Perguruan merupakan suatu bidang yang berkaitan dengan guru yang mengajar atau melaksanakan pengajaran di sekolah atau di institut-institut pendidikan lain untuk menyampaikan ilmu kepada anak murid atau masyarakat.
Sesetengah masyarakat masih lagi
menganggap profesion perguruan bukanlah suatu pekerjaan yang profesional. Hal Ini kerana ramai di kalangan
individu yang terbabit memikirkan bahawa profesion keguruan ini tidak
‘seglamour’ pentadbir, eksekutif firma-firma, akauntan, doktor perubatan
ataupun peguam. Mereka juga seringkali menganggap kerja ini sebagai ‘pilihan
terakhir’ dan ‘terpaksa’.
Antara
faktor yang menyebabkan timbulnya sebab mengapa mereka mempertikaikannya ialah
mereka menganggap pekerjaan tersebut merupakan pekerjaan biasa yang boleh
dilakukan oleh sesiapa sahaja. Mereka
masih terpengaruh dengan keadaan lampau di mana seseorang yang telah tamat
darjah enam boleh menjadi guru. Wujudnya
guru pengganti semasa seorang guru sedang cuti bersalin juga adalah satu sebab
yang mendorong mereka mengatakan bahawa pekerjaan guru bukanlah satu pekerjaan
yang profesional.
Pada pandangan saya, jawatan guru
memang layak dianggap satu pekerjaan profesional. Hal ini tidak boleh
dipertikaikan lagi kerana, ciri-ciri pekerjaan ini banyak mengandungi ciri-ciri
sebuah pekerjaan yang profesional. Mungkin sesetengah orang yang tidak terlibat
dalam profesion ini menganggap pekerjaan ini tidak profesional kerana tugas
guru hanya mengajar sahaja. Namun, sekiranya mereka terlibat secara langsung
dalam pekerjaan ini, barulah mereka sedar bahawa seorang guru bukan hanya perlu
mengajar, tetapi perlu juga melakukan banyak tugas lain yang bukannya senang
untuk dilakukan oleh orang yang tidak berpengalaman.
Mengapakah sesetengah masyarakat tidak
memandang pekerjaan guru sebagai profesional sedangkan mereka tidak tahu tugas
guru sebenarnya? Pendek kata, tugas seorang guru bukan hanya mengajar
semata-mata, malah boleh juga melakukan tugas-tugas golongan profesional yang
lain, contohnya menjadi doktor, akauntan, eksekutif, hakim, polis, jurutera,
kerani dan sebagainya.
Tekad Menteri Pelajaran, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini untuk memartabatkan profesion keguruan
merupakan niat murni yang mesti disambut bersama oleh segenap anggota
masyarakat kerana tugas ini tidak mesti terbeban di pundak kerajaan
semata-mata. Secara tidak langsung, gandingan bersama setiap anggota masyarakat
ke arah meninggikan profesion keguruan merupakan salah satu bukti penghargaan
mereka terhadap tenaga guru yang telah dicurahkan dalam proses menyampaikan
ilmu pengetahuan dan mendidik anak-anak bangsa.
Selain itu, memartabatkan profesion
keguruan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak, sama ada daripada pihak
pentadbir atau kerajaan, kalangan guru itu sendiri, anggota masyarakat mahu pun
badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya integriti dan autoritinya sentiasa
diyakini dan terpelihara. Hal ini merupakan perkara yang perlu dititikberatkan
kerana sekiranya sesuatu pihak sudah tidak mempercayai dan meyakini integriti
dan autoriti keguruan, maka sukarlah bagi guru untuk melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran (P&P). Hasil pengajaran dan pembelajaran yang
diterima pelajar pula akan dipersoalkan kesahihannya disebabkan kewibawaan
profesion keguruan itu sendiri yang telah tercalar.
Jawatan
guru adalah sememangnya layak dianggap satu pekerjaan
profesional. Hal ini tidak boleh disangkal
lagi kerana, ciri-ciri pekerjaan ini banyak mengandungi ciri-ciri sebuah
pekerjaan yang profesional. Hal ini boleh dirujuk melalui kenyataan
Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah (2010). Mereka menyatakan bahawa aspek keguruan
dianggap sebagai satu profesion apabila guru memperoleh pengetahuan atau
kemahiran melalui latihan dalam suatu tempoh masa yang panjang, meningkatkan
profesionalisme, komited kepada klien dan mempunyai kuasa autonomi dalam
membuat keputusan.
