Tuesday, 8 November 2016

Analisis Sahsiah Para Sahabat Rasulullah S.A.W dan tokoh ilmuan Islam

SAHSIAH KHULAFA’ AL-RASYIDIN

Perpindahan Rasulullah SAW. ke Madinah pada tahun 622 Masihi, membawa perubahan dan pengertian yang besar terhadap penyibaran dan kestabilan agama Islam. Kurikulum pendidikan peringkat ini bertukar kepada memenuhi tuntutan perundangan dan perhubungan antarabangsa. Institusi pendidikan Islam memilih masjid sebagai tempat menyampai ilmu, sistem halaqah bermula di Masjid dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

            Fungsi masjid mengikut termenologi Islam adalah sebagai markas bagi segala aktiviti agama dan masyarakat, khususnya dalam hal-hal yang berhubung dengan aktiviti ibadat, pelajaran dan pendidikan. Al-Abrasyi menyatakan Rasulullah SAW menjadikan masjid Nabawi sebagai tempat belajar mengenai urusan dunia dan agama disamping beribadat. Situasi masjid lebih bebas dan sesuai sebagai tempat belajar.

            Rasulullah SAW telah mendirikan sebuah surau yang bersambung dengan masjid tersebut dikenali sebagai al-suffah. Ia merupakan sebagai sebuah sekolah yang membimbing pelajarnya dengan lebih sistematik. Matapelajarannya termasuklah al-Quran, asas agama (Aqidah, syariah, akhlak), khat, sejarah dan bahasa. Kurikulum yang diberi merangkumi pendidikan rohani dan jasmani yang menjadi keperluan kepada individu dan masyarakat.

Struktur pendidikan Islam di Madinah telah disusun oleh Rasulullah dalam beberapa bentuk :

   Pendidikan umum: Ia di jalankan oleh Rasulullah SAW. atau para sahabat daripada Khulafa al-Rashidin. Perlaksanaannya dilakukan dengan penyampaian pidato selepas solat fardu atau selepas solat Jumaat. Kurikulumnya merangkumi bidang aqidah, syariat, muamalat dan lain-lain. Bidang lain seperti menunggang kuda, bermain pedang, berenang, bergusti dan lumba lari.
Pendidikan khusus: Pengajaran yang berbentuk khusus ialah pengajaran yang diberikan oleh baginda kepada orang-orang yang tertentu tanpa mengira tempat atau masa. Sahabat-sahabat baginda seperti Ali bin Abi Talib, Abu Bakar as-Siddiq, Abu Hurairah dan lain-lain adalah di antara orang yang sering mendapat pendidikan khusus berupa teguran dan tunjuk ajar secara langsung.
Pendidikan Institusi: Merupakan intisari Pendidikan Islam pada peringkat Madinah. Pendidikan ini dibahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat awal (menulis dan membaca) dan peringkat pendidikan ke atas ahli Suffah. Pendidikan bentuk ini banyak melahirkan cendiakawan Islam pada masa selanjutnya.
 
Pendidikan Islam Pada Zaman Khulafa Al-Rasyidin

Zaman pemerintahan Khulafa al-Rashidin (11H/623M – 40H/661M) diperintah oleh empat orang sahabat Rasulullah SAW. bertindak sebagai Uli al-Amr memelihara kestabilan dan keselamatan negara bahkan memberi penekanan yang begitu intensif terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam. Para sahabat telah menumpukan perhatian mendidik disamping pada masa yang sama mentadbir negara.

            Pusat pentadbiran Khulafa‟ al-Rashidin masih lagi dibuat di Madinah sebagai lanjutan pusat pentadbiran Nabi SAW. Pada zaman ini para sahabat nabi seperti Abdullah bin Umar, Zaid bin Thabit dan lain-lain masih aktif menyambung perjuangan Rasulullah SAW dalam bidang keilmuan Islam khasnya Fekah dan Tauhid. Bersumberkan al-Quran dan ajaran sunnah Nabawi, para sahabat meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran kepada kaum muslimin. Tahun-tahun pemerintahan khulafa‟ al-Rashidin dipenuhi dengan pelbagai cabaran seperti masalah riddah, ancaman Quraisy Makkah, Rom, Parsi, Yahudi dan kaum Nasrani, bahkan juga ancaman dari dalam yang dibuat oleh kaum munafikin.

            Semua masalah itu dapat diatasi bahkan proses pendidikan Islam semakin berkembang luas ke serata alam dalam pelbagai bidang serta lahir pula tokoh-tokoh ilmu yang terbilang pada zamannya.  Para sahabat yang terdiri daripada Sayidina Abu Bakar, Omar, Uthman dan Ali adalah orang yang mewarisi risalah Rasulullah SAW. Mereka bukan sahaja menyambung usaha-usaha yang telah diatur oleh Rasulullah SAW bahkan melangkau lebih jauh lagi ekoran pertambahan umat Islam dan keluasan wilayah Islam.

            Sebagai contoh di zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq (11H – 13H) di samping memelihara keutuhan negara dari berlakunya kehancuran, akibat tindakan liar orang-orang munafik dan musuh-musuh Islam, beliau amat memberi perhatian berat terhadap perkembangan ilmu pengetahuan. Beliau bukan sahaja menggalak umat Islam supaya mempelajari dan menghayati al-Quran dan al- Sunnah bahkan bertindak mengumpul dan menulis semula ayat-ayat al-Quran di dalam sebuah Mashaf. Dengan alasan kitab suci al-Quran dapat diedarkan ke seluruh wilayah Islam yang terletak jauh dari wilayah pentadbiran kerajaan Islam Madinah.

            Pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab (634-644 Masihi) seluruh Semenanjung Tanah Arab, Parsi, Sham dan Mesir serta beberapa wilayah Islam yang ditakluki, tidak terdapat sebuah kampong pun di daerah tersebut melainkan dibangunkan masjid sebagai tempat ibadat di samping menjadi pusat pelajaran dan pendidikan Islam. Khalifah Umar al-Khattab memberi perhatian yang sama terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam. Ahli-ahli sejarah menyatakan, seluruh Semenanjung Tanah Arab, Farsi, Sham dan Mesir menjadi wilayah kerajaan Islam pada masa pemerintahannya.

