Manusia dari segi fitrahnya memerlukan
kepada suasana beragama. Agama ini tidak lain adalah agama Islam. Ini adalah
kerana hanya agama Islam sahaja yang dapat menyelamatkan manusia dari
penyembahan berhala kepada penyembahan Allah Yang Maha Esa berdasarkan konsep
Tauhid. Ini berdasarkan firman Allah :
Maksudnya:
Maka hadapkanlah dirimu (Wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) ke arah agama yang jauh dari kesesatan, (turutlah
terus)’agama Allah’ iaitu agama yang
Allah menciptakan manusia (dengan
keadaan bersedia dari semulajadinya ) untuk menerimanya tidaklah patut ada
sebarang perubahan (janganlah kamu mengubah agama Allah yang berdasarkan tauhid
kepada sebarang perbuatan syirik) itulah agama yang berul lurus tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui. (Ar Ruum: 3
Islam sesuai dengan fitrah manusia
kerana bertepatan dengan kehendak rohani dan jasmani dunia dan akhirat. Islam memerintahkan keseimbangan
antara kehidupan dunia dan akhirat. Ini bertepatan dengan apa yang dinyatakan
dalam al Quran. Firman Allah SWT.
Maksudnya:
Kemudian setelah selesai mengerjakan
sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi(untuk menjalankan tugas
masing-masing), dan carilah apa yang kamuhajati daripada limpah kurnia Allah,
serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam semua keadaan) supaya kamu
Berjaya (di dunia dan akhirat) (al Jumuah:10)
Bersesuaian dengan kehidupan yang
dihadapi oleh manusia iaitu kehidupan dunia dan akhirat, maka Islam telah
menggesa manusia agar mementingkan hidup di dunia namun tidak mengabaikan
keperluan akhirat. Ia dengan jelas dinyatakan dalam al Quran:
Maksudnya:
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang
telah dikurniakan oleh Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat,
dan janganlah engkau melupakan bahagianmu
(keperluan dan bekalanmu) dari dunia. (al Qasas: 77)
Kesan Iman
Dalam Kehidupan
Allah mencipta manusia terdiri daripada rohani dan jasmani. Kehidupan
harian manusia bergantung kepada kedua-duanya. Justeru itu, rohani dan jasmani
perlu diberi makanan yang sesuai dengannya. Sebagai contoh, makanan yang baik,
berkhasiat dan halal dari hukum syarak dapat membina sahsiah seseorang itu.
Makanan yang baik jugalah akan memberi kesihatan kepada jasmani manusia dan
menyebabkan mudah beribadat kepada Allah. Begitu juga dengan rohani. Ia perlu
diberi makanan yang sesuai dengannya agar rohani terus berkembang dan memandu
jasad agar tunduk dan mentaati perintah Allah. Makanan rohani tidak lain adalah
keimanan kepada Allah kerana ia akan memandu manusia mentaati perintahNya.
Sebagai makhluk Allah, sudah pasti manusia akan berasa aman apabila
berada dalam keimanan sesuai dengan maksud ’iman’ itu sendiri. Ini jelas
sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati
mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah,
tenang tenteramlah hati-hati manusia.(Al Ra’du:28)
Jelaslah keimanan seseorang
sudah cukup untuk mendatangkan ketenangan dalam diri seseorang hamba. Keimanan
kepada Allah merupakan amal yang seiring dengan fitrah penciptaan seseorang
manusia sebagaimana firman-Nya yang menyatakan tentang penciptaan manusia &
jin hanyalah untuk beribadat kepada-Nya sebagaimana firman Allah dalam al Quran(Al
Zariyaat: 56)
Maksudnya; “dan (ingatlah) Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat
kepadaKu”
Menurut
Haji Said (1996) selain ketenangan, iman juga mengikat hubungan persaudaraan sesama
manusia. Ini dibuktikan melalui firman Allah:
Maksudnya:
“Dan
(Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu).
Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya
engkau tidak dapat menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah
telah menyatu-padukan (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”
Kehidupan
manusia sehari-hari di dunia ini mempunyai pertalian dengan Allah sebagai
Khalik dan sesama makhluk. Perasaan kasih sayang atas dasar keimanan juga
dipupuk bersama dakwah Rasulullah. Ini ditunjukkan melalui peristiwa
persaudaraan antara Ansar dan Muhajirin. Hati-hati umat Islam disatukan atas
tiket keimanan dan mencari keredhaan Allah. Perasaan kasih sayang ini wujud dalam
usaha mentauhidkan Allah. IIni jelas melalui ayat al Quran:
“Sesungguhnya orang Mukmin itu
bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah”
Allah telah menjadikan rupa bentuk tubuh
badan manusia dan berlainan kulit. Namun perbezaan ini bukanlah menjadi batu
penghalang untuk mewujudkan perpaduan antara umat Islam. Perbezaan ini juga
merupakan cara supaya manusia saling mengenali kerana kehidupan manusia ini
saling bergantungan.
Definisi Iman, Islam dan Ihsan
Perkataan Iman dari sudut bahasa
merupakan masdar daripada kata dasar ‘amana’. Dalam al-Mu‟jam al-Wasith
(1976) „amana‟-„Imana‟, ertinya menjadi aman, sedangkan ‘amana bihi’ maksudnya
ialah mempercayai dan membenarkannya. Penggunaan perkataan ‘amana’ dalam makna ini terdapat di dalam al-Quran
seperti di dalam surah Yusuf ayat 17:
Maksudnya:
Dan kamu sekali-kali tidak akan beriman
kepada kami sekalipun kami adalah orang yang benar
Justeru, Iman menurut bahasa melibatkan
suatu kepercayaan, keyakinan, merasa aman pada sesuatu perkara sama ada
ketuhanan, kemanusiaan, ideologi ataupun falsafah. Dalam bahasa Malaysia pula,
apabila dilihat di dalam Kamus Dewan, Iman dinyatakan sebagai kepercayaan
adanya Allah SWT dan mematuhi segala perintahNya. Pengertian ini lebih hampir pada
definisi Iman menurut istilah syarak berdasarkan pandangan para ulama dalam
membincangkan pengertian Iman yang bersumberkan al-Qur‟an dan Hadith.
Dari
segi istilah syara', pengertian iman ialah: Membenarkan dengan hati secara
putus (jazam) akan segala yang dibawa atau didatangkan oleh Rasulullah s.a.w
dan thabit secara putus (qat'i) yang diketahui kedatangannya itu adalah secara
darurah. Membenarkan dengan hati bererti meyakini, mengakui serta
menerima dengan kerelaan akan kebenaran tersebut, dan keyakinan tersebut
tempatnya adalah dalam hati. keyakinan ini pula adalah di atas dasar 'ilmu yang
yakin, bukan di atas dasar syak atau keraguan. Ini adalah kerana membenarkan
sesuatu secara sangkaan adalah tidak
termasuk dalam istilah iman. Pengertian Islam dijelaskan oleh Allah dalam
firman Nya :
Maksudnya:
"Dan
siapakah yang lebih baik dinnya dari orang yang menyerahkan wajahnya
(dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan dan mengikuti din Ibrahim
dengan hanya cenderung kepada Allah." (Al Nisa': 125)
Berpandukan
kepada ayat ini maka Islam dapat diberikan pengertian sebagai: "
Penyerahan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan hati". Inilah intipati dari keseluruhan makna Islam.
