Thursday, 6 February 2014

Rukun Hibah dan Syaratnya


1.4 Rukun Hibah dan Syaratnya

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi rukun dan syarat seperti berikut:

(i) Pemberi hibah (al-Wahib)

Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

(ii) Penerima hibah (al-Mawhub lahu)

Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)

Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
1.    Ia hendaklah barang atau harta yang halal.
2.    Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.
3.    Barang atau harta itu milik pemberi hibah.
4.    Ia boleh diserah milikkan.
5.    Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang.belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau.hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.
6.    Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. Mengikut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau peminjam.

(iv) Sighah iaitu ijab dan Kabul

Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

1.    Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
2.    Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
3.    Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Hibah yang disyaratkan dengan tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-‘umra dan al-ruqba adalah sah hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal.

            Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya.

            Dalam undang-undang Islam, sesuatu hibah itu sudah sah dengan adanya ijab dan qabul dengan perkataan atau apa-apa cara yang membawa erti memberi milik harta tanpa balasan (‘iwad). Mengikut mazhab Maliki dan Syafie, penerimaan (qabul) itu hendaklah diambilkira dalam menentukan sah atau tidaknya sesuatu hibah. Sebaliknya, golongan Hanafi menganggap bahawa ijab sahaja sudah memadai untuk menentukan sahnya sesuatu hibah itu.

1.5 Penerimaan Barang (al-Qabd) dalam Hibah

Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut.

Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki

Penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai
dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal. Sebaliknya, mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal.

Mazhab Syafie

Al-qabd merupakan syarat lazim, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd.  Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat.  Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.  Bagi memastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi satu akad yang mengikat, al-qabd tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

1.    Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara sorih.
2.    Harta yang dihibah tidak bercampur dengan harta lain.
3.    Penerima hibah berkeahlian iaitu baligh dan berakal. Bagi kanak-kanak dan orang gila (atau tidak berkeahlian) maka walinya atau pemegang amanah boleh menerima harta hibah bagi pihaknya.

            Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebut dengan harta-harta lain.

1.6 Hukum Penarikan Balik atau Pembatalan Hibah

Apabila sempurna sesuatu akad hibah dengan memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd), maka harta itu menjadi milik penerima hibah sekalipun tanpa balasan (‘iwad). Namun demikian, adakah hibah berkenaan boleh ditarik balik selepas itu menjadi perselisihan di kalangan fuqaha’ seperti berikut:

Menurut pendapat mazhab Hanafi

Pemberi hibah boleh tetapi makruh menarik balik hibah yang telah diberikan dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku penyerahan (qabd), kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).

Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki

Penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.

Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri

Pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

            “Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya...” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

            Secara umumnya, para fuqaha’ bersetuju mengenai keharusan pembatalan hibah sekiranya ia dilakukan secara redha meredhai antara pemberi dan penerima hibah atau melalui keputusan hakim.  Sungguhpun Islam membenarkan penarikan balik hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya, tetapi ia terikat dengan syarat bahawa harta tersebut masih lagi di dalam pemilikan anaknya (cucunya). Sekiranya harta itu terkeluar dari kekuasaan dan pemilikan anaknya (cucunya) seperti telah dijual, diwakaf atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh penerima hibah (orang lain), maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi.


No comments:

Post a Comment