Beliau memberi penekanan yang serius terhadap ilmu pengetahuan yang bersifat spiritual atau rohani kepada seluruh rakyat, di samping menekankan ilmu pengetahuan yang berbentuk fizikal atau jasmani seperti berenang, menunggang kuda memanah, matematik dan kemahiran berfikir (mantik). Galakan tersebut dapat dilihat melalui perutusannya kepada gabenor-gabenor wilayah, anataranya dengan menyebut: Ajarlah anakanak kamu berenang, menunggang kuda dan riwayat-riwayat yang baik dan syairsyair yang indah.

            Begitu juga berlaku pada masa khalifah Uthman Ibn Affan, beliau menegaskan mengenai pembukuan al-Quran dan penulisanNya, beliau telah melantik sahabatsahabat untuk menulis dan membukukan al-Quran. Dengan usaha beliau itu, dapat menyelamatkan pembacaan al-Quran mengikut Rasm Uthmani.

SAHSIAH SAIDATINA KHADIJAH BINTI KHUWAILID

Diriwayatkan dari Aisyah beliau berkata:"Rasulullah S.A.W. hampir tidak pernah keluar dari rumah sehinggalah baginda menyebut-nyebut kebaikan tentang Khadijah dan memuji-muji setiap hari sehingga aku menjadi cemburu, lalu aku berkata: Bukankah beliau seorang wanita tua, yang Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik untuk engkau? Maka baginda marah sampai berkerut dahinya, kemudian bersabda: Tidak! Demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya.Sungguh Khadijah telah beriman di saat manusia mendustakanku, dan menolongku dengan harta di saat manusia menjauhiku, dan dengannya Allah mengurniakan zuriat kepadaku dan tidak dengan wanita yang lain.Aisyah berkata: aka aku berjanji untuk tidak menjelek jelekkannya buat selama-lamanya."

Pengupasan tentang peribadi Saidatina Khadijah yang unggul, yang selama hidupnya menguatkan Nabi Muhammad S.A.W. pada permulaan dakwah Islam. Saidatina Khadijah merupakan isteri pertama Nabi Muhammad S.A.W. dan juga wanita pertama yang beriman serta menyatakan bahawa Tuhan itu satu dan Nabi Muhammad S.A.W. adalah utusan dari Allah S.W.T. Di sini akan menceritakan mengenai riwayat hidup Saidatina Khadijah sejak beliau dilahirkan sehinggalah beliau wafat.

            Saidatina Khadijah memiliki peribadi yang luar biasa.  Peribadinya yang cukup luar biasa ini memberi implikasi yang positif kepada masyarakat Islam pada zaman awal Islam. Masyarakat pada zaman itu amat kagum dengan keperibadian Saidatina Khadijah yang cukup mulia itu. Saidatina Khadijah adalah salah seorang tokoh yang paling penting dalam sejarah Islam. Wanita yang agung bernama Saidatina Khadijah ini telah memberi banyak sumbangan terhadap Islam dari pelbagai aspek dan juga telah menyumbang ke arah kemenangan kerajaan Islam. Beliau memainkan peranan yang sangat cemerlang.  Bersama Abu Talib, Saidatina Khadijah merupakan salah seorang dari pendukung Islam dan kaum Muslim.

 Pada masa Islam mengalami tekanan peperangan yang tidak henti hentinya dan selama tiga tahun mendapat serangan yang bertubi-tubi, Saidatina Khadijah membantu kaum Muslim dengan segala bentuk pengorbanan yang luar biasa. Saidatina Khadijah mempunyai sifat-sifat yang amat indah sekali yang mana sifat-sifat beliau ini belum tentu wujud pada setiap wanita pada zaman kini. Saidatina Khadijah mempunyai hati dan jiwa yang suci, bersih dan terpelihara dari kejahatan. Perasaan Saidatina Khadijah yang halus dan akhlaknya yang mulia membuatkan dirinya lebih dihormati dan istimewa.

Di samping itu, ketakwaan dan keimanan beliau terhadap Allah S. W. T. amat teguh sekali dan tidak perlu diragukan lagi. Walaupun Saidatina Khadijah ini seorang yang kaya, beliau tidak pernah lupa melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai umat Islam. Selain itu, Saidatina Khadijah juga seorang pendakwah Islam yang berani.  Keperibadiaan dan sumbangan beliau ini amat dikagumi dan sukar dilupakan. Sifat-sifat semulajadinya yang mulia itu akan menjadi satu contoh yang amat besar dalam hidup setiap manusia.

            Saidatina Khadijah yang unggul mempunyai peribadi yang cukup hebat dalam sejarah perjuangan sirah Rasulullah s.a.w. Saidatina Khadijah dikurniakan peribadi serta sifatsifat yang sangat mulia tidak kira dari segi luaran mahupun dalaman. Saidatina Khadijah menjadi isteri yang pertama dalam hidup Nabi Muhammad S. A. W. dan peribadinya telah membuat hati dan hidup Nabi Muhammad S. A. W. cukup bahagia. Saidatina Khadijah amat bermakna dalam hidup Nabi Muhammad S. A. W. Saidatina Khadijah telah dikurniakan dengan berbagai gelaran antaranya ialah Ummul Mu‟minin, Thahirah, penghulu wanita serta penghulu syurga. Beliau juga orang pertama yang beriman dan mengatakan Tuhan itu satu dan Nabi Muhammad S. A. W. itu utusan-Nya.

            Saidatina dilahirkan dari kalangan keluarga yang mulia. Oleh itu juga Saidatina Khadijah mempunyai peribadi yang mulia dan disanjung tinggi. Saidatina Khadijah suka menolong orang-orang yang berada dalam kesusahan. Beliau tidak sanggup melihat penderitaan orang lain. Beliau sanggup menderita demi menolong dan melihat orang sekelilingnya hidup senang. Beliau mempunyai ciri-ciri kepimpinan apabila beliau menguruskan dagangan keluarganya setelah ibu dan bapanya meninggal dunia. Di samping itu, sumbangan Saidatina Khadijah kepada Islam pada zaman awal Islam telah memberi banyak perubahan. Hartanya telah banyak dihabiskan untuk menolong Nabi Muhammad S. A. W , keluarganya serta orang-orang Muslim. Tetapi beliau tidak pernah merungut tentang hartanya yang semakin berkurangan itu. Kisah Saidatina Khadijah ini telah memberi impak yang sungguh bagus dan positif kepada setiap umat Islam. Sifat semulajadinya yang sungguh agung dan tiada cacat celanya membuatkan dirinya lebih cepat mempengaruhi masyarakat Islam. Peribadinya itu memang patut kita jadikan contoh terbaik bagi menjalani kehidupan seharian kita. Saidatina Khadijah iaitu salah seorang tokoh Islam pada zaman dulu yang telah memberi banyak sumbangan terhadap Islam. Sumbangannya yang diberi kepada setiap orang Muslim tidak kira pangkat atau darjat itu memberi satu peringatan yang tidak akan lupus dari hati atau hidup seseorang Muslim itu.