Islam dengan pengertian induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia tetapi
juga merangkum segala kejadian di alam semesta seperti yang dijelaskan oleh Al
Qur'an:
"Apakah
selain dari din Allah yang mereka masih mencari cari sedangkan segala yang di
langit dan di bumi telah Islam (menyerah diri) kepada Nya dengan kerelaan hati
dan terpaksa. Dan kepadaNya mereka akan dikembalikan." (Ali 'Imran: 83)
Firman Allah lagi dalam ayat yang lain:
"Dan
kepada Allah sujud segala yang di langit dan di bumi dengan kerelaan hati dan
terpaksa, dan juga bayang bayang mereka pada setiap pagi dan petang." (Ar Ra'd: 15)
Dari kedua dua
ayat di atas maka dapatlah disimpulkan bahawa pengertian Islam itu tersimpul
pula dalam penyerahan diri kepada Allah. Penyerahan yang setepat tepatnya dalam
hubungan manusia dengan Penciptanya ialah sujud kepada Allah dengan penuh
kepatuhan dan ketundukan. Oleh itu jelas sekali di antara ketiga tiganya; al
Din, Islam dan sujud mempunyai kaitan dan jalinan makna yang erat dan tabi'i.
Penyerahan diri
ini tidak hanya terbatas kepada gerak laku anggota zahir sahaja tetapi juga
merangkumi 'amalan batin. Ini bererti penyerahan ini merangkumi jasmani dan
ruhani, 'aqal dan perasaan atau jiwa dan hati kepada Allah. Penyerahan ini
tidak terbatas kepada sudut sudut tertentu sahaja tetapi merangkumi segala
ruang liput kehidupan manusia. Islam dalam erti penyerahan diri kepada Allah
merangkumi empat bidang yang pokok dan asasi di dalam kehidupan manusia:
1.
Penyerahan diri kepada Allah dalam bidang 'aqidah
2.
Penyerahan diri kepada Allah dalam bidang 'ibadah
3.
Penyerahan diri kepada Allah dalam bidang akhlaq
4.
Penyerahan diri kepada Allah dalam bidang perundangan atau
syari'at
Ihsan dari segi bahasa
bermakna bekerja dengan baik dan tekun. Dari segi syarak pula bermakna
mengelokkan perbuatan zahir dengan ibadat dan mengelokkan perbuatan batin
dengan ikhlas (Ahmad Mohd Salleh,2004) Ihsan juga membawa pengertian melakukan
ibadat dengan khusyuk, ikhlas dan yakin bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi apa
yang dilakukannya. Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah
sentiasa mengawasi kamu
(surah an Nisaa’: ayat 1)
Al Quran menerangkan bahawa ihsan wajib
menjadi tabiat manusia. Allah SWT telah member nikmat kepada manusia dengan
ihsan-Nya, maka manusia juga perlu ihsan dengan nikmat ini kepada
makhluk.(Ahmad Mohd Salleh, 2004)
Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT
dalam surah al Qasas ayat: 77)
Maksudnya:
Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba
Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang
melimpah-ruah)
Ayat-ayat berkaitan sifat ihsan ini banyak
terdapat dalam al Quran. Ini menunjukkan bahawa ihsan ini amat digalakkan dalam
kehidupan harian manusia. Antaranya:
Maksudnya:
Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedah
kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat
kejahatan maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga
(al Isra’ ayat:7)
Maksudnya:
Sesungguhya Allah menyuruh berlaku adil
dan berbuat kebaikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat dan melarang
daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta zalim.(an Nahl:90)
Kelebihan Ihsan dalam kehidupan:
1)
Mentaati perintah dan larangan Allah SWT dengan ikhlas
2)
Sentiasa amanah, jujur dan menepati janji
3)
Berasa nikmat dan seronok dengan ibadah
4)
Mewujudkan keharmonian masyarakat
5)
Mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Perbezaan antara beriman dan tidak beriman
Iman merupakan satu persoalan yang sangat penting dalam kehidupan
manusia. Iman meliputi semua aspek kehidupan manusia dan menentukan matlamat
seseorang itu di akhirat nanti sama ada syurga atau neraka. Namun, fenomena
yang berlaku pada hari ini mendapati bahawa perintah Allah itu tidak diikuti
atau dilaksanakan sepenuhnya bahkan larangan Allah menjadi ikutan dan amalan
seharian.
Definisi iman yang telah dibincangkan pada tajuk sebbelum ini menunjukkan
perkaitan antara hati, lisan melalui ikrar dan perbuatan melalui anggota badan.
Dari itu, jelas kepada kita bahawa perkara yang boleh merosakkan iman boleh
dikenalpasti melalui 3 pintu tersebut. Oleh itu, hukum syara' telah menjelaskan bagi iman dan Islam itu ada pintu
masuk dan juga pintu keluarnya. Sesungguhnya ikrar dan mentasdiqkan dua kalimah
syahadah itu menjadi kuncinya. Seseorang itu dianggap keluar daripada iman dan
Islam apabila lahir daripadanya perkataan, perbuatan atau i'tiqad yang
membatalkan ikrar dan tasdiq dari dua kalimah syahadah.
Oleh
itu sesiapa yang bercakap atau melakukan perkara-perkara yang menunjukkan
keingkarannya terhadap ikrar syahadah maka syahadahnya terbatal dan keluarlah
dia dari Islam. Dalam sistem pemerintahan Islam, orang tersebut wajib dikenakan
hukuman kerana melakukan jenayah murtad. Firman Allah
SWT:
Maksudnya:
Orang-orang " A'raab" (orang Arab dusun) berkata: "Kami
telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman,
(janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke
dalam hati kamu berkatalah sahaja: "Kami telah Islam". Dan
(ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak
akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya
Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".
Jadi jelaslah orang mukmin itu
semestinya seorang muslim namun seorang muslim itu tidak semestinya mukmin.
Seharusnya seorang muslim itu beriman kerana ianya melengkapi status muslim
sebagai penganut agama Islam, agama yang diredhai di sisi-Nya.
