Thursday 6 February 2014

Hibah dalam Kewangan Islam


2.0 Hibah dalam Kewangan Islam

Hibah dalam Kontrak Pelaburan Mudarabah antara Bank

Hibah bermaksud pemberian pemilikan sesuatu barang kepada seseorang tanpa sebarang balasan.[9]  Pelaburan Mudarabah antara Bank merupakan urus niaga pelaburan antara peserta pasaran wang antara bank (money market) secara Islam yang dilaksanakan berdasarkan prinsip mudarabah. Kadar pulangan bagi institusi kewangan pelabur ditentukan berdasarkan kadar pulangan institusi kewangan penerima biaya (atau dikenali dengan kadar ‘r’). Kadar ‘r’ melambangkan kecekapan sesebuah institusi kewangan menguruskan dana atau aset perbankan Islamnya.

            Ini bermakna, institusi kewangan yang cekap biasanya mempunyai kadar ‘r’ lebih tinggi berbanding dengan yang kurang cekap. Sekiranya kadar ‘r’ institusi kewangan penerima biaya adalah rendah, ia akan memberikan pulangan yang rendah kepada institusi kewangan pelabur. Masalah timbul apabila kadar ‘r’ bagi sebilangan institusi kewangan Islam terlalu rendah daripada kadar ‘r’ pasaran yang menyebabkan institusi kewangan berkenaan sukar mendapatkan dana daripada pasaran.

            Bagi menangani masalah ini, terdapat cadangan untuk memperkenalkan konsep hibah sebagai satu amalan pasaran dalam kontrak Pelaburan Mudarabah antara Bank. Menerusi konsep ini, institusi kewangan penerima biaya yang mempunyai kadar ‘r’ yang lebih rendah daripada kadar ‘r’ pasaran akan menawarkan hibah sebagai saguhati kepada institusi kewangan pelabur yang bersedia melabur dengannya. Hibah boleh dibayar berdasarkan peratusan tertentu daripada kadar ‘r’ institusi kewangan penerima biaya, tertakluk kepada kesediaan institusi kewangan penerima biaya itu sendiri.

            Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada institusi kewangan penerima biaya boleh memberi hibah kepada institusi kewangan pelabur dalam kontrak mudarabah seperti Pelaburan Mudarabah antara Bank bagi memberi pulangan yang kompetitif dengan kadar pasaran.

Keputusan

MPS pada mesyuarat ke-8 bertarikh 12 Disember 1998 telah memutuskan bahawa pemberian hibah oleh institusi kewangan penerima biaya kepada institusi kewangan pelabur yang membawa kepada jaminan keuntungan (kadar ‘r’) dalam kontrak Pelaburan Mudarabah antara Bank adalah tidak dibenarkan.

Asas Pertimbangan

Pemberian hibah ke atas kontrak perniagaan yang berasaskan mudarabah adalah tidak dibenarkan kerana mudarabah ialah satu bentuk kontrak yang berdasarkan perkongsian keuntungan. Sekiranya penawaran hibah dibenarkan, ia akan menjejaskan akad mudarabah tersebut kerana mudarib seolah-olah memberi jaminan terhadap keuntungan mudarabah. Selain itu, pemberian hibah juga bertentangan dengan objektif kontrak mudarabah kerana ia menafikan elemen perkongsian untung dan penyerapan kerugian oleh rabbul mal (jika berlaku kerugian).

Penggunaan Konsep Hibah dalam Kontrak al-Ijarah thumma al-Bai`

Sebuah institusi kewangan Islam berhasrat untuk menawarkan pemberian hibah dalam kontrak al-Ijarah thumma al-Bai` (AITAB) bagi memberikan insentif dan galakan kepada pelanggan membayar sewa bulanan mengikut jadual yang ditetapkan. Dalam aturan yang dicadangkan, hibah akan diberikan kepada pelanggan yang melunaskan bayaran sewa bulanan pada tahun pertama tanpa sebarang kelewatan.

            Kadar hibah yang dicadangkan ialah sebanyak 1% daripada jumlah pembiayaan dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pelanggan yang layak pada bulan ke-13.  Namun, pelanggan yang melunaskan semua hutangnya dan menamatkan kontrak AITAB dalam masa 12 bulan yang pertama tidak layak untuk memperoleh hibah ini.

Asas Pertimbangan

Pemberian hibah dan hadiah sememangnya digalakkan seperti saranan ayat
al-Quran dan hadis Rasulullah SAW berikut:
118
“...kemudian jika mereka memberikan kepada kamu dengan suka hatinya sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” .[10] 

“Abu Abdullah al-Hafiz telah mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata, aku telah mendengar Abu Zakaria Yahya bin Muhammad al-`Anbari berkata, aku telah mendengar Abu Abdullah al-Busyanji berkata, tentang kata-kata Nabi Muhammad SAW: Saling memberilah hadiah dan kamu akan saling kasih-mengasihi.” .[11] 

            Di samping itu, tiada sebarang halangan Syariah bagi penggunaan konsep hibah dalam kontrak AITAB kerana hibah merupakan sesuatu yang dilakukan secara sukarela dan berdasarkan budi bicara pemberi hibah.  Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada penggunaan konsep hibah dalam AITAB seperti di atas dibenarkan.
Keputusan

MPS pada mesyuarat ke-13 bertarikh 10 April 2000 telah memutuskan bahawa cadangan pemberian hibah dalam kontrak AITAB sebagai insentif kepada pelanggan yang membuat bayaran mengikut jadual adalah dibenarkan.
119

Hibah dalam Kontrak Wadi`ah

Salah satu kaedah penerimaan deposit oleh institusi perbankan Islam di Malaysia ialah berdasarkan konsep wadi`ah yad dhamanah. Sesetengah institusi perbankan Islam memberikan hibah kepada para pendeposit wadi`ah sebagai tanda penghargaan atas keyakinan pendeposit wadi`ah terhadap institusi mereka. Walau bagaimanapun, amalan pemberian hibah kepada pendeposit wadi`ah dikhuatiri akan menjadi `urf atau kelaziman yang ditegah oleh Syarak.  Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada pemberian hibah oleh institusi perbankan Islam kepada pendeposit wadi`ah dibenarkan.

