Maksudnya:
Kamu
(umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia,
kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada
perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah
dengan sebenar-benarnya
Masalah
ini harus dicari punca dan jalan penyelesaiannya agar umat Islam tidak terus
ditindas lalu hilang dalam arus globalisasi ini. Adalah wajar agar umat Islam
kembali bermuhasabah diri untuk menilai semula pegangan dan penghayatan mereka
terhadap kehidupan beragama itu.
Yusuf al Qaradawi (1985) dalam Engku
Zaki (1997) mengulas bahawa kelemahan umat Islam adalah disebabkan oleh sikap
mereka sendiri iaitu lupa agama, tenggelam dengan kehendak dunia, pemikiran
yang jumud, kelemahan ekonomi, kuantiti tidak menepati kualiti, jiwa yang tidak
kuat kerana mengutamakan jasmani berbanding rohani serta pengaruh media massa
yang meruntuhkan pembinaan sahsiah muslim.
Perbincangan dalam bahagian ini akan
menjurus kepada cabaran yang datang dari umat Islam itu sendiri iaitu kejahilan
dan kurang penghayatan terhadap agama terutamanya berkaitan akidah. Pelbagai bentuk
krisis akidah yang berlaku dalam masyarakat yang menjadi kayu ukur kelemahan
umat Islam. Kejahilan ini merupakan faktor kepada berlakunya krisis akidah yang
mewujudkan kemunculan ajaran sesat dan penyelewengan akidah. Sebagai contohnya,
umat Islam terbabit dengan ajaran sesat yang sememangnya bertentangan dengan
akidah dan syariat Islam.
Definisi maksud dan
konsep akidah.
Di dalam
Islam, iman yang berlandaskan akidah adalah menjadi asas sesuatu amalan
diterima oleh Allah. Ini bermaksud sebanyak manapun amalan seseorang itu namun
ia hanya diterima oleh Allah andai ia berasaskan kepada akidah yang tepat dan
diakui Allah.
Perkataan akidah
berasal daripada perkataan
bahasa Arab bermaksud simpulan ikatan tali. Manakala,
ilmu akidah ialah
ilmu yang mempelajari dan menyelidiki perkara-perkara
tentang ketuhanan, kerasulan dan perkara samiyyat atau perkara-perkara ghaib
seperti syurga, neraka
dan lain-lain.
Akidah menurut pengertian istilah sebagaimana
yang dinyatakan oleh Ibnu Taimiyah
ialah:
a)
Akidah dari segi
bahasa bermaksud ikatan / simpulan atau tali yang tersimpul / perjanjian.
b) Maksud ikatan ialah ikatan
antara Allah dengan hambanya ada ikatan yang sebenarnya tidak terpisah dan
tidak boleh dipisahkan, kerana Allah menjadikan hambanya supaya sentiasa tunduk
dan patuh kepadanya dan Allahlah Pentadbir alam dan seluruh makhluknya. Dengan
itu, ikatan yang memang tersedia ini di ikat lagi dengan tali (agama) dengan
terasnya ialah akidah keimanan kepada ketauhidan Allah, semakin kuat terasnya /
tunjangnya, semakin kukuhlah ikatan yang sama sekali tidak mudah terputus.
c)
Maksud simpulan ialah simpulan antara Allah
dengan hambanya ada simpulan (simpulan mati) yang sebenarnya tidak boleh diurai
atau dirombak dengan begitu mudah, seperti ibarat tali yang disimpul mati, ia
tidak boleh diurai lagi kecuali dengan memotongnya dengan pisau, maka
terputuslah tali itu, lalu tidak dapatlah digunakan lagi. Begitulah kalau diputuskan simpulan tali (akidah) dengan Allah ini
dengan keputusan yang muktamad.
d)
Maksud
Perjanjian ialah perjanjian antara Allah dengan hambanya ada perjanjian yakin
pengakuan hamba terhadap Tuhannya yang mengaku bahawa Allahlah Tuhan dan
Tuannya yang Maha Berkuasa ke atasnya, mentadbir alam serwajagat ini.
Para ulama memberikan
maksud yang sama dengan Ibn Taimiyah di atas, iaitu berkaitan dengan
kepercayaan dan keyakinan atau pegangan yang diikat erat dan disimpul kuat di
dalam hati nurani seseorang yang beriman kepada Allah dan seluruh rukun iman
yang lain sehingga tidak mungkin akan terputus.
Kepentingan menjaga akidah terhadap kehidupan individu
muslim.
Iman adalah
hakikat dan tidak terpisah dengan kehidupan manusia. Iman harus dijelmakan
melalui semua bidang dan lapangan kehidupan. Melalui definisi yang telah
diketahui sebelum ini, iman berkait rapat dengan akidah atau pegangan seseorang
muslim. Iman menuntut seseorang itu agar meyakini bahawa semua perkara yang
ditetapkan oleh Allah mesti dipatuhi dan menafikannya adalah juga penafian
terhadap kuasa Allah.
Definisi
Konsep Khurafat, Ajaran Sesat Dan Penyelewengan Ideologi Secara Etimologi Dan
Epistimologi
Konsep Khurafat Secara
Etimologi Dan Epistimologi
Khurafat
bermaksud semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang
larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang
menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga ditakrifkan sebagai cerita
mempesonakan yang dicampur adukkan dengan perkataan dusta. Syeikh Idris al
Marbawi mendefinisikan khurafat sebagai cerita yang karut marut.
Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM) pula menyimpulkan khurafat, semua cerita sama ada rekaan
atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau
kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Berdasarkan takrif yang disebutkan, khurafat
merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut dan dusta. Antara
faktor yang mendorong berlakunya khurafat ialah:
1)
Mudah mempercayai
benda-benda tahyul
2)
Kecetekan ilmu
agama
3)
Terpengaruh dengan
kelebihan seseorang atau sesuatu benda
Antara ciri
amalan dan kepercayaan khurafat ialah tidak bersumberkan nas syarak sama ada
daripada al Quran mahupun hadis, cerita rekaan, dongeng, khayalan atau
kepercayaan karus, didasarkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah
dengan Islam, berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus bertujuan
memudaratkan dan menyeleweng daripada akidah Islam, menggunakan objek tertentu
seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan tertentu dan ada unsur negatif
pada pada akidah dan syariat Islam.
Dalam hal
ini, Islam sebagai agama menitikberatkan aspek akidah dan syariah menjelaskan
bahawa segala amalan, adat kepercayaan, perkataan dan perbuatan tidak
berdasarkan al Quran, hadis, ijma’ ulama dan Qias dilarang sama sekali. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
’Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam agama kami, yang tidak
termasuk dalam ajaran Islam yang suci, maka apa yang diamalkan itu tertolak
(tidak diterima amalan berkenaan oleh Allah dan tidak diberikan pahala.”
Islam melarang keras sebarang amalan
khurafat sama ada melalui perkataan, perbuatan, adat mahu pun kepercayaan yang
tidak selari dengan konsep akidah Islam. Amalan khurafat boleh membawa kepada
syirik yang sudah tentu menjejaskan akidah seseorang Muslim selain hanya
mengakibatkan dosa yang tidak terampun di sisi Allah.
Oleh yang demikian, setiap Muslim wajib
mendalami ilmu akidah untuk memelihara kesucian akidah, kepercayaan, perkataan
dan perbuatan daripada amalan khurafat yang menyesatkan. Ilmu akidah Islam
adalah perisai utama yang boleh menyelamatkan seseorang Muslim daripada lembah
kesesatan dan seterusnya memimpinnya ke arah keredaan Ilahi dan kesejahteraan
hidup dunia akhirat. Jalan penyelesaian mengatasi kemelut khurafat ini aialah
dengan mendalami agama sebagaimana saranan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
‘Aku tinggalkan kamu dua perkara selama mana kamu berpegang teguh dengannya,
tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al Quran dan sunnahku.”
Akidah Islam adalah antara cabang ilmu
Islam yang penting dalam kehidupan setiap umat kerana ia berkaitan keimanan dan
kepercayaan kepada Allah. Malah, ilmu akidah, ilmu fardu ain yang wajib
dituntut dan dipelajari. Biarpun konsep akidah Islam mudah difahami dan
dihayati, masih ramai umat Islam terpengaruh dengan kepercayaan khurafat yang
karut-marut yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang terdahulu. Pada
hal, amalan khurafat adalah bertentangan dengan akidah Islam sekali gus
menjejaskan iman seseorang atau menyebabkan syirik kepada Allah, iaitu salah
satu dosa yang tidak diampuni Allah. Firman Allah SWT melalui surah an Nisa’
ayat 48”
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah tidak akan
mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa juga), dan
akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya
(menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar
Oleh itu, setiap muslim wajib
berhati-hati dalam kehidupan agar tidak mudah terjerumus ke kancah khurafat
dengan memperkukuhkan ilmu akidah di samping mengenalpasti ciri amalan
khurafat. Ilmu akidah adalah perisai utama yang boleh menyelamatkan seseorang
muslim dari kesesatan dan seterusnya memimpin ke arah keredhaan Ilahi dan
kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat
106:
Maksudnya: “Dan janganlah engkau
menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan
manfaat keadamu dan juga mendatangkan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau
melakukan yan demikian, maka jadilah engkau orang yang berlaku zalim (terhadap
diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)
Konsep
Ajaran Sesat
Secara Etimologi Dan Epistimologi
Ajaran sesat merupakan satu manifestasi
bagi satu proses yang telah bermula sejak beberapa lama dahulu. Negara kita
Malaysia, tidak terlepas daripada gejala besar ini yang boleh mencemarkan
kesucian agama Islam dan boleh menggugat perpaduan ummah. Sebahagian besar
daripada ajaran sesat ini jelas menampakkan fahaman-fahaman atau amalan-amalan
yang bertentangan dan menyeleweng dari syariat Islam sebenar.
