Thursday 6 February 2014

HIBAH DI MALAYSIA


2.1  HIBAH DI MALAYSIA

Di Malaysia, tiada peruntukan khusus mengenai undang-undang hibah yang dikanunkan.  Ini bermakna Dewan Perundangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) tidak pernah meluluskan statut khusus mengenai hibah orang Islam untuk dilaksanakan di Mahkamah-mahkamah Syariah. Setakat yang ada hanyalah peruntukan yang menjelaskan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenainya termasuk dalam Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa:

            “Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan mewarisi harta berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, pelantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya dalam Negeri; adat istiadat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, mengadakan dan menghukum kesalahan kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu”.

            Peruntukan di atas menunjukkan bahawa hibah adalah sebahagian daripada perkara negeri yang diletakkan di bawah pentadbiran agama Islam di setiap negeri dan secara langsung ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sehubungan itu, Seksyen 46(2)(b)(v) dan (vi), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan: Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-

mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dalam bidang kuasa malnya, dan yang berhubungan
dengan-
  •  wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;
  • alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;

            Penggunaan perkataan “alang” sama ada semasa marad-al-maut atau semasa hidup dan “penyelesaian yang dibuat tanpa balasan” adalah merujuk kepada hibah atau pemberian.  Penggunaan perkataan yang sama dapat dilihat di negeri-negeri lain seperti Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak.   Sementara itu, Negeri Sembilan menggunakan perkataan “hibah”, Pahang dan Perlis menggunakan perkataan “pemberian” dan Kelantan menggunakan perkataan “alang hayat”

            Daripada peruntukan di atas, didapati pelaksanaan hibah bukan sahaja diperuntukkan di dalam undang-undang di Malaysia semasa hidup pemberi hibah, malah hibah semasa marad al-mawt juga ada diperuntukkan. Kes-kes hibah di Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia, selalunya melibatkan pengesahan hibah, pertikaian takat atau kadar hibah dan penarikan balik hibah. 

            Dalam kes Harun bin Muda dan Lain-lain lwn. Mandak binti Mamat dan Lain-lain [1999] XIII(I) JH 63, melibatkan kes pertikaian takat hibah yang dikemukakan oleh plaintif ke atas sebidang tanah. Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh plaintif adalah antara lain, untuk mengesahkan bahawa tanah tersebut sebagai pemberian hibah si mati (Muda bin Tahir) kepada mereka.

            Di samping itu, tuntutan juga dibuat supaya mahkamah mensabitkan bahawa tanah itu menjadi milik sah plaintif-plaintif berdasarkan takat yang telah disebutkan. Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah memutuskan bahawa tuntutan plaintif-plaintif mengenai takat keluasan masing-masing yang dinyatakan di atas tanah tersebut adalah benar dan berpuashati di atas kebenaran tuntutan itu lalu memberikan keputusan bahawa telah sabit hibah si mati kepada plaintif-plaintif.

            Dalam kes di atas juga, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu berpendapat bahawa berlakunya hibah walaupun qabul berlaku secara perbutan iaitu selepas berlakunya ijab harta itu telah dimajukan atau diusahakan atau dimanfaatkan oleh defendan. Sebaliknya, dalam kes Salmiah binti Che Mat lwn Zakaria bin Hashim [2001] XIV JH 79 Mahkamah Rendah Syariah Bukit Mertajam Pulau Pinang berpendapat bahawa hibah tidak sah walaupun qabul kepada ijab sudah berlaku secara perbuatan.

            Dalam penghakiman kes ini, Mahkamah telah mengemukakan beberapa soalan. Isu pertama yang dibangkitkan ialah apakah dalam kes ini telah terlaksana dengan sempurna rukun-rukun hibah. Mahkamah mendapati bahawa rukun pemberi hibah, penerima hibah dan barang yang dihibahkan telah mencukupi syarat-syarat yang telah dikehendaki oleh hukum syarak. Namun demikian, bagi rukun sighah pula Mahkamah mendapati bahawa ia belum terlaksana dan belum sempurna, yang berlaku hanyalah ijab daripada Che Mat sahaja dan tidak ada qabul daripada defendan sama ada secara lisan atau tulisan. Dengan demikian, Mahkamah berpendapat hibah Che Mat kepada defendan tidak sah oleh sebab rukun sighah belum terlaksana dan belum sempurna.