Keputusan

MPS pada mesyuarat ke-35 bertarikh 22 Mei 2003 telah memutuskan bahawa amalan pemberian hibah oleh institusi perbankan Islam kepada pendeposit wadi`ah adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, pemberian hibah tersebut tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai `urf yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadi`ah.

Asas Pertimbangan

            Dalam konteks amalan perbankan semasa, wang yang didepositkan oleh pelanggan akan digunakan oleh pihak bank untuk tujuan tertentu seperti memberikan pembiayaan dan membuat pelaburan.

            Dari perspektif Syariah, wang yang dimasukkan ke dalam akaun deposit berasaskan konsep wadi`ah yad dhamanah menyamai kontrak pinjaman qard dan pihak bank mesti memulangkan semula deposit kepada pelanggan apabila diminta berdasarkan terma dan syarat yang dipersetujui. Oleh itu, syarat-syarat dalam qard dan kesan lanjutan daripadanya adalah terpakai bagi produk akaun deposit yang berasaskan konsep wadi`ah yad dhamanah.

Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan:

            “Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling baik dalam menunaikan hutang.”.[12] 

            Dalam akad qard, syarat memberikan manfaat kepada pemberi pinjaman tidak dibenarkan. Contohnya, mensyaratkan peminjam supaya memberi tempat tinggal secara percuma atau dengan harga murah kepada pemberi pinjaman, memberikan balasan terhadap kebaikan atau memberikan hadiah..[13]    Pemberian hibah oleh peminjam kepada pemberi pinjaman digalakkan dalam Islam. Namun demikian, pemberian hibah tidak boleh disyaratkan dalam akad kerana ia boleh membawa kepada riba seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:.[14] 

            “Daripada Ali r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Setiap pinjaman yang memberi manfaat (kepada pemberi pinjaman) maka ia adalah riba.”.[15] 

Hibah dalam Kontrak Qard

Kontrak qard merupakan salah satu bentuk kontrak yang diterima pakai bagi tujuan pengurusan mudah tunai dalam kewangan Islam. Kontrak ini memerlukan pihak peminjam memulangkan jumlah wang yang dipinjam kepada pemberi pinjaman tanpa menjanjikan sebarang penambahan. Walau bagaimanapun, dalam amalan semasa, pihak peminjam kadang kala atas kerelaannya memberikan hibah kepada pihak pemberi pinjaman sewaktu melunaskan bayaran pinjaman.  Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada pemberian hibah ke atas qard seperti ini selaras dengan Syarak.

Keputusan

MPS pada mesyuarat ke-55 bertarikh 29 Disember 2005 telah memutuskan bahawa pemberian hibah yang tidak disyaratkan dalam kontrak qard adalah diharuskan. Walau bagaimanapun, pemberian hibah tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai `urf yang menyerupai syarat dalam kontrak qard.

Asas Pertimbangan

Walaupun pemberian hibah oleh peminjam kepada pemberi pinjaman digalakkan dalam Islam, pemberian hibah tidak boleh disyaratkan dalam kontrak kerana ia boleh membawa kepada riba. Sebarang penambahan kepada qard ketika pembayaran semula sama ada dari segi kadar, sifat, pemberian aset atau manfaat adalah harus sekiranya dilakukan tanpa syarat.  Hukum memberi hibah kepada pemberi pinjaman adalah sama seperti hukum pinjaman yang melibatkan manfaat, iaitu diharamkan sekiranya hibah tersebut disyaratkan dalam akad, tetapi dibenarkan sekiranya hibah diberikan tanpa syarat..[16] Sila rujuk juga asas pertimbangan seperti yang dinyatakan dalam perkara 76..[17] 
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
.[9]   Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al
        Kuwaitiyyah, 1993, j. 42, h. 120.
.[10]   Surah al-Nisa’, ayat 4.
.[11]  Al-Baihaqi, Al-Sunan al-Kubra, Maktabah Dar al-Baz, 1994, j. 6, h. 169, hadis no. 11726.
.[12]   Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Al-Matba`ah al-Salafiyyah, 1982, j. 2, h. 146, hadis no. 2305.
.[13]   Al-Juzairi, Al-Fiqh `ala al-Mazahib al-Arba`ah, Al-Maktab al-Thaqafi, 2000, j. 2, h. 227.
.[14]   Ibnu `Abidin, Hasyiyah Radd Al-Muhtar `ala al-Durr al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar, Dar `Alam al-Kutub, 2003, j. 7, h. 395.
.[15]   Ibnu Hajar al-`Asqalani, Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, Matba`ah al-Salafiyyah, 1928, h. 176.
.[16]   Ibnu `Abidin, Hasyiyah Radd al-Muhtar `ala al-Durr al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar, Dar al-Fikr, 2000, j. 7, h. 395.
.[17]  Hibah dalam Kontrak Wadi`ah.


No comments:

Post a Comment