RIWAYAT HIDUP SAIDATINA KHADIJAH

Saidatina Khadijah dilahirkan di Makkah pada tahun 68 sebelum Hijrah dan kurang lebih 15 tahun sebelum tahun Gajah. Saidatina Khadijah merupakan puteri kepada Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai Al-Qurasyiyyah Al-Asayidah. Ayahnya seorang pedagang. Ibunya pula bernama Fatimah binti Zaidah bin Al-Asham. Saidatina Khadijah lahir dari kalangan keluarga yang mulia, jujur dan keluarga pemimpin. Saidatina Khadijah berketurunan Bani Hasyim. Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 2

            Saidatina Khadijah dibesarkan di kalangan keluarga yang mulia, terdidik dengan akhlak yang terpuji, bersifat teguh dan cerdik sehingga kaumnya memanggil Thahirah kerana beliau sangat loba terhadap akhlak dan kesopanan yang mulia. Ayahnya, Khuwailid wafat kira-kira pada tahun 585 Masihi iaitu sebelum perang Fijar. Manakala ibu Saidatina Khadijah wafat sekitar tahun 575 Masihi. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 4) dan ( Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 16)

            Setelah ibu dan ayah Saidatina Khadijah wafat, kekayaan dan harta diagihkan kepada Saidatina Khadijah dan adik-beradiknya. Antara adik-beradiknya, hanya Saidatina Khadijah yang mewarisi kebolehan ayahnya untuk menjadi kaya. Oleh kerana Saidatina Khadijah dikurniakan kecerdasan yang luar biasa, beliau mengambil alih tanggungjawab bisnes keluarganya dan segera mengembangkannya. Beliau ingin memperoleh kekayaan dari titik peluh sendiri. Salah seorang bapa saudaranya bertindak sebagai penasihat beliau dalam masalah bisnes. Anggota keluarga yang lain juga turut membantunya apabila beliau memerlukan pertolongan. Walaupun begitu, dalam membuat keputusan, beliau tidak akan bergantung pada sesiapapun malah akan membuat keputusannya sendiri. ( Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 16)

            Sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad S. A. W. Saidatina Khadijah diperisteri oleh Abu Halah bin Zurarah bin Usaid bin Amr bin Tamim At-Tamimi. Mereka telah memperoleh dua cahaya mata yang bernama Halah dan Hanad. Setelah Abu Halah meninggal dunia, Saidatina Khadijah diperisteri oleh Atiq bin Aidz bin Abdillah bin Umar bin Makhzum Al-Makhzumi. Namun begitu perkahwinannya hanya berlangsung beberapa saat kemudian bercerai. Selepas itu ramailah orang-orang terkenal di kalangan Quraisy ingin memperisterikan Saidatina Khadijah, tetapi beliau menolaknya kerana beliau ingin meluangkan masa beliau dengan mendidik putera-puteranya dan menguruskan dagangannya. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 5) Setelah dagangannya meluas ke negeri Syam, Saidatina Khadijah mengambil NabiMuhammad S.A.W. sebagai pekerjanya bagi mengedarkan dan menguruskan dagangannya dari Makkah ke Syam.

            Di samping itu juga, beliau mengutus pembantunya yang bernama Maisarah untuk memperhatikan gerak-geri Nabi Muhammad. Setelah sekian lama mengenali diri dan sifat-sifat Nabi Muhammad S. A. W, Saidatina Khadijah mula jatuh cinta pada Nabi Muhammad S. A. W. Dan dari situlah terjalinnya perkahwinan Saidatina Khadijah dengan Nabi Muhammad S. A. W. dimana umur Saidatina Khadijah ketika itu ialah 40 tahun manakala umur Nabi Muhammad S. A. W. ialah 25 tahun. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 6-10) Keistimewaan Saidatina Khadijah ialah beliau seorang yang cerdas, pandai menjaga diri, suci perilakunya, bermurah hati serta dermawan. Nabi Muhammad S. A. W. telah memberi gelaran penghulu wanita pada zamannya dan juga menjadi penghulu syurga.

            Saidatina Khadijah juga wanita yang sempurna, seorang teguh hati, agung, suci hatinya, bersih jiwanya, cantik rupa parasnya, halus perasaannya, sentiasa adil dan mulia akhlaknya. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 5-6) Keimanan, kebaikan, kemurahan hati Saidatina Khadijah diketahui oleh setiap orang. Beliau penuh dengan kesabaran dalam penderitaannya dan bersemangat untuk berjuang. Saidatina Khadijah selalu mengagungkan rahmat dan kurnia dari Allah S. W. T. Beliau selalu mendapat rahmat yang berlimpah. Ketika pemulauan terhadap keluarga Bani Hasyim, Saidatina Khadijah tetap tegar dalam keimanannya dan hal itu selalu menjadi sumber kekuatan yang tidak pernah goyah baginya dan bagi orang-orang di sekelilingnya. (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 64-67)

            Dari hasil perkahwinan yang sungguh harmoni ini, mereka berdua telah dikurniakan enam cahaya mata iaitu empat puteri dan dua putera. Anak pertama mereka ialah Al- Qasim. Al-Qasim wafat ketika berusia satu tahun. Selepas kelahiran Al-Qasim, diikuti dengan kelahiran Zainab, Ruqayyah, Ummu Kaltsum, Siti Fatimah Az-Zahra dan Abdullah. Abdullah wafat ketika masih bayi lagi. Semua puteri Saidatina Khadijah dan Nabi Muhammad S. A. W. wafat ketika Nabi Muhammad S. A. W. masih hidup kecuali Siti Fatimah Az-Zahra wafat enam bulan selepas wafatnya bapanya, Nabi Muhammad S. A. W. (Muhammad Al-Ghazaliy, 1996: mukasurat 135)

