Friday 13 May 2016

Pembinaan item Pendidikan Islam

PANDUAN PENGGUBALAN ITEM UJIAN

Objektif

Penggubal perlu mengetahui falsafah dan objektif penilaian secara keseluruhan selain memahami dengan jelas objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan soalan yang hendak digubal.

Sukatan Pelajaran, Format dan JPU:

Soalan yang digubal mestilah berdasarkan sukatan pelajaran, format dan JPU bagi mata pelajaran yang berkaitan. Tujuannya ialah supaya kertas soalan yang dihasilkan mempunyai keesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi.

 Kata kerja

Gunakan kata kerja yang menepati aras taksonomi seperti telah diterangkan di atas.

Bahasa:
a.    Gunakan bahasa yang mudah difahami iaitu jelas dan tepat dari segi kehendak soalan.
b.    Pastikan penggunaa  tatabahasa dan struktur ayat yang betul.
c.    Tinggalkan perkataan/ayat yang kabur dan mengelirukan
d. Hanya istilah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja yang diberi keutamaan. Sekiranya terdapat istilah lain, pastikan ia diguna pakai oleh Kementerian Pendidikan.
      Contoh:  inferens.
e.    Tandakan istilah bahasa asing yang digunakan dengan pembuka kata dan penutup kata  ‘……….’:

       Contoh:  ‘ Idgham’.


Jenis-jenis soalan:

Penulisan item memerlukan pengetahuan dan kefahaman yang mendalam dalam pelbagai aspek seperti bentuk item, jenis item, aras item, penyusunan item, kelebihan dan kelemahan setiap jenis item ujian dan sebagainya. Guru haruslah memahami bagaimana untuk membentuk ujian yang bermutu tinggi. Ujian bermutu tinggi ialah ujian yang mengandungi semua ciri ujian iaitu kesahan, kebolehpercayaan, keobjektifan, kebolehtadbiran dan kemudahtafsiran. Langkah-langkah berikut perlu diambil kira oleh guru untuk memastikan ujian yang itu bermutu tinggi:

i.       Item-item ujian hendaklah disediakan berdasarkan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) mengikut kepada tujuannya
ii.      Bilangan item hendklah diberikan secara berpatutan, mengikut masa ujian yang diperuntukkan
iii.         Proses pengujian hendaklah dijalankan secara teratur dan kemas
iv.        kertas jawapan hendaklah diperiksa secara objektif, mengikut skema pemarkahan yang baik.
v.         Keputusan ujian hendaklah mudah ditafsirkan mengikut suatu sistem penilaian yang berkesan.

  Pemilihan bentuk ujian juga adalah penting. Ujian sama ada objektif atau struktur, kedua-duanya memerlukan peringkat kebolehan yang sama jika ditadbirkan dengan baik boleh menghasilkan keputusan yang sah dan boleh dipercayai.

  UJIAN OBJEKTIF

 Didapati lebih sesuai menguji kebolehan calon di aras kognitif yang rendah iaitu pengetahuan, kefahaman dan aplikasi. Walaubagaimana pun kajian menunjukkan jika soalan objektif digubal dengan teliti boleh juga menguji kebolehan calon di aras kognitif tinggi.
Jawapan item jenis ini mempunyai keobjektifan yang paling tinggi kerana jawapan dapat diperiksa secara mudah dan tepat oleh pemeriksa yang berlainan. Menurut Gronlund (1993), pelbagai jenis item objektif boleh didapati tetapi setiap satunya mempunyai satu ciri yang serupa, iaitu ia menghidangkan tugasan (task) yang terkawal dan membataskan gerakbalas (respon) yang dibuat oleh calon. Oleh itu sistem pemarkahannya adalah tetap. Tidak ada kebebasan diberikan kepada pemeriksa bagi membuat pertimbangan atau keputusan sendiri tentang jawapan yang dikemukakan oleh murid.

Ciri penting dalam item ujian objektif ialah setiap item hanya menumpukan satu perkara dalam pengetahuan atau kemahiran. Jawapannya adalah spesifik dan tidak menguji banyak perkara sekaligus.

 JENIS-JENIS ITEM OBJEKTIF

Terdapat dua jenis/kumpulan item/soalan yang biasa digunakan dalam ujian objektif. Satu kumpulan item yang memerlukan sumbangan jawapan pendek daripada calon (item respons bebas), manakala kumpulan kedua memerlukan calon membuat pilihan daripada beberapa pilihan jawapannyang disediakan (item respons tetap).