Berbagai-bagai bentuk ajaran sesat telah
muncul dan menular dalam masyarakat Islam, dan ia telah berjaya mempengaruhi
bukan sahaja golongan yang cetek ilmu pengetahuannya sahaja, malah golongan
profesional termasuk mereka yang dalam bidang agama juga turut terpengaruh.
Gejala ini boleh memesongkan aqidah mereka yang terpengaruh dengan golongan
yang sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan Islam, di samping memenuhi
kepentingan tertentu. Gerakan ini ada yang dijalankan secara terang-terangan
dan ada juga yang bergerak secara halus dan tersembunyi tanpa disedari.
Ajaran salah atau sesat boleh diertikan
sebagai ‘sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan
Islam yang mendakwa ajaran atau amalan yang dibawanya itu adalah ajaran Islam
atau berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran atau
amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan kepada
Al-Quran dan As-Sunnah serta bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam.
Hj. Mohamed Amin Salleh, mantan Pengarah
YADIM, mendefinisikan ajaran salah atau sesat sebagai ‘semua bentuk ajaran atau
amalan yang didapati bertentangan dengan syariat Islam atau bertentangan dengan
mana-mana sumber hukum Islam (al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias) sedangkan ajaran
dan amalan yang bertentangan itu didakwa atau dikatakan dari ajaran Islam,
serta diajarkan kepada masyarakat sama ada dengan secara sulit atau rahsia atau
untuk ahli sahaja atau diajarkan dengan secara terbuka kepada orang ramai,
seterusnya ajaran itu diamalkan atau menjadi pegangan kepada individu atau
kumpulan yang berkenaan. Firman Allah SWT
dalam surah al-Ahzab, ayat 36:
Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum
Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang
jelas.
Begitu juga dengan sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: Barangsiapa yang mengada-adakan dalam
urusan agama kami ini suatu pekerjaan yang bukan daripadanya (agama) maka (yang
diada-adakan) itu tertolak. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru itu, ajaran salah atau sesat merupakan
rekaan-rekaan yang wujud dalam persoalan prinsip agama yang tiada sandarannya
dalam al-Quran, hadis, ijma’ atau qias sebagaimana Islam itu sendiri terbahagi
kepada aqidah, syariat dan akhlak, maka kesesatan juga boleh berlaku dalam tiga
aspek tersebut sama ada secara berasingan atau merangkumi keseluruhannya.
Istilah-istilah seperti ‘fanatik
agama’, ‘pelampau agama’ dan ‘ekstrimis agama’ atau ‘ortodok’ tidak
boleh digunakan kerana istilah tersebut boleh membawa makna yang berlainan dan
tidak dapat memberi satu pengertian ajaran sesat yang sebenar, di samping ianya
akan memberi kesan yang tidak baik kepada imej umat Islam dan perkembangan
Islam itu sendiri.
Dari segi sejarah, Islam merupakan satu
agama yang suci dan bersih daripada unsur-unsur kesesatan dan penyelewengan.
Walaubagaimanapun, ajaran sesat telah mula wujud semenjak kewafatan Rasulullah
S.A.W. dengan kemunculam Musailamah al-Kazzab yang mendakwa dirinya sebagai
nabi. Semenjak zaman Rasulullah S.A.W. lagi seterusnya zaman para Sahabat r.a.
sehinggalah kini, musuh-musuh Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan
agama, sentiasa bergerak bagi merosak dan menghancurkan agama Islam dan umat
Islam. Mereka telah mendapat kejayaan pada zaman Bani Umayyah dan selepasnya.
Pada peringkat awalnya mereka hanya berjaya menyogokkan hadis-hadis palsu di
kalangan umat Islam.
Kemudian terdapat golongan yang
mencampur-adukkan aqidah dan syariat dengan pelbagai cara, antaranya
mencampur-adukkan aqidah Islam dengan aqidah Majusi, Nasrani dan seterusnya
lahirlah ajaran berbentuk ‘batiniah’. Ajaran ini mencampur-adukkan
pelbagai kepercayaan tradisional sesuatu bangsa dan mempelbagaikan
penyelewengan aqidah dengan ajaran Islam.
Meneroka kepada fenomena ajaran sesat di
negara kita, hakikat yang perlu kita akui, terdapat banyak ajaran sesat yang
muncul di tengah-tengah kelompok masyarakat dari masa ke semasa ketika ini.
Kemunculan kebanyakan ajaran sesat ini dipercayai berpunca daripada pengaruh,
kebudayaan, adat, mencari kemasyhuran, kekayaan, bermotifkan seks serta
kepercayaan lama yang mengandungi unsur-unsur animisme dan dinamisme serta
dicampur aduk dengan doktrin-doktrin lain seperti Kristianiti, Hinduisme,
Buddhisme, Neo-Platonisme dan lain-lain lagi yang meresap dalam ajaran Islam.
Di Malaysia, sebilangan masyarakat kita
menerima pengaruh yang kuat daripada tradisi ‘world view’ masyarakat
negara tetangga iaitu Indonesia. Aliran-aliran kepercayaan yang berpengaruh
daripada negara jiran tersebut seperti aliran-aliran kebatinan telah
mencampur-adukkan antara tradisi kepercayaan lama dengan tradisi Hindu-Buddha
yang kemudiannya diselitkan dengan unsur-unsur Islam. Adalah dipercayai ajaran
sesat telah muncul di Malaysia pada awal abad ke 19 di Kampung Seronok,
Seberang Perai, Pulau Pinang. Ia dikenali sebagai Ajaran Taslim yang diasaskan
oleh Hj. Mohammad bin Shafie atau lebih dikenali sebagai Hj. Ahmad Matahari. Di
Selangor, ajaran sesat yang mula bertapak adalah Ajaran Ahmadiah/Qadiani
bertempat di Jeram, Kuala Selangor pada tahun 1930-an. Ajaran ini telah
difatwakan oleh para ulama’ seluruh dunia sebagai terkeluar daripada ajaran
Islam.
Manakala di Besut, Terengganu, gelagat
Arifin Muhamad yang lebih dikenali sebagai “Ayah Pin” yang membina perkampungan
ibadat di kawasan kediaman beliau menarik perhatian awam. Pihak berkuasa
tempatan akhirnya merobohkan binaan-binaan pelik yang dibinanya atas alasan
tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan. Di samping itu, ajarannya
yang dikenali sebagai Kumpulan Ratib Kuat Ayah Pin sememangnya telah diketahui
bertentangan dengan Hukum Syarak dan difatwakan haram di hampir kesemua negeri
sejak tahun 1992 lagi. Namun,
cubaan untuk menangkap dan membawa Ayah Pin ke muka pengadilan seringkali
menemui jalan buntu, biarpun markasnya pernah diserbu pihak berkuasa beberapa
tahun lepas. Setakat ini tindakan
yang telah diambil terhadap pengikutnya, adalah didakwa dan disabitkan di bawah
seksyen 10 iaitu berkaitan kesalahan menghina atau mengingkari pihak berkuasa
agama dan seksyen 14 iaitu memiliki penerbitan agama yang bertentangan dengan
Hukum Syarak. Sebelum itu pun, beberapa
orang pengikut Ayah Pin di Kelantan telah pun didakwa dan didapati bersalah
oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu Kelantan atas kesalahan membuat
istiadat atau perkara yang berlawanan dengan hukum syarak atau fatwa yang
dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Jenis-jenis
ajaran sesat.
1. Melalui
pengajaran.
Penyusupan ajaran salah / sesat melalui kelas-kelas
pengajian agama yang kebiasannya bermula dengan pengajian asas sama ada
berkaitan aqidah (seperti cara untuk mengenal Tuhan), syariat (bab fiqh atau
ibadah khusus seperti sembahyang, puasa dan zakat) atau pun akhlak (seperti
adab dalam majlis ilmu, adab kepada guru dan sebagainya). Pengikut dijanjikan
pelbagai kelebihan dan keistimewaan oleh guru ajaran sesat seperti dijamin
masuk syurga, diampunkan dosa dengan cara menebusnya melalui bayaran tertentu,
terselamat dari soalan dalam kubur dan sebagainya.