            Saidatina Khadijah tidak pernah meminta apa-apa pun dari suaminya. Jangankan minta berikan sesuatu, bahkan beliau banyak menggunakan wangnya untuk keperluan orangorang Muslim. Selain itu, beliau seorang wanita sempurna. Saidatina Khadijah tidak pernah berasa cemburu. Beliau selalu bersyukur, gembira dan mempunyai perasaan puas dalam memberikan sesuatu. Beliau juga tidak pernah menyakiti orang, tidak pernah marah, berdendam, mengumpat atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang lain. Saidatina Khadijah dilahirkan dengan hati yang bersih. (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 76-80)

            Selepas bapa saudara Nabi Muhammad S. A. W iaitu Abu Talib wafat, Saidatina Khadijah yang ketika itu berusia 65 tahun telah jatuh sakit. Tak lama kemudian Saidatina Khadijah pun wafat. Ini semua adalah kesan dari beratnya penderitaan yang ditanggung Saidatina Khadijah selama dipulau oleh kaum Musyrikin Quraisy selama tiga tahun di Syiib Abu Talib. Saidatina Khadijah telah wafat pada sepuluh Ramadhan pada tahun 619 Masihi. Pada saat kewafatannya, jubah Nabi Muhammad S. A. W. dijadikan sebagai kain kapan untuk Saidatina Khadijah dan beliau dikebumikan di Hujun, Makkah. (Maulana Syed Abul Hasan Ali an Nadwi, 2009: mukasurat 311)

SUMBANGAN SAIDATINA KHADIJAH KEPADA ISLAM

Saidatina Khadijah bukan sedikit sumbangannya kepada Islam. Beliau telah berkorban menyumbang pertolongan kepada masyarakat pada zaman awal Islam tidak kira keturunan atau pangkat. Antaranya beliau telah membantu orang-orang miskin, janda, anak-anak yatim dan orang-orang cacat menggunakan keuntungan yang diperolehnya daripada hasil dagangannya. Apabila ada gadis miskin, Saidatina Khadijah mengahwinkannya dan memberikan mas kahwin kepada mereka. (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 16)

Ketika pemulauan terhadap keluarga Bani Hasyim, kekayaan Saidatina Khadijah yang melimpah itu habis. Hal ini kerana sebahagian hartanya dihabiskan untuk membeli air bagi menyelamatkan Nabi Muhammad S. A. W. dan keluarganya. Saidatina Khadijah mengorbankan kesenangan, kekayaan, rumahnya dan hidupnya untuk Islam. Semasa peperangan, Saidatina Khadijah menggunakan semua harta kekayaanya untuk keperluan seperti misalnya membeli makanan dan minuman untuk keluarga suaminya. Beliau sangat bahagia apabila hartanya disumbangkan ke arah kebaikan. (Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 66-69)

Saidatina Khadijah selalu bersama suaminya yang tercinta di dalam masa susah mahupun senang. Saidatina Khadijah selalu menghiburkan Nabi Muhammad S. A. W. ketika baginda kebingungan apabila wahyu yang pertama diturunkan kepada baginda. Ciri kelembutan seorang isteri amat jelas ketika beliau menenangkan rasulullah dengan kata-kata yang lunak dan meyenangkan hati suami yang di dalam kebimbangan dan ketakutan itu. Bahkan Saidatina Khadijahlah yang telah bersusah payah membawa Nabi Muhammad S. A. W. berjumpa sepupunya yang alim dalam kitab Taurat dan Injil iaitu Waraqah bin Naufal untuk mengesahkan apakah benda yang telah datang kepada suaminya di dalam Gua Hira‟ itu. (Maulana Syed Abul Hassan Ali ad Nadwi, 2009: 311- 314)

            Setiap hari, Saidatina Khadijah memberikan makanan kepada orang-orang Muslim yang miskin sehingga tiada seorang pun yang menderita kelaparan. Di samping itu, beliau memberikan tempat tinggal kepada mereka. Beliau menggunakan banyak wangnya untuk orang-orang Muslim Makkah yang miskin dan dengan begitu beliau telah mematahkan tujuan orang-orang kafir yang mendera orang-orang Muslim itu. (Syed A. A. Razwy,1993:muka surat 75)

            Di samping itu, Saidatina Khadijah juga seorang pendakwah yang cukup berani, petah bercakap dan indah kata-katanya. Sifat-sifat inilah yang menjadikan beliau seorang yang berani dalam berdakwah dan mendapat sambutan yang cukup baik. Saidatina Khadijah selalu mendampingi suaminya yang tercinta dalam berdakwah dan beliau akan menolong suaminya dalam keadaan sulit dan penuh ujian. Beliau akan selalu menolong dan membantu Nabi Muhammad S. A. W. dengan seberapa banyak kemampuan yang ada. (Muhammad Ali Quthub, 1986: muka surat 18-19)

KESIMPULAN

Dari kisah Saidatina Khadijah ini, kita dapat lihat bahawa Saidatina Khadijah mempunyai keperibadian yang sungguh indah dan unggul. Beliau seorang anak yang bertanggungjawab dan pandai berdikari dalam menguruskan dan meneruskan perdagangan keluarganya. Beliau seorang isteri yang setia, ikhlas terhadap suaminya. Beliau berada di sisi suaminya yang tercinta di kala suka dan duka. Beliau juga seorang ibu yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu terhadap anak-anaknya. Seterusnya, beliau telah memberi banyak pengorbanan dari segi harta, waktu, kepandaian, tenaga, dorongan dan hatinya yang tiada bandingannya untuk Islam yang dicintai.

         Pengorbanan-pengorbanan beliau cukup berhasil bagi menguatkan dan mengukuhkan kerajaan Islam ketika itu. Pengorabanan Saidatina Khadijah untuk Islam ini sangat diagungkan dalam sejarah kita. Dorongan yang diberikan kepada suaminya iaitu Nabi Muhammad S. A. W. telah membuat politik Islam semakin maju. Tidak ada seorang pun yang dapat memainkan peranan seperti yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah. Hasil dari pengorbanannya, Islam ketika itu mampu menang dalam melawan penyembahan berhala. Musuh-musuh Islam dapat dikalahkan, keangkuhan Bani Hasyim dapat dirobohkan, dan ideologi keberhalaan dimusnahkan. Saidatina Khadijah ialah salah seorang tokoh utama yang membangunkan kemenangan Islam.

