Friday 13 May 2016

Penilaian Formatif dan Sumatif dalam Pendidikan Islam

Penilaian Formatif

Penilaian formatif melibatkan penggunaan ujian untuk mengukur kemajuan murid-murid setelah mereka mencapai hasil pembelajaran tentang satu bahagian pengajaran yang terhad, misalnya satu unit pelajaran atau satu bab di dalam buku teks. Keputusan yang diperoleh digunakan untuk memperbaiki pembelajaran dan bukanlah untuk memberikan gred atau kedudukan di dalam kelas.  Objektif ujian formatif ialah untuk mengesan kejayaan dan kegagalan pembelajaran murid-murid. Dengan itu kaedah dan isi pelajaran boleh disediakan.  Sekiranya terdapat sejumlah besar murid-murid gagal dalam sesuatu unit pelajaran, unit itu akan diajar semula dengan kaedah yang sesuai seperti kaedah kumpulan.  Pencapaian murid akan dicatat dalam laporan prestasi dan maklumat ini akan membantu guru merancang akitivit-aktiviti pemulihan serta mengubah strategi pengajarannya  jika perlu. 

Contoh-contoh penilaian formatif ialah seperti lembaran kerja dan ujian bulanan. Secara lebih dekat lagi lihat contoh berikut, guru mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam Tingkatan 1, bab 1, bahagian Tilawah Al Quran Sumber Kejayaan. Di akhir pengajaran guru mengedar soalan-soalan seperti berikut:

a)    Jawab soalan-soalan berikut berpandukan surah Al Baqarah ayat 1-5:
                                       i.        Nyatakan ciri-ciri orang yang bertakwa.
                                      ii.        Terangkan maksud perkara ghaib serta berikan dua contoh.
                                     iii.        Nyatakan tiga pengajaran yang dapat diambil daripada ayat di atas.

Penilaian Sumatif

Penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir semester atau tahun. Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang murid dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan. Penilaian dirancang dan dilaksanakan oleh guru secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian. Maklumat tentang perkembangan murid yang diperoleh dari semasa ke semasa melalui penilaian berterusan dapat membantu guru mengambil tindakan susulan yang sewajarnya jika perlu. Penilaian boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek-aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat. Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR dan SPM dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara. PKS dan penilaian berpusat saling melengkapi dalam sistem penilaian.

Sebagai contoh penilaian sumatif, cuba lihat soalan peperiksaan SPM bagi mata pelajaran Pendidikan Islam Ulum Syariah seperti berikut:

a)    Soalan 1
                      i.        Jelaskan pengertian Islam.
                     ii.        Sebutkan dalil naqli pengiktirafan Allah terhadap Islam.

b)    Soalan 2
                      i.        Mengapakah ilmu pengetahuan dianggap penting.
                     ii.        Apakah akibat jika ilmu pengetahuan tidak diamalkan.

c)    Soalan 3
                      i.        Terangkan maksud poligami dalam Islam.
                     ii.        Ceritakan dengan ringkas riwayat hidup Ibn Rushd.

Perbezaan antara Ujian Formatif dengan Ujian Sumatif

Perbezaan antara ujian formatif dengan ujian sumatif boleh dilihat dari beberapa aspek seperti berikut:

a)    Fungsi.
Ujian formatif menghasilkan maklumat balik kepada murid dan guru tentang kemajuan murid. Ia dapat mengesan punca-punca kelemahan untuk kegunaan dalam pendidikan pemulihan. Ujian sumatif digunakan untuk pensijilan atau penggredan murid di akhir kursus.

b)    Masa diberi.
Ujian formatif diberi sepanjang pengajaran, manakala ujian sumatif diberi pada akhir satu-satu unit atau kursus.

c)    Tekanan dalam penilaian.
Ujian formatif memberi penekanan kepada tingkah laku kognitif, psikomotor dan afektif. Ujian sumatif menekankan kepada tingkah laku kognitif sahaja.

d)    Fokus pengukuran.
Ujian formatif difokuskan kepada satu-satu segmen. Ujian sumatif difokuskan kepada objektif kursus.

e)    Sifat sampelan.
Ujian formatif terhad kepada tugasan pembelajaran.berubah-ubah mengikut segmen. Ujian sumatif adalah beraneka jenis.

f)     Kesukaran item.
Ujian formatif berubah-ubah mengikut segmen. Ujian sumatif kesukarannya terdapat pada semua peringkat, ada yang sangat senang dan ada pula yang sangat susah.

g)    Jenis alat.
Alat pengukur formatif dibentuk secara khusus. Pengukur ujian sumatif adalah pada peperiksaan akhir tahun.

h)    Jenis-jenis skor.
Ujian formatif dijadikan ujian rujukan kriteria. Ujian sumatif biasanya merupakan ujian rujikan norma, tetapi boleh juga digunakan sebagai ujian rujukan kriteria.

i)      Cara melapor skor.
Skor dalam ujian penilaian formatif adalah gagal atau lulus. Dalam ujian sumatif, jumlah skor diambil kira.

j)      Contoh.
Contoh ujian formatif adalah ujian bulanan dan lembaran kerja. Contoh ujian sumatif termasuklah peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan seumpamanya.



No comments:

Post a Comment