Kebiasaannya pengikut atau pengamal
ajaran sesat tidak berpandukan kepada sesebuah kitab atau buku karangan ulama’
muktabar sebagai rujukan. Tetapi hanya diberikan nota atau dengan mencatit dan
menyalin semula buku yang dikarang oleh guru kumpulan tersebut. Melalui nota
atau catitan tersebut, guru kumpulan ajaran sesat ini akan memainkan peranan
memesongkan pemikiran pengikutnya melalui pengajaran yang disampaikan.
2. Melalui
kumpulan tarikat.
Bagi memerangkap masyarakat Islam yang lemah pegangan
dan cetek pengetahuan mengenai ajaran Islam, kebiasaannya guru ajaran sesat
menggunakan nama-nama tarikat yang mahsyur seperti Naqsyabandiah, Mufarridiyah
dan lain-lain. Tetapi dalam amalan dan pelaksanaannya, guru tarikat tersebut
menokok tambah seperti mengadakan sistem berwirid dan bersuluk di dalam gua
atau bilik-bilik khas dalam keadaan bercampur antara lelaki dan perempuan yang
bukan muhrim. Salasilah guru tarikat juga meragukan dan terputus dari salasilah
yang asal dan diyakini. Sesetengah guru tarikat juga mendakwa amalan tarikat
itu diambil terus dari Rasulullah SAW.
3. Melalui
kepercayaan, amalan tradisi dan pemujaan (mistik dan kultus).
Pengajaran dan pembelajaran melalui kepercayaan dan
amalan tradisi merupakan jalan atau cara yang paling mudah bagi masyarakat
Melayu/Islam menerima dan kemudiannya terpengaruh dengan kumpulan ajaran sesat.
Antara contohnya adalah melalui amalan perdukunan atau perbomohan dan rawatan
tradisional seperti kaedah rawatan yang mendakwa kehadiran para wali Allah ke
dalam tubuh perawat bagi membantu merawat pesakit atau menyelesaikan masalah
mereka.
Begitu juga dengan amalan pemujaan ke tempat-tempat
tertentu yang dianggap sebagai keramat atau wali yang mempunyai kelebihan.
Contohnya amalan memuja kubur, busut, bukit atau lain-lain yang seumpamanya.
Kepercayaan kepada kuasa kesaktian melalui amalan seni mempertahankan diri,
berdukun, perbomohan, mendakwa mendapat ilmu daripada mimpi, orang halus,
sahabat dan syeikh tertentu melalui isyarat, amalan menurun dan sebagainya.
Konsep Penyelewengan
Ideologi Secara Etimologi Dan Epistimologi
Sejarah
kewujudan penyelewengan ideologi bermula dengan kekalahan tentera Salib yang
dipimpin oleh Raja Louis (Perancis) dalam peperangan salib ke-8 pada tahun
1291M (690H) telah mendorong beliau untuk menulis 1 watikah yang menyatakan
bahawa tiada lagi jalan untuk menewaskan umat Islam melainkan melalui serangan
pemikiran.
Bermula dari saat itulah Barat mula
mengatur langkah. Pertembungan antara Islam dan musuhnya kini beralih ke medan
Aqidah & pemikiran. Barat menggerakkan seribu satu senjata dan wasilah
dalam usaha mereka menyelewengkan umat Islam daripada landasan kebenaran.
Benarlah firman Allah SWT dalam Al-Quran:
Maksudnya: Orang-orang Yahudi dan
Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka (al Baqarah: 120)
Maksudnya :Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sehingga
mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agama kamu (kepada kekafiran)(al
Baqarah: 217)
Musuh-musuh Islam tidak pernah jemu
menjalankan tugas-tugas mereka. Serangan pemikiran dilancarkan ke atas umat
Islam meliputi hampir keseluruhan bidang kehidupan manusia. Atas dasar inilah
munculnya ideologi-ideologi ciptaan yang merupakan racun berbisa kepada
pemikiran umat Islam.
Ideologi berasal daripada perkataan
Perancis, merupakan istilah yang sukar untuk ditakrifkan. Para pengkaji
bertentangan pendapat dalam mentafsirkan istilah moden ini. Ada pendapat yang
menyempitkan skopnya dengan menghadkan ideologi kepada fahaman-fahaman dan
aliran-aliran pemikiran yang berkaitan dengan politik, kuasa & pemerintahan
negara sahaja. Sememangnya definisi inilah yang digunakan dan difahami oleh
masyarakat. Namun hakikatnya lebih luas daripada itu, meliputi segala jenis
hasil pemikiran dan thaqafah masyarakat, merangkumi politik, ekonomi, sosial, psikologi,
thaqafah dan sebagainya.
Oleh itu, ideologi ditakrifkan ‘Fahaman
dan pegangan yang dihasilkan melalui pemikiran dan thaqafah masyarakat. Ada
juga yang mentakrifkan ideologi sebagai ‘Rangkaian pemikiran dan pandangan
bertujuan menentukan pendirian seseorang terhadap isu-isu dan
persoalan-persoalan kehidupan yang dihadapi oleh masyarakat. Berdasarkan kepada
takrif ini, perbezaan ketara antara keduanya adalah ideologi bersumberkan akal
manusia, manakala agama, sumbernya wahyu Ilahi.
Oleh kerana ideologi manusia terlalu
banyak, di mana bermulanya ideologi pada ketika umat manusia mula melanggar
hukum-hakam Allah SWT dan menjadikan akal dan hawa nafsu sebagai tuhan
mereka.
i. Aliran
Rasionalisme:
Rasionalisme atau aqlaniah adalah aliran
yang menjadikan akal manusia sebagai asas dan tunggak yang menentukan kebenaran
atau kebatilan dengan mengenepikan agama sebagai sumber utama dalam menentukan
hukum. Daripada aliran ini munculnya pelbagai mazhab dan teori dalam pelbagai
ilmu pemikiran dan kehidupan. Pendokong-pendokong fahaman ini menggunakan akal
semata-mata hingga berkaitan perkara
ghaib yang sememangnya diketahui terbatas untuk pemikiran manusia. Justeru itu,
lahirlah pandangan-pandangan berkaitan hakikat manusia, kejadian alam yang
didasarkan kepada akal semata-mata, bertentangan dengan hakikat yang sebenar.
Fahaman ini lahir lebih awal sedikit
daripada sekularisme iaitu selelpas pemberontakan rakyat terhadap penyelewengan
gereja. Rasionalisme menolak ketuhanan sebagai sumber, sekaligus bermakna
pemberontakan terhadap agama Kristian di Eropah ketika itu. Walaubagaimanapun,
fahaman ini tenggelamselepas kemunculan sekularisme pada zaman kebangkitan
Eropah (Renaissance di kurun ke 16) yang menggabungkan antara akal dan
fakta-gakta ilmu yang dihasilkan melalui kajian dan percubaan.
ii. Sekularisme
Sekularisme berasal daripada perkataan
Inggeris (secularism) yang bererti fahaman tidak beragama. ‘Secular’
ditakrifkan oleh Kamus Oxford sebagai ‘wordly or material, not religious or
spritual’ yang bermaksud: keduniaan atau kebendaan, tidak beragama atau
tiada roh. Dalam Bahasa Arab, pada
ulama’ berbeza pendapat dalam mencari istilah terbaik untuk perkataan
‘secularisme’
Pendapat pertama menyatakan istilah
sebetulnya adalah (العلمانية) yang dinisbahkan
kepada (العلم) yang bermaksud (العالم) alam atau dunia; iaitu fahaman keduniaan
dan kebendaan, material, bertentangan dengan roh, alam ghaib dan ketuhanan.
Bukannya (العلمانية) dinisbahkan kepada (العلم). Mereka yang berpendapat sedemikian ialah
dr Abdul Halim Mahmud, Dr. Mohd al Bahiy dan Sheikh Jadal Haq Ali Jadal Haq.
Mu’jam Arabi Asasi juga sealiran dengan pendapat ini.
Pendapat kedua menyatakan terjemahan
yang betul adalah (العلمانية) dinisbahkan kepada (العلم) ilmu kerana asal sekularisme adalah
daripada perkataan Latin (Secularius) yang bermaksud : Orang yang berilmu
tinggi. Pendapat ini dikemukakan oleh Dr Ali Juraishah. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan,
diterjemahkan (Secularism) kepada (العلمانية)
dinisbahkan kepada (العلم) ilmu kerana yang
dikehendaki di situ adalah ilmu yang dihasilkan melalui kajian-kajian,
percubaan material dan pemikiran manusia yang tiada kaitan dengan agama, wahyu
dan ketuhanan.
Perlu difahami bahawa sekularisme tidak
mengingkari kewujudan tuhan & alam ghaib. Sekularisme hanya mengenepikan
agama daripada urusan kenegaraan, kemasyarakatan & ekonomi. Sekularisme
berlainan daripada fahaman Atheis yang mengingkari kewujudan tuhan. Sekularisme
meletakkan agama dalam ruang lingkup yang sempit dan membenarkan setiap
individu menganut agama yang disukainya.
