Friday, 13 May 2016

Pemilihan Bahan Sumber Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam

KATEGORI BAHAN SUMBER

Terdapat beberapa kategori sumber atau alat bantu pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan untuk membantu guru dalam proses pembelajaran. Dalam tugasan ini jenis-jenis sumber pengajaran dan pembelajaran yang terlibat ialah bahan bercetak, bahan teknologi maklumat dan bahan maujud. Semua jenis-jenis bahan ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza tetapi akan mencapai hasil yang sama iaitu untuk memastikan murid-murid memahami isi-isi pelajaran serta mencapai objektif pembelajaran.

Melalui sumber-sumber yang sedia ada mahupun yang direkacipta mengikut kreativiti sendiri, guru perlu peka dalam memilih sumber P&P yang hendak digunakan dalam proses pembelajaran. Terdapat banyak sumber- sumber yang boleh digunakan oleh guru-guru yang mengajar. Antara bahan- bahan yang boleh digunakan ialah buku teks, buku rujukan, buku latihan dan lampiran nota. Kebanyakan sumber ini biasa digunakan oleh guru-guru di sekolah. Untuk memberi kelainan atau penambahan yang lebih menarik kepada proses P&P, guru boleh menggunakan alat audio visual contohnya LCD, peta, komputer, gambar rajah dan televisyen.

Menerusi penggunaan bahan-bahan ini, murid-murid akan lebih tertarik untuk melihat serta mendengar apa yang hendak disampaikan oleh guru dan secara tidak langsung murid dapat memberikan tumpuan dengan sepenuhnya kepada guru. Dengan cara ini juga, objektif yang hendak dicapai akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan dan hasilnya akan lebih memuaskan serta memberi manfaat kepada kedua belah pihak iaitu murid-murid dan guru itu sendiri.

BAHAN BERCETAK
Bahan bercetak boleh didefinisikan sebagai bahan yangmempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Bahan ini boleh disentuh dan boleh dibaca secara terus. Ciri penting pada bahan bercetak ialah ianya mestilah dihasilkan melalui cetakan dan bukan hasil daripada tulisan tangan mana-mana individu.
Bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, ensiklopedia, surat khabar, kad katalog, kamus, buku teks dan sebagainya yang dihasilkan secara bercetak. Bahan bercetak seperti ini banyak disimpan di pusat sumber atau di perpustakaan ataupun di arkib. Semuanya dihasilkan oleh penulis-penulis atau pereka-pereka yang mahir dan terkenal di bidang masing-masing.

Sumber pengajaran dan pembelajaran ini telah digunakan secara meluas oleh guru-guru di sekolah sejak beberapa lama kerana kelebihan yang terdapat pada bahan ini. Bahan ini murah dan senang didapati di mana-mana. Selain itu ia adalah bahan yang kekal dan mudah dirujuk pada bila-bila masa.  Kelebihannya yang lain ialah ia mudah alih dan mudah diakses yang menyebabkan ia menjadi sumber pengajaran dan pembelajaran yang terkenal dan selalu digunakan.

Namun begitu terdapat beberapa kelemahan yang ada pada bahan bercetak ini. Kebiasaaannya bahan bercetak selalu didapati dalam bentuk buku yang tebal contohnya buku teks. Jadi ia sukar untuk dibawa kerana berat. Ia juga tidak boleh disunting dan akan menjadi masalah apabila berlakunya peredaran zaman di mana isi kandungan buku tersebut menjadi ketinggalan dan tidak terkini. Ini kerana buku-buku selalunya perlu disunting terlebih dahulu kemudian dicetak seterusnya diedar di mana ia mengambil masa yang agak lama untuk mengikut peredaran zaman.  Kelebihannya yang lain ialah ia mudah alih dan mudah diakses yang menyebabkan ia menjadi sumber pengajaran dan pembelajaran yang terkenal dan selalu digunakan.

