Nabi Ibrahim a.s. yang berupa solat, zikir dan lain-lain;
- Mengasingkan diri daripada suasana Jahiliah yang bermaharajalela di Bumi Makkah; dan
- Membersihkan jiwa sambil bertafakur memikirkan kebesaran Ilahi.
Nabi Muhammad s.a.w. berulang alik dari rumah ke gua Hira’ (Rajah 6.2) selama beberapa bulan. Pada suatu hari baginda mendapat mimpi yang benar iaitu ternampak cahaya seperti pancaran sinar yang terang di waktu pagi yang memberi tanda akan datangnya kebaikan. Pada 17 Ramadan tahun 610M, sedang baginda beribadah di gua Hira’ datanglah malaikat Jibril a.s membawa wahyu daripada Allah s.w.t., lalu mengajar baginda membaca. Maka berlakulah dialog antara Nabi Muhammad s.a.w. dan malaikat Jibril a.s. seperti berikut:
Jibril: Bacalah! (wahai Muhammad).
Muhammad: Saya tidak pandai membaca !
Malaikat Jibril memeluk Nabi Muhammad s.a.w. dengan kuat, kemudian melepaskannya dan menyuruh lagi baginda membaca. Jibril a.s. telah mengulangi sebanyak tiga kali tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tetap menjawab bahawa baginda tidak tahu membaca. Lalu malaikat Jibril a.s membaca ayat 1 hingga 5 dari Surah al-ÂAlaq sebagai ayat-ayat yang pertama diturunkan Tuhan. Lima ayat tersebut bermaksud:
Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam (menulis,membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.(al-Alaq 96: 1-5)
Setelah itu, Rasulullah s.a.w. pun pulang dalam keadaan ketakutan lalu menemui Khadijah binti Khuwailid r.ha dirumahnya, sambil berkata: “Selimutkanlah daku! selimutkanlah daku!”. Baginda s.a.w. lantas diselimutkan sehingga hilang rasa gerun dan takut. Akhirnya, baginda s.a.w. menceritakan kepada Khadijah tentang peristiwa aneh yang berlaku ke atas dirinya, lalu Khadijah r.ha berkata: “Tak mungkin. Demi Allah, Allah tidak sekali-kali akan menghina kamu. Kamu menyambung silaturrahim, menanggung pihak yang lemah, memberi pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang hak”.
Rasulullah s.a.w. terus di bawa oleh Khadijah menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah dan penulis kitab Injil dalam bahasa Al-Ibrani lantaran beliau merupakan penganut agama Kristian di zaman Jahiliah. Baginda s.a.w. telah menceritakan peristiwa yang telah baginda alami semasa di gua Hira’. Lantas Waraqah yang ketika itu telah tua dan buta berkata: “Ia adalah Namus (pembawa wahyu, iaitu Jibril) yang pernah turun kepada nabi Musa a.s”.
Alangkah baiknya kalau aku masih muda remaja dan kuat. Semoga aku masih hidup ketika kaum kamu mengusirmu keluar”. Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah mereka akan mengusirku“. Lalu Waraqah itu menjelaskan: “Ya! Tiada seorang lelaki yang datang membawa seperti apa yang kamu bawa, pasti akan dimusuhi. “Sekiranya aku sempat dengan hari itu, aku akan menolong kamu semampuku”. Namun, tidak berapa lama setelah itu, Waraqah pun meninggal dunia sebelum sempat menunaikan hajat murninya itu.
Kesimpulannya, peristiwa Nuzul al-Quran merupakan satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Nuzul al-Quran ini seterusnya terjadi berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan bersamaan 610M, ketika usia Nabi Muhamad s.a.w. 40 tahun. Perkataan Al-Nuzul bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi s.a.w. maka ia memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Pengajaran Kisah
Mustafa al-Siba`ie (2004) menghuraikan beberapa pengajaran dan iktibar yang dapat anda ambil daripada peristiwa agung turunnya wahyu pertama ini.
Antaranya adalah seperti berikut:
a) Apabila Allah ingin mendorong seseorang hamba berdakwah kepada kebaikan dan pengislahan, Dia akan memasukkan ke dalam hatinya, rasa benci kepada kesesatan dan kerosakan yang dilakukan oleh masyarakatnya.
b) Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bercita-cita menjawat tugas kenabian dan kerasulan. Apa yang Allah s.w.t ilhamkan kepada Baginda hanyalah rasa cinta untuk berkhulwah melakukan ibadat. Allah mengilhamkan perasaan tersebut sebagai proses pembersihan dan persediaan rohani untuk memikul bebanan risalah. Sekiranya Baginda s.a.w. bercita-cita memperolehi kenabian, nescaya Baginda tidak takut malah bersedia ketika wahyu diturunkan kepadanya, tetapi yang berlaku sebaliknya. Pentingnya merujuk kepada orang yang berilmu untuk kepastian terhadap perkara penting yang berlaku. Rasul s.a.w. sebenarnya telah mendapat kepastian bahawa Baginda adalah Rasul, setelah melihat Jibril a.s. Namun kepastian itu menjadi lebih kuat setelah Waraqah bin Naufal menegaskan perkara itu kepada Baginda s.a.w. Ini menunjukkan peri pentingnya ilmu dalam kehidupan kita agar kita tidak sesat dan silap arah pedoman.
No comments:
Post a Comment