            Di sini juga, kita dapat lihat Saidatina Khadijah tidak pernah rasa jemu dalam memberikan bantuan kepada orang-orang sekelilingnya. Beliau memberikan sumbangan kepada Nabi Muhammad S. A. W, keluarganya dan orang-orang Muslim kerana Allah S. W. T. Saidatina Khadijah juga tidak pernah rasa gentar untuk menghadapi musuh kerana beliau berani kerana benar. Setelah Saidatina Khadijah, orang-orang di sekelilingnya tidak pernah melupakan pengorbanan yang telah beliau sumbangkan. Pengorbanan dan peribadi Saidatina Khadijah yang mulia ini akan sentiasa dikenang dan perlu diterapkan dalam setiap jiwa dan pemikiran manusia pada zaman sekarang ini terutama pada kaum wanita. Saidatina Khadijah perlu dijadikan contoh yang baik buat semua masyarakat sekarang.

PENDAHULUAN

Saiditina aisyah adalah satu nama yang sangat besar di dalam sejarah Islam. Beliau merupakan perawi hadith yang hebat , di mana terdapat lebih dari 5 ribu buah hadith yang diriwayatkan dan menjadi pegangan umat Islam sehingga sekarang.Kelebihan yang dimiliki oleh Siti Aisyah ini telah berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan perawi hadith dari kalangan sahabat lelaki yang lain. Kecintaan dan hubungan yang akrab bersama rasulullah banyak digambarkan dari hadith yang diriwayatkan olehnya.  Sekaligus mewujudkan keakraban hubungan suami isteri dan cara menjalinkan hubungan kekeluargaan yang harmoni antara ahli keluarga. Berikut beberapa hadith
yang menerangkan keadaan tersebut.

            Aisyah r.ha. menceritakan, "Suatu ketika Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku: 'Sesungguhnya kanda tahu bila dinda sedang senang kepada kanda dan bila dinda sedang marah.' Aku bertanya: 'Bagaimana kanda tahu?' Baginda menjawab; 'Jika dinda sedang senang kepada kanda, maka dinda akan mengatakan, demi Tuhan Muhammad! Tapi jika sedang marah, dinda akan mengatakan, tidak, demi tuhan Ibrahim!' Aisyah berkata: 'Itu benar. Demi Allah! Dinda hanya mampu menjauhi namamu.'" (Muttafaq 'alaih).

            Di dalam hadith yang lain pula Imam al-Nawawi berkata, "mengenai pernyataan Rasulullah s.a.w. kepada Aisyah r.ha. ini, al-Qadhi berkata, 'Kemarahan Aisyah kepada nabi adalah dalam bentuk kecemburuan kepada Baginda. Kecemburuan menjadi faktor tidak berlakunya banyak hukum bagi wanita, kerana ia (cemburu) tidak dapat dipisahkan daripada wanita. Bahkan Imam Malik dan ulama-ulama Madinah lainnya berpendapat, tidak berlaku bagi wanita yang menuduh suaminya berzina ketika ia sedang cemburu.

SAHSIAH SAIDATINA AISYAH BINTI ABU BAKAR

Pendapat ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: 'Wanita cemburu tidak dapat membezakan antara bibir lembah dan dasarnya.'" Jika pengertian hadis di atas tidak bermaksud kemarahan kerana cemburu, maka Aisyah berada dalam kedudukan yang sangat sulit kerana marah dan menjauhi rasulullah s.a.w. adalah dosa besar. Untuk itu, Aisyah r.ha. berkata, "Dinda hanya mampu menjauhi namamu." Ini menunjukkan perasaan hati dan kecintaanya kepada Rasulullah s.a.w. tetap seperti sediakala. Kecemburuannya didorong oleh rasa cinta yang terlalu tinggi."  (Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, jil. 15, hlm 292-293)

Aisyah r.ha. mengatakan bahwa dia pernah bertanya: "Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling kanda cintai?" Baginda bertanya kembali: "Kenapa dinda bertanya seperti itu?' Aisyah menjawab: "Dinda ingin mencintai orang yang kanda cintai." Baginda menjelaskan: "Dia ialah Aisyah." (Al-Haithami, majma' al-Zawa'id no. 15309. Hadis ini diriwayatkan oleh Tabrani, sanadnya hasan)

RIWAYAT HIDUP

Nama                          : Aisyah bte Abu Bakar As-Siddiq r.a
Nama bapa                 : Abu Bakar Abu Quhafah
Nama Ibu                    : Ruman bte Umairah b Amir
Tempat lahir                : Mekkah al-Mukarramah
Tarikh lahir                  : 8 tahun sebelum hijrah:641M
Gelaran                       : Al-Humaira [putih kemerah-merahan]
Nama suami                : Muhammad b Abdullah [Rasulullah SAW]
Tarikh perkahwinan     : Bulan Syawal, tahun 10 kenabian
Tarikh wafat                 : 17 Ramadhan tahun 58 hijrah
Umur Wafat                 : 67 tahun
Tempat wafat               : al-Baqi’, Madinah al-Munawwarah

·                      Bersungguh-sungguh menuntut ilmu:
ü  Sejak kecil/zaman kanak-kanak menunjukkan minat yg dalam terhadap ilmu
 ·         Sabar Cekal dan Tabah:
ü  Tidak pernah mengeluh walau menempuh pelbagai cabaran.
 ·         Cekal dan tabahü  Dalam menghadapi dugaan seperti fitnah dalam peristiwa “HadithulIfqun”
 ·         Bersungguh-sungguh menuntut ilmu:
ü  Taat dan patuh kepada ibu bapa dan suami.Tegas dan berani menegakkan kebenaran
 ·         Dermawan:
ü  Sanggup menjual barang keperluannya semata mata membantu orang lain