Namun begitu terdapat beberapa kelemahan yang ada pada bahan bercetak ini. Kebiasaaannya bahan bercetak selalu didapati dalam bentuk buku yang tebal contohnya buku teks. Jadi ia sukar untuk dibawa kerana berat. Ia juga tidak boleh disunting dan akan menjadi masalah apabila berlakunya peredaran zaman di mana isi kandungan buku tersebut menjadi ketinggalan dan tidak terkini. Ini kerana buku-buku selalunya perlu disunting terlebih dahulu kemudian dicetak seterusnya diedar di mana ia mengambil masa yang agak lama untuk mengikut peredaran zaman.

BAHAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

Bahan teknologi maklumat merupakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang semestinya mendapat perhatian daripada murid-murid. Teknologi Maklumat (Information Technology) ataupun IT adalah teknologi dunia yang terkini dan dapat memberi banyak manfaat jika digunakan secara betul. Penggunaan sumber ini perlulah dikendalikan oleh guru yang berkemahiran kerana pengguanaan IT secara terancang dan bersesuaian dapat meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan P&P itu.

Bagi guru yang menggunakan sumber P&P ini, mereka boleh menggunakan portal pendidikan, internet dan intranet, rangkaian LAN dan akhir sekali ialah multimedia. Komputer adalah alat atau bahan utama yang perlu digunakan oleh guru untuk menyampaikan isi pelajaran dalam proses P&P. Pada masa kini guru-guru sudah mempunyai kemudahan kerana terdapat perisian- perisian yang percuma disediakan oleh kerajaan di mana isi perisian tersebut bertepatan dengan sukatan pelajaran yang sedia ada. Banyak kelebihan bahan ini di mana jika ia digunakan secara betul jadi guru perlu selalu memantau pergerakan murid-murid semasa proses P&P sedang berlangsung.

Kelebihan bahan ini ialah murid-murid cepat mudah faham kerana mereka akan tertarik dengan grafik yang ada pada bahan ini di mana secara tidak langsung telah menarik perhatian mereka. Selain itu murid-murid mudah untuk mengulangkaji apa yang telah dipelajari dan guru juga mudah untuk membuat suntingan sekiranya guru mendapati terdapat perubahan yang perlu dibuat. Secara keseluruhannya penggunaan bahan teknologi maklumat ini adalah banyak kelebihannya berbanding kelemahan yang ada dan dengan bimbingan daripada guru. Walaubagaimanapun tidak dinafikan kelemahan yang mungkin timbul tetapi ia akan dapat diatasi dengan mudah sekiranya pengisian yang menarik daripada guru dihasilkan.

BAHAN MAUJUD

Sumber pengajaran dan pembelajaran bahan maujud adalah merupakan bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Bahan maujud ini juga adalah nyata yang ada di lingkungan alam, baik digunakan dalam keadaan hidup ataupun yang sudah diawetkan. Contoh bahan maujud bukan sahaja tergolong dalam sumber P&P sahaja malah kota atau bangunan yang kekal serta alam persekitaran juga boleh dikatakan sebagai bahan maujud. Manakala dari segi sumber P&P pula bahan-bahan yang mungkin terlibat ialah alat komputer, OHP, alat tulis dan perkakas sains.

         Bahan maujud terbahagi pula kepada 3 jenis iaitu realia asli, realia awet dan spesimen. Realia asli terbahagi kepada dua iaitu bahan yang hidup dan bahan bukan hidup. Bahan yang pertama ialah bahan hidup yang sebenar dalam dunia realiti dan masih hidup contohnya cacing tanah. Manakala bahan bukan hidup pula ialah seperti jentera ataupun bangunan. Realia awet pula mestilah berasal daripada benda hidup yang kemudiannya diawet dan disimpan di dalam bendalir kimia. Jenis bahan maujud yang ketiga ialah spesimen.
Spesimen ialah sample atau contoh hidupan yang dapat mewakili kumpulan hidup-hidupan tertentu yang mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri yang lazimnya terdapat pada kumpulan hidup tersebut. Kebiasaanya spesimen selalu didapati dalam bentuk bahan awetan. Contoh bahan hidup yang boleh dijadikan spesimen ialah daun-daun. Aplikasi penggunaan bahan maujud boleh menggunakan situasi, gambaran atau kenyataan sebenar. Murid akan didedahkan dengan pengalaman sebenar di mana melibatkan pengalaman sedia ada mereka dan juga merangsang penggunaan deria penglihatan, pendengaran, rasa, sentuhan dan bauan murid-murid

