Friday 13 May 2016

Pengajaran Mikro dan Makro

Pengajaran mikro adalah suatu teknik pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan dalam masa di antara lima hinggga lima belas minit untuk mengajar sesuatu kemahiran   bagi sekumpulan pelajar. Jumlah pelajar biasanya antara sepuluh hingga lima belas orang sahaja.   Pengajaran mikro  bertujuan membina kemahiran guru  berkaitan  dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Pengajaran mikro memperlihatkan bagaimana seseorang pelajar dapat menyampaikan satu-satu kemahiran yang telah dipelajari dan dikuasainya secara praktik.  Ia melibatkan teknik-teknik penggunaan set induksi, penyoalan, variasi rangsangan, penerangan dengan contoh-contoh, ilustrasi atau alat bantu mengajar, pengurusan kelas, penggunaan papan kapor, pengukuhan dan penutup.

Melalui pengajaran   mikro,  anda berpeluang  mempraktikkan teori pengajaran dalam sesuatu  situasi yang terkawal.  Anda perlulah tahu, kebiasaannya pengajaran ini hanya menumpukan kepada satu jenis kemahiran mengajar sahaja.  Untuk memerhati dan menilai  aktiviti pengajaran yang dilaksanakan,  anda digalakkan membuat rakaman video.  Setelah aktiviti pengajaran ini selesai anda perlu berbincang dengan rakan-rakan  tentang kekuatan dan kelemahan  bagi aktiviti  pengajaran yang telah anda laksanakan.  Hasil perbincangan  tadi bolehlah digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi kemahiran yang telah dilaksanakan.    

 Antara faedah yang dapat disenaraikan ialah:

  • Mendapat peluang  mempraktikkan kemahiran mengajar satu demi satu dalam situasi pembelajaran  yang terancang dan dipermudahkan.
  • Boleh mempelajari teknik mengajar dalam keadaan yang tenang, mudah dan kurang kompleks.
  • Pengajaran mikro membolehkan anda mengamalkan teori pengajaran yang   disampaikan oleh pensyarah di dalam bilik kuliah.
  • Pengajaran mikro juga dapat mengurangkan berbagai-bagai masalah daripada pengajaran biasa di sekolah.
  • Melalui rakaman video, guru-guru pelatih dapat mengkaji sendiri kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam sesi pengajaran mikro.
  • Melalui perbincangan selepas sesi pengajaran anda akan dapat memahami kesalahan / kelemahan dan seterusnya berusaha untuk mengatasi kelemahan-kelemahan  tersebut. 
Sekarang cuba kita lihat bagaimana cara  sesi pengajaran mikro  dilaksanakan.
(Model   D.Allen dan K. Kyan)

         



Merancang
Anda perlu  membuat persediaan mengajar yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan dengan memfokuskan kemahiran yang akan dipraktikkan.  Perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajaran  seperti  bilangan murid,  alat bantu mengajar dan  aktiviti perlu dirancang  dengan teliti supaya proses pengajaran mikro  dalam tempoh masa yang terhad berjalan dengan lancar.  Borang-borang yang berkaitan  dengan penilaian perlulah disediakan.

Mengajar
Anda hendaklah menjalankan sesi pengajaran seperti yang dirancang.  Semua prinsip dan garis panduan berkenaan sesuatu kemahiran  yang menjadi fokus perlu dihayati dan dipraktikkan. Contohnya ‘kemahiran  penyoalan’. Anda perlulah mengaplikasi semua prinsip penggunaan dan komponen kemahiran penyoalan dalam sesi  pengajaran  itu.   Adalah lebih baik anda merakamkan sesi pengajaran tersebut.  

Mengulas / Menilai
Latihan akan menjadi bertambah baik jika peserta menerima maklum balas tentang sesi pengajaran mikronya.     Sekiranya  ada rakaman, anda bolehlah  menonton semula dan  membuat penilaian kendiri.  Rakan-rakan pemerhati  menilai melalui borang penilaian yang telah diedarkan sebelum sesi perlaksanaan  mikro 

Merancang semula
Hasil daripada komen-komen yang diterima dalam peringkat penilaian, anda hendaklah membuat perancangan kali kedua untuk menjalankan pengajaran semula yang juga akan dirakamkan. Pengajaran semula ini mungkin melibatkan pindaan kepada persediaan mengajar yang disediakan.

Pengajaran Semula
Selepas selesai selesai membuat perancangan, pengajaran semula akan dibuat dan dirakamkan. Seharusnya pengajaran semula ini berbeza dengan pengajaran pertama kerana anda telah mengambil kira komen dan teguran.