Sekularisme lahir di tengah-tengah
masyarakat Eropah yang dikuasai gereja. Pada zaman kegelapan (عصر الظلام) sehingga kurun ke 17, gereja berkuasa
penuh dalam pemerintahan negara. Penyelewengan agama Allah SWT yang diturunkan
kepada Nabi Isa AS dilakukan sesuka hati gereja berdasarkan maslahat &
kepentingan duniawi semata. Pada tahun 1215M, perhimpunan Rome memberikan Pope
hak pengampunan dosa & kesalahan. Pada 1869M pula, perhimpunan yang sama
memberikan Pope keistimewaan terpelihara daripada dosa (عصمة) dan kesilapan, sekaligus memberikan hak ketaatan mutlak kepada
Pope daripada para penganut Kristian. Inilah gambaran penyelewengan Gereja yang
bertujuan mengekalkan kuasa mereka.
Tidak cukup dengan itu, pada tahun
1478M, ditubuhkan di Sepanyol (ada yang menyatakan di Perancis) mahkamah yang
dinamakan (محاكم التفتيش) yang menggambarkan
sifat gereja dan kemenangan mereka yang tidak terhingga. Mahkamah ini bertugas
menghukum sesiapa sahaja yang menentang atau mempertikaikan gereja &
kebenaran ajaran pegangannya. Dianggarkan mangsa mahkamah ini menjangkau angka
300 ribu. Sebanyak 32 ribu dibakar hidup-hidup. Antaranya ialah ahli geografi
terkenal, Bruno yang mengeluarkan teori pusingan bumi.
Dari segi politik & ekonomi, sistem
feudal berleluasa. Politik & ekonomi dilindungi golongan feudal yang
memperhambakan rakyat. Pemerintah-pemerintah negara mengamalkan sistem diktator
yang menghalang kesedaran rakyat untuk bersuara dan menikmati hak-hak mereka. Tekanan-tekanan yang melingkungi dunia barat
inilah yang meledakkan kebangkitan rakyat bagi mengubah keadaan. Lalu muncullah
seruan agar dipisahkan agama daripada urusan negara dengan meletakkan Kristian
di sudut yang sempit sahaja. Lahirlah para pemikir, ahli falsafah, tokoh
reformasi seumpama Martin Luther, Voltier, Jean Jack Rosseau dan sebagainya
yang menyeru ke arah pembaharuan, antaranya pemisahan agama daripada urusan
pemerintahan.
Kemunculan arus pembaharuan ini berlaku
apabila tercetusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789M yang mengangkat slogan ‘Gantunglah
Raja Yang Terakhir dengan Tali Perut Paderi Yang Terakhir. Revolusi Perancis telah memberikan kesan
beberapa perkara:
i)
Menyempitkan bidang agama Kristian dalam bidang-bidang
keagamaan sahaja.
ii)
Menolak kristian sebagai sistem politik, ekonomi dan
pelbagai sistem kehidupan
iii)
Muncul aliran rasionalisme yang meletakkan akal sebagai
asas
iv)
Muncul fahaman sekularisme dan individualisme yang
memberikan kebebasan penuh kepada manusia dalam menjalani kehidupannya.
Suasana baru yang melanda Eropah telah
membawa mereka kepada Zaman Pembaharuan & Pembangunan. Eropah berjaya
mencetuskan Revolusi Perindustrian yang memberikan saham utama kepada Eropah
bagi membina kekuatan mereka. Kemudian berlaku perluasan kuasa di Eropah
apabila mereka menjajah negara-negara di bawah Khilafah Uthmaniyah dan akhirnya
menghancurkan khilafah. Pada ketika itu
bermulalah pertanrungan antara Islam dan Sekularisme. Terdapat beberapa ciri
fahaman sekularisme :
i)
Mengenepikan perkara-perkara ketuhanan, alam roh dan segala
pegangan yang berkaitan dengannya dalam seluruh kajian dan teori.
ii)
Memusuhi agama , berusaha meletakkan agama dala lingkungan
yang sempit dan menjadikan agama sebagai hak kebebasan individu
iii)
Material (kebendaan) dan duniawai semata-mata.
Contoh sekularisme dalam beberapa bidang
sosial:
i. Pendidikan.
a)
Menyekat pendidikan agama
b)
Menggalakkan pendidikan bukan agama
c)
Memandang rendah pendidikan agama dan menyifatkannya
sebagai kolot dan mundur.
d)
Mengehadkan peluang pekerjaan bagi lulusan agama
e)
Membangunkan dengan pesat pusat-pusat pengajian yang tiada
pengajian agama.
f)
Memperbanyakkan penghantaran peajar-pelajar ke luar negara
dalam pelbagai bidang ilmu selain bidang agama.
g)
Menggalakkan percampuran lelaki dan perempuan di sekolah
dan pusat pengajian.
h)
Tiada Penekanan akhlak dan norma-norma Islam seperti
menutup aurat, pakaian cara Islam dan sebagainya.
ii. Media
Massa.
Seandainya pensekularan pendidikan
bertujuan melahirkan generasi yang memisahkan agama dan kehidupan pada masa
akan datang, maka pensekularan media massa bertujuan mendoktrinkan pemikiran
generasi masa kini. Bidang pendidikan hanya membabitkan golongan pelajar
sahaja, tetapi media massa mampu menusuk masuk ke kepala setiap anggota
masyarakat. Media massa dikotori dengan cara:
a)
Menyiarkan gambar dan filem yang lucah
b)
Menyiarkan filem-filem
yang menghina dan memburukkan Islam
c)
Mengagung-agungkan kehidupan dunia, alam maksiat dan fasiq.
d)
Mengagungkan artis dan seniman
e)
Menggalakkan unsur-unsur seks, ganas dan keruntuhan nilai
dan akhlak.
f)
Mengagungkan dunia barat sebagai seimbol kemajuan,
pembangunan dan kemajuan dunia.
g)
Menyebarkan ideologi-ideologi manusia yang tidak bertepatan
dan bertentangan dengan agama.
iii. Undang-undang
Pensekularan undang-undang di dunia
Islam bermula di Turki pada tahun 1857 kemudian merebak ke Mesir pada 1875 di
mana munculnya beberapa undang-undang yang diambil bukan bersumberkan Syariah
Islamiah. Turki, misalnya apabila khilafah dihapuskan secara rasmi pada tahun
1924, undang-undang Turki diubah:
a)
Undang-undang Sivil diambil dari Switzerland
b)
Undang-undang perniagaan diambil dari Jerman
c)
Undang-undang Jenayah diambil dari Itali.
Undang-undang Islam yang menjadi kanun
di kebanyakan negara umat Islam berjaya ditukar oleh Barat iaitu ketika
penjajahan barat ke atas negara-negara umat Islam. Cara-cara penyebaran sekularisme:
1)
Orientalis- gerakan yang diasaskan oleh Barat untuk
mengkaji ilmu, adab, bahasa, kebudayaan dan tamadun timur khasnya Islam dengan
tujuan menjahanamkannya.
2)
Kristianisasi
3)
Gerakan Pembaratan- seperti usaha Mustafa Kamal Attartuk
membaratkan Turki selepas keruntuhan khilafah Uthmaniah
4)
Penjajahan negara umat Islam.
5)
Gerakan Yahudi Sedunia (freemason)
iv. Liberalisme.
Falsafah ini muncul di Eropah pada
permulaan kurun ke 19. Tiada satu definisi yang disepakati terhadap istilah
ini. Kefahamannya berlainan antara seorang ahli falsafah dengan yang lain.
Fahaman ini mula muncul di England , bermaksud menyeru kepada kebebasan
individu dalam menjalani hak-hak mereka tanpa ada campurtangan negara. Fahaman
ini menekankan aspek persamaan taraf dan kebebasan. Ia memusuhi agama yang dianggap menyekat
kebebasan manusia. Liberalisme biasanya dikaitkan dengan slogan ‘ Pembangunan
dan Kemajuan’. Berakar umbikan fahaman ini muncullah kapitalime yang
terpengaruh dengan pendapat Adam Smith yang memberikan kebebasan berniaga dan
berlumba dalam pasaran. Liberalisme muncul kesan daripada kekejaman gereja dan
kediktatoran pemerintah pada waktu itu yang membawa kepada pemberontakan rakyat
menuntut hak-hak mereka.
v. Kapitalisme.
Sistem ekonomi lahir ekoran daripada
fahaman sekularisme, individualisme dan liberalisme. Pengasasnya Adam Smitg
(1723-1790) yang mengarang buku bertajuk “ an Inquiry into Nature and Causes
of the wealth of Nations’. Buku beliau dikira pencetus kapitalisme sebagai
sebuah sistem ekonomi. Antara ciri-ciri kapitalisme ialah:
1.