BAHAN MEDIA
Bahan media juga termasuk sebahagian daripada kategori bahan sumber dan ianya boleh dirumuskan seperti gambar rajah di bawah :

Bil

Jenis Media/ Bahan

Contoh

1.
Media/ bahan tayang kaku
Transparensi, slaid, mikrofilem
2.
Media / bahantayang bergerak
Pita video, CD dan filem
3.
Bahan grafik
Lukisan, poster, kartun, carta dan graf
4.
Gambar Kaku
Gambar foto, kad imbasan dan poskad
5
Bahan pameran 3 dimensi
Model, boneka, diorama dan pupet
6.
Papan pameran
Papan kapur, papan putih, papan flanel dan papan buletin
7.
Media audio
Pita kaset, CD dan komputer
8.
Media cetak
Modul, buku teks, surat khabar, majalah dan risalah.
6.
Papan pameran
Papan kapur, papan putih, papan flanel dan papan buletin

PROSES PEMBINAAN DAN PENGGUNAAN BAHAN SUMBER
Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran kadangkala dianggap sebagai media pengajaran atau ‘ media’ yang boleh membantu guru dan membolehkan para pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk sikap yang baik. Proses penilaian dan pemilihan bahan-bahan yang diperlukan untuk memenuhi hasrat ini bukanlah satu kerja yang mudah. Kerja ini melibatkan kerja-kerja penyuntingan bahan supaya ianya sesuai dengan objektif pengajaran yang seharusnya selaras dengan kehendak dan matlamat Sukatan Pelajaran dan Objektif Pendidikan Negara secara keseluruhannya.

            Untuk menyediakan bahan-bahan yang sesuai dalam sesuatu situasi pengajaran dan pembelajaran itu, guru hendaklah memproses bahan-bahan tersebut sebelum ianya digunakan. Beberapa langkah boleh digunakan, umpamanya proses memilih, mengolah, membina, menggunakan dan menilai. Proses ini merupakan satu proses yang berterusan dan ianya harus dilakukan berdasarkan kriteria pemilihan bahan yang telah ditetapkan. Proses penyedian bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran itu, secara ringkas Seperti gambarajah berikut:

PRINSIP-PRINSIP PEMILIHAN BAHAN

Bahan mestilah berkaitan dengan matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran.

Pemilihan bahan-bahan pengajaran harus menitikberatkan objektif pembelajaran para pelajar. Objektif harus ditentukan dahulu, selaras dengan tujuan keseluruhan program pengajaran, dan kemudian bahan-bahan diolah dan dipilih supaya ianya sesuai dan berhubung dengan objektif tersebut. Tujuan program pengajaran haruslah menentukan bahan-bahan yang akan digunakan dan bukan sebaliknya.

Bahan haruslah mengandungi unsur-unsur yang berkaitan dengan Falsafah Pendidikan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah bertujuan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.
Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang dipilih sepatutnya mestilah boleh membantu pelajar untuk memperkembangkan potensi mereka. Ini bermakna, bahan-bahan itu haruslah mengandungi unsur-unsur intelek(pengetahuan) dan nilai-nilai murni yang dipercayai Dapat mewujudkan insan yang boleh bertindak dan berfikir secara dewasa. Pemilihan bahan-bahan haruslah bermatlamatkan kepada pendidikan dan pembentukan individu yang menyeluruh dan bersepadu.

Guru harus sedar akan kegunaan bahasa dan pilih bahan-bahan pengajaran yang boleh melengkapkan pelajar untuk menggunakan bahasa itu secara efektif.

Pengajaran guru mestilah mengambil kira apa yang hendak dipelajari oleh setiap orang pelajar, iaitu apa yang mereka akan lakukan dengan ilmu yang telah diperolehi setelah tamat belajar. Pelajar-pelajar perlu dibimbing untuk menyedari bahawa pembelajaran dan aktiviti-aktiviti di sekolah adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Sesungguhnya amat merugikan jikalau pelajaran yang dipelajari itu hanya tinggal dibangku sekolah sahaja dan tidak ada pertaliannya dengan kehidupan seharian.

         Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, apa yang perlu diperhatikan ialah perbezaan di antara pengelibatan dalam latih tubi bahasa, berdialog atau main peranan di satu bahagian dan satu bahagian lagi kebolehan menggunakan dalam situasi yang sebenar Seperti kebolehan melahirkan pendapat dan perasaan tentang keadaan dan kejadian sebenar kepada seseorang apabila berhubung. Pelajar yang melibatkan diri dalam teknik simulasi di bilik darjah dan boleh pula mengaitkannya dengan proses interaksi dan mengeluarkan pendapat adalah contoh yang sebenar aktiviti komunikasi.

          Pada akhir pembelajaran nanti, pelajar-pelajar akan tahu bagaimana Bahasa Malaysia boleh berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan, dan bahasa untuk berkomunikasi. Oleh itu, pelajar-pelajar harus diperkenalkan dengan aspek sintaksis dan semantik dalam situasi untuk membolehkan mereka faham akan penggunaannya. Semasa penyampaian bahan pengajaran dilakukan, aktiviti yang dipelbagaikan harus diwujudkan supaya pelajar-pelajar mendapat latihan yang cukup untuk menggunakan satu-satu struktur itu dalam situasi yang sebenar. Dalam latihan ini, pelajar-pelajar digalakkan mengeluarkan pendapat sendiri.


Guru hendaklah memikirkan tentang keperluan belajar para pelajar.

Keperluan belajar pelajar-pelajar di sini bukanlah bermaksud bahasa itu dipelajari sebagaimana ia dipilih, digred dan dipersembahkan serta diamalkan, tetapi ianya disampaikan dalam bentuk supaya para pelajar dapat menambah pengetahuannya dari semasa ke semasa. Untuk mewujudkan satu pembelajaran yang berkesan dan licin, para pelajar mestilah diperkenalkan dengan unit-unit pembelajaran. Unit-unit pembelajaran ini walaupun sedikit, tetapi harus mengandungi benda-benda baru. Selain daripada itu, unit-unit pembelajaran tadi mestilah berkaitan antara satu sama lain. Pelajar-pelajar boleh mengembangkan pengetahuan mereka dengan mengaitkan apa yang dipelajari itu dengan pengalaman atau pengetahuan yang diperolehi daripada pelajaran-pelajaran yang lalu.

     Keperluan belajar sebenarnya tidak terhad kepada pertimbangan-pertimbangan terhadap bahasa tetapi para pelajar memerlukan juga keperluan-keperluan intelek dan emosi. Pembelajaran bahasa bukanlah mudah. Pelajar-pelajar memerlukan galakan, motivasi dan pelbagai rangsangan yang lain. Ini sebahagian besarnya adalah tugas guru, tetapi bahan-bahan pengajaran boleh membantu dengan menggunakan perkara-perkara yang dirangsang secara intelektual. Satu lagi perkara yang perlu diingat oleh guru-guru ialah bahan-bahan mestilah boleh digunakan untuk sesi pengajaran secara kelas, berkumpulan dan individu. Ini adalah kerana, pelajar-pelajar juga harus dilayan secara individu dan sebagai ahli kumpulan bergantung kepada beberapa faktor, termasuklah jenis latihan yang mereka jalankan, kemahiran yang sedang dilakukan atau strategi pembelajaran yang diperuntukkan kepadanya.  

Guru hendaklah memikirkan tentang perkaitan antara aspek bahasa, proses pembelajaran dan pelajar.

            Ketiga-tiga aspek ini adalah penting dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Ketiga-tiganya mestilah ditekankan sama rata. Bahan-bahan pengajaran tidak sepatutnya hanya menekankan kepada aspek-aspek bahasa dan penggunaannya tetapi harus juga mengambil kira tentang perkembangan pelajar. Namun begitu patutlah diketahui, tiada satupun cara belajar yang terbaik dan biasanya para pelajar menggunakan strategi pembelajaran yang berlainan, kerap menukar strategi dari semasa ke semasa.