SUMBANGAN KEILMUAN

Kepandaian dan kecerdasan fikiran Saidatina Aisyah (al-Humaira) adalah sangat ketara sehingga beliau digolongkan dalam kelompok intelek pada tahun-tahun pertama Islam.Beliau dianugerahkan ingatan yang sangat tajam dan mampu mengingat segala persoalan yang diajukan oleh kaum wanita kepada Nabi.Begitu juga beliau mampu mengingat semula segala jawapan yang berikan oleh Rasulullah secara sempurna. Ini di sebabkan kedudukan biliknya yang hanya bersebelahan sahaja dengan masjid yang Rasulullah selalu menyampaikan kuliah maka dengan tekun dan cermat beliau mendengar dakwah,kuliah dan diskusi Nabi dengan para sahabat dan orang-orang lain.Disebabkan banyaknya ilmu yang diserap oleh Aisyah r.ha Baginda Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: "Ambillah separuh agamamu dari Humaira itu"

PERIWAYATAN HADITH

Nama Saidatina Aisyah telah tercatatat dalam sejarah Islam sebagai serang ilmuan unggul samada dalam bidang politik,tasyri' dan adab. Kesempatan hidup selama sepuluh tahun bersama Rasulullah menjadikan peluang yang cukup berharga kepada Siti Aisyah meriwayatkan hadith yang berjumlah lebih dari 5 ribu buah.Beliau sering menerima pertanyaan dari para sahabat Rasulullah SAW. Analisanya tepat dan fikirannya tajam, kemampuannya yang pelbagai ini menyumbang kepada perkembangan tamaddun ilmu dalam Islam yang gemilang.

KESIMPULAN

Bermula dari perkahwinan Saidatuna Aishah bersama manusia agung Muhammad s.a.w di usia sembilan tahun telah memulakan sejarah hidupnya sebagai isteri manusia yang paling hebat di dunia. Sejarah hidupnya telah membuktikan kehebatan perkongsian ilmu bersama manusia agong ini mampu menjana ketamadun ilmu yang gemilang berkat ciri -ciri sahsiah yang tinggi dimiliki olehnya. Kebanyakan para ulamak menempatkan Ibu Agung Agama Islam ini sebagai wanita yang paling menonjol selepas Saidatuna Khadijah dan Saidatuna Fatimah Azzahra.Manakala ulamak Ibn Hazim pula menempatkan Aisyah ditempat kedua sesudah Nabi Muhammad, mendahului semua isteri, sahabat dan rakan-rakannya.

SAHSIAH IMAM EMPAT MAZHAB

SAHSIAH IMAM AS-SYAFEI

Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf. Imam Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw. Imam Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun. Beliau menghafal Kitab al-Muwatta‟ yang ditulis oleh Imam Malik (Mazhab Maliki) selama 10 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa. Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.

             Imam Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat! Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji. Imam Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi,Imam Maliki dan Iman Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali). Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulamak sebelu mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

            Bila ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.Namun setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya.Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar disitu.

            Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah.Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan. Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof.Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya.

            Kewibawaannya sebagai seorang guru yang berpengaruh terserlah ketika beliau masih kecil lagi. Ini terbukti ketika beliau membacakan ayat-ayat suci al-Quran yang telah memberi kesan yang mendalam kepada pendengarnya sehingga semuanya dapat menghayati maksud al-Quran dan disusuli dengan titisan air mata kesedaran.

SAHSIAH IMAM MALIK

Nama sebenarnya Abu Abdullah Malik Ibnu Anas bin Malik bin Abi Amir bin Amr bin Haris dilahirkan di Kota Madinah tahun 93H. bersamaan tahun 713M Zaman khalifah Sulaiman bin Abd. Malik daripada kerajaan Bani Umayyah. Beliau sempat melalui Dua Pememrintahan iaitu zaman Uamyyah dan zaman Abasiyyah. Beliau saorang yang terkenal dengan kecerdasan akal yang tinggi mampu menghafal al- Quran dalam umur yang masih muda. Beliau saorang hartawan yang tidak lokek membelanjankan hartanya pada jalan Allah, sangat menghormati hadis-hadis Rasulullah, beliau dikatakan tidak pernah menunggang sebarang kenderaan di Madinah sebagai
tanda menghormati jasad baginda yang dikebumikan di sana.

            Prinsip beliau mengenai ilmu ialah orang yang ingin belajar hendaklah berusaha mencarinya, bukanlah ilmu yang datang mencarinya. Beliau tidak pernah merungut apabila memberi kepada muridnya dan sanggup bersusah payah memberi kefahaman ilmu kepada muridnya. Contoh keberanian beliau yang sanggup dirotan dengan camti sehingga patah tulang belankang kerana mengeluarkan fatwa yangtidak disukai oleh khalifah iaitu isteri yang di talak secara paksa tidak jatuh talaknya.

            Sumbangan Imam malik dimana mazhabnya dianggap sebagai mazhab FIQH yang tertua dalam Islam Sunni, mazhab ini diamalkan sebahagian besar di Moroko, Aljeria, Libya dan Palastin. Mazhab ini berbeza daripada mazhab tiga yang lain kerana terdapat tambahan kepada sumbernya iaitu selain menggunakan al-Quran, hadis, ijmak dan qias beliau juga menggunakan amalan ahli-ahli Madinah pada zamannya itu sebagai sumber kelima.

            Beliau juga pakar dalam bidang ilmu hadis dan sangat berhati-hati dalam menyelidik sanad dan perawi hadis untuk mepastikan kesohihannya. Menurut satu riwayat beliau telah menghabiskan umurnya selama 40 tahun untuk menghimpun dan menyaring hadis-hadis yang diterima dari gurunya. Beliau juga telah menghafaz sebanyak 100,000 hadis. Walau bagaimana pun tidak semua hadis tersebut diterima untuk dijadikan sumber hukum, setelah ditapis hanya 10,000 hadis sahaja yang diakui sah.