Kebebasan ekonomi
2. Kebebasan individu memiliki harta,
dibahagikan kepada dua peringkat: pemilikan mutlak tanpa sebarang had
(peringkat permulaan munculnya kapitalisme)
dan pemilikan tidak mutlak
dihadkan sebaghagian milik sindividu sebagai kepentingan sosial (peringkat yang
berleluasa di negara-negara kapitalis ketika ini)
3. Sistem
faedah atau riba’
Kegagalan sistem ini disebabkan oleh,
1)
Pengangguran
2)
Inflasi
3)
Ihtikar
4)
Sifat individualisme yang menghancurkan hubungan dalam
masyarakat
5)
Kebebasan perniagaan yang tiada had meliputi anasir-anasir
yang memudaratkan seperti dadah dan arak.
vi. Sosialisme
dan komunisme
Sosialisme adalah sistem ekonomi yang
dihasilkan oleh pemikiran komunis. Karl Marx dianggap pengasas kepada sistem
ini. Sosialisme adalah marhalah pelaksanaan ekonomi yang akhirnya membawa
kepada komunisme. Perbezaan antara kedua-dua ideologi ini adalah dari segi
slogannya. Sosialisme mempunyai slogan ‘ Daripada setiap individu mengikut
kekuatan dan tenaganya (penentu kerja) dan bagi setiap individu mengikut kerja
yang dilakukan (upah)’. Slogan komunisme pula ‘ Daripada setiap individu mengikut
kekuatan dan tenaganya dan bagi setiap individu mengikut keperluannya ‘
Ciri-ciri utama sistem ini adalah
menghapuskan hak milik harta individu. Namun penghapusan ini tidaklah secara
total seperti yang dilaungkan. Negara memiliki komponen-komponen pengeluaran
dan rakyat berhak memiliki barang keperluan. Kegagalan sistem sosialis tidak
dapat dinafikan lagi. Fenomena ekonomi dan kemunduran yang wujud di
negara-negara sosialis dan kejatuhan Soviet Union menjadi sejelas-jelas bukti
kegagalan sistem ini.
Dalam usaha Barat memastikan kejayaan
mereka meracuni pemikiran umat Islam, pelbagai slogan yang mengaburkan mata
dilaungkan di samping ideologi-ideologi perosak yang lain. Melalui penjajahan,
zionis dan musuh-musuh Islam yang lain,
mereka berjaya mengubah corak pemikiran umat Islam. Antara slogan yang
dilaungkan ialah kebebasan, persamaan taraf dalam segalanya sehingga wanita
menuntut persamaan taraf dengan lelaki, kemajuan dan kemunduran diukur berdasarkan
material, semangat perkauman (nasionalisme) dan kebebasan wanita yang menuntut
hak-hak kebebasan tanpa had. Jalan
pintas untuk merosakkan sesebuah masyarakat adalah melalui cara merosakkan
terlebih dahulu kaum wanitanya. Ideologi yang merosakkan ini merebak ke
negara-negara umat Islam melalui bidang sosial, politik dan ekonomi.
Ideologi ini berkembang kerana kejahilan
umat Islam sendiri kerana mereka meninggalkan kesyumulan Islam. Usaha keras
penyebaran ideologi di samping kejahilan dan kealpaan umat Islam bahawa mereka
sedang dikuasai menyemarakkan lagi aktiviti penguasaan pemikiran oleh
ideologi-ideologi menyesatkan itu di samping rasa kagum terhadap kemajuan
Barat. Senario ini tidak pernah berakhir
berdasarkan iktibar perjuangan Rasulullah dalam menyampaikan dakwah Baginda
yang sentiasa menerima cabaran dan usaha untuk merosakkan Islam. Umat Islam
perlu bersedia menghadapi cabaran ini sekiranya tidak mahu melihat Islam
diliputi awan mendung.
Isu-isu
Penyelewengan Dalam Akidah
Mutakhir
ini umat Islam di seluruh
dunia berdepan dengan pelbagai cabaran yang menguji keimanan, kepercayaan dan
pegangan mereka terhadap Islam. Di antara isu yang hangat diperdebatkan dewasa
ini dalam kalangan umat Islam ialah isu kelemahan umat Islam. Pengertian
kelemahan yang melanda umat Islam kini meliputi kemunduran dalam pelbagai
lapangan hidup, kemiskinan, kedaifan, perpecahan, pertelagahan sesame sendiri
dan berbagai lagi kemelut dan krisis yang menghimpit umat Islam kini. Keadaan
yang berlaku ini amat jauh bezanya dengan jaminan Allah Taala kepada umat Islam
sebagai umat yang terbaik dan menjadi contoh kepada ummah sejagat dalam
berbagai aspek kehidupan. Justeru, di mana silapnya dan siapakah yang bersalah
dalam hal ini sehingga umat Islam terpaksa menelan kepahitan hidup dan
bergelumang dengan berbagai-bagai krisis dan kemelut yang memilukan.
Umat Islam juga sentiasa diancam oleh
musuh-musuhnya yang menunggu peluang menjatuhkannya. Kegiatan seperti ini telah
bermula sejak zaman Nabi lagi seperti kemunculan individu yang mengaku sebagai
nabi, golongan yang enggan mengeluarkan zakat dan golongan murtad.
Contoh
Penyelewengan Akidah Dalam Kategori Khurafat, Ajaran Sesat Dan Ideologi
1.4.1.1 Penyelewengan Khurafat
Jika
dihalusi secara mendalam, amalan khurafat memang banyak berlaku dalam
masyarakat Islam masa kini bahkan masih lagi menebal dalam tradisi dan
kepercayaan umat Islam dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, kepercayaan
kepada keramat seperti kubur, pokok kayu atau batu hikmat yang kononnya boleh
menyembuhkan sebarang penyakit, memuja objek tertentu, roh nenek moyang, kubur
wali keramat dan sebagainya. Begitu juga kepercayaan kepada sial seperti adat
mandi Safar, adat mandi membuang sial, bunyi burung hantu pada waktu malam dan
nombor sial seperti nombor empat.
Orang
Melayu pada dasarnya kaya dengan warisan pantang larang yang sebahagiannya
jelas bertentangan dengan hukum syarak seperti anak gadis dilarang menyapu pada
waktu malam dikhuatiri menjadi andartu, tidak boleh keluar rumah ketika gagak
berbunyi dan adat melenggang perut. Itulah antara kepercayaan serta amalan
khurafat yang masih wujud dan berakar umbi dalam setiap sendi masyarakat Islam.
1.4.1.2 Penyelewengan Ajaran Sesat
Sejarah dan
contoh ajaran sesat telah diterangkan pada tajuk sebelum ini. Namun, kupasan
pada kali ini akan berkisar kepada medium ajaran sesat. Ajaran sesat boleh
dikenal pasti melalui pengajaran, kumpulan tarikat dan amalan tradisi. Penyusupan ajaran sesat melalui kelas-kelas
pengajian agama bermula pengajian asas
sama ada bersangkutan akidah, syariat ataupun akhlak. Pengikut dijanjikan
pelbagai kelebihan dan keistimewaan oleh guru ajaran sesat seperti dijamin
masuk syurga, diampunkan dosa dengan cara menebusnya melalui bayaran tertentu,
terselamat dari soalan kubur dan sebagainya.
Kebiasaannya pengikut atau pengamal ajaran sesat tidak berpandukan
kepada sesebuah kitab atau buku karangan ulama’ muktabar sebagai rujukan tetapi
melalui nota atau catatan yang disalin semula dari kitab karangan guru kumpulan
ini. Ini adalah cara mudah guru tersebut memesongkan pemikiran pengikutnya.
Melalui
tarikat pula, sasaran kumpulan ajaran sesat ini adalah memerangkap masyarakat
yang lemah dan cetek pengetahuan mengenai ajaran Islam. Kebiasaannya guru
ajaran sesat menggunakan nama-nama tarikat yang masyhur seperti Naqsyabandiah,
Mufarridiah. Namun, dalam amalan dan pelaksanaannya, guru tersebut menokok
tambah seperti mebgadakan sistem berwirid dan bersuluk di dalam gua atau bilik
khas dalam keadaan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram.
Sesetengah guru tarikat juga mendakwa amalan itu diambil daripada Rasulullah
SAW.
Pengajaran
dan pembelajaran melalui kepercayaan dan amalan tradisi merupakan cara paling
mudah masyarakat Melayu Islam menerima dan kemudiannya terpengaruh dengan
kumpulan ajaran sesat. Contohnya amalan perdukunan dan perbomohan dan rawatan
tradisional seperti kaedah rawatan yang mendakwa kehadiran para wali Allah ke
dalam tubuh perawat bagi membantu pesakit.
Begitu juga dengan amalan-amalan pemujaan tempat-tempat tertentu yang
dianggap keramat atau wali yang mempunyai kelebihan. Sebagai contoh amalan
memuja kubur, busut dan bukit, kepercayaan kepada kuasa kesaktian melalui
amalan seni mempertahankan diri, berdukun, perbomohan, mendakwa mendapat ilmu
daripada mimpi, orang halus, sahabat, sheikh tertentu melalui isyarat dan
amalan menurun.
1.4.1.3 Penyelewengan Ideologi
Penyelewengan
ideologi telah diberikan kupasan secara mendalam dalamtajuk sebelum ini. Dalam
kemajuan dan globalisasi, umat Islam terdedah cabaran yang menguji kekuatan
akidah. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme,
humanisme dan unsur negatif mempengaruhi umat Islam dengan mudah. Kita
dikejutkan dengan fahaman liberalisme, pluralisme dan komunisme yang
diperkatakan semula hari ini. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan
cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit budaya songsang black metal, punk,
gejala gay, seks bebas, judi dan LGBT.