       Pendekatan yang baru dalam proses pembelajaran sekarang lebih cenderung berpusatkan individu, iaitu yang berkaitan dengan kehendak dan emosi seseorang dan tidak menumpukan perhatian kepada gejala-gejala yang menghalang pembelajaran. Namun begitu, proses pembelajaran, walaupun menarik tidak dapat membantu pelajar melainkan jika diamalkan dengan cara yang sistematik dan komprehensif. Aktiviti-aktiviti jika diwujudkan janganlah hanya sekadar untuk mewujudkan suasana gembira, tetapi harus mengambil kira nilainya sebagai latihan-latihan pembelajaran bahasa. Memanglah perkara-perkara yang dilakukan oleh pelajar-pelajar kita di dalam kelas itu menarik dan menyeronokkan(enjoyable) tetapi mereka seharusnya dirawat dari segi potensi pengajaran bahasa mereka.

Guru hendaklah menggunakan penggerak pelajar-pelajar untuk memudahkan pembelajaran mereka.

Pelajar yang mempunyai penggerak untuk mempelajari sesuatu akan dapat mempelajarinya dengan lebih mudah jika dibandingkan dengan mempelajari sesuatu yang tidak diminatinya. Penggerak yang berkesan timbul daripada keperluan yang ditunjukkan oleh minat murid. Walaupun manusia belajar untuk tujuan memenuhi keperluan hidup tetapi minat terhadap perkara-perkara yang belum diketahuinya dapat ditimbulkan dengan mengaitkan perkara itu dengan perkara-perkara yang diminatinya. Oleh sebab itu, guru hendaklah memulakan pengajarannya dengan perkara-perkara yang telah diketahui oleh para pelajar dan dari situ membawa kepada perkara-perkara yang lebih mendalam yang menguatkan minat dan keperluan sedia ada.

KEBERKESANAN BAHAN
Penggunaan bahan akan menjadi lebih berkesan apabila aplikasi penggunaannya terlebih dahulu mengambil kira beberapa elimen berikut :
KRITERIA PEMILIHAN BAHAN SUMBER
- selaras dengan falsafah pendidikan negara
- tidak bercanggah dengan nilai masyarakat
- releven dengan kurikulum
- selaras dengan prinsip pedagogi 
- memberi maklumat terkini
- cost effective
- mudah diperolehi
- mudah digunakan
- mudah alih
- mudah senggara
- pelbagai rangsangan
- dapat digunakan berulang kali dan dalam situasi yang berlainan
- fleksibel
PEMBINAAN BAHAN-BAHAN PEMBELAJARAN
a)    Ketahanan
·         Alat dan bahan yang dibina atau dipilih itu haruslah sesuai dengan pelajar atau kelompok pelajar yang akan dijalankan supaya alat atau bahan tersebut boleh dipakai dalam jangka masa yang panjang ataupun boleh digunakan untuk murid-murid belajar sendiri.
b)   Kos
·         Bahan yang dibina atau dibeli hendaklah sesuai dengan kedudukan kewangan sekolah.
·         Walau bagaimanapun guru-guru perlu ingat bahawa keberkesanan pengajaran bukan terletak kepada mahal atau murahnya bahan yang digunakan, malahan penggunaannya akan lebih bererti jika bahan tersebut dibina oleh pelajar-pelajar sendiri.
·         Cara ini bukan sahaja memupuk daya cipta pelajar tetapi juga boleh menjimatkan bahan-bahan terpakai.
c)    Aspek-aspek Teknikal
·         Alat yang dipilih biarlah sesuai dengan kemudahan bilik darjah sama ada boleh digantung atau dilekatkan pada dinding atau boleh diancarkan ataupun boleh didirikan di atas meja atau sebagainya
d)   Ketepatan Maklumat
·         Bahan yang dipilih hendaklah boleh memberi atau menyamaikan maklumat yang tepat kepada pelajar, misalnya akhbar, poster, rakaman, rancangan radio/tv dan sebagainya. Ketepatan maklumat juga diambil kira dari segi penggunaan warna dan ukuran saiz. Misalnya warna hijau untuk daun, biru untuk langit dan lain-lain.
e)    Mudah Alih
·         Guru juga harus memastikan sama ada alat yang diipilih itu digunakan di bilik lain atau tidak, ataupun adakah alat tersebut akan diedarkan dari satu kumpulan kepada kumpulan yang lain.
·         Mudah alih juga bermaksud sama ada bahan tersebut boleh digunakan bagi keseluruhan pelajaran, atau bahagian tertentu sahaja, atau dalam keadaan tertentu.
f)     Saiz/Pengelolaan Kelas
·         Saiz kelas atau besar atau kecilnya kelompok pelajar yang terlibat juga perlu difikirkan semasa guru memilih alat pengajaran pembelajaran.
·         Bahan yang boleh dilihat dari jarak jauh sesuai kelompok yang lebih besar.
·         Di sini guru harus memikirkan di mana dan bagaimana bahan bahan tersebut akan digunakan, sama ada untuk kuliah umum di dewan, atau pengajaran biasa di bilik darjah, atau untuk pengajaran berkumpulan, atauun pengajaran individu
g) Penyerapan Nilai dan Pengetahuan
·         Satu unsur penting yang cuba diterapkan dalam pendidikan hari ini ialah penerapan nilai (moral) di dalam semua mata pelajaran.
·         Melalui strategi ini, para pelajar bukan sahaja sekadar daat menambah pengetahuan baru tetapi juga mereka sentisa menyedari dan memahami tanggungjawab dan sumbangan pengetahuan yang dipelajari terhadap diri, masyarakat dan negara.
·         Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum yang mendokong semangat perpaduan dan kesejahteraan rakyat, maka unsur-unsur yang bertentangan dengan cita-cita dan semangat tidak sepatutnya wujud dalam sebarangan pengajaran yang digunakan.
CIRI-CIRI BAHAN SUMBER