SAHSIAH IMAM ABU HANIFAH

Imam Abu Hanifah, pengasas mazhab Hanafi, adalah Abu Hanifah An-Nukman bin Tsabit bin Zufi‟at At-Tamimi. Beliau masih mempunyai pertalian hubungan kekeluargaan dengan Imam Ali bin Abi Thalib ra. Dilahirkan di Kufah pada tahun 150H/699M, pada masa pemerintahan Al-Khalid bin Abdul Malik, Abu Hanifah selanjutnya menghabiskan masa kecil dan tumbuh menjadi dewasa di sana. Sejak masih kanak-kanak, beliau telah mengkaji dan menghafal Al-Quran. Beliau dengan tekun senantiasa mengulang-ulang bacaannya, sehingga ayat-ayat suci tersebut tetap terjaga dengan baik dalam ingatannya, sekaligus menjadikan beliau mendalami makna yang dikandung ayat-ayat tersebut.

            Dalam hal memperdalam pengetahuannya tentang Al-Quran, belau sempat berguru kepada Imam Asin, seorang ulama terkenal pada masa itu. Selain mendalami Al-Quran, beliau juga aktif mempelajari ilmu fiqh. Beliau pernah berguru kepada ulama-ulama yang sangat terkenal dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w., di antaranya kepada Anas bin Malik, Abdullah bin Auf dan Abu Tufail Amir, dan sebagainya. Dari mereka belau juga mendalami ilmu hadis. Keluarga Abu Hanifah sebenarnya adalah keluarga pedagang. Beliau sendiri sempat terlibat dalam usaha perdagangan, namun hanya sebentar sebelum beliau memusatkan perhatian pada soal-soal keilmuan.

            Beliau juga dikenali sebagai saorang yang sangat tekun mempelajari ilmu. Sebagai gambaran, belau pernah belajar fiqh kepada ulama yang paling terkenal pada masa itu, seperti Humaid bin Abu Sulaiman, tidak kurang dari 18 tahun lamanya. Setelah wafat gurunya, Imam Abu Hanifah kemudian mulai mengajar di banyak majlis ilmu di Kufah. Setelah 10 tahun gurunya meninggal, iaitu pada tahun 130 H. Imam Abu Hanifah pergi meninggalkan Kufah menuju Mekah.  

            Beliau tinggal beberapa tahun lamanya disana, dan ditempat itu pula beliau bertemu dengan salah seorang murid Abdullah bin Abbas ra. Semasa hidupnya, Imam Abu Hanifah dikenal sebagai seorang yang sangat dalam ilmunya, ahli zuhud, sangat tawadhu, dan sangat teguh memegang ajaran agama. Beliau tidak tertarik kepada jabatan-jabatan rasmi kenegaraan, sehingga beliau pernah menolak tawaran sebagai hakim (Qadhi) yang ditawarkan oleh Khalifah al-Mansur. akibat dari penolakan itu beliau dipenjarakan hingga ke akhir hayatnya.

            Imam Abu Hanifah wafat pada tahun 150 H/ 767 M, pada usia 70 tahun. Beliau dimakamkan di pekuburan Khizra. Pada tahun 450 H/1066 M, sebuah sekolah telah dibina yang diberi nama Jami‟ Abu Hanifah sebagai mengingati jasa-jasanya. Sepeninggalan beliau, ajaran dan ilmunya tetap tersebar melalui murid-muridnya yang cukup banyak. Di antara murid-murid Abu Hanifah yang terkenal adalah Abu Yusuf, Abdullah bin Mubarak, Waqi‟ bin Jarah Ibnu Hasan Al-Syaibani, dan lain-lain. Antara karangan Imam Abu Hanifah ialah; Al-Musuan (kitab hadis, dikumpulkan oleh muridnya), Al-Makharif (buku ini dinisbahkan kepada Imam Abu Hanifah, diriwayatkan oleh Abu Yusuf, dan fiqh Akbar (Kitab fiqh yang lengkap)

SAHSIAH IMAM AHMAD BIN HANBAL

Nama lengkapnya adalah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal Asy Syaibani. Beliau lahir di kota Baghdad pada bulan Rabi‟ul Awwal tahun 164 H (780 M), pada masa Khalifah Muhammad al Mahdi dari Bani Abbasiyyah ke III. Menurut sejarah beliau lebih dikenali dengan Ibnu Hanbal (nisbah bagi datuknya). Walau pun Imam Ahmad dalam keadaan yatim dan miskin, namun berkat bimbingan ibunya yang salehah beliau mampu menjadi manusia yang teramat cinta pada ilmu, kebaikan dan kebenaran. Dalam suasana serba kekurangan, tekad beliau dalam menuntut ilmu tidak pernah berkurang. Bahkan sekalipun beliau sudah menjadi imam, pekerjaan menuntut ilmu dan mendatangi guru-guru yang lebih alim tidak pernah berhenti.

            Beliau menuntut ilmu dari banyak guru yang terkenal dan ahli dalam bidangnya. Misalnya dari kalangan ahli hadits adalah Yahya bin Sa‟id al Qathan, Abdurrahman bin Mahdi, Yazid bin Harun, Sufyan bin Uyainah dan Abu Dawud ath Thayalisi. Dari kalangan ahli fiqh adalah Waqi‟ bin Jarah, Muhammad bin Idris asy Syafi‟i dan Abu Yusuf (sahabat Abu Hanifah ) dan lain-lain dalam ilmu hadits, beliau mampu menghafal sejuta hadits bersama sanad dan hal ehwal perawinya.

            Imam Ahmad seorang yang serba kekurangan, namun beliau sentiasa memelihara kehormatan dirinya. Beliau terkenal sebagai seorang yang amat pemurah. Disamping itu, beliau terkenal sebagai seorang yang zuhud dan wara‟. Bersih hatinya dari segala macam pengaruh kebendaan serta menyibukkan diri dengan zikir dan membaca al Qur‟an. Beliau menghabiskan seluruh usianya untuk membersihkan agama dan mengikisnya dari amalan bid‟ah dan fahaman-fahaman yang sesat. Salah satu karya besar beliau adalah Al Musnad yang memuat empat puluh ribu hadits.