Gejala ini
disebabkan lemah keimanan berakar daripada kurang didikan agama daripada
keluarga terutama kedua ibu bapa, kelemahan akidah turut mendedahkan mereka
kepada amalan buruk yang meruntuhkan kemuliaan dan darjat manusia.
Sebagai
umat Islam, perlulah kita menjaga diri dan ahli keluarga daripada terjerumus ke
dalam azab neraka Allah sebagaimana firmanNya dalam surah al Tahrim ayat:6
Maksudnya: ”Wahai
orang yang beriman! Pelharalah diri kamu dankeluarga kamu dari api neraka yang
bahan bakarnya manusia dan batu. Penjaganya malaikat yang keras kasar, tidak
menderhakai Allah dalam segala yang
diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pua tetap melakukan segala yang
diperintahkan’
Implikasi Penyelewangan Akidah
Terhadap Individu, Keluarga, Masyarakat Dan Negara
1.4.2.1 Implikasi Terhadap Individu
Melihat
kepada perkembangan ajaran sesat yang semakin banyak bercambah bagaikan
cendawan tumbuh, timbul satu persoalan setakat manakah ajaran sesat boleh
memberi kesan kepada keislaman dan keimanan seseorang pengikut dan pengasas
ajaran tersebut selain ia memberi ancaman yang cukup besar kepada masyarakat
dan negara yang tercinta dari aspek keharmonian masyarakat dan keamanan negara.
Perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana ia melibatkan
persoalan akidah. Ia adalah satu persoalan yang menyentuh urat nadi kehidupan
dan masa depan seseorang dan umat Islam keseluruhannya di dalam kehidupan dunia
ini. Ia tidak sahaja berhubung kait dengan persoalan kehidupan di dunia, tetapi
juga melewati alam akhirat. Kemuncak dari itu, persoalan akidah juga boleh
menentukan status sesebuah negara sama ada ia merupakan sebuah negara Islam
ataupun sebaliknya.
Berdasarkan kepada kupasan panjang lebar berkenaan
kategori ajaran sesat dan juga ciri-ciri utama ajaran sesat yang lalu, dapat
disimpulkan bahawa sesiapa yang terbabit dalam kancah ajaran sesat, akidahnya
akan terjejas iaitu ia boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus dalam
kesyirikan, kadang-kadang ia boleh menyebabkan seseorang itu murtad iaitu
terkeluar daripada Islam dan dia termasuk dalam kalangan orang yang kafir dan
dalam masa yang sama menyebabkan amalan tidak diterima
1.4.2.2 Implikasi Terhadap Keluarga, Masyarakat dan Negara
Penyelewengan akidah ini menyebabkan berlakunya
perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam. Ini berlaku khususnya apabila
sesebuah ajaran berkenaan mendakwa orang yang selain dari kumpulannya adalah
salah atau kurang keislamannya. Jika dibandingkan dengan mereka. Terdapat juga
dakwaan yang mengatakan orang yang tidak mengikuti kumpulan mereka adalah
kafir. Penyelewengan ini juga
menggalakkan kehidupan yang bertunjangkan pemuasan nafsu sehingga melahirkan
anak luar nikah dan amalan seks bebas dalam masyarakat.
Penularan ajaran Islam yang diselewengkan ini
menimbulkan ancaman pada keselamatan negara dan keharmonian masyarakat seperti
yang berlaku pada 2 Julai 2000 melibatkan kumpulan al Maunah dan beberapa
contoh lain. Ia juga menghalang kemajuan dan pembangunan masyarakat serta
negara. Banyak tenaga, masa dan peruntukan perlu dhabiskan untuk menangani
gejala ini. Kemajuan dakwah Islamiah juga tergugat kerana usaha menangani
ajaran sesat akan diberi keutamaan berbanding fokus usaha dakwah. Ia juga
memberi gambaran dan imej yang tidak baik kepada Islam dan umat Islam khasnya
terhadap saudara baru dan mereka yang masih belum beragama Islam.
1.4.3 Usaha Yang
Dilakukan Oleh Pihak Jabatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun, NGO Dan Lain-Lain
Dalam Upaya Membenteras Ajaran Sesat Dalam Negara.
Dalam usaha menangani penyebaran dan
pengamalan ajaran sesat di negara ini, terdapat tiga aspek yang perlu diberi
penekanan (Siti Zubaidah, 2010) Pertama dari segi status ajaran itu sendiri
sama ada yang difatwakan atau tidak; kedua, membabitkan usaha pembanterasan
iaitu pencegahan penyebaran dan penguatkuasaan fatwa serta undang-undang. Yang
ketiga berkaitan dengan usaha pemulihan iaitu mengembalikan pengikut ajaran
sesat ke pangkal jalan menerusi pemulihan akidah dan kepercayaan. Ketiga-tiga
aspek ini dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah ini. Jika ditinjau fatwa
yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri, didapati bahawa banyak juga fatwa
yang berkaitan dengan pengharaman ajaran salah. Dalam satu kajian pada tahun
2000, Khadijah Hambali dalam Siti Zubaidah Ismail (2010) menyimpulkan bahawa
fatwa berhubung pengharaman ajaran sesat merupakan kategori fatwa yang kerap
dikeluarkan dan diwartakan oleh hampir setiap Jabatan Mufti negeri. Apa yang lebih ketara ialah,
hampir 33% daripada kategori fatwa dalam bidang Usuluddin menyentuh tentang
ajaran sesat. Soalnya, setelah
difatwakan haram, bagaimanakah pula dari segi penguatkuasaan fatwa berkenaan
oleh pihak berkuasa, sejauhmanakah ia mengikat umat Islam untuk mematuhinya dan
adakah masyarakat Islam menyedari kewujudan fatwa-fatwa berkaitan ajaran salah
itu.
Fatwa yang dikeluarkan oleh mana-mana
jawatankuasa fatwa negeri atau kebangsaan, masih belum mempunyai sebarang kesan
baik dari segi penguatkuasaan mahupun kuasa perundangan. Fatwa yang dikeluarkan
hanyalah menjelaskan kedudukan hukum sesuatu perkara dan ia tidak mengikat
untuk diikuti. Hanya setelah ia diwartakan barulah ia ada kuasa dari segi
perundangan. Maknanya, setiap umat Islam adalah terikat dan perlu mentaati
fatwa berkenaan. Seksyen 31(3) dan (4) Enakmen Perundangan Islam Selangor 1989
menjelaskan:
(3) Sebaik sahaja dijelaskan dalam
Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat orang Islam yang tinggal di negeri
Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya mengikuti
dan berpegang dengan fatwa itu, kecuali ia dibenarkan oleh Hukum Syarak,
menyimpang dari fatwa itu dalam hal kewajipan peribadi, kepercayaan atau
pendapat.
(4) Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf
dalam semua Mahkamah dalam negeri Selangor sebagai yang penuh berkuasa dalam
perkara yang ditetapkan itu.
Pada realitinya pula, tidak semua fatwa
ini diwartakan dan sesetengahnya pula mengambil masa untuk diwartakan. Isu
pewartaan fatwa berkait rapat dengan keputusan pihak kerajaan sama ada hendak
mewartakan sesuatu fatwa atau sebaliknya bergantung kepada faktor semasa dan
kepentingan yang dipertimbangkan. Sebagai contoh fatwa pengharaman Tarikat
Naqsyabandiah Kadirun Yahya dikeluarkan pada tahun 1985, tetapi hanya
diwartakan pada tahun 1995. Setelah
fatwa diwartakan, implikasinya ialah sesiapa yang melanggar fatwa berkenaan
boleh diambil tindakan berdasarkan undang-undang yang ada, antara lain, seksyen
12 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana tidak mematuhi fatwa. Sekadar
memberi alasan tidak tahu wujudnya fatwa berkenaan seperti dalam kes Pendakwa
Syarie lwn Fahyu Hanim Ahmad, Noni Mohammad dan Sharina Shaari, yang mendakwa tidak tahu
wujud fatwa haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu
cantik tidak boleh diterima di sisi undang-undang.
Berkenaan dengan pengetahuan masyarakat
tentang sesuatu fatwa, sama ada yang diwartakan atau tidak, ia ada kaitan
dengan sejauhmana usaha dan inisiatif yang dijalankan oleh setiap pihak
berkuasa negeri. Pada masa kini, apa yang ketara ialah tidak semua negeri
mengambil usaha untuk mencetak dan menyebarkan koleksi fatwa yang ada untuk
tatapan, bacaan dan pengetahuan masyarakat umum secara percuma. Kalau ada
dicetak sekalipun, ia tidak disebarkan dengan meluas, seperti diletak di
masjid-masjid negeri, disebarkan di sekolah-sekolah, kolej, universiti atau
agensi kerajaan dan swasta. Mungkin koleksi fatwa ada diletakkan di dalam laman
sesawang jabatan agama Islam negeri dan juga laman web e-fatwa, tetapi
sudah tentu khalayak yang berminat mencari di situ adalah golongan tertentu
sahaja. Dalam kes melibatkan Ayah Pin contohnya, fatwa pengharamannya telah pun
diputuskan dan boleh dikatakan hampir semua negeri telah mewartakan
pengharamannya. Akan tetapi, kenapa pula sesetengah anggota masyarakat masih
boleh diperdayakan oleh orang sebegini. Adakah kerana mereka terlalu taasub
dengan kuasa dan keistimewaan yang
ada padanya atau tidak tahu tentang pengharaman ajaran ini kerana maklumat
mengenainya tidak disebarkan secara meluas.