Hak dan tanggungjawab Muslim terhadap Individu, Keluarga, Masyarakat dan Negara
Manusia
telah diciptakan oleh Allah terdiri dari dua unsur iaitu rohani dan jasmani. Al
Quran telah menjelaskan dengan nyata tentang proses kejadian manusia dari sudut
jasmani bermula dari kejadian manusia pertama iaitu Adam a.s ataupun zuriat
keturunannya. Berkaitan kejadian Adam a.s, Allah telah menurunkan beberapa ayat
berkaitan dengannya iaitu melalui surah al Furqan:54, surah al Anbiya: 30,
surah as Saffat:11, surah ar Rahman: 14, surah al Hijr: 28 dan surah an
Najm:32. Kejadian zuriat keturunan Adam a.s pula dijelaskan oleh Allah melalui
firmanNya surah as Sajdah:9, surah al Mukminun:9, surah az zumar: 6, surah
Nuh:14 dan surah al Mukminun:9-14.
Kajian
sains juga telah membuktikan bahawa terdapat unsur-unsur bumi (tanah) dalam
diri (jasmani) manusia. Oleh kerana itu, tuntutan dan keperluan hidup adalah
juga dari tanah. Ianya terhimpun berasaskan tiga perkara utama iaitu; makanan
dan minuman, pakaian dan perhiasan, kediaman dan keamanan. (Haron Din, 1988) Walaupun
dicipta dari dua unsur yang berbeza tetapi kekuasaan Allah telah menjadikan
kombinasi kedua-duanya dalam satu bentuk yang indah iaitu manusia. Allah tidak
membiarkan kejadian manusia itu sia-sia sahaja tetapi telah diberi panduan agar
tidak meraba-raba sendirian dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Untuk itu,
tanggungjawab manusia di dunia ini adalah sebagai hambaNya dan khalifah untuk
memakmurkan bumi ini.
Tanggungjawab muslim sebenarnya telah
digariskan dalam oleh Allah Taala dalam sepotong ayat dan kemudian diulangi
beberapa kali pada ayat-ayat yang lain dalam al-Quran. Ayat yang menggariskan
peranan umat Islam dalam kehidupan ini ialah firman Allah Taala:
Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah
serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan
mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya
(di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad
yang sebenar-benarnya, Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan
agama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan
susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu:
“Orang-orang Islam” semenjak dahulu dan dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah
(Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya
kamu pula layak menjadi orang-orang yang member keterangan kepada umat manusia
(tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah solat, dan berilah
zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka
(Allah yang demikian sifatnya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan
sebaik-baik Pemberi pertolongan. (al-Hajj: 77-78)
Manusia adalah makhluk Allah S.W.T. yang
sangat indah bentuk tubuh badannya jika dibandingkan dengan haiwan dan
makhluk-makhluk lain di bumi ini. Bukan sekadar tubuh badan tetapi Allah juga
mengurniakan akal fikiran untuk membolehkan manusia dapat membezakan antara
baik dan buruk. Akal fikiran inilah merupakan pembeza antara manusia dengan
haiwan. Walau bagaimanapun, dengan akal fikiran sahaja tanpa disertai dengan
belajar atau menuntut ilmu, manusia akan sesat dan bodoh serta hidupnya tidak terarah
kepada jalan yang betul. Ilmu adalah suatu alat yang paling berguna supaya
dapat menjalankan tugas sebagiahamba Allah S.W.T. Dengan ilmu pengetahuan
seseorang itu dapat mencapai kedudukan atau darjat yang tinggi.
Ilmu pengetahuan yang wajib dipelajari
oleh umat Islam itu amat luas. Tetapi yang wajib dipelajari ialah ilmu fardu
‘ain dan fardu kifayah.Ilmu fardu ‘ain ialah ilmu untuk membolehkan setiap
orangn Ilam mengerjakan kewajipan yang dituntut oleh agama seperti mengerjakan
sembahyang, puasa, mengerjakan haji dan sebagainya. Selain itu, termasuklah
ilmu pengetahuan bagaimana menjaga akhlak dan akidah. Fardu kifayah pula ialah
kewajipan yang dikerjakan oleh beberapa orang sahaja, maka semua masyarakat
Islam yang lain akan bebas daripada kewajipan itu. Antaranya ialah sembahyang
lima waktu secara berjemaah, menjawab salam dalam satu kumpulan, menguruskan
jenazah, menziarahi orang Islam yang sakit dan sebagainya.
Ilmu pengetahuan yang difardukan itu
terbahagi kepada dua iaitu ilmu syariat dan ilmu bukan syariat. Ilmu syariat
ialah ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada Nabi Muhammad S.A.W. dan ilmu
bukan syariat pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu yang terpuji dan
ilmu yang diharuskan. Ilmu yang terpuji ialah ilmu yang ada hubungan dengan
kepentingan danurusan duniawi. Contohnya ilmu perubatan dan ilmu kira-kira.
Ilmu perubatan penting untuk kegunaan manusia dan kehidupan dan ekonomi.
Sekiranya tiada orang Islam yang berkelayakan sebagai doktor, nescaya susahlah
masyarakat di sesuatu tempat untuk mendapatkan rawatan
Selain itu, banyak lagi ilmu pengetahuan
keduniaan terpuji yang wajib dituntut. Misalnya, ilmu-ilmu pengetahuan tentang
politik, pentadbiran, institusi membuat pakaian, perumahan, kejuruteraan,
pertanian, pembuatan barangan keperluan, kaji bumi dan pelbagai lagi ilmu
pengetahuan yang berupa keduniaan tetapi penting untuk kehidupan umat Islam.
Allah memerintahkan umat Islam agar
rukuk, sujud dan mendirikan solat yang merupakan induk ibadah, tiang agama
Islam dan imej Islam yang paling ketara. Allah memerintahkan mereka agar
menyembah Allah dan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Mereka
hendaklah melakukan kebaikan menurut kemampuan mereka. Di samping itu Allah
juga memerintahkan mereka melakukan kebaikan dan melarang melakukan kejahatan.
Kebaikan pertama yang perlu dilakukan ialah dengan tidak melakukan kejahatan.
Suatu ungkapan yang ringkas dan padat. Setelah itu Allah berikan jaminan bahawa
mereka akan memperolehi kejayaan. Inilah tanggungjawab individu bagi setiap
muslim yang perlu dilakukannya sendiri samada secara berseorangan atau
berkumpulan.
Setelah itu Allah perintahkan mereka
supaya berjuang di jalan Allah dengan bersungguh-sungguh demi mengembangkan
dakwah ini kepada seluruh manusia dengan hujah yang mantap. Jika manusia enggan
menerima sebaliknya membalasnya dengan tindakan kejam dan zalim barulah
digunakan kekuatan senjata. Jihad bagi mengembangkan dakwah Islam terutama bagi
memelihara kesucian Islam adalah suatu kawajipan yang diletakkan oleh Allah ke
bahu umat Islam sama sepertimana Allah mewajibkan mereka solat, puasa, zakat,
haji, membuat kebaikan dan menjauhi kejahatan. Allah mewajibkan dan juga
menggalakkan mereka memiliki kekuatan dan kemampuan. Ayat yang menyebut
perintah ini datang dengan amaran yang cukup keras dan suatu nasihat yang perlu
diberikan perhatian.