            Dalam kes ini, jelas bahawa Mahkamah tidak mengiktiraf penggunaan dan pembangunan yang telah diusahakan ke atas tanah tersebut oleh defendan dengan mendirikan sebuah rumah sebagai qabul. Namun demikian, antara alasan lain Mahkamah tidak mengesahkan hibah tersebut ialah kerana penggunaan dan pembangunan yang diusahakan ke atas tanah tersebut dilakukan sebelum keizinan diberi oleh pemberi hibah. Ini kerana menurut pendapat mazhab Syafie dan Hanbali, syarat pengambilan barang/harta yang dihibahkan adalah dengan keizinan pemberi hibah.

            Sementara dalam kes Eshah binti Abdullah dan Lima Yang Lain lwn Che Aminah binti Abdul Razak dan Dua Yang Lain [2004] XVIII(I) JH 47, isu yang timbul ialah adakah qabul disyaratkan secara terang dan jelas selepas pemberian atau cukup dengan qarinah-qarinah lain yang membuktikan adanya penerimaan. Dalam kes ini, pemeberi hibah telah meninggal dunia dan tidak ada penarikan balik hibah. Hibah tersebut juga telah disaksikan oleh saksi saksi, namun bangunan yang dipertikaikan sebagai harta hibah masih menggunakan nama si mati.

 Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu telah menerima rayuan yang dibuat oleh perayu-perayu berdasarkan kepada qarinah penerimaan daripada penerima, di mana ketigatiga penerima hibah mengaku bahawa mereka telah menerima hasil sewaan bangunan tersebut sejak si mati masih hidup. Apa yang menarik dalam kes ini ialah pandangan Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu iaitu:

Diandaikan jika pemberian tersebut telah bertukar kepada nama penerima-penerima, kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa kepada mahkamah, kerana segala-galanya telah jelas dan tercatat dalam dokumen”.

            Berdasarkan kepada keterangan kes-kes di atas dan banyak lagi kes-kes yang lain, sesuatu hibah boleh dicabar di Mahkamah Syariah, tidak kira sama ada is dibuat secara lisan atau bertulis dalam bentuk dokumen oleh individu atau peguam. Bagaimanapun, ia hanya boleh dicabar atau dipertikaikan dari sudut sahnya mengikut hukum syarak atau ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu selepas kematian pemberi hibah.
            Kini setelah muncul pelbagai agensi yang terlibat dalam soal penulisan hibah maka dengan itu timbul pelbagai cara yang dilakukan oleh agensi-agensi berkenaan dalam memperkembangkan ruang lingkup hibah seperti trust hibah. Trust hibah ialah kacukan antara hibah dan amanah. Ia adalah pemberian harta oleh seseorang atas dasar kasih saying yang berlaku ijab dan qabul pada masa hayat pemberi hibah. Harta hibah tersebut akan dipegang oleh pemegang amanah dan diserahmilikkan kepada penerima selepas kematian pemberi hibah atau menurut persetujuan pihak-pihak berkenaan. Begitu juga dengan hibah yang dibuat oleh pemberi hibah untuk memastikan dia masih menguasai hartanya tersebut kerana dia khuatir mungkin penerima akan mengabaikannya apabila semua harta telah dihibahkan.

            Maka dalam hal ini pemberi hibah telah membuat satu perjanjian asing di luar
akad yang memberi hak kepada pemberi mengurus dan menggunakan harta tersebut sehinggalah dia meninggal dunia.  Apa yang dinyatakan di atas adalah lebih hampir dengan apa yang dikatakan hibah ‘umra dan hibah ruqba.

            Dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-56 pada 5 Oktober 2000 memutuskan bahawa perletakan syarat adalah dibenarkan di antara pemberi dan penerima hibah setelah berlaku ijab dan qabul. Begitu juga dengan keputusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti dalam mesyuarat ke-44 pada 15 Januari 2003 menerima pakai prinsip hibah ruqba sebagai asas syariah dalam pelaksanaan borang akuan hibah untuk transaksi yang melibatkan akaun bersama tabung unit amanah terutamanya akaun yang dipegang oleh orang Islam.

            Dari perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa suatu undang-undang yang khusus berkaitan dengan pemberian hibah dan pentadbirannya amatlah diperlukan. Dengan adanya undang-undang yang khusus dapat mengurangkan kekeliruan dan dapat menegakkan kewibawaan Mahkamah Syariah dan mengukuhkan kredibilitinya dalam masyarakat apabila memutuskan soal yang berkaitan dengan hibah.

            Di samping itu, pada masa yang sama, ia boleh menjadi panduan kepada masyarakat yang ingin membuat hibah secara peribadi agar hibah yang dibuat itu menjadi lebih sempurna, atau dengan kata lain, masyarakat dapat menguruskan hartanya dengan cara yang lebih teratur dan kemas.



No comments:

Post a Comment