Kumpulan pertama: Jenis item respons bebas

Jenis item
Contoh
1.  Item jawapan pendek

Siapakah nama datuk nabi Muhammad s.a.w.?  _____________________________

2.  Item melengkapkan ayat
Peristiwa Nabi s.a.w. dibawa berjalan malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa terus ke Sidratul Muntaha dinamakan peristiwa ______________________________

3.  Item perkaitan
Tuliskan tempoh penyusuan Nabi s.a.w. dengan wanita-wanita berikut:
Ibu Khadijah:...................................................
Suwaibah al-Aslamiyyah:................................
Halimah as-Sa’adiyyah:..................................


Kumpulan kedua: Jenis item rspons tetap

Jenis item
Contoh

1.  Item betul/salah

Pahala sembahyang berjemaah adalah 27 kali ganda daripada sembahyang bersendirian.                    ( Betul/salah )

2.  Item padanan

Suaikan perkara-perkara berikut:
    Anjing dan babi                    najis mughallazah
    Muntah                                 najis mukhaffafah
    Air kencing                           najis mutawassitah

3.  Item pengelasan

·                     Tuliskan nombor pada ruang jawapan.
·                               A                                 B                    Jawapan
·                     1.Niat                                Rukun                ...............
·                     2.Masuk waktu                 Sunat                 ...............
·                     3.Mengelap air                 Makruh               ............... 
·                     4.Berkumur-kumur           Batal                   ...............
·                     5.Bercakap-cakap            Syarat sah         ...............

4.  Item aneka pilihan
     - satu jawapan salah
     - satu jawapan betul
     - satu jawapan terbaik
     - jenis negatif
     - ayat KECUALI
     - item cantuman

Pembukaan kota Makkah berlaku pada tahun ke berapa hijrah?

A   3 H
B   5 H
C   8 H
D   10H


5.5.2    Panduan menulis pokok soalan dan Distraktor (Pengganggu) bagi soalan aneka pilihan.

a)    Pati masalah hendaklah dalam pokok soalan. Calon sepatutnya dapat mengetahui apa yang dikehendaki oleh soalan tanpa membaca pilihan.
b)    Pokok soalan hendaklah khusus boleh menguji kefahaman calon tentang sesuatu perkara dengan cara menggunakan tugasan.
c)    Pokok soalan hendaklah dinyatakan secara mudah. Buangkan perkataan-perkataan berlebihan dan kurang berfungsi.
d)    Memulakan pokok soalan dengan "mengapa" dan "bagaimana" lebih baik daripada soalan "siapa" dan "bila". Soalan awal ini lebih mudah diikuti dengan soalan sukar dan lebih tinggi peringkatnya.
e)    Kurangkan pokok soalan yang berbentuk negatif kerana keadaan begini mungkin menimbulkan kekeliruan.
f)     Elakkan mengambil petikan secara langsung daripada buku teks dan nota.
g)    Bilangan soalan objektif hendaklah sesuai dengan masa yang diberi.
h)    Pastikan tiap-tiap soalan adalah bebas daripada soalan yang lain.
i)      Gunakan bentuk soalan objektif yang sesuai. Jika hendak mengukur ketepatan fakta boleh gunakan bentuk Betul-Salah dan jika hendak mengukur fakta yang homogen boleh gunakan bentuk padanan.


Panduan menulis distraktor

a)    Semua distraktor hendaklah selaras dengan pokok soalan sama ada dari segi tata bahasa atau perkara
b)    Bagi soalan yang berkaitan dengan pengiraan tiap-tiap distraktor hendaklah dicuba terlebih dahulu.
c)    Distraktor hendaklah munasabah dan homogen. Keadaan ini memaksa calon meneliti dan memikirkan semua distraktor.
d)    Gunakan bilangan distraktor yang sesuai.
e)    Pastikan hanya terdapat SATU sahaja jawapan yang betul atau yang paling tepat.
f)     Untuk membentuk soalan mengukur proses mental tinggi hendaklah soalan yang berbeza daripada yang diajar dalam kelas.
g)    Pelbagai aras kesukaran soalan.
h)    Kurangkan penggunaan pilihan "semua di atas" atau "bukan semua di atas" sebagai salah satu daripada distraktor. Soalan cantuman boleh mengatasi masalah ini.