Tidak ada satu bahan sumber yang unggul dan sesuai untuk digunakan dalam semua keadaan dan semua bidang mata pelajaran. Untuk mempastikan keberkesanan bahan sumber yang digunakan seseorang guru perlu mengetahui cirinya seperti berikut :

a)    Menjelaskan idea yang kabur
Adanya bahan sumber, fakta atau idea yang kabur dapat disampaikan dan dijelaskan dengan lebih efisyen dan terperinci. Di samping itu bahan sumber juga dapat menerangkan hubungan antara idea dengan isi pelajaran.

b)   Menjelaskan bahagian yang sukar difahami
Dalam setiap pelajaran, tedapat bahagian yang senang dan sukar difahami oleh pelajar (Wifa’ al-Tajl dan Rana al-Fau’ri, 2006). Pengunaan bahan sumber dapat membantu proses pembelajaran dan kelas dengan tumpuan diberikan kepada bahagian yang sukar difahami. Contohnya penggunaan grafik banding beza. 
c)    Besar dan jelas
Bahan sumber yang digunakan dalam proses P&P mestilah besar dan jelas mengikut keadaan kelas jumlah pelajar. Sekurang-kurang kadar bahan sumber mestilah boleh dilihat dengan jelas oleh pelajar yang berada dalam pandangan yang paling jauh daripada bahan sumber.
d)   Warna yang menarik dan saiz yang tepat
Pelajar lebih suka kepada bahan (objek, teks dan lain-lain) berwarna berbanding dengan hitam putih. Bagi kalangan pelajar sekolah rendah warna menarik minat mereka dan sekaligus menggalakan pembelajaran. Selain itu, warna juga dapat menonjolkan fakta penting. Manakala saiz sesuatu bahan sumber juga penting semasa proses pembelajaran. Sebagai contohnya saiz tajuk hendaklah lebih besar daripada isi kandungan, dihitamkan (gelap) dan kedudukannya hendaklah di tengah-tengah.
e)    Tahan lama
Bahan sumber yang hendak dipilih juga hendaklah jenis yang tidak membebankan guru, tahan lama dan mudah dibawa ke mana-mana saja sama ada dari bilik guru ke dalam kelas, dari kelas ke perpustakaan dan sebagainya (Ahmad, 1997). Contohnya slaid.

