Tuesday, 8 November 2016

Analisis Rasulullah S.A.W sebagai seorang pendidik

Kaedah Penyampaian RASULULLAH S.A.W.

Pendidikan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. adalah merupakan sukatan pelajaran khas yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. iaitu wahyu sama ada al-Qur’an dan juga al-hadith khususnya al-hadith al-Qudsi. Ini adalah kerana segala apa yang dipertuturkan oleh Baginda s.a.w. adalah  merupakan wahyu Illahi yang perlu dicontohi dan diteladani oleh umat Baginda s.a.w.

Firman Allah Taala di dalam al-Qur’an :
 “Dan tidaklah ia mengucapkan sesuatu berdasarkan nafsunya melainkan hanya wahyu yang diwahyukan (kepadanya)”                                                         (surah an-Najm(53) :3-4)

Al-Qur’an adalah merupakan kalam Allah yang telah diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. melalui Jibril a.s. untuk disampaikan kepada umat manusia. Ia adalah mukjizat dan membaca al-Qur’an dikira ibadah. Kerana itu al-Qur’an dibaca di dalam solat. ia juga merupakan ‘warkah’, ‘kalam’ atau ‘sms’ daripada Allah Taala kepada individu yang mencintaiNya.  Manakala Hadith Qudsi merupakan hadith yang diriwayatkan dengan disandarkan kepada Allah Taala seperti “Allah telah berfirman”. Kadangkala ia juga diriwayatkan dengan disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. namun sandaran khabarnya adalah daripada Allah Taala seperti “Rasulullah s.a.w mengatakan apa yang dikhabarkan daripada Allah.”

Langkah Pengajaran

Rasulullah s.a.w. amat teliti di dalam melaksanakan langkah pengajarannya. Langkah pengajaran bermaksud peringkat-peringkat aktiviti pengajaran yang dilaksanakan.  Baginda s.a.w. cukup berhati-hati di dalam menyampaikan pengajaran agar ianya dapat diterima oleh semua pihak yang mendengarnya. Antara ciri-ciri pengajaran Baginda s.a.w. ialah :

1. Menggunakan bahan bantu, ilustrasi dan gerak isyarat yang bersesuaian.
2. Memastikan semua pelajar dapat mengikuti pelajaran yang disampaikan.
3. Mengaplikasikan strategi dan kaedah pengajaran dengan baik.
4. Menghormati dan melayan kerenah setiap pelajar dengan baik.
5. Menggunakan bahasa yang lemah lembut dan sopan.
6. Adil terhadap anak didiknya.

Antara strategi dan pendekatan pengajaran yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah

1. Mewujudkan pusat pendidikan
2. Memilih tempat pembelajaran yang sesuai
3. Pengajaran secara berperingkat-peringkat
4. Menjadikan masjid sebagai tempat pengajaran
5. Memulakan pengajaran kepada kerabat terdekat
6. Memastikan pembelajaran berlangsung dalam keadaan aman

Kaedah Penyampaian Rasulullah S.A.W.

Kaedah pengajaran bermaksud jalan atau metod yang diikuti untuk memudahkan kefahaman kepada murid-murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Ia merupakan langkah-langkah pengajaran yang tersusun rapi dan berurutan bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Antara kaedah pengajaran yang telah digunakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah ;

1. Syarahan atau khutbah. Ia merupakan satu kaedah mengajar di mana guru memberikan maklumat berkenaan sesuatu topik beserta huraian dan contohnya. Kebiasaannya disampaikan di masjid atau rumah. Khutbah disampaikan pada setiap hari Jumaat.

2. Dialog atau perbincangan. Perbincangan dalam bentuk berdakwah supaya menerima Islam dengan prinsip yang betul. Corak pengajaran dua hala, iaitu interaksi guru dengan murid.

3. Soal Jawab. Soal jawab digunakan untuk mengetahui tahap kefahaman atau pengetahuan. Sebagai contoh Rasulullah s.a.w. bersoal jawab dengan malaikat Jibril a.s. tentang Rukun Iman, Rukun Islam, dan Ihsan. Kaedah menyoal merupakan sebahagian daripada setiap aktiviti wajib pengajaran pembelajaran antara guru dengan murid. Baginda s.a.w. juga sering bersoal jawab dengan para sahabat setiap kali selepas solat subuh.