Dalam konteks perguruan, etika yang dipegang
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah “Tatasusila Profesion
Keguruan”. Etika inilah yang menjadi
garis panduan dan dasar yang harus dipatuhi oleh semua kakitangan perguruan.
Seseorang yang melanggar etika tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib dan
akan dikenakan hukuman sewajarnya.
Bertitik tolak daripada itu,
sekiranya kita hendak meningkatkan taraf profesionalisme keguruan, seseorang
guru itu haruslah lebih bersedia terlebih dahulu. Kesediaan tersebut adalah
dari segi memahami tanggungjawab sebenar seorang guru, mematuhi tatasusila dan
sedia menerima segala perubahan. Sifat-sifat diri seperti itulah yang akan
mewujudkan pemahaman tatasusila dan seterusnya dapat melahirkan seorang guru
yang berkualiti dan seterusnya dapat meningkatkan taraf profesionalisme
keguruan.
Sebagai seorang pendidik, kita
haruslah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang dinamik. Oleh itu, setiap guru
haruslah menambahkan ilmunya melalui pembelajaran sepanjang hayat untuk
disebarkan kepada para pelajar. Guru
harus memahami dan menghayati tugasnya yang menghendaki agar kita
bertanggungjawab terhadap tugas-tugas lain juga selain daripada mengajar. Oleh
itu, guru haruslah sentiasa belajar memahami tugas-tugasnya.
Guru juga perlu mengamalkan
prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat agar sentiasa dapat mempertingkatkan
mutu kehidupan dan dapat membentuk individu yang berfikiran rasional, inovatif,
kreatif dan mempunyai daya tahan fizikal dan mental. Selain menjadi sumber maklumat kepada para
pelajar, guru juga menjadi bahan rujukan rakan setugas dan juga ibu bapa. Oleh
itu, guru perlu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat memahami
budaya ilmu yang akan diterapkan kepada para pelajar.
Bagi mempertingkatkan tahap
profesionalisme perguruan, banyak cara yang boleh dilaksanakan. Antaranya ialah dengan menghadiri Kursus
Peningkatan Profesionalisme Keguruan.
Kemahiran ikhtisas seperti ini adalah sangat penting bagi setiap guru
kerana ianya akan mendorong dan membantu guru dalam menyampaikan pengajaran
kepada para pelajar. Bagi
memperkembangkan lagi kemahiran, guru adalah amat digalakkan untuk mengikuti
kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh jabatan. Kursus-kursus tersebut termasuklah juga
Kursus Dalam Perkhidmatan dan Kursus Dalaman.
Guru yang baik perlu melengkapkan
diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta peka terhadap
perkembangan pendidikan terkini. Mereka
harus sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa mengikut
perkembangan zaman. Setiap guru juga perlu bersedia menerima sebarang perubahan
sistem pendidikan agar pengetahuannya selari dengan keperluan masa kini.
Pembelajaran
sepanjang hayat membolehkan ilmu seseorang guru itu lebih dinamik. Ilmu pengetahuan akan membolehkan guru
menyampaikan banyak maklumat kepada pelajar. Hal Ini pastinya akan mewujudkan
keyakinan dan kebolehpercayaan pelajar terhadap seseorang guru.
Sebagai
kesimpulannya, pada pendapat saya, kesedaran terhadap akauntabiliti akan
menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas
yang telah diamanahkan kepadanya. Oleh
itu, perkara ini perlulah dihayati oleh semua guru di negara ini. Sekiranya seseorang guru itu mengabaikan
akauntabilitinya, maka pastinya tanggungjawab yang diamanahkan sukar untuk
dilaksanakan dengan baik. Hal ini
pastinya membawa kepada kegagalan dalam melahirkan pelajar sebagai insan yang
benar-benar lengkap dari segi ilmu dan peribadi yang baik. Hal tersebut
haruslah dielakkan kerana ianya hanya akan menjatuhkan martabat profesionalisme
keguruan negara kita.
No comments:
Post a Comment