Senario Selepas Pembukaan Kota Makkah
Muhammad Mukhtar Syafie dan Ghazali Basri (1983) menjelaskan bahawa peristiwa Pembukaan Kota Suci Makkah pada tahun ke lapan Hijrah adalah momentum baru dan janakuasa yang begitu hebat impaknya dalam perkembangan Islam di Semenanjung Tanah Arab sepenuhnya bahkan melewati kerajaan Rom, Parsi, Mesir, Habsyah dan sekitarnya. Sebelumnya tentangan dan serangan dilancarkan oleh kaum Musyrikin Makkah daripada kalangan pembesar-pembesar Quraisy. Namun, majoriti mereka telah memeluk agama Islam dalam peristiwa Fathu Makkah itu dan kota suci itu aman daripada segala syirik dan jahiliah bahkan ia bertindak menjadi nadi baru kepada penyebaran dakwah dengan rancaknya. Tambahan pula, kedudukannya di pusat dunia dan kewujudan Ka’bah sebagai qiblat umat Islam serta lokasi ibadat haji saban tahun, mengundang jemaah yang ramai untuk menghayati syariat Islam yang suci ini.
Dalam pada itu, perkembangan Islam setelah pembukaan Makkah turut didorong oleh siri al-Ghazawat atau peperangan dan jihad menegakkan kalimah Allah s.w.t serta memadamkan sebarang cubaan ke arah menggagalkan penyebaran dakwah Islam ke seluruh Tanah Arab.
Bil.
|
Peperangan/
Peristiwa
|
Huraian
|
1
|
Perang Hunain
|
1. Berlaku pada bulan Syawal tahun ke 8 Hijrah.
2. Faktornya adalah kerana sikap keangkuhan Bani Hawazin dan Thaqif di Taif cuba menyekat penyebaran Islam.
3. Kemuncaknya, pihak musuh seramai 4 ribu orang telah berkubu di Hunain bagi melancarkan serangan mengejut ke atas umat Islam.
4. Justeru, seramai 12 ribu umat Islam telah keluar ke Hunain termasuk penduduk Makkah yang baru memeluk Islam.
5. Disebabkan terlalu yakin dengan bilangan yang ramai, tentera Islam pada awalnya digempur secara mengejut oleh tentera musuh.
6. Ada juga yang lari semula ke Makkah ketakutan.
7. Akhirnya, Nabi s.a.w melaungkan; “Daku Nabi Tiada Dusta! Akulah cucunda Abdul Mutalib!” Sambil melontarkan pasir di genggaman tangan baginda, baginda berteriak; “Binasalah kamu!”.
8. Perang Hunain tamat dengan kekalahan pihak musuh. Ramai yang pulang ke Taif semula termasuk pemimpinnya Malik bin ‘Auf.
9. Banyak harta rampasan yang diperolehi dan tawanan perang. Kesemuanya dibawa ke Ja’ranah (15km dari Makkah) untuk diagihkan.
|
2
|
Perang Taif
|
1. Malik bin ‘Auf masih belum berpuas hati dengan Perang Hunain. Dia sekali lagi mengatur persiapan untuk serangan balas ke atas umat Islam dari kubu kuatnya di Taif.
2. Berlaku pada bulan Syawal tahun ke 8 Hijrah dan rentetan daripada Perang Hunain.
3. Rasulullah s.a.w mengancam penduduk Taif dengan pembinasaan kebun buah-buahan dan tanaman mereka sekiranya mereka degil.
4. Lalu mereka pun menghantar utusan untuk rundingan damai dan meminta agar tanaman mereka tidak dimusnahkan.
5. Rasulullah s.a.w berjanji akan membatalkan hasrat menyerang mereka dengan syarat mereka menyerah kalah secara aman.
6. Akhirnya, Malik bin ‘Auf bersama-sama para pengikutnya menemui Rasulullah s.a.w untuk menyatakan keislaman mereka.
7. Setelah itu, barulah Baginda s.a.w bergerak pulang ke Makkah.
8. Dalam perjalanan, setibanya mereka di Ja’ranah, mereka membahagikan harta rampasan perang sesama tentera Islam termasuk kaum muallaf.
|
3
|
Perang Tabuk
|
1. Perang Tabuk berlaku pada tahun ke 9 Hijrah.
2. Peperangan terakhir yang disertai oleh Nabi Muhammad s.a.w.
3. Berlaku setelah kepulangan tentera Islam dari Perang Mu’tah di Jordan. Ramai juga tentera Islam yang syahid di situ.
4. Tujuannya adalah untuk menyekat kekuasaan kerajaan Rom yang berada di Negara Syam yang menggunakan sempadan Tanah Arab itu untuk menyerang Tanah Arab.