4. Imla’. Kaedah ini memerlukan murid menulis apa yang diajarkan terhadapnya.  Guru mengatur setiap kata-kata yang diungkapkan dan murid-murid akan mencatat setiap kata-kata yang didengari. Mengikut nas al-Qur’an, kaedah Imla’ berlaku antara malaikat Jibril a.s. dengan Rasulullah s.a.w. semasa Jibril mengajarkan ayat al-Qur’an dan diikuti oleh Rasulullah. Rasulullah s.a.w.menuturkan ayat-ayat yang berbentuk berita kepada sahabat-sahabat beliau. Para sahabat mendengar dan terus menghafalnya.

5. Hafazan. Kaedah hafazan digunakan untuk mengingat sesuatu fakta. Rasulullah s.a.w. menghafaz wahyu yang diturunkan kepada Baginda.

6. Perdebatan atau mujadalah. Kaedah prdebatan digunakan untuk menjawab persoalan dengan menggunakan hujah-hujah yang logik sebagai bukti.

7. Gaya isyarat. Kaedah pengajaran ini menggunakan isyarat dengan gerakan anggota badan seperti isyarat tangan, muka, mulut dan sebagainya.

8. Bercerita. Kaedah bercerita digunakan bagi mengambarkan kisah-kisah yang terdapat dalam al-Qur’an. Bercerita merupakan perbuatan yang mengesahkan sesuatu cerita atau rangkaian sesuatu peristiwa sama ada ia benar-benar berlaku ataupun direka-reka. Cerita disampaikan untuk mendidik manusia dengan membei penekanan kepada teladan yang patut diikuti.

9. Lukisan atau lakaran. Melukis di atas tanah untuk menggambarkan sesuatu atau menjelaskan lagi satu-satu penerangan kepada para sahabat. Rasulullah sering melukis dan melakarkan di atas tanah bagi memahamkan para sahabat.

10. Demontrasi atau tunjukcara. Ia merupakan satu kaedah pengajaran di mana seorang individu membuat sesuatu di hadapan individu yang lain untuk menunjukkan bagaimana sesuatu perbuatan itu dilakukan. Ia melibatkan satu cara pengajaran yang memusatkan pemerhatian murid kepada langkah atau perbuatan bagi menghasilkan sesuatu. Rasulullah s.a.w. sentiasa mempamerkan qudwah hasanah untuk teladan para sahabat serta menunjukcara melakukan sesuatu.

11. Halaqah. Murid-murid mengelilingi guru dalam bentuk separa bulatan. Guru berada di tengah dan menyampaikan pengajaran.

12. Talaqi Musyafahah. Ia merupakan pendekatan pengajaran al-Qur’an. Para pelajar dikehendaki berdepan terus dengan guru dalam mempelajari al-Qur’an. Guru akan memberi contoh bacaan kepada beberapa orang murid. Kemudian murid akan mengikuti contoh bacaan guru secara individu dan beramai-ramai. Guru membaca, kemudian murid-murid mengikut bacaan guru. Setelah menghafaz ayat-ayat yang disampaikan oleh Jibril a.s. dan Rasulullah s.a.w. menyampaikan kepada para sahabat secara talaqqi musyafahah.

13. Tikrar atau ulangan. Bacaan dilaksanakan secara berulang kali untuk memastikan kefasihan, menguatkan ingatan serta mengingati sesuatu ayat atau fakta. Selepas guru membaca, murid-murid akan mengikut bacaan tersebut atau seorang membaca dan yang lain mendengar. Guru perlu mendengar bacaan murid sambil mengenalpasti kelemahan bacaan yang perlu dilatih tubi. Guru akan menyebut atau membaca perkataan yang perlu ditikrarkan. Manakala murid-murid pula diminta mengulanginya.

14. Tasmi’. Kaedah ini dipraktikkan bagi pengajaran tilawah dan juga hafazan. Seseorang murid akan membaca ayat al-Qur’an di hadapan guru. Sekiranya terdapat kesalahan, guru akan terus memperbaiki serta menegur setiap kesalahan itu.

No comments:

Post a Comment