Pergilah
kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan
ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan
berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu
pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian itu adalah lebih baik
bagi kamu jika kamu mengetahui. (at-Taubah: 41)
Allah telah mendedahkan rahsia di
sebalik segala perintah dalam kewajipan ini kepada umat Islam. Allah jelaskan
bahawa Dia memilih mereka supaya menjadi peneraju manusia, pemelihara syariat-Nya,
menjadi wakil-Nya di bumi ini dan sebagai pewaris Rasulullah s.a.w. memikul
dakwah baginda. Allah telah bentangkan kepada mereka agama ini. Allah telah
memantapkan syariat-Nya, memudahkan segala hukum-hakam-Nya dan menjadikan
hokum-hakam ini sesuai untuk semua zaman dan tempat supaya ia boleh diterima
oleh seluruh manusia. Melalui syariat ini manusia akan meletakkan segala
harapan dan impian yang mereka nantikan.
Inilah tanggungjawan sosial yang telah
diserahkan oleh Allah kepada seluruh umat Islam. Mereka hendaklah berada dalam
satu barisan, satu ketumbukan dan satu kekuatan. Mereka hendaklah menjadi
tentera penyelamat yang akan menyelamatkan seluruh manusia dan membimbing
mereka ke arah jalan yang betul.
Selepas itu Allah Taala menjelaskan hubungan
antara perintah solat dan puasa dengan perintah sosial tadi di mana perintah
pertama adalah sebagai langkah awal untuk perintah kedua. Akidah yang sahih
pula adalah asas untuk kedua-dua perintah. Tujuannya, supaya manusia tidak
menjadikan perintah tadi sebagai alasan untuk tidak melakukan kewajipan
individu mereka dengan alasan mereka telah beramal untuk semua manusia. Dalam
masa yang sama ia tidak menjadi alasan kepada manusia lain untuk tidak berbakti
kepada semua manusia dengan alasan mereka sibuk dengan ibadah mereka dan
menghabiskan sepenuh masa menghadap Tuhan. Bukankah ayat ini tepat dan
bijaksana.
Dan
siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah? (an-Nisa’: 87)
Mengabdikan diri kepada Tuhan kamu dan
berjihad demi memartabatkan agama dan syariat
adalah tanggungjawab dalam hidup ini. Jika tanggungjawab ini telah
ditunaikan dengan bersungguh-sungguh, kamu adalah golongan yang beroleh
kejayaan. Jika kamu hanya laksanakan separuh atau kamu abaikannya sama sekali
perhatikanlah firman Allah Taala:
Maka
adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada
kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu
(menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang
demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam; tidak ada tuhan
(yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (yang memiliki) Arasy yang mulia
(Al-Mukminun: 115-116)
Tanggungjawab individu tidak terhenti
setakat itu sahaja. Sebagai individu muslim juga bertanggungjawab terhadap
keluarga. Struktur sesebuah masyarakat adalah terbentuk dari kelompok keluarga.
Dalam tempoh dua atau tiga generasi atau lapisan keturunan, keluarga yang
berasal daripada sepasang suami isteri telah berkembang. Dalam proses
perkembangan inilah terjadinya pelbagai keadaan penghidupan qada’ dan qadar
masing-masing. Tanggungjawab dan
kewajiban seseorang yang paling penting kepada ahli keluarganya ialah memberi
pendidikan agama secukupnya. Dalam al Quran Allah SWT berfirman:
Maksudnya:
Wahai orang yang beriman! Peliharalah
diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang bahan-bahannya bkarnya ialah
manusia dan batu (berhala) . (Surah At-Tahrim : Ayat 6)
Walau bagaimanapun, setiap orang Islam
hendaklah bersifat optimis serta mengambil langkah positif dalam melaksanakan
tanggungjawab ini. Selain berbuat baik atas kebaikan yang disuruh Allah iaitu
memberikan nafkah kepada mereka, menunjuk ajar dan memimpin mereka ke arah
jalan yang diredhai Allah, melarang mereka melakukan kejahatan dan pelbagai
kemaksiatan terhadap Allah.
Tanggungjawab ibu bapa sangat penting
terhadap anak-anak untuk memastikan mereka beriman kepada Allah.Rasulullah
pernah berpesan: ‘ Buatlah kebajikan kepada anak-anakmu sebagaimana ibubapamu
berhak ke atasmu, maka begitu juga anakmu mempunyai hak atasmu (Hadis riwayat
Abu Umar ‘Annauqati dari Usman b Affan)
Ibu bapa wajib memberi pendidikan dan pelajaran kepada anak-anak. Begitu
juga kasih sayang agar menjadi orang yang berguna kepada negara. Ibu bapa juga
hendaklah menunjukkan contoh kepada
anak-anak.
Apabila membicarakan tanggungjawab ibu
bapa maka kita tidak boleh lari juga membincangkan peranan dan tanggungjawab
anak-anak. Kewajipan anak-anak ialah berbuat kebajikan kepada ibu bapa.
Berbakti kepada ibu bapa bukanlah hanya ketika mereka masih hidup, bahkan
ketika sudah meninggal. Cara untuk berbakti ialah dengan berdoa untuk
kebahagian roh, menunaikan janji mereka dan sebagainya. Anak-anak lahir daripada kasih sayang kedua
ibu bapa. Maka sebab itulah juga kita perlu meneliti tanggungjawab terhadap
pasangan masing-masing. Kewajipan seorang suami ialah mengawal isterinya dengan
baik dan adil terhadapnya kerana isteri adalah amanah Allah.
Suami juga bertanggungjawab memberi
nafkah perbelanjaan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut
kemampuan mereka. Selain itu, suami juga mestilah memberi didikan yang sempurna
kepad isteri terutama dalam hal-hal fardu ‘ain. Kewajipan isteri terhadap suami
pula ialah taat dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Isteri
perlulah menjaga dan memelihara kesucian diri mereka setiap masa. Peranan
keluarga pula tersebar kepada masyarakat. Keluarga yang bergabung membentuk
masyarakat. Masyarakat memainkan peranan
utama dalam pembentukan serta pembangunan ummah. Oleh itu di dalam mewujudkan
masyarakat yang sejahtera, perlulah ada sifat tolong-menolong dan bertolak
ansur sesama mereka.
Agama Islam telah menentukan peraturan
dan cara-cara pergaulan serta tatatertib yang wajib dipatuhi. Tanggungjawab dan
kewajipan setiap masyarakat terutamanya umat Islam ialah saling menyayangi,
hormat-menghormati dan bekerjasama di antara satu sama lain. Satu lagi
tanggungjawab dan kewajipan setiap umat Islam khususnya ialah jangan mendengar
berita-berita atau umpatan mengenai keburukan orang lain. Larangan Allah S.W.T.
mengenai perkara di atas tersebut. Rasulullah S.A.W. bersabda :
“ Tidak akan masuk syurga orang yang
suka menyampaikan berita-berita buruk kepada yang lain. (Hadis Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Adalah menjadi tanggungjawab setiap
anggota masyarakat supaya melindungi dan mempertahankan negara daripada
musuh-musuh yang menyerang negara kita. Selain itu masyarakat juga berperanan
dan bertanggungjawab mempertahankan musuh-musuh yang cuba menyelewengkan agama
Islam. Pemimpin negara adalah orang yang sangat penting dalam sesebuah negara
untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Sebagai contoh tanggungjawab seoran pemimpin
negara adalah membela rakyat dengan meningkatkan taraf hidup. Misalnya
pertanian, perdagangan, perindustrian dan sebagainya di mana rakyat mendapat
sumber mencari rezeki yang luas.