5. Di samping itu, Rasulullah s.a.w bertindak mengajak para pembesar di wilayah tersebut untuk memeluk Islam atau memberi jaminan keselamatan nyawa dan harta sekiranya mereka menyerah diri.
6. Perang Tabuk dilatari oleh musim buah-buahan yang ranum dan sedia dipetik, perjalanan yang jauh dan kekuatan tentera Rom.
7. Nabi s.a.w bersama 30 ribu tentera Islam telah singgah di Tabuk. Apabila tentera Romawi mendapat tahu kemaraan tentera Islam ke sempadan negara mereka, maka mereka berasa gentar lalu menarik diri untuk bertempur.
8. Walau bagaimanapun, tentera Islam tidak pula mengejar mereka.
9. Tentera Islam bermukim di Tabuk selama 20 hari lamanya. Setelah keadaan didapati stabil, mereka pun pulang ke Madinah dengan selamatnya.
10. Perang Tabuk selesai pada bulan Zulkaedah tahun 9 Hijriah.
|
4
|
Ibadat Haji Pimpinan Saidina Abu Bakar
|
1. Menjelang ibadat haji pada tahun 9 Hijrah, Rasulullah s.a.w mengutuskan Abu Bakar r.a untuk memimpin jemaah haji ke Makkah.
2. Baginda ingin mengisytiharkan melalui Abu Bakar r.a bahawa ibadat haji adalah dilarang bagi orang-orang bukan Islam tahun hadapan.
|
5
|
Tahun Delegasi atau
‘Am al-Wufud
|
1. Tahun ke 9 Hijrah digelar sebagai Tahun Ketibaan Delegasi atau Rombongan dari serata pelusuk Tanah Arab.
2. Setiap kabilah tiba ke Madinah al-Munawwarah bagi mengisytiharkan kemasukan mereka ke dalam agama Islam.
3. Ibn Sa’ad dalam kitab Tabaqat Kubra telah menyenaraikan seramai 60 rombongan telah menemui Rasulullah s.a.w bagi tujuan itu.
4. Antaranya;
§ Bani Tamim
§ Bani ‘Amir
§ Bani Saad
§ Abdul Qais
§ Bani Hanifah
§ Bani Zubaid
§ Bani al-Harith bin Kaab
§ Adi bin Hatim dan lain-lain lagi
5. Kebanyakan ketua-ketua kabilah itu pulang lalu menyebarkan pula Islam kepada kaumnya
|
[Sumber: Mengenal Islam oleh Muhammad Mukhtar Syafie dan Ghazali Basri (1982)]
Pengajaran Daripada Sirah
Daripada siri peperangan dan peristiwa yang berlaku di sebalik perkembangan Islam di zaman Nabi s.a.w khususnya setelah pembukaan Kota Suci Makkah dapatlah kita mempelajari daripada Sirah Rasul ini beberapa panduan:
- Umat Islam perlu senantiasa bersiap sedia menghadapi segala mara bahaya daripada pihak musuh biarpun keadaan aman dan stabil.
- Bilangan yang ramai tidak menjamin kemenangan tentera dalam peperangan sekiranya jiwa mereka berasa terlalu yakin pada kekuatan diri hingga leka dengan kuasa dan iradah Allah s.w.t adalah kunci kemenangannya.
- Kesabaran dan ketabahan hati serta tawakkal yang tinggi pada Ilahi memandu seseorang insan ke jalan kemenangan dan kejayaan.
- Kekuatan Islam mula disedari oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi bagi menandakan sinar Islam yang gemilang di bawah pimpinan Nabi s.a.w. Dewasa ini, Islam tidak lagi digeruni dan dipandang hebat oleh kuasa-kuasa besar dunia. Puncanya adalah umat Islam tidak lagi mengamalkan Islam sepenuhnya.
- Perjuangan Islam tidak mungkin terjadi tanpa pengorbanan dan jihad yang tinggi. Ramuan itulah yang menjadi resepi kecemerlangan generasi umat Islam yang silam.
- Usah sekali-kali kecewa dan putus harapan di jalan dakwah atau bidang pendidikan anda! Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah dibaling batu oleh kaum Bani Thaqif dan Hawazin di Taif ketika berdakwah kepada mereka. Baginda ditawarkan kehancuran penentangnya oleh malaikat tetapi baginda hanya menjawab: “Mereka tidak mengetahui apa-apa! Kelak, mungkin zuriat mereka bakal memeluk Islam”. Akhirnya, penduduk Taif tunduk juga kepada Islam dan berbakti kepada agama yang tercinta.
- Perancangan dan strategi sangat penting dalam usaha dakwah Islam. Ia bukanlah hanya sekadar menyerah pada takdir dan suratan Yang Kuasa. Dalam tempoh kurang 10 tahun di Madinah, baginda berjaya menyatukan penduduk Tanah Arab dengan keimanan dan tauhid.
No comments:
Post a Comment