Thursday, 6 February 2014

Hukum dan Pensyariatan Hibah


1.2  Hukum dan Pensyariatan Hibah
Hibah dengan maksud umum itu adalah disukai, disaran dan digalakkan melalui al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Ijma’.
1.    Al-Qur’an :
“dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah An-Nisa’ ayat 4)
        Selepas mas kahwin diserahkan – wajib – kepada para isteri, lalu isteri-isteri itu ‘memberi’ kembali dengan rela hati, maka pemberian itu bolehlah dimakan dan halal bagi suami mengguna-pakai pemberian isteri itu.
2.    Hadis :
 “Saling berhadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling sayang menyayangi.” [5]

            Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita supaya bertukar-tukar hadiah kerana amalan sedemikian boleh menguatkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang antara manusia.

            Dalam hadis lain, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:  “Wahai kaum Muslimat! Janganlah kamu menganggap remeh pemberian  seseorang jiran, walaupun hanya berupa kaki kambing.” [6]. Sebagaimana hukum memberi hibah, menerima hibah juga adalah sunat selagi mana barang yang diberi itu bukan sesuatu yang haram atau dimaklumi status halalnya. [7]   Banyak hadis yang menyebut tentang hibah ini, antaranya ialah  “Kalaulah aku (Rasulullah s.a.w.) dijemput ke jamuan kaki hadapan atau kaki kecil, nescaya aku menyahutnya. Dan kalaulah aku dihadiahkan kaki hadapan atau kaki kecil, nescaya aku menerimanya.” ( al-Bukhari.) [8]
3.    Ijma’ :
Sesungguhnya telah sepakat ahli feqah Islam pada setiap zaman ke atas galakan melakukan hibah/ ‘memberi’ dengan segala jenis pemberian lantaran ianya adalah pintu kerjasama dalam kebajikan yang allah sarankan dalam al-Qur’an (lihat al-Qur’an : surah al-Maaidah/ 2)
Hukum Hibah
Hukum hibah yang cukup syarat ialah sabit pemilikan barangan yang dihibahkan bagi penerima hibah. Maka haram bagi pemberi hibah mengambil balik pemberian yang telah sah menjadi hak milik bagi penerima hibah, kecuali hibah si ayah kepada si anak di mana harus si ayah mengambil balik pemberiannya daripada si anak. Pengecualian ini kerana “kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”, sebagaimana persabdaan Nabi s.a.w.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
[5]  Lihat al-Bukhari, Muhammad bin Isma‘il bin Ibrahim (t.t.), al-Adab al-Mufrad,
Bab Qabul al-Hadiyyah, j. 4. Jamamizah: Maktabat al-Adab wa Matba‘atuha, h.
174. Lihat juga al-Bayhaqi, Abi Bakr Ahmad bin al-Husayn bin ‘Ali (t.t.), al-Sunan
al-Kubra, Kitab al-Hibah, Bab al-Tahrid ‘ala al-Hibah wa al-Hadiyyah Silah Bayn
al-Nas, j. 6. Beirut: Dar al-Fikr, h. 169.

[6]  Hadith Riwayat Al-Bukhari lihat al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad bin Hajar (t.t.), Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari, Kaherah: Maktabat al-Safa, Bab al-Hibah wa al-‘Umra wa al-Ruqba, hadis no. 964, hh. 107-108.

[7]  ‘Ali Haydar (t.t.), Durar al-Hukkam Sharh Majallat al-Ahkam, j. 2. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, h. 348; Ibn ‘Abidin, Muhammad Amin (1966), Hashiyah Radd al-Mukhtar, j.5. Mustafa al-Babi al-Halabi, h. 687.
[8] Al-Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam al-Syaafi’iy – Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, jld 3, ms 104, cetakan keenam Darul Qalam, Damsyiq/ 2005

No comments:

Post a Comment