Namun,
masalah dengan ajaran sesat ini ialah terdapat juga ajaran yang baru bertapak
dan masih belum berjaya dihidu oleh pihak berkuasa. Justeru, statusnya masih
sama-samar terutama apabila ia mencampur adukkan antara yang kebenaran dengan
kebatilan. Dalam hal ini, masyarakat awam hendaklah turun padang dan membantu
pihak berkuasa dengan membuat aduan dan bekerjasama mengemukakan maklumat
apabila berkaitan.
Sebagaimana yang disebut di atas,
membanteras ajaran sesat daripada merebak dalam masyarakat memerlukan kerjasama
anggota masyarakat sendiri dalam merealisasikan tanggungjawab amar makruf
nahi mungkar. Pendakwaan ke atas sesuatu kes ajaran sesat bergantung kepada
kekuatan bukti yang dikumpul oleh unit siasatan Bahagian Penguatkuasaan di
bawah jabatan agama Islam negeri.
Apabila wujud sesuatu aduan berkaitan
aktiviti berkaitan ajaran sesat, pegawai penguatkuasa agama perlu menjalankan
risikan terlebih dahulu bagi mengenal pasti keadaan aktiviti yang dilaporkan.
Dalam keadaan tertentu juga, mereka perlu menentukan seksyen manakah yang
relevan dengan aduan bagi membolehkan siasatan dan risikan dijalankan. Ini
penting kerana dalam menjalankan siasatan, fokus pengumpulan maklumat dan bukti
mestilah terarah kepada memenuhi elemen-elemen kesalahan yang diadukan itu.
Cabaran utama dalam pengumpulan bukti
ialah bagaimana mendapatkan first-hand information. Boleh dikatakan
bahawa hampir kesemua kumpulan ajaran sesat ini secara amnya bergerak secara
rahsia terutama menjalankan kegiatannya di malam hari atau awal pagi dan di
lokasi tertentu yang mana aksesnya adalah terhad dan kurang disedari oleh
masyarakat sekeliling. Ini sedikit sebanyak menyukarkan pihak berkuasa agama
untuk mengumpul maklumat dan bukti. Dalam hal ini, pegawai penguatkuasa agama
banyak bergantung kepada maklumat orang awam, khususnya pengikut atau bekas pengikut
yang telah kembali ke pangkuan jalan yang secara sukarela menjadi pelapor atau
pengadu. Maklumat daripada bekas pengikut amat membantu dalam membuka jalan ke
arah tindakan selanjutnya. Maklumat yang diperolehi perlu dirakam dan bekas
pengikut itu mesti menjadi saksi utama dalam perbicaraan. Ini kerana maklumat
yang dirakam semata-mata menjadi hearsay evidence yang tidak dapat
diterima oleh mahkamah (seksyen 60 Akta Prosedur Jenayah Syariah Wilayah
Persekutuan 1997).
Di samping itu, usaha pengumpulan bukti
juga menuntut mereka membuat penyamaran sebagai ahli kumpulan dalam usaha
menyiasat kegiatan itu. Amat jelas bahawa penyamaran merupakan satu-satunya
jalan untuk menembusi masuk aktiviti yang dilakukan. Setiap kes yang disiasat
memerlukan pelbagai bentuk bukti antaranya yang berbentuk hard evidence,
di samping keterangan saksi dan sebagainya. Untuk itu, serbuan ketika aktiviti
sesat sedang berlangsung amatlah penting dalam mendapatkan bukti yang
diperlukan. Pegawai terbabit mestilah dapat mengenal pasti tarikh, masa,
perlakuan salah atau aktiviti suspek dan tempat yang menjadi sasaran serbuan.
Inilah cabaran utama yang perlu dihadapi kerana kadang-kala tidak semua perkara
berkenaan dapat disempurnakan.
Dalam kes yang melibatkan Ayah Pin
misalnya, walaupun lokasinya dapat dikesan, namun bukti yang diperlukan ialah
bukti fizikal dia sedang melakukan sesuatu upacara, menyebut atau mendakwa
sesuatu yang bertentangan dengan Syarak atau berkata sesuatu yang menepati
maksud mana-mana kesalahan gagal diperolehi sehingga kini. Terdapat pelbagai
kenyataan yang dikeluarkan olehnya yang disiarkan dalam akhbar dan laman
sesawang. Antaranya beliau mendakwa dirinya tuhan, mengatakan bahawa semua
agama adalah sama dan boleh menganut mana-mana agama kerana tuhan adalah satu
serta pelbagai lagi dakwaan karut yang bertentangan dengan Islam. Dalam hal
ini, pegawai penyiasat di kalangan pegawai penguatkuasa agama mesti mengadakan
siasatan lanjut seperti mengkaji kesahihan dakwaan ini. Pemberita yang
menemuramah yang mendengar beliau berkata sedemikian boleh disoal-siasat demi
mendapatkan keterangan mengenai dakwaan tersebut beserta dengan maklumat
tentang tarikh, masa dan tempat beliau menyatakan sedemikian. Jika cukup bukti,
ini barangkali memadai untuk mensabitkannya di bawah kesalahan membuat dakwaan
palsu seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 6 Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah Terengganu (Takzir) 2001, seksyen 4 Enakmen yang sama bagi kesalahan
mengajar doktrin palsu dan seksyen 5 bagi kesalahan mengembangkan doktrin agama
selain dari agama Islam di kalangan orang yang beragama Islam. Bukan satu
akhbar yang didapati menyiarkan kenyataan sedemikian baru-baru ini baik media
cetak mahupun menerusi laman web (contoh http://www.malaysiakini.com) ataupun
rakaman dalam bentuk vcd.
Sungguhpun pihak penguatkuasa agama
mempunyai peraturan bahawa mereka hanya boleh bertindak sekiranya ada aduan,
barangkali mereka boleh menggunakan kuasa budibicara agar di kalangan mereka
sendiri yang menjadi pengadu bagi maksud mengisi Borang 5 seperti yang
dikehendaki oleh undang-undang tatacara jenayah syariah. Oleh kerana
kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 4,5 dan 6 seperti yang dijelaskan di atas
merupakan kesalahan boleh tangkap, maka pihak berkuasa agama tidak perlu
mendapatkan waran Pendakwa Syarie. Walaupun kertas siasatan terhadapnya
telahpun dibuka di Besut, Terengganu, namun jika dia disyaki melakukan
kesalahan yang serupa di negeri lain, maka dia juga boleh didakwa di negeri
berkenaan seperti yang berlaku kepada Mohamed bin Ya yang pernah didakwa
di Ipoh, Kota Bharu dan juga Besut. Sungguh pun begitu, terdapat pelbagai
cabaran dari segi tatacara pengendalian siasatan terhadap kes ajaran sesat ini.
Seseorang suspek yang ditahan untuk siasatan, hanya boleh ditahan selama tempoh
24 jam sahaja.
Memandangkan soal-siasat dan rakaman
percakapan suspek tidak boleh diambil secara mandatori, maka sekiranya suspek
enggan bekerjasama memberikan keterangan dalam tempoh berkenaan, maka tiada
sebarang tindakan dapat dikenakan. Selepas 24 jam, beliau hendaklah dihadapkan
ke mahkamah jika pertuduhan telah berjaya disediakan oleh pihak pendakwa. Jika
tidak, maka dia mesti dibebaskan. Apabila dibebaskan, kadang-kala mereka ini
tidak dapat dikesan lagi kerana telah berpindah ke tempat lain. Ini menyebabkan
fail kes itu tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Dari segi sumber tenaga kerja pula,
didapati penguatkuasa agama, seperti pegawai hal ehwal Islam di jabatan agama
Islam yang lain juga, tertakluk kepada pertukaran bahagian, kenaikan pangkat
dan sebagainya. Terdapat keadaan di mana pegawai yang mengendalikan penyiasatan
sesuatu kes telah pun berpindah ke bahagian lain. Ini menyebabkan fail kes yang
belum diselesaikan itu tergendala dan tidak dapat diteruskan kerana pegawai yang
menggantikannya masih belum ada atau belum serasi dengan tugas.
Apabila pendakwaan berjaya dilakukan di
mahkamah, suspek ajaran sesat akan diadili dan mahkamah akan menentukan status
mereka sama ada bersalah atau tidak. Sekiranya mereka didapati bersalah, maka
hukuman yang bakal dikenakan mestilah juga termasuk proses pemulihan akidah
yang hanya dapat dilaksanakan di pusat bimbingan Islam sebagaimana yang
diperuntukkan di bawah seksyen akta/enakmen kesalahan jenayah syariah negeri. Hakim mestilah mengenakan
hukuman dihantar ke pusat bimbingan Islam sebagai satu hukuman mandatori, tidak
melebihi enam bulan sebagai ganti pemenjaraan biasa. Soalnya sekarang, adakah
pusat ini wujud di setiap negeri sebagaimana yang semestinya.
