Hijrah dari segi bahasa bererti perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi istilah sejarah pula, hijrah bermaksud perpindahan Nabi dan umat Islam dari kota Makkah ke kota Madinah pada 12 Rabi’ul Awal tahun ke-14 kerasulan bersamaan tahun 622 Masihi sebagai mentaati titah perintah Tuhan dan demi memastikan dakwah Islam terus berjalan.
Latar Belakang Hijrah
Peristiwa hijrah telah menjadi satu titik peralihan kepada dakwah Nabi s.a.w bersama para Sahabat dan strategi bijak bagi memaju perkembangan agama Islam di Semenanjung Tanah Arab dan dunia umumnya. Penghijrahan ini dilakukan secara diam-diam bagi mengelakkan diketahui oleh musyirikin Makkah. Mereka berpindah pun dalam kumpulan yang kecil. Nabi sendiri hanya ditemani oleh Abu Bakar sebelum bertolak ke Madinah.
Awal Muharam tahun pertama Hijrah bersamaan 16 Julai tahun 622 Masihi adalah permulaan peristiwa Hijrah berlangsung dan Baginda s.a.w bersama Abu Bakar r.a telah tiba di Qubaʹ, pintu masuk Madinah, pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun pertama Hijrah bersamaan 24 September 622 Masihi. 12 Rabiul Awal ini sama tepatnya dengan tarikh kelahiran dan kewafatan baginda bagi membuktikan ketentuan Ilahi Yang Maha Kuasa.
Baiʹah ʹAqabah
Termeterainya Perjanjian ʹAqabah mengundang dan membuka jalan yang penuh bergaya bagi proses Hijrah dalam sejarah Islam. Melalui perjanjian ini, Nabi telah meraih sambutan dan jaminan keselamatan penduduk Madinah bagi memastikan kelangsungan dakwah dan syiar Islam. Dalam Perjanjian ’Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat; manakala dalam Perjanjian ’Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi dan umat Islam. Pelawaan tapak dan pentas baru bagi Islam berpijak dan berkembang adalah bibit-bibit utama kejayaan proses hijrah ini.
Tekanan Musyrikin Makkah
Tekanan atau ancaman dari musyrikin Makkah telah mendorong Nabi dan umat Islam berhijrah ke Madinah. Nabi dan orang-orang Islam bukan sekadar telah dihina, diejek, diseksa dan dipulau, malah Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyrikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas di samping mereka adalah penyembah berhala yang tegar di bawah kongkongan sistem jahiliah yang mereka ciptakan sendiri. Tekanan ini boleh membantutkan usaha penyebaran dakwah Islam sedangkan risalah murni ini mesti diteruskan. Justeru, Makkah bukanlah lokasi yang kondusif bagi aktiviti dakwah dan pelaksanaan syariat Islam di saat itu hinggalah Allah mengizinkan umat Islam berhijrah ke Madinah sebagai pusat penyebaran Islam yang baru.
Penolakan Dakwah di Taif
Apabila Rasulullah s.a.w mendapati penentangan yang amat kuat di Makkah, maka baginda pun mencuba nasib untuk berdakwah kepada penduduk di Taif pula. Rupa-rupanya, Bani Thaqif di Taif pun menolak dakwah Islam daripada Nabi Muhammad s.a.w, bahkan respon mereka seawal ketibaan Nabi adalah terlalu buruk hingga baginda dilontarkan batu yang membawa kecederaan tubuh baginda yang mulia yang ditemani Zaid bin Harithah r.a ketika itu. Namun Nabi tidak kenal kecewa danputus asa. Setelah penduduk Taif menolak dakwah Islam ini, maka Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Makkah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Sebenarnya, penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Makkah.
Kematian Abu Talib dan Khadijah
Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.
Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah
Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan daripada penduduk Makkah kurang menggalakkan. Sikap penduduk Makkah amat mengecewakan. Di Makkah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding Madinah. Oleh itu, adalah diharapkan hijrah ke Madinah membawa kegemilangan prospek dakwah Islam.
Persediaan Penduduk Madinah Menerima Nabi
Persediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Di samping itu, penduduk Madinah berharap Nabi dapat memberi sinar perdamaian terhadap perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca daripada perebutan kuasa di Madinah.
(g) Lokasi Madinah Yang Strategik
Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi sebagai pusat perdagangan dan perkembangan ekonomi serantau. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi penyebaran dakwah tetapi juga politik dan ekonomi.
Penduduk Madinah Hampir dengan Agama Samawi
Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semula jadi yang lebih lembut berbanding penduduk Makkah.
Perintah dan Perancangan Allah s.w.t
Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Hakikatnya, hijrah adalah perancangan Allah s.w.t yang lebih hebat menandingi tipu daya musuh Islam, sebagaimana firmanNya berbunyi: “Dan ingatlah (wahai Muhammad), tatkala orang-orang kafir (Makkah) membuat tipu daya terhadapmu bagi menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu sedangkan Allahlah yang menggagalkan tipu daya mereka kerana Allah sebaikbaik yang menggagalkan tipu daya”.(al-Anfal: 30)
Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Makkah terhadap Nabi. Dalam pada itu, wahyu ini memberi isyarat perancangan Allah dan perintahNya kepada Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah bagi menghindari tipu muslihat kaum kafir musyrikin Makkah. Ini membuktikan bahawa Islam amat menitik beratkan pelan strategik masa depan lantaran kebenaran yang dilaksanakan tanpa perancangan pasti dikalahkan oleh kebatilan yang penuh strategi dan perancangan. Di samping itu, hijrah merupakan titik peralihan yang amat penting bagi Nabi Muhammad s.a.w sendiri dan perkembangan Islam di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment