Tuesday, 8 November 2016

Sahsiah Guru Pendidikan Islam Cemerlang

Guru merupakan elemen asas dalam proses pendidikan. Keberkesanan sesuatu pendidikan itu bergantung kuat kepada ilmu seorang guru itu, kesungguhannya dan kesabarannya dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik. Terdapat lima ciri utama yang mesti dimiliki oleh seorang guru untuk memastikan pekerjaannya itu bertepatan dengan keizinan Allah SWT.: (Usul al-Tarbuyah al- Islamyyah, hlm. 259)

Keikhlasan niat:

Seorang guru wajib mengikhlaskan niat dalam segala amalan dan ilmunya kerana Allah SWT. Rasulullah SAW telah memberi amaran kepada orang yang tidak ikhlas dalam keilmuan yang boleh membawa kepada mencari keredaan Allah, “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu Agama yang boleh mendapat keredaan Allah, hal keadaan dia tidak mempelajari ilmu itu kecuali untuk mendapat habuan dunia, maka dia tidak akan menghidu wangian syurga di hari kiamat.” “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu supaya berbangga dengannya ulamak, dan mempermainakn dengannya org bodoh dan memalingkan muka-muka manusia kepadanya, maka Allah akan memasukkanya ke dalam neraka jahanam.” “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan sesungguhnya setiap seseorang itu (akan dapat) apa yang diniatkan.”

Berilmu

Elemen ke dua yang mesti dimilki oleh guru ialah berilmu dan mempelajari ilmu yang bermanfaat. Ini kerana ilmu yang bermanfaat dan kehendak yang kuat untuk mendapatkannya merupakan kunci kebahagiaan bagi setiap insan. Ibn Qayyim pernah berkata : kehendak adalah pintu untuk sampai dan ilmu adalah kuni pintu tersebut.  Dengan ilmu pengetahuan seseorang akan mengenali perkara halal dan haram, kewajipan dan tanggungjawab, adab dan keperibadian  mulia. ia seolah-olah perhiasan bagi seorang muslim, yang diperlukan olehnya ketika di rumah, sekolah dan juga pusat memberli belah dan di dalam semua urusan kehidupan peribadi dan kemasyarakatan. Islam menggesa umatnya menuntut ilmu dengan pelbagai cara; ini berdasarkan firman Allah SWT:

Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.                                                     (Surah al-Mujadalah: 11)

 “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orangorang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”                                                               (surah Ali imran: 18)

Menurut al-Qurtubi, ayat di atas menjadi dalil kelebihan ilmu pengetahuan dan kemuliaan para ulama. Ilmu pengetahuan yang betul dan benar akan memandu seseorang kepada bertakwa
kepada Allah dan jalan yang boleh membawa pemilik kepada syurga Allah SWT. Allah berfirman:
Ertinya: “Sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”       
                                                                                                                             (surah Fathir: 28)
Rasulullah SAW bersabda:  “Sesiapa yang menyusuri satu jalan yang padanya dia menuntut ilmu, maka Allah akan menyusuri dengannya satu jalan dari jalan-jalan syurga.”.

Beramal dengan Ilmu

Mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu berada di atas landasan yang betul. Bagi seorang guru, dia mesti beramal dengan ilmu tersebut sehingga dia menjadi ikutan yang yg baik, dan zahirnya bertepatan dengan batinnya, dia menghhiasi diri dengan akhlak yang mulia seperti benar, ikhlas, amanah, memberi nasihat, sukakan kebaikan, menggalakkan manusia melakukannya, menjahi sifat yang keji; seperti ucapan palsu, bohong, tipu, khianat, dengki, membenci manusia lain, dan lain-lain akhlak yang keji. Guru mesti meyakini bahawa dia akan dipersoalkan oleh Allah tentang ilmu pengetahuan yang dimilikinya, adakah ia telah diamalkan. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW:

“Tidaklah berganjak dua kaki manusia itu (pada hari kiamat) sehinggalah dia ditanya tentang umurnya di mana ia dihabiskan, tentang ilmunya pada apa dia lakukan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan pada apa yang dibelanjakannya, tentang jasadnya pada apa yang habiskan.”

Oleh itu seorang muslim mestilah bersungguh-sungguh menuntut ilmu kerana ia mempunyai kelebihan yang pahala yang besar. Dan dia mestilah menjadikan tingkahlakunya bertepatan dengan apa yang dipelajarinya, sehingga dia menjadi ikutan yang baik bagi anak-anak didiknya, dan dia mestilah berniat baik dalam menuntut ilmu iaitu untuk beramal dengan ilmunya dan untuk mencari keradaan Allah SWT.

Menyampaikan apa yang diketahui

Selepas seseorang guru itu mempelajari ilmu yang baik dan berfaedah serta beramal dengan ilmu tersebut, maka dia hendaklah melaksanakan tanggungjawabnya memberi nasihat dan tunjuk ajar serta mendidik anak-anak didiknya supaya menginggalkan segala kekejian dan mengambil kemuliaan. Guru mesti berwaspada dari menyembunyikan ilmu dan tidak menerangkannya dengan jelas kepada manusia. Dia mestilah menggalakkan manusia supaya melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan, supaya mereka tidak menjadi seperti Ahli Kitab yang menyembunyi kebenaran dan menjualnya dengan harga yang amat murah. Allah berfirman:

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang Yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya". Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya Dengan mengambil faedah dunia Yang sedikit. maka amatlah buruknya apa Yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.”                                                                                           (surah Ali Imran: 187)

Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa yang ditanya tentang esuatu ilmu yang diketahuinya, kemudian dia menyembunyinya, maka dia akan dikekang (dari bercakap) pada hari kiamat dengan kekangan dari api neraka.”

Sabar

Satu lagi sifat yang mesti dimiliki oleh seorang ugur ialah sabar. Proses pendidikan dipenuhi dengan kepayahan dan kesusahan. maka jika guru tidak memiliki sifat sabar, maka tidak mustahil guru akan menjadi jemu dalam pekerjaan yang dilakukannya.
Rentetan itu dia akan menjadi tidak aktif dan tidak dapat menjadi seorang guru seperti yang diharapkan.  Sesungguhnya Rasulullah merupakan orang yang paling tinggi sabarnya yang perlu
diteladani. Berdasarkan riwayat anas bin Malik:
.
“Anas bin Malik berkata: Aku pernah berjalan bersama Rasulullah SAW, dan baginda memakai selendang najran yang tebal. Tiba-tiba seorang Arab badawi berjmupa dengannya. Maka Arab Badawi itu merentab selendang baginda dengan rentapan yang kuat, sehingga aku melihat di tengkok Rasulullah itu ada kesan tarikan selendang itu. Kemudian Arab itu berkata: Wahai Muhammad! berikan aku harta allah yang ada padamu. Maka Rasulullah SAW berpaling kepada Arab tersebut dan baginda ketawa, kemudian baginda menyuruh (sahabatnya) memberi sesuatu kepada Arab tersebut.”

Peranan Guru Pendidikan Islam

Semua manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing sebagaimana yang telah diiktiraf oleh Allah di dalam Al-Quran sebagai khalifah Allah untuk mewakili-Nya bagi mengurus alam ini. Alam dalam konteks pendidikan antaranya merujuk kepada sumber manusia itu sendiri. Justeru tanggungjawab Guru Pendidikan Islam boleh dirumuskan dengan pelbagai peranan seperti berikut:

1)            Mu’allim
2)            Muaddib
3)            Mudarris
4)            Mursyid
5)            Murabbi.

Mu’allim

Muallim merujuk kepada peranan guru di dalam bilik darjah untuk memberitahu, mengajar, memindah dan menyampaikan pelbagai jenis maklumat, disiplin dan ilmu pengetahuan kepada murid sama ada melalui latihan, arahan atau amalan bentuk pengajaran dan pembelajaran yang seumpamanya (Ab Halim, 2010). Muallim juga merujuk kepada peranan guru untuk memberitahu, mengajar, memindah dan menyampaikan pelbagai jenis maklumat, disiplin dan ilmu pengetahuan kepada para pelajar sama ada melalui syarahan, latihan, amali, latihtubi, arahan atau sebarang bentuk pengajaran yang dirancang.

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.                                                         Al-Baqarah : 239

Muaddib

Ta’dib diertikan sebagai proses mendidik yang difokuskan kepada pembinaan dan penyempurnaan akhlak atau budi pekerti pelajar. Menurut Sayed Muhammad An-Nuquib Al-Attas, kata ta’dib adalah pengenalan dan pengakuan yang secara berangsur-angsur ditanamkan kepada manusia tentang tempat-tempat yang tepat dari segala sesuatu dalam tatanan penciptaan sedemikian rupa, sehingga membimbing ke arah pengenalan dan pengakuan kekuasaan dan keagungan Tuhan dalam tatanan wujud keberadaan- Nya.

Mudarris

Mudarris merupakan orang memiliki kepekaan intelektual, informasi serta memperbaharui pengetahuan dan keahlian secara berterusan di samping berusaha mencerdaskan anak didiknya, membenteras kebodohan mereka, serta melatih ketrampilan sesuai dengan bakat, minat dan kemampuannya. Firman Allah:

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.               Ali –Imran : 79

Mursyid

Merujuk kepada aspek kepimpinan guru untuk menjaga, menasihati, mangarah, membimbing dan memberi petunjuk kepada para pelajar ke arah pembentukan dan pembangunan diri (JERI) sebagai insan soleh. Konsep irshad lebih menfokuskan konsep kepimpinan Rasulullah saw dalam proses mendidik dan membimbing para sahabat. Firman Allah:

Kitab Al-Quran yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.     Al-Jin : 2

Murabbi

Merujuk kepada peranan guru yang seiring dengan dasar pendemokrasian pendidikan untuk membina akal budi, membangun jatidiri dan intergriti, memacu minda, mencurahkan kasih sayang, mendidik, mengajar, menyubur dan memelihara fitnah para pelajar serta memupuk bakat dan kebolehan yang wujud dalam diri mereka secara beransur-ansur agar dapat berkembang dengan baik selaras dengan kematangan yang dilalui oleh para pelajar.

Firman Allah:
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.                                                                                      “Al-Isra’ : 24

Peranan Guru Pendidikan Islam dalam melahirkan Modal Insan

Guru merupakan sumber manusia penting dalam industri pendidikan bagi menyokong hasrat wawasan negara ke arah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.Gurulah yang akan memastikan para pelajar serasi dengan acuan wawasan negara. Gurulah yang akan memastikan modal insan negara mampu memenuhi usaha memartabatkan taraf pendidikan modal insan negara sejajar dengan piawai negara maju. Justeru, guru juga mesti melengkapkan diri mereka dengan nilai futuristik yang akan menanggapi cabaran pembentukan modal insan cemerlang dan seimbang. Pembangunan modal insan yang berkualiti dan seimbang adalah hasrat pendidikan negara secara umum dan matlamat Pendidikan Islam secara khusus. Usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan seimbang menuntut profesionalisme guru‐guru yang memikul tanggungjawab dan tugas mendidik. Profesionalisme adalah satu isu yang besar dan penting. Ia merujuk kepada kualiti yang dimiliki guru daripada segi ilmu, kemahiran, sikap atau atribut. Guru dalam tradisi keilmuan Islam adalah ibu bapa kedua penting selepas ibu bapa pelajar sendiri. Guru juga adalah pendakwah yang menjadi ikutan dan rujukankepada pelajar. Terdapat empat atribut guru Pendidikan Islam yang penting bagi menunjukkan tahap profesionalisme mereka iaitu sabar, bersedia meningkatkan ilmu dan kemahiran, menilai amalan diri dan amalan pengajaran serta memiliki pergantungan yang kuat dengan Allah s.w.t. Keempat‐empat atribut tersebut berperanan menghasilkan modal insan atau pelajar yang berkualiti dan seimbang sesuai dengan kehendak Pendidikan Islam (Fathiyah, 2011).


No comments:

Post a Comment