Pemimpin juga bertanggungjawab untuk
melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat dengan mengadakan
pasukan-pasukan keselamatan dan pertahanan yang sewajarnya. Selain itu,
pemimpin juga bertanggungjawab membekalkan ilmu pengetahuan yang secukupnya. Selain
bertanggungjawab terhadap negara, manusia juga memunyai peranan untuk
memakmurkan alam semesta. Alam semesta adalah anugerah dari Allah pada setiap
makhluk di muka bumi ini terutama sekali kepada manusia supaya dapat
menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
Manusia perlulah memelihara alam ini
seperti menjaga tumbuhan, memelihara haiwan dengan baik dan sebagainya.
Penebangan hutan yang berleluasa jika tidak dikawal akan menyebabkan kemusnahan
alam seperti banjir, tanah runtuh dan lain-lain lagi. Manusia juga
bertanggungjawab menghindarkan pencemaran alam seperti pencemaran bunyi, asap
dan alam sekitar. Ini bertujuan untuk menjaga kesihatan tanggungjawab mereka
sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.
Sebagai kesimpulan bagi tajuk ini, bahawa
semua lapisan masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu yang
mesti ditunaikan untuk memperolehi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Setiap manusia yang lahir dan akan lahir di dunia ini, mereka sudah diletakkan
tanggungjawab yang mesti ditunaikan, sama ada pengatur diri sendiri, ibu bapa,
isteri, suami, anak, anggota masyarakat, pemimpin, guru dan sebagainya.
Kesan Iman
Dalam Kehidupan
Iman adalah suatu perkara
yang realiti dan tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan manusia. Sebagaimana
telah dibincangkan dalam pengertiannya, iman itu bukan angan-angan atau janji
kosong namun ia membabitkan 3 perkara iaitu kepercayaan, pengakuan dan
pengaplikasian. Oleh kerana pengertiannya begitu maka iman itu harus dijelmakan
dalam semua bidang kahidupan manusia.Tanpa iman, seseorang itu boleh terjerumus
kepada kufur, jahil, zalim, syirik, nifaq dan fasiq.
Iman menuntut agar
seseorang mukmin itu meyakini bahawa semua perkara yang telah ditetapkan oleh
Allah melalui RasulNya dari segi perintah mahupun larangan wajiblah dipatuhi.
Perkara yang diperintah oleh Allah hendaklah dilaksanakan dan perkara yang
menjadi laranganNya hendaklah dijauhi.Pelanggaran terhadap perintah Allah
adalah merupakan suatu keingkaran kepada iman itu.
1.4.1 Implikasi
pengisian iman yang sempurna dalam diri dengan kehidupan keluarga, masyarakat,
negara dan profesion
Manusia hidup dalam dunia ini
dengan matlamat tertentu serta mempunai
cita-cita besar yang hendak dicapai. Setiap cita-cita mempunyai tribulasinya
sendiri. Untuk menghadapi tribulasi ini maka kekuatan diperlukan sebagai
sandaran yang boleh menolong dan memudahkan urusan. Kekuatan ini boleh ditemui
melalui keimanan yang dinaungi Allah SWT. Sandaran ini berteraskan keyakinan
seseorang mukmin bahawa jika Allah menolongnya tidak ada sesuatu atau sesiapa
yang menewaskannya. Bertepatan dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Jika Allah menolong
kamu, tidak ada yang dapat mengalahkan kamu.(Ali Imran: 160)
Implikasi pengisian iman yang
sempurna dalam diri dengan kehidupan berkeluarga
Allah menjadikan
manusia untuk memakmurkan alam ini. Allah mencipta makhluk lain seperti bumi,
matahari, bulan dan bintang agar memudahkan manusia meneruskan kehidupan
mereka. Semua kejadian itu memudahkan manusia untuk mengekalkan keturunan
mereka di muka bumi ini sehingga ke hari Kiamat. Untuk itu, manusia memerlukan
satu peraturan untuk meneruskan zuriat mereka iaitu melalui ikatan perkahwinan.
Allah telah memperuntukkan perkahwinan untuk mengatur kehidupan manusia serta
menjalinkan ikatan persaudaraan berasaskan kasih sayang antara seorang lelaki
dan perempuan (Haron Din, 1988)
Melalui perkahwinan,
manusia mendapat ketenangan perasaan dan ketenteraman jiwa. Ianya tidak wujud
tanpa rumahtangga dan keluarga yang sihat. Ini dapat dilihat melalui firmanNya:
Maksudnya:
Dan
di antara tanda-tanda yang memuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya Bahawa Ia
menciptakan untuk kamu (wahai lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri
supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.(Ar Rum: 21)
Melalui
perkahwinan manusia akan hidup dalam mawaddah, musyawarah dan amanah. Lumrah
pasangan akan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling
melengkapi.Setiap anggota pasangan mempunyai peranan dan tanggung jawab yang
perlu dimainkan. Tanggung jawab itu merupakan amanah yang perlu dipikul dan
akan disoal di akhirat kelak.
Sekiranya
rumahtangga itu berhasil memperolehi anak, maka hendaklah dipastikan anak
tersebut dididik dengan pendidikan Islam yang sempurna. Ketika itu, kedua
ibubapanya hendaklah melaksanakan tugas sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab
terhadap pembentukan iman dan akhlak anak sebagaimana yang digariskan oleh
agama Islam.
Anak pula,
mestilah melaksanakan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa serta kaum keluarga
yang lain. Adab-adab berkeluarga juga perlu dititikberatkan sebagaimana
kehendak Islam. Kesemua kesedaran terhadap tanggungjawab itu adalah berdasarkan
iman. Manifestasi iman itu akan melahirkan pemuda pemudi atau remaja yang kuat.
Mereka berani mempertahankan keimanan mereka walaupun di celah arus globalisasi
ini.