Jika diperhatikan sejak peristiwa Nabi
palsu di zaman selepas Nabi Muhammad SAW, hanya satu sahaja hukuman yang
dilaksanakan terhadap mereka yang mendakwa dirinya nabi iaitu hukuman bunuh. Tidak lagi diminta bertaubat
atau dipulihkan akidah mereka. Ini mungkin bersesuaian dengan darar yang
berlaku, yakni bukan sahaja mengaku diri sebagai Nabi, malah memerangi Islam
secara terang-terangan sehingga memecah-belahkan umat dan pelbagai lagi
kemusnahan.
Dalam kes Pendakwa Syarie Selangor
lwn. Abdul Kahar Ahmad, pesalah
berusia 72 tahun yang didapati bersalah atas lima kesalahan berkaitan ajaran
salah, telah dihukum penjara selama sepuluh tahun, denda RM16,500 dan enam kali
sebatan dan perlu menjalani proses pemulihan selepas dipenjarakan itu di Pusat
Pemurnian Akidah Baitul Iman, Ulu Yam Selangor. Ini bermakna beliau akan
menjalani hukuman penjara biasa terlebih dahulu di bawah kendalian Jabatan
Penjara Malaysia dan selepas habis tempoh sepuluh tahun baru menjalani proses
pemulihan sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah syariah. Timbul
persoalan di sini iaitu, bilakah pula proses taubat perlu dilakukan olehnya
dengan pemantauan pihak berkuasa. Adakah memadai mendapatinya bersalah, tanpa
memastikan yang beliau benar-benar telah insaf dan bertaubat. Jika begini
keadaannya, timbul persoalan tentang keadaan beliau dalam penjara serta jangka
hayatnya. Berkemungkinan (hanya kemungkinan) penyebaran ajaran boleh berlaku
jika dia belum benar-benar insaf dan bertaubat atas kesalahannya.
Apakah bentuk pemulihan yang bakal
dilaluinya dalam tempoh pemenjaraannya. Jika dia menjalani proses kaunseling
biasa dan menjalani kehidupan sebagaimana banduan lain, maka bagaimana kita
dapat memastikan akidahnya telah diperbetulkan. Adalah lebih baik jika proses
pemulihan akidah dijalankan terus di penjara dengan menugaskan pegawai agama
sedia ada untuk mengendalikan pesalah sebegini atau dia diasingkan terus dari
banduan lain dengan meletakkannya di blok khas untuk pesalah akidah. Di sinilah kerjasama di antara
pihak mahkamah syariah dan Jabatan Penjara Malaysia serta institusi seperti
jabatan agama Islam amatlah perlu bagi menyelaraskan perkara ini. Berkenaan
dengan pengikut ajaran salah pula, proses yang sama perlu dikenakan terhadap
mereka iaitu didakwa di mahkamah dan jika didapati bersalah, dijatuhi hukuman
penjara dan diwajibkan menjalani proses pemulihan akidah.
Dalam kes Mohamed bin Ya dan
Lain-Lain lwn Pendakwa Syarie Kelantan, lima orang tertuduh telah disabitkan atas
kesalahan melakukan adat istiadat yang bertentangan dengan agama Islam. Mereka
adalah pengikut ajaran Kumpulan Ratib Kuat Ayah Pin, sebuah kumpulan yang telah
difatwakan haram di Kelantan ketika itu. Dalam rayuan mereka terhadap hukuman
penjara, satu tahun, Mahkamah Rayuan telah mengubah hukuman berkenaan kepada
berkelakuan baik selama tempoh tiga hingga lima tahun. Dalam tempoh berkenaan
mahkamah telah mengarahkan agar mereka melaporkan diri kepada kadi jajahan
tempat tinggal mereka untuk melafazkan taubat. Akan tetapi, disebabkan masalah
pengurusan, ketidakselarasan arahan dan ketiadaan garispanduan taubat, maka
taubat tersebut dikatakan tidak berjaya direalisasikan.
Satu isu berbangkit di sini ialah
tentang status pusat bimbingan Islam (PBI) yang merupakan tempat khas yang
diperuntukkan untuk memurnikan akidah pesalah. PBI ini boleh disediakan
berasaskan peruntukan undang-undang, umpamanya seksyen 53 dan seksyen 54 (1);
Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9, 1995. PBI merupakan sebuah pusat di
bawah kendalian Majlis Agama Islam negeri dan ia mempunyai objektif sebagai
pusat bimbingan dan kaunseling bagi mereka yang memerlukan pemulihan akidah.
Setakat ini hanya negeri Selangor sahaja yang mengadakan PBI ini dan
menamakannya Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman. Manakala negeri lain masih
belum menunjukkan sebarang usaha ke arah pembinaannya biarpun dari segi
undang-undang, ia dibolehkan. Pengurusan dan pentadbiran pusat ini dibuat
berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman 2001. Ia menjadi pusat tahanan kepada
pesalah yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah bagi menjalani hukuman kerana
melakukan kesalahan yang berhubungan dengan aqidah sama ada di Selangor atau
negeri lain.
Walaubagaimanapun
dalam masa yang sama ia turut menempatkan kes-kes sukarela, lazimnya berkaitan
moral, setelah mendapat kebenaran Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Berdasarkan
kajian yang dijalankan setakat 2008, penulis dapati bahawa pusat ini telah
menerima seramai 15 orang pesalah dari mahkamah, tetapi belum pernah menerima
seorang pun pesalah ajaran sesat. Dari segi modul pembelajaran
agama yang disediakan, didapati bahawa pengisiannya adalah satu sahaja dan
terpakai kepada semua pelatih yang dimasukkan ke situ. Sudah tiba masanya modul
khas diwujudkan bagi pesalah akidah. Satu lagi pusat pemulihan akidah ialah
Pusat Pemantapan Akidah JAKIM di Jelebu yang dibina di bawah kerajaan Pusat dan
diletakkan di bawah pengurusan bahagian Dakwah JAKIM.
Satu perkara yang perlu diterima
hakikatnya ialah kedua-dua pusat ini tidak diwartakan sebagai penjara dan tidak
berada di bawah pengurusan Jabatan Penjara Malaysia. Justeru, perintah mahkamah
(supaya dihantar ke pusat pemulihan akidah) itu adalah bersifat perintah (order)
tambahan kepada hukuman (punishment) yang perlu dilaksanakan
terhadapnya.
Peranan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
juga tidak kurang pentingnya. Sebagai
agensi pusat yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal pembangunan dan kemajuan
Islam di negara ini, JAKIM juga telah mengadakan inisiatif yang
memberangsangkan dalam menangani fenomena ajaran sesat. Jabatan ini telah
mewujudkan Rancangan Lima Tahun Membanteras Ajaran Sesat. Yang pertama bermula
dari tahun 1995 hingga 1999. Manakala Rancangan Lima dibendung hingga ke akar umbi. Jawatankuasa
Task Force ini diurusetiakan oleh Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM.
Ia berbentuk ad-hoc dan beroperasi berasaskan kes. Ia dipengerusikan
oleh Ketua Pengarah JAKIM dengan keahlian jawatankuasa daripada semua agensi
seperti Kementerian Dalam Negeri, jabatan agama Islam negeri, Majlis
Keselamatan Negara, Polis DiRaja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan beberapa
lagi. Contoh kerjasama yang pernah dilaksanakan ialah apabila kerajaan
menangani isu Syarikat Rufaqa Corporation (SRC) dan juga isu Arifin Muhamad
(Ayah Pin).
Jawatankuasa
yang bersifat tetap pula ialah Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat
Peringkat Kebangsaan (JAPAS), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam
(JAPPIS) dan Panel Kajian Akidah (PKA). Namun sejauhmanakah keberkesanan usaha
kerjasama di antara pihak berkuasa negeri dan persekutuan ini tidak dapat
dipastikan. Adalah diharapkan dengan adanya keupayaan di pelbagai peringkat
agensi kerajaan dan negeri, usaha pembanterasan ajaran sesat dapat
dipertingkatkan.
Cadangan langkah mengatasi itu juga
telah mendapat sokongan bersesuaian dengan langkah yang diambil oleh
kerajaanSelangor seperti yang dinyatakan oleh
Dato’ Setia Hj Mohd Tamyes b Abd Wahid Mufti Negeri Selangor (ketika
itu) dengan menyatakan tambahan cadangan iaitu memberi penerangan terhadap
kekeliruan yang berlaku dalam kalangan umat Islam. Di samping tu,
memperbanyakkan penerbitan bahan yang berkaitan ajaran sesat sebagai panduan
kepada umat Islam. Kerjasama semua pihak juga perlu dalam usaha menyalurkan
maklumat berkaitan ajaran sesat di sesebuah kawasan sebelum ia berkembang
dengan lebih luas lagi
No comments:
Post a Comment