Thursday, 6 February 2014

Hikmah amalan hibah dan Cadangan Bagi Meluaskan kefahaman Masyarakat Mengenai Hibah


2.2 HIKMAH AMALAN HIBAH
Hibah disyari’atkan dalam Islam dengan galakan yang mendalam adalah untuk memaut hati kalangan masyarakat Islam itu sendiri sesama mereka dan memperdekatkan perasaan kejiwaan sesama manusia yang hidup dalam masyarakat Islam atau di luar masyarakat Islam. Keistimewaan hibah ini ialah ianya boleh dilakukan kepada orang yang bukan Islam sekali pun, bahkan kepada musuh-musuh yang membenci Islam apabila diketahui lembut hatinya apabila di’beri’kan sesuatu. Hibah ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang berkesan memupuk rasa hormat, kasih sayang, baik sangka, toleransi, ramah mesra dan kecaknaan dalam kehidupan sosial sesebuah negara. Secara ringkasnya, hikmah hibah ini boleh dirumuskan dalam perkara berikut (tanpa menghadkan kepada perkara di bawah) :
a)    Melunakkan hati sesama manusia.
b) Menghilangkan rasa segan dan malu sesama jiran, kawan, kenalan dan ahli masyarakat.
c)    Menghilangkan rasa dengki dan dendam sesama anggota masyarakat
Menimbulkan rasa hormat, kasih sayang, mesra dan tolak ansur sesama ahli setempat.
d)    Meningkatkan citarasa kecaknaan dan saling membantu dalam kehidupan.
e)   Memudahkan aktiviti saling menasihati dan pesan-memesan dengan kebenaran dan kesabaran.
f)      Menumbuhkan rasa penghargaan dan baik sangka sesama manusia.
g)    Mengelak perasaan khianat yang mungkin wujud sebelumnya.
h)    Meningkatkan semangat bersatu padu dan bekerjasama
i)     Dapat membina jejambat perhubungan dengan pihak yang menerima hibah.
2.3 Cadangan Bagi Meluaskan kefahaman Masyarakat Mengenai Hibah
Aspek amalan dalam berhibah terlalu janggal di kalangan masyarakat Islam. Akhir-akhir ini barulah hibah diwar-warkan ke dalam masyarakat, namun pelaksanaan belum lagi menjadi rutin dan membudaya di kalangan dermawan. Justeru itu, dicadangkan beberapa aktiviti berikut dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat Islam :
a)    Majlis kefahaman hibah dibuat pada setiap masjid dan surau yang ada melalui para imam yang bertanggungjawab di masjid dan surau tersebut.
b)  Mengeluarkan silsilah khutbah jumaat secara bersiri sehingga dipercayai konsep hibah telah difahami.
c)    Menggalakkan masyarakat Islam memperuntukkan 2.5 % daripada pendapatan kasar untuk dihibahkan kepada sesiapa yang berpatutan pada setiap bulan.
d)  Menganjurkan majlis-majlis penyampaian hibah daripada dermawan kepada penerima yang berkelayakan.
e)    Memasukkan tajuk-tajuk pengurusan harta terutama hibah ke dalam kurikulum dasar pelajaran negara.
f)      Mengadakan forum keistimewaan hibah di setiap parlimen seluruh negara.
Menulis maqalah ringkas tentang hibah dan diedarkan melalui akhbar akhbar yang laris dan menyeluruh.
g)    Memberi sumbangan hibah kepada tokoh-tokoh sebagai pengenalan amalan hibah.


No comments:

Post a Comment