Mengulas Semula
Selepas pengajaran semula, perbincangan berkenaan pengajaran tersebut akan dibuat di bawah penyeliaan bagi mengukuh dan meneguhkan kemahiran mengajar yang telah dipraktikkan itu.

Konsep Pengajaran makro - Pengajaran makro adalah satu sesi pengajaran yang lengkap bermula dari  set induksi, pengenalan, perkembangan p&p hingga  penutup. Perlaksanaannya  perlulah :
 
  • Kelas besar
  • Perlu murid sebenar
  • Guru mengajar sepenuh waktu
  • Tumpu kepada pelbagai kemahiran mengajar
  • Situasi sebenar
Kemahiran-Kemahiran Pengajaran Mikro

Pengajaran mikro merupakan suatu teknik simulasi yang bertujuan untuk memberikan anda pengalaman mengajar serta menguasai kemahiran-kemahiran mengajar dalam satu situasi yang hampir sama dengan aktiviti pengajaran dalam bilik darjah. Kemahiran mengajar yang dipilih ialah merupakan kemahiran-kemahiran mengajar yang penting dan kerap digunakan untuk menjalankan aktiviti pengajaran dalam bilik darjah.   Di antara kemahiran-kemahiran yang  biasanya dipilih untuk sesi pengajaran mikro ialah :
  • Kemahiran penyampaian set induksi
  • Kemahiran Menerang dengan menggunakan contoh, ilustrasi dan sumber pengajaran dan pembelajaran
  • Kemahiran Penggunaan penyoalan
  • Kemahiran Pengelolaan variasi rangsangan
  • Kemahiran Penggunaan papan kapur
  • Kemahiran Pengurusan aktiviti pengukuhan
  • Kemahiran Perlaksanaan penutup
Untuk melaksanakan  sesuatu sesi pengajaran mikro anda hendaklah  memilih salah satu daripada kemahiran mengajar  tersebut  di atas dan merancang  satu persediaan mengajar  berdasarkan prinsip, objektif dan komponen-komponen kemahirannya. Kemahiran mengajar yang dipraktikkan dalam pengajaran mikro hanya merupakan sebahagian kecil daripada satu waktu pelajaran yang sebenar. Masa penyampaian kemahiran mengajar ini dalam sesuatu sesi pengajaran mikro akan mengambil masa antara  5 hingga 10 minit sahaja, bergantung kepada keperluan sesuatu jenis kemahiran mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran.  

Kemahiran Penyampaian Set Induksi

Set induksi adalah  bahagian permulaan sesuatu proses pengajaran.  Ia bertujuan membina aliran pemikiran serta  menimbulkan minat murid-murid  supaya mereka menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran yang hendak disampaikan.

Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk menyampaikan  set induksi . Antaranya  penggunaan alat bantu mengajar, motivasi, teknik menyoal, mengulangkaji topik yang berkaitan, membimbing murid mengingat kembali pelajaran yang telah dipelajari dan sebagainya.

Oeh kerana set induksi cuma bertujuan membina aliran pemikiran murid sahaja dan bukan merupakan salah satu bahagian isi pelajaran yang hendak disampaikan, masa  yang diperuntukkan tidak seharusnya melebihi 5 minit dalam sesuatu waktu  pelajaran.


Kemahiran Menerang

Digunakan untuk menyampaikan maklumat,  konsep atau isi kandungan pelajaran kepada murid.  Biasanya pada peringkat perkembangan . Semasa menggunakan kemahiran menerang  guru memberi penerangan kepada murid tentang sesuatu isi pelajaran dengan menggunakan contoh, ilustrasi atau sumber pelajaran.  Ketika memberi penerangan guru boleh menggunakan kapor untuk menulis  isi-isi penting pada papan  tulis/kapur supaya membantu murid memahami dan merekodkan dalam buku nota.  

Prinsip-Prisip Penggunaan Kemahiran Menerang 
         
·         Rancang aktiviti pengajaran
·         Tentukan contoh, ilustrasi atau sumber pelajaran yang akan digunakan
·         Masa  hendaklah sesuai
·         Kekalkan minat murid terhadap penerangan guru
·         Perkataan dan istilah hendaklah berdasarkan kebolehan dan pengalaman murid
·         Penerangan berdasarkan pengetahuan  lepas murid
·         Alat Bantu mengajar sesuai dengan isi pelajaran,  diuruskan  dengan teknik yang berkesan.