Institusi
kekeluargaan menjadikan kehidupan manusia sentiasa berjemaah. Ketua keluarga
bukan sahaja memimpin ahli keluarga, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam
semua perkara membabitkan ahli keluarga. Dalam kehidupan berjemaah, suami,
isteri dan anak akan solat, makan, beriadah dan melakukan aktiviti kekeluargaan
secara bersama-sama tanpa mengenepikan ahli keluarga yang lain. Institusi
keluarga yang diasaskan atas dasar iman ibarat yurga yang menyempurnakan
kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuni berasa selamat dan
dilindungi dan dipimpin oleh ketua keluarga yang bertanggungjawab serta sarat
dengan kasih sayang
Implikasi pengisian
iman yang sempurna dalam diri dengan kehidupan bermasyarakat
Kita semua tentu sepakat bahawa setiap
manusia diciptakan sebagai makhluk individu. Namun ini bukan bermaksud setiap
individu dapat hidup tanpa memerlukan pertolongan individu lainnya.
Secara kualitatif, setiap individu memiiki kelebihan dan kekurangan yang
berbeza. Seseorang dikatakan mempunyai kelebihan jika memiliki kemampuan yang
jarang dimiliki individu yang lain. Adapun seseorang dikatakan mempunyai
kekurangan jika ia tidak memiliki sesuatu yang lazim oleh individu pada
umumnya. Kerana itulah tolong menolong dalam kalangan manusia merupakan keperluan. Menurut pandangan Islam, hidup bermasyarakat
bagi manusia adalah sunnatullah. Prinsip hidup bermasyarakat banyak
diungkapkan oleh al-qur'an, antaranya
surah al-Anfal ayat 72, al-Hasyr ayat 9, ali Imran ayat 103, al-Hujurat ayat 10
dan al-Maidah ayat 2.
Dari sudut ilmu pengetahuan, manusia
sebagai makhluk sosial sudah menjadi kesepakatan umum. Individu yang tidak
berhubungan dengan individu lainnya adalah sesuatu yang tidak lengkap, dan
jarang sekali ditemui dalam kenyataan hidup. Dari tinjauan psikologis, manusia
memiliki dua dorongan hidup, yakni dorongan keakuan dan kekitaan. Kedua
dorongan inilah yang menjadi dasar munculnya dua hakikat sifat manusia, iaitu
sebagai makhluk individu sekaligus makhluk sosial.
Islam memandang bahwa bermasyarakat
adalah suatu keharusan. Mustahil manusia dapat hidup terpencil seorang diri.
Setiap manusia memiliki kelebihan dan kekurangan, sehingga sikap tolong
menolong menjadi satu sifat yang diperlukan, bahkan setiap muslim diwajibkan
untuk memikirkan keadaan masyarakat di sekitarnya. Meski disisi lain Islam
mengakui hak individu bukan bererti seorang muslim boleh lepas tanggung jawab
di dalam kehidupan bersama. Islam sangat menekankan pentingnya menghormati dan
mencintai sesama. Rasulullah SAW bersabda :
"Tidaklah beriman seseorang
diantara kalian hingga ia (dapat) mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai
dirinya sendiri" (HR. Bukhari).
Selain hidup tolong menolong dan
bermasyarakat, kecenderungan manusia lainnya adalah berorganisasi. Secara
individu, setiap manusia tentu memiliki suatu cita-cita atau keinginan. Jika
cita-cita tersebut begitu besar maka seseorang akan memerlukan pertolongan
orang lain.. Pencapaian tujuan yang melibatkan ramai orang itulah yang kemudian
memerlukan satu sistem yang disebut organisasi.
Allah telah
menjadikan manusia secara semulajadinya suka bermasyarakat. Setiap individu
saling memerlukan dan saling menolong untuk membina hidup yang lebih bermakna
untuk kepentingan umum. Tanpa kerjasama, maka pembentukan sesebuah negara yang
makmur dan aman tidak akan menjadi kenyataan. Perkara ini telah dinyatakan oleh
Allah melalui firmanNya:
Maksudnya:
”Wahai manusia,
sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami
telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling
mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu adalah yang
paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam
pengetahuannya” (al-Hujurat:13)
Hidup
bermasyarakat menuntut seseorang mukmin itu selaku khalifah Allah di muka bumi
untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar ma’ruf dan nahi
mungkar) Suasana ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab
bersama dalam masyarakat tentang pentingnya menjaga kesejahteraan masyarakat.
Kesejahteraan masyarakat melibatkan
semua bidang kehidupan yang dilalui oleh anggota masyarakat tersebut. Ini termasuklah
bidang kejiranan, perniagaan, menegakkan hukum Allah, menunaikan kewajiban
harta benda, memelihara amanah serta hidup tolong menolong.
Implikasi pengisian
iman yang sempurna dalam diri dengan kehidupan bernegara
Konsep
bernegara merujuk kepada tiga perkara utama iaitu kuasa, rakyat dan wilayah.
Negara Islam pula bermaksud negara yang diperintah dan didiami oleh umat Islam
yang melaksanakan syariat Islam.
Kepentingan bernegara ini adalah bertujuan untuk melaksanakan syariat
Islam, menjamin keadilan dan kebajikan rakyat. Di samping itu konsep bernegara
adalah untuk melindungi rakyat daripada ancaman musuh dan dapat mengatur
kehidupa rakyat menjalani lunas-lunas perundangan. Ini akan mewujudkan
keharmonian dan keamanan.
Kita
digalakkan mencintai negara kerana ia adalah tempat kelahiran dan tempat
meneruskan kehidupan kita. Negara juga telah menyediakan pelbagai kemudahan dan
keselesaan untuk rakyat. Negara juga adalah tempat untuk mencari rezeki bagi
meneruskan kesinambungan hidup. Dengan adanya sistem perundagan,kita telah dijamin
perlindungan terhadap diri dan harta benda.
Sebagai
warganegara yang mempunyai keimanan berteraskan tauhid, kita mesti menjaga imej
negara dan memberi sumbangan bakti kepada negara berdasarkan kemampuan.
Semangat patriotisme hendaklah sentiasa disemai dalam jiwa dan sanggup berjuang
mempertahankan negara daripada sebarang ancaman dan pencerobohan musuh yang
sentiasa mengintai-intai kemakmuran negara. Rasa cinta terhadap negara
hendaklah sentiasa dibugarkan kerana ia akan melahirkan sifat bangga menjadi
rakyat Malaysia dan sentiasa berusaha menangkis sebarang tohmahan terhadap
negara. Hasil rasa cinta individu
terhadap negara akan membentuk rakyat yang sentiasa berdikari dan tidak
bergantung kepada kerajaan semata-mata. Ini akan membangunkan masyarakat
menjadi bertamadun dan melahirkan masyarakat yang bersatu dan harmoni.
Jika rakyat
tidak dipupuk dengan rasa cinta kepada negara akan mengakibatkan keruntuhan
tiga aspek utama iaitu politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, negara
akan mudah dikuasai musuh, nama baik dan imej negara akan terjejas di mata
dunia. Ini akan menyebabkan kestabilan negara akan goyah seterusnya pandangan
pemimpin negara tidak dipedulikan oleh masyarakat antarabangsa. Dari aspek
ekonomi, pertumbuhan ekonomi akan terjejas dan pelabur asing tidak akan melabor
di negara kita. Akibatnya, sektor pekerjaan menjadi terhad dan pelancong juga
takut untuk berada di negara kita.