            Selain al Musnad karya beliau yang lain adalah : Tafsir al Qur‟an, An Nasikh wal Mansukh, Al Muqaddam wa Al Muakhar fi al Qur‟an, Jawabat al Qur‟an, at Tarikh, al Manasik al Kabir, al- Manasik al- Shaghir, Tha‟atu Rasul, Al „Ilal, Al Wara‟ dan Ash Shalah. Ujian dan tantangan yang dihadapi Imam Ahmad adalah fahaman Mu‟tazilah yang dianuti oleh pemerintah, khususnya di masa al Makmun dengan kepercayaan “ al-Quran itu makhluk”. Sekalipun Imam Ahmad sadar akan bahaya yang segera menimpanya, namun beliau tetap gigih mempertahankan pendirian dan mematahkan hujjah kaum Mu‟tazilah serta mengingatkan akan bahaya filsafat terhadap kemurnian agama. Beliau berkata tegas pada sultan bahwa al Qur‟an bukanlah makhluk, sehingga beliau diseret ke penjara. Beliau berada di penjara selama tiga periode kekhlifahan yaitu al Makmun, al Mu‟tashim dan terakhir al Watsiq. Setelah al Watsiq tiada, diganti oleh al Mutawakkil yang arif dan bijaksana dan Imam Ahmad pun dibebaskan.

            Walaupun Imam Ahmad lama meringkuk di dalam penjara dan diasingkan dari masyarakat, namun berkat keteguhan dan kesabarannya selain mendapat penghargaan dari sultan juga memperoleh keharuman atas namanya. Ajarannya makin banyak diikuti orang dan mazhabnya tersebar di seluruh Irak dan Syam. Tidak lama kemudian beliau meninggal karena rasa sakit dan luka yang dibawanya dari penjara semakin parah dan memburuk. Beliau wafat pada 12 Rabi‟ul Awwal 241 H (855).

            Pada hari itu tidak kurang dari 130.000 Muslimin yang hendak menshalatkannya dan 10.000 orang Yahudi dan Nashrani yang masuk Islam. Menurut sejarah belum pernah terjadi jenazah dishalatkan orang sebanyak itu kecuali Ibnu Taimiyah dan Ahmad bin Hanbal. Boleh dikatakan semua imam tersebut telah menggunakan pelbagai kaedah dalam menyampaikan pengajajaran mereka, khususnya iman as-Syafie, beliau telah menggunakan kaedah-kaedah berikut dalam menyampainya:

Secara Kuliah

Semasa menetap di Makkah, pemusatan pengajarannya ialah di Masjidil haram (Muhammad Abu Zuhrah, 1367). Beliau mengajar dengan duduk di atas kerusi dikelilingi oleh murid-muridnya. Masa ini merupakan saat-saat yang paling subur dalam keilmuannya, di mana imam as-Syafei menumpukan pemikiran dalam kuliahnya dan bersama murid-muridnya mencari jalan pengeluaran hukum yang ganjil dan membandingkan antara sumber perundangan yang pelbagai. Selama sembilan tahun, imam as-Syafei menghabiskan masanya di Makkah bersama-sama para ilmuan yang lain membahas, mengajar, mengkaji disamping berusaha untuk melahirkan satu intisari dari beberapa aliran dan juga persoalan yang sering bertentangan yang ditemui pada masa itu. Di Mesir, beliau juga mengajar di sebuah masjid bernama Masjid Amru bin Ash. Kuliahnya bermula pada setiap hari dari pagi hingga tengahari (setelah selesai solat subuh hingga waktu zohor). Selesai solat zohor, baharulah beliau pulang ke rumah bersama dengan murid yang berdekatan dengan beliau antaranya ialah al-Muzani, al- Rabi‟ dan Muhammad bin Abdullah.

Secara Halaqah

Pengajaran beliau semasa di Baghdad ialah berbentuk halaqah. Beliau mengajar di sabuah masjid di sebelah barat Kota Baghdad pada mulanya terdapat 20 halaqah pengajian di masjid itu, satelah kedatangan imam as-Syafei halaqah itu digabungkan menjadi TIGA sahaja dan halaqah yang lain bergabung ke dalam halaqah Imam as- Syafei. Pengajaran beliau dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada para ulama, cerdik pandai dan para pegawai kerajaan.

Secara Imlak

Cara ini diamalkan sewaktu beliau menyusun kita al-Umm. Pernah as-Syafei mengimlakkan kepada murid-muridnya dan sebahagian lagi ditulis oleh beliau sendiri. Kadang-kadang dirombak pula oleh murid-muridnya apa yang beliau tulis, kemudian dibacakan kepada beliau apa yang telah dirombak itu.

Secara bertukar-tukar fikiran

Kaedah ini dilakukan oleh Imam as-Syafei ketika berhadapan dengan para ulama Baghdad di mana beliau sering bertukar-tukar fikiran tentang masalah-masalah agama,terutama dengan para ahli fekah dari mazhab Hanafi. Masalah-masalah agama yang ditimbulkan oleh pembesar-pembesar Harun al-Rasyid ( Khalifah ) pada masa itu dijawab oleh Imam Syafei dengan penjelasan yang memuaskan.

Kaedah Usuli

Cara ini beliau gunakan di Baghdad semasa kebanyakan para ilmuan terpengaruh dengan Mazhab Hanafi. Tegasnya kaedah usuli adalah berlandaskan daripada sumber asal rujukan pengajarannya. Ini terbukti sebagaimana kata-kata al-Karabsi; “ Kami sebelum ini tidak mengenal islatilah al-kitab, al-sunnah dan ijmak sehinggalah datangnya as-Syafei, belaiulah yang menerangkan maksud al-kitab, al-sunnah dan ijmak.

Kaedah Perbincangan


Murid-murid imam as-Syafei digalakkan supaya mengadakan perbincangan dalam sesuatu parmasalahan yang ditimbulkan. Sifat taklid amat tidak digemari oleh as-Syafei, jesteru itu terdapat di kalangan murid Imam as-Syafei yang tidak bertaklid buta kepada gurunya, bahkan ada yang tidak menyetujui sebahagian sebahagian pendapat as-Syafei contohnya al-Muzani seorang alim bekas murid as-Syafei yang terkenal sebagai orang yang menghimpun dan menyusun kitab-kitab Imam as-Syafei. Kesimpulannya Imam as-Syafei merupakan model yang perlu dicontohi oleh semua golongan masyarakat samada yang bergelar pendidik mahu pun pelajar. Kaedah beliau menyampaikan pengajaran melalui kuliah berbentuk halaqah, menganjurkan pertukaran pendapat dan perbincngan telah berjaya melahirkan murid-murid beliau sebagai ulama dan cendekiawan yang meneruskan jejak langkah beliau.

No comments:

Post a Comment