Thursday 6 February 2014

KONSEP HIBAH DALAM ISLAM

      

 KONSEP HIBAH DALAM ISLAM

1.1 Pengertian Hibah
Hibah merupakan kalimah Arab yang memberi maksud ‘pemberian’. Di sudut bahasa, Hibah adalah pemberian yang tidak didahului oleh tuntutan hak, dan padanya (barang yang diberikan itu) ada kegunaan bagi orang yang diberikan. Mengikut pengertian ini, Hibah boleh jadi pada zat yang tertentu dan bukan zat tertentu. [1]
        Contoh ada ‘ain/ zat tertentu ialah mengurniakan/ memberi anak lelaki atau perempuan (lihat : surah al-Syuura/ 49), manakala contoh tiada ‘ain/ zat tertentu ialah mengurniakan rahmat (lihat : surah Aali ‘Imran/ 8). Disebut kepada pemberi hibah sebagai ‘Waahib’ (واهب), penerima hibah sebagai ‘Mauhuub lahu’(موهوب له) dan harta yang diberikan sebagai ‘Mauhub’ (موهوب) dan ‘Mauhabah’. [2]
        Hibah di sudut istilah syara’ ialah : Memberi milik benda tanpa ganjaran/ gantian (al-Jurjaani). Atau :Hibah adalah memberi milik harta kepada orang lain tanpa ganjaran/ gantian (al-Majallah). [3]
           Penulis kitab al-Fiqh al-Manhajiy menyatakan : ‘Akad yang memberi faedah pemilikan ‘ain tanpa gantian, semasa hidup, secara sukarela. [4]
        Kata Imam al-Raghib al-Ishfihani dalam bukunya ‘Mu’jam Mufradat Alfaz al-Qur’an’ : “الهبة أن تجعل ملكك لغيرك بغيرعوض ” yang bermaksud : “Hibah ialah anda menjadikan harta milik anda kepada orang lain tanpa gantian/ganjaran.” Sekian dipetik. Jika pemberi mengatakan, aku berikan kain ini dengan ganti beras itu, lalu dipersetujui oleh penerima, maka ini bukan hibah tetapi menjadi jual beli, meskipun disebut ‘beri/ hibah’.
            Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.  Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.

Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hibah adalah seperti berikut:

(i)            Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
(ii)          Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat. 
(iii)         Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
(iv)         Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah
(v)          Ia dibuat secara sukarela tanpa paksaan.
(vi)         Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang tertentu.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[1]Al-Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam al-Syaafi’iy – Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, jld 3, ms 101, cetakan keenam Darul Qalam, Damsyiq/ 2005.
[2] ‘al-Qaamus al-Fiqhi Lughatan wa Istilaahan’, oleh Sa’diy Abu Jaib, cetakan Darul Fikri/ 1988.
[3] ‘al-Qaamus al-Fiqhi Lughatan wa Istilaahan’, oleh Sa’diy Abu Jaib, cetakan Darul Fikri/ 198
[4] Al-Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam al-Syaafi’iy – Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, jld 3, ms 101, cetakan keenam Darul Qalam, Damsyiq/ 2005.

No comments:

Post a Comment