Dari aspek sosial, penyediaan
infrastruktur akan tergendala yang menyebabkan kadar pengangguran dan
kemiskinan akan meningkat. Kadar jenayah juga adalah kesan langsung dari aspek
ini. Jika berlakunya keadaan sedemikan, taraf pendidikan akan menjadi lemah dan
rakyat sentiasa bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri.
Implikasi pengisian
iman yang sempurna dalam diri dengan kehidupan berprofesion
Setiap
perbuatan yang dilakukan oleh seorang Muslim akan dianggap ibadah jika mematuhi
garis panduan yang dikehendaki oleh syarak. Profesion atau kerja bermaksud
kesungguhan yang dilaksanakan oleh seseorang bagi medapatkan upah atau
ganjaran. Ia juga membawa maksud tugas atau tanggungjawab untuk meraih
pendapatan dan keredhaan Allah. Mengapakah seseorang itu perlu mempunyai
profesion? Ia adalah merupakan tuntutan dalam Islam, untuk mendapatkan rezeki
kurniaan Allah serta sebagai mekanisme untuk memakmurkan muka bumi Allah ini.
Tuntutan mempunyai profesion ini dinyatakan
dalam al Quran surah at Taubah: 105
Maksudnya:
Katakanlah wahai
Muhammad: beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan) maka Allah dan
RasulNya serta yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan
dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara yang kamu kerjakan.
Ayat berkaitan profesion juga dapat
dirujuk melalui surah alJumuah : 10
Maksudnya:
Kemudian setelah
selesai solat, maka bertebaranah kamu di muka bumi ini (untuk menjalankan
urusan masing-masing) dan carilah limpah kurniaan Allah serta ingatlah Allah
sebanyak-banyaknya (dalam setiap keadaan) supaya kamu berjaya
Setiap
profesion atau kerja dikategori sebagai ibadah apabila menepati beberapa garis
panduan iaitu:
a)
Apabila bekerja
untuk keperluan diri. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Jika seseorang
di antara kamu pada tengahari mengambil kayu di belakangnya, sehingga dia dapat
bersedekah darinya dan mencegah daripada meminta-minta maka yang demikian
adalah lebih baik baginya dari meminta-minta kepada orang lain samada diberi
atau tidak kerana tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di
bawah, mulailah daripada yang terdekat”.
b)
Bekerja untuk
keperluan keluarga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah
sangat cintakan kepada orang mukmin yang bekerja”
c)
Bekerja untuk keperluan masyarakat. Tidak semua manusia
mempunyai kepakaran dalam semua bidang. Untuk itu kemahiran individu dapat
menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat yang diklasifikasikan sebagai
tuntutan fardhu kifayah sebagaimana Firman Allah yang bermaksud “ Bertanyalah
pada orang yang lebih tahu jika kamu tidak mengetahui.
d)
Bekerja untuk memakmurkan bumi Allah. Pekerjaan yang kita
lakukan mempunyai hubung kait yang rapat dengan unsur kehidupan manusia di
dunia selain memelihara segala nikmat Allah yang dikurniakan di muka bumi ini.
Pekerjaan
itu dianggap ibadah apabila ia adalah
perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak. Pekerjaan itu
juga disertakan dengan niat dan diredhai Allah,
dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh serta berasaskan
prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab dan menghasilkan
kerja yang berkualiti.
Impak yang
boleh didapati hasil dari pekerjaan yang diiktiraf sebagai ibadah akan
mendapatkantiga balasan iaitu dalam
bentuk material, kepuasan bekerja serta mendapat pahala di akhirat nanti. Di
samping itu, individu itu aan mempunyai motivasi kuat untuk belerja, menjadi
seorang yang proaktif, berdisiplin dan boleh dipercayai. Ia juga menjadikan
diri individu yang sentiasa berwaspada untuk mengelakkan diri dari sebarang
kemungkaran termasuk perbuatan yang tidak bermoral. Hasilnya akan menjadikan
dirinya seorang pekerja berprestasi tinggi.
Beberapa syarat
diperlukan untuk menjadikan pekerjaan itu satu ibadah iaitu:
a)
Niat yang ikhlas
kerana Allah. Ia akan mengangkat manusia kepada kemuncak ketinggian dan
kemuliaan insan. Ikhlas juga akan menhasilkan kemenangan dan kejayaan, membawa
kedamaian dan esejahteraan serta terhindar dari sifat riak demi mengharap
keredhaan Allah.
b)
Benar (sidq): ia
akan menjamin dalam mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh
ikatan antara masyarakat tidak kira alim, pemimpin, hakim, saudagar, lelaki
atau perempuan kanak-kanak atau dewasa. Menurut Imam Ghazali terdapat beberapa
jenis sifat benar (sidq) iaitu benar
pada lidah (lisan), benar ada niat, benar pada azam dan benar pada janji. Dalam
hal ini, seorang pekerja itu mesti mempunyai niat yang baik dan jujur dalam
melakukan sesuatu pekerjaan tanpa niat yang tersembunyi ataupun mengharapkan
balasan, rela berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.
c)
Amanah: orang yang
amanah akan mendapat kepercayaan orang ramai sebaliknya orang khianat menjadi
tumpuan kemarahan dan kehinaa. Ia merupakan asas kepada ketahanan umat,
kestabilan negara dan roh kepada keadilan. Antara amalan amanah ialah sifat
bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan
kedudukan, menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan kerja dalam
tempoh yang ditetapkan dan tidak menggunakan masa pejabat untuk urusan
peribadi.
d)
Bijaksana- iaitu
bijaksana dalam melaksanakan sesuatu kerja dengan menghindari perkara-perkara
yang boleh mendatangkan ketidakpuasan, mengagihkan kerja mengikut keupayaan
seseorang, menyampaikan arahan seta memelihara keaiban sesama muslim. Bijaksana
juga boleh dikaitkan dengan kebijaksanaan membuat keputusan dan tindakan sesuai
dengan masa serta keadaan, menggunakan segala potensi, keupayaan dan kepakaran
untuk menjayakan sesuatu tugas dengan
cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah. Seorang pekerja juga hendaklah
sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalisme mereka.
e)
Syukur: perasaan
dan perlakuan yang menghargai nikmat dan pemberian yang diterima antaranya
sentiasa menghargai anugerah dan nikmat yang diterima tanpa menganggap kejayaan
sebagai hak, bersedia memberikan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa
sebarang prasangka, berdendam atau menabur fitnah, tenang menghadapai masaah
dan redha menerima ketetapan, kegagalan dan ujian serta tidak berputus asa.
f)
Dedikasi: berminat
dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam menghasilkan
kerja yang berkualiti seperti bekerja tanpa rasa jemu dan bosan serta bersedia
menerima tugas tanpa helah. Seorang yang dedikasi bersikap positif dalam
melaksanakan tugas dan memastikan hasil kerja sentiasa berkuakiti, menjalankan
tugas dengan sabar, teliti dan ceria, tidak cuai atau merungut.
g)
Ikhlas: berhati
suci dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik
tanpa mengharapkan ganjaran. Ini bermaksud menerima tanggungjawab dengan rela
dan hati yang suci, tidak berpura-pura atau mengelak daripada tanggungjawab,
menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat organisasi, bukan kerana
pangkat, kedudukan atau mendapat perhatian orang lain.
h)
Penyayang: perasaan
dan perlakuan yang menunjukkan sikap memahami, menghargai dan mengambil berat
seperti bersifat pemaaf dna penyayang, tidak berdendam, sombong dan suka
meninggi diri. Menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu
dihormati tanpa sebarang prasangka buruk.