KEMAHIRAN  PENYOALAN

   Teknik penyoalan penting dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Pada peringkat permulaan kemahiran penyoalan digunakan untuk menolong murid mengingat kembali pelajaran lepas.  Peringkat perkembangan ianya digunakan untuk mencungkil pemikiran  murid. Peringkat penutup ianya digunakan untuk menilai pencapaian objektif.

Objektif Penyoalan

  • Uji pengetahuan murid
  • Rangsang pemikiran
  • Menarik perhahtian
  • Menilai keberkesanan
  • Membantu mengulangkaji pelajran
  • Menjalin hubungan guru murid
  • Memperkukuhkan kefahaman baru
  • Menimbulkan minat  dan perasaan ingin tahu
  • Memperkembangkan daya pemikiran
  • Melibatkan keaktiufafan dalam P & P
  • Menggalak murid berani  menyoal

Komponen-Komponen Kemahiran Penyoalan

Pembentukan soalan : Jelas, ringkas dan tepat
Fokus tunggal :  Soalan ditumpukan kepada satu idea dan konvergen
Fokus pelbagaian   : Soalan ditumpukan  lebih daripada satu  idea dan  divergen
Sebaran :  Soalan disebarkan kepada seluruh kelas.

Kemahiran  Pengukuhan

Digunakan apabila murid  memberi jawapan / reaksi yang betul dalam satu-satu aktiviti .  Pujian merupakan satu teknik pengukuhan tingkahlaku

Prinsip Pengukuhan
  • Berubah  dari  masa ke semasa
  • Diberi sebaik sahaja selesai menjawab
  • Elak komen negatif
  • Teknik pengukuhan sesuai dengan tahap pelajar
  • Diberi dengan ikhlas
 Kesan Kemahiran Pengukuhan
  • Membawa semangat ingin belajar
  • Meningkatkan murid bersifat cubajaya
  • Murid akan berubah kearah tingkah laku positif
  • Usaha murid dihargai
  • Wujudnya hubungan yang baik guru dan murid
 VARIASI  RANGSANGAN

Teknik mempelbagaikan kaedah penyampaian guru bertujuan menarik perhatian dan minat murid.  Meliputi kemahiran mengubah tingkah laku guru, mempelbagaikan aktiviti, menukar corak interaksi dan mempelbagaikan kaedah pengajaran

Kemahiran Penggunaan Papan Kapur

Suatu  kemahiran mengajar yang sering digunakan dalam bilik darjah.  Ia memerlukan kemahiran guru merancang dan menyusun  tulisan, nota dan gambar rajah.  Guru yang menguasai  kemahiran ini dengan baik, memudahkan murid membaca dan memahami dan dapat menarik minat pelajar.

  • Guru harus merancang penggunaannya lebih awal
  • Cuba memahirkan diri dalam kemahiran melukis gambar rajah
  • Tulisan hendaklah jelas
  • Penggunaan kapur warna
  • Penggunaan aktiviti hendaklah dipelbagaikan
  • Penglibatan murid dalam penggunaan papan kapur
  • Masa yang sesuai
  
Kemahiran Penutup

Penutup adalah bahagian terakhir sesuatu pelajaran.  Aktiviti rumusan, pengukuhan dan penilaian biasanya diadakan dalam bahagian ini.  Guru menggunakan bahagian ini untuk membantu  murid-murid mengukuhkan konsep atau kemahiran baru yang  dipelajari dengan merumuskan isi-isi penting  atau memberi aktiviti  susulan.  Guru juga boleh menggunakan bahagian penutup ini untuk menilai  pencapaian objektif serta  aktiviti  pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan.  Hasil penilaian ini akan digunakan untuk membuat pengubahsuaian  terhadap pelajaran berikutnya.

Terdapat dua jenis penutup  

Kognitif  - bertujuan mengukuhkan isi dan kemahiran yang dipelajari
                Caranya:-    buat rumusan / kesimpulan
                                    Beri kerja bertulis/ latihan / lembaran kerja
                                    Beri aktiviti pengayaan
                                    Penyoalan isi-isi penting 
                       
Sosial - bertujuan memberi satu perasaan pencapaian supaya mereka ingin terus belajar atau aplikasi apa yang dipelajari dalam kehidupan harian.
               Caranya -  menggunakan teknik peneguhan atau tugas lanjutan.

Prinsip-prinsip
  • Pastikan sesuai dengan  objektif, isi dan kemahiran yang baru dipelajari
  • Aktiviti rumusan, pengukuhan dan susulan  perlu dirancang dengan teliti
  • Sediakan juga penutup sosial  di samping penutup  kognitif
  • Aktiviti penilaian juga boleh diadakan di peringkat penutup

No comments:

Post a Comment