Konsep Program Persaudaraan
Hj. Zainal Arifin Abbas (1970) menyebutkan bahawa Program Persaudaraan Antara Muhajirin (golongan Muslimin yang berhijrah ke Makkah) dan Ansar (golongan Muslimin yang membantu di Madinah) berlangsung setelah 5 atau 8 bulan baginda menetap di Madinah. Program ini dilancarkan oleh Nabi s.a.w melibatkan 40 hingga 50 persaudaraan di mana dua orang terlibat dalam satu saudara. Persaudaraan ini bukan sekadar ikatan berbentuk lahiriah, namun ia adalah ikatan persaudaraan berteraskan keimanan kepada Tuhan dan RasulNya.
Justeru, mereka yang bersaudara berhak mendapatkan hak perwarisan daripada saudaranya pada permulaan ia dilancarkan. Namun, hak perwarisan sesama saudara seislam telah dimansuhkan dengan sistem faraid yang lebih kemas dan teratur setelah itu.
Muhammad Al-Ghazaliy (1996) menambah bahawa program murni ini melibatkan kelompok umat Islam sesama sendiri dengan dibina atas dasar persaudaraan yang sempurna. Program Persaudaraan ini bermaksud: “Persaudaraan yang mampu mengikis perasaan keakuan dalam diri, hingga setiap individu akan bertindak dan bergerak dengan ruh dan semangat kekitaan hingga sanggup berkhidmat demi kemaslahatan dan aspirasi masyarakat Madinah seluruhnya”.
Objektif Program Persaudaraan
Terdapat beberapa objektif yang murni di sebalik program persaudaraan yang dilancarkan Nabi Muhammad s.a.w antaranya:-
(a) Melenyapkan fanatisme kesukuan atau semangat Asabiyah Jahiliah yang berpaksikan pengabdian diri kepada lain daripada Allah s.w.t. Ini kerana persaudaraan yang digagaskan Rasulullah s.a.w berteraskan keimanan yang tulus kepada Allah dan bertunjangkan Islam yang murni. Melalui program ini, runtuhlah anasir-anasir kedaerahan dan sikap perkauman.
(b) Menghapuskan sengketa dan memadamkan api permusuhan selama ini antara kaum Aus dan Khazraj di Madinah dengan melibatkan pihak ketiga iaitu kaum Muhajirin daripada Makkah. Dengan itu, hubungan Aus dan Khazraj akan menjadi bertambah intim dan akrab.
(c) Mewujudkan persaudaraan yang berbentuk amali dan praktikal yang mementingkan kebajikan atau kemaslahatan bersama sekali gus mengikis perasaan ‘Ananiah’ atau keakuan lantaran persaudaraan sejati bukan sekadar bermodalkan ucapan puitis dan kata-kata yang indah tetapi berhajatkan pengorbanan dan bakti luhur yang tercurah kepada saudara seislamnya.
(d) Mengelakkan campurtangan dan eksploitasi puak Yahudi yang mengapiapikan permusuhan antara Aus dan Khazraj selama ini bagi menjual senjata-senjata peperangan dan dalam masa yang sama mengautkan keuntungan daripadanya.
(e) Mewujudkan semangat bantu-membantu atas kebajikan dan ketakwaan terutama kepada golongan yang masih daif dan lemah seperti kaum Muhajirin yang baru berhijrah ke Madinah tanpa sebarang sumber kehidupan dan ekonomi yang kukuh. Melalui program ini, kaum Ansar boleh membantu kaum Muhajirin dengan bantuan kewangan, penginapan atau logistik dan makan pakai mereka. Imam al-Bukhari ada meriwayatkan ketulusan hati Saad bin al-Rabi’ r.a daripada Ansar yang sanggup mengorbankan apa sahaja harta miliknya kepada Abdul Rahman bin Auf r.a dengan kata Saad; “Aku adalah di kalangan golongan Ansar yang mempunyai banyak harta. Oleh itu, hartaku ini akan kubahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian untukmu dan satu bahagian lagi untukmu. Aku juga mempunyai dua orang isteri. Lihatlah yang mana satu yang engkau berkenan. Sebutkan sahaja namanya. Akan kuceraikan untukmu agar apabila tamat iddahnya nanti, bolehlah engkau mengahwininya”. Abdul Rahman bin Auf r.a lantas menjawab; “Semoga Allah memberkati keluarga dan kekayaan dikau! Daku hanya ingin tahu di manakah letaknya pasar di kota kalian? Aku ingin berniaga di sana!”.
Program persaudaraan ini melibatkan Rasulullah s.a.w bersama Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Muttalib dan Zaid, Abu Bakar dengan Kharijah, Umar dengan ‘Utban dan begitulah seterusnya. (Sila rujuk kitab Sirah untuk keterangan lebih terperinci).
No comments:
Post a Comment