Tuntasnya,
sebagai hamba Allah, amat penting untuk kita menyedari dan memastikan bahawa
segala pekerjaan yang dilakukan tidak lain dan tidak bukan hanya semata-mata
kerana Allah. Tidak terlintas di hati untuk mengharapkan pujian, pangkat dan
harta tetapi apabila dikurniakan oleh Allah akan dianggap sebagai kurniaan
Allah yang menghargai hambaNya yang ikhlas.
Aplikasi Konsep Iman Dan Taqwa Dalam
Kehidupan Seharian
Iman dan takwa sangat diperlukan selaku
wahana untuk mendapatkan bimbingan ke arah membuka jalan kebenaran melalui
hidayah dan taufik Allah. Mengikut panduan agama, peranan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dapat
difahami dapat difahami dan dihayati dalam dua dimensi yang penting iaitu:
1)
Iman dan takwa sebagai penggerak membuka minda untuk
mencari jalan yang terbaik dalam melaksanakan tugas khalifah umat manusia bagi
tujuan memakmur dan membangunkan dunia ini menjadi suatu destinasi yang selesa
dan menyenangkan untu berbakti dan mencari keredhaan Allah. Di samping itu,
iman dan takwa juga dapat memberikan motivasi dan rangsangan yang kuat terhadap
pembentukan peribadi dan jati diri manusia yang unggul. Kekuatan ini
bersesuaian dengan fitrah dan nalurisemula jadi manusia yang amat dahagakan
pengetahuan pengetahuan dan kepercayaan terhadap Pencipta dan kuasa agung yang
telah menjadikan alam ini dan membawamanusia ke alam kehidupan ini.
2)
Sebagai pemeihara dan penapis iman dan takwa memberi
kekebalan dan kelalian kepada umat manusia supaya tidak mudah tergoda dan
terpengaruh kepada perkara-perkara negatif yang boleh menghalang pelaksanaan
tugas khalifah di muka bumi kerana kehidupan yang penuh dengan cabaran seperti hari ini, perlu dihadapi dengan
persiapan mental, emosi dan ketrampilan diri yang sepatutnya. Iman dan takwa
juga memberi kekuatan dalaman kepada manusia untuk terus berjuang dalam
kehidupan ini tanpa mudah pasrah dan bergantung kepada kemampuan orang lain.
Justeru, dorongan untuk bersaing dan berlumba dalam meraih kemajuan adalah
termasuk sebahagian daripada iman iman yang tersemai dalam diri.
Dengan menghayati dua dimensi yang
terkandung dalam prinsip keimanan dan ketakwaan ini, jelas memberi kebebasan
kepada umat manusia untuk menjalankan aktiviti pembangunan yang akan membawa
kepada kemajuan yang berasas kepada keadilan dan kesejahteraan semua warga
masyarakat yang dinaungi oleh rahmat Allah SWT yang dikenali dalam Islam
sebagai konsep negara yang maju, makmur dan mendapat keampunan Allah.
Terdapat empat perkara penting yang
dihasilkan oleh prinsip keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT jika dihayati
secara benar iaitu :
1)
Menjadikan manusia
bebas tidak dikongkong oleh kuasa lain selain daripada Allah Yang Maha
Esa. Aka fikirannya pula terbuka luas, bebas daripada belenggu khayalan dan
khurafat. Hatinya berasa lapang tidak terikat dengan rasa rendah diri dan
kehinaan termasuk emosinya akan terkawal kerana ia berasa berserah diri kepada
Allah setelah melaksanakan segala usaha dan upaya yang ada.
2)
Membentuk sahsiah
seimbang yang tercermin dari tingkahlaku dan cara berfikir. Hasrat kehidupannya
menuntut keredhaan Allah SWT terserlah ke arah kebaikan dunia dan akhirat.
Manhaj kehidupannya diasaskan kepada cinta kasih dan hormat-menghormati kepada
sesama manusia dan alam sekitarnya.
3)
Melahirkan rasa
ketenangan dalam hidupnya. Menutup pintu rasa takut dan khuatir, sama ada pada
diri dan keluarganya, begitu juga terhadap rezeki dan kematian. Ini adalah
kerana ia bergantung sepenuhnya kepada rahmat dan hidayah Allah. Aktiviti
hidupnya dijalankan dengan penuh keikhlasan dan pengharapan akan redha Tuhannya
kerana semua amal kerja yang dilakukan telah diniatkan sebagai sebahagian
daripada tugas ibadah dan khalifah di muka bumi.
4)
membangunkan potensi diri dan kekuatan jiwa yang dibina di
atas usaha dan yakin kepada Allah s.w.t. Dengan demikian ia menikmati
kehidupannya dengan penuh kepuasan kepada Tuhannya. Rasa optimis dengan
bimbingan Tuhannya sentiasa membangkitkan semangat untuk beramal, beribadah
sesuai dengan fungsi dan peranannya hidup di dunia ini.
Daripada huraian ringkas di atas, ia
menunjukkan bahawa penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan akan memberi makna
hidup yang sebenar kepada setiap manusia yang memilikinya dan seterusnya
membangunkan umat yang bermoral dan berakhlak mulia, membangunkan tamadun yang
kukuh dan bernilai. Penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t
akan memberi kekuatan kerohanian dan moral kepada masyarakat. Ia boleh
menjadi penunjuk dalam merealisasikan risalah hidup mereka di dunia ini, untuk
mengambil bahagian dalam membangunkan tamadun dunia mengikut kepakaran dan
kemahiran masing-masing. Allah s.w.t menjanjikan bahawa menghayati nilai
keimanan dan ketakwaan akan memberi kemudahan mendapat rahmat yang berlipat
ganda dan memperolehi petunjuk dalam kehidupan dunia serta akan menerima
ganjaran kelak di kemudian hari. Firman Allah dalam surah al-Hadid: 28
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah
kepada Allah s.w.t dan berimanlah kepada RasulNya, pasti (Allah) memberikan dua
kali ganda daripada rahmatNYA dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu pakai
berjalan (hidup di atas bumi) dan Dia akan mengampuni kamu. Dan Allah
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
No comments:
Post a Comment