f)     Paling memberi kesan
Pelajar biasanya suka kepada permainan. Oleh itu, kalau boleh pilih bahan sumber yang berbentuk permainan tetapi pada masa yang sama pelajar mendapat input yang berfaedah hasil daripada permainan tersebut. Contohnya permainan berbentuk teka silang kata, kuiz dan sebagainya.

g)    Murah
Bahan yang digunakan hendaklah tidak memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi dan seelok-eloknya boleh dibuat sendirisupaya tidak membebankan guru dan juga pihak sekolah

KEUPAYAAN PEMILIHAN BAHAN SUMBER

Tujuan pemilihan bahan sumber adalah agar objektif P&P dalam satu-satu sesi dapat dicapai dengan maksimum. Oleh itu, guru perlu mengikut prinsip asas pemilihan bahan sumber dalam pengajaran mereka (Wifa’ al-Tajl dan Rana al-Fau’ri, 2006). Antara asas pemilihan ialah :

a)    Besesuaian dengan tajuk
Guru perlu menentukan tajuk dan isi kandungan yang akan diajar. Langkah seterusnya ialah menentukan objektif pembelajaran yang hendak dicapai pada akhir proses P&P menggunakan bahan sumber. Ini bermaksud, alat dan bahan yang hendak digunakan mestilah sesuai dengan tajuk, isi kandungan dan objektif pembelajaran pelajar. 

b)   Bersesuaian dengan latar belakang pelajar
Guru perlu membuat analisis mengenai sifat pelajar seperti umur murid, gaya pembelajaran murid, tahap pencapaian murid dan pengalaman murid belajar berbantukan bahan sumber. Bahan yang dipilih itu mestilah sesuai dengan tahap kebolehan dan perkembangan murid dalam penguasaan bahasa, tahap kefahaman serta pendengaran. Contohnya sumber visual seharusnya tidak digunakan apabila pelajar mempunyai latar belakang pengalaman yang cukup untuk menginterpretasikan dan mengimaginasikan sesuatu yang berkaitan dengan pembelajaran (Kamarudin, 2003).   

c)    Bersesuaian dengan tempat digunakan.
Guru perlu memastikan keadaan fizikal di mana bahan sumber yang akan digunakan boleh memberi kesan sampingan kepada matlamat yang hendak dicapai. Oleh sebab itu, guru juga patut memberi perhatian mengenai tempat bahan yang bakal digunakan.

d)   Berteknologi rendah dan sederhana
Bahan yang dipili h mestilah mudah dan tidak melibatkan kemahiran teknikal yang terlalu tinggi. Sebaik-baiknya guru perlu belajar untuk menggunakan alat dan bahan serta membuat latihan yang sewajarnya sebelum sesi pengajaran yang sebenar. Bagi seseorang guru, mereka tidak boleh mengambil sikap ambil mudah dengan mengangap pelajar akan memahami apa yang dipaparkan pada kali pertama (Kamarudin, 2003). Ini sekaligus bertujuan untuk mengelakkan kesilapan atau kelamahan semasa persembahan.

e)    Tidak berbahaya
Sesuatu bahan yang digunakan hendaklah tidak berbahaya dan menggunakan kuasa tenaga elektrik yang tidak terlalu tinggi. Bahan tersebut seelok-eloknya mudah disimpan dan tidak mudah rosak, terutama jika alat itu melibatkan penggunaan oleh murid. Bahan tidak memerlukan kelengkapan tambahan yang banyal apabila hendak digunakan dan tidak mudah ketinggalan zaman.  

f)     Bersesuaian dengan jumlah pelajar
Pemilihan bahan hanya akan lengkap sekiranya jumlah murid yang diajar dapat diaturkan dengan jenis bahan yang sesuai.

g)   Sesuai dengan tahap IQ
Apabila sesuatu bahan itu hendak digunakan dalam sesuatu pengajaran, peluang harus diberi kepada pelajar bagi menentukan sendiri kadar kelajuan peembelajarannya. Mereka yang kurang berkebolehan mempunyai peluang merujuk kembali kepada bahan yang digunakan dengan mengikut kadar keupayaannya sendiri tanpa melibatkan kemajuan murid lain yang lebih cekap.
  

No comments:

Post a Comment