 KELEBIHAN DAN KELEMAHAN ITEM OBJEKTIF         

            Kelebihan item objektif:

  1. Mempunyai ciri keobjektifan yang tinggi kerana kertas jawapan mudah diperiksa dengan tepat dan mdah oleh sesiapa sahaja.
  2. Banyak topik, bab atau unit boleh dijadikan soalan untuk diuji. Liputan lebih besar dan mempunyai kbolehpercayaan yang tinggi.
  3. Ia boleh menguji isi kandungan dalam kebanyakan aras kesukaran domain kognitif.
  4. Mudah ditadbir.
  5. Mudah menyediakan jadual spesifikasi kerana setiap soalan menguji topik, bab atau unit yang khusus.

Kelemahan item objektif:

1.    Banyak masa dan tenaga untuk menghasilkan soalan ujian objektif yang bermutu tinggi.
2.    Tidak sesuai untuk mengukur aras kesuakran domain kognitif yang lebih tinggi seperti analisis, sintesis dan penilaian.
3.    Naan bahasa.Ia menggalakkan calon meneka jawapan yang sedia ada.
4.    Ia tidak sesuai untuk digunakan untuk mengesan kelemahan dalam penggunaan bahasa.
5.    Ia mungkin mempunyai ciri kesahan yang rendah jika ada calon ysng menggunakan teknik menolak gerak balas yang dianggap salah tanpa menggunakan sepenuhnya kemahiran berfikir.


  ITEM SUBJEKTIF

            Ujian ini ditakrifkan sebagai ujian berbentuk esei di mana calon berpeluang memberi gerak balas dalam tulisan dengan menggunakan perkataan sendiri sama ada dalam satu ayat, beberpa ayat, satu perenggan atau beberapa perenggan berbentuk karangan  yang lengkap dan menyeluruh.

 Jenis-jenis soalan subjektif

a)         Soalan jenis gerak balas terhad.

Soalan yang menentukan bentuk dan batasan kandungan gerak balas calon. Gerak balas yang dikehendaki adalah secara ringkas mungkin dalam bentuk satu frasa atau satu ayat. Kata lazim yang digunakan ialah:
              i.      Berikan                                        ii.    Apakah
      iii.  Bilakah                                        iv.    Nyatakan
      v.  Senaraikan

Contoh:
1.  Apakah yang dimaksudkan dengan najis mukhaffafah.
2.  Senaraikan syarat-syarat sah tayammum.


b)      Soalan jenis gerak balas bebas.

Jenis ini melibatkan jenis perbicaraan. Ia memberi peluang calon menjawab secara bebas dengan menghuraikan idea atau pendapatnya secara bertulis dalam satu atau beberapa perenggan berbentuk karangan.  Soalan ini sangat sesuai digunakan untuk mengukur proses pemikiran kreatif dan kritis, daya pemikiran analitikal, inferensi, keaslian idea, induksi dan imaginasi yang lebih tinggi iaitu aras analisis, sintesis dan penilaian.

Kata dasar yang digunakan ialah:
              i.      Terangkan
             ii.      Bezakan
            iii.      Bincangkan
           iv.      Rancangkan
            v.      Huraikan

Contoh:

1.  Bezakan antara ujian objektif dengan ujian subjektif.
2.  Bincangkan kesan-kesan hijrah kepada individu, masyarakat  dan perkembangan agama Islam.



 KELEBIHAN DAN KELEMAHAN ITEM SUBJEKTIF

            Kelebihan item subjektif:

1.    Soalan mudah digubal dan cepat disediakan.
2.    Sesuai untuk menguji semua aras kesukaran dalam kognitif.
3.    Sesuai untuk menguji kemahiran calon menulis, menyusun dan mengintegrasikan idea-idea.
4.    Sesuai untuk menguji kemahiran berbahasa.
5.    Menggalakkan calon berfikir untuk mencari jawapan (bukan meneka jawapan).
6.    Mudah untuk mengesan kesalahan dan kelemahan calon.


Kelemahan item subjektif:

1.    Nilai kebolehpercayaan soalan adalan rendah kerana soalan yang hendak diuji adalah terhad sedangkan bidang yang hendak diuji adalah menyeluruh.
2.    Calon boleh meramal soalan yang hendak diuji memandangkan bilangan soalan adalah terhad.
3.    Soalan subjektif  yang kecil bilangannya adalah kurang sesuai untuk penilaian sumatif.
4.    Ia kurang sesuai digunakan untuk penilai pencaqpaian calon dalam bidang kognitif terutama calon yang menghadapi penguasaan bahasa.
5.    Ciri keobjektifan soalan mungkin rendah kerana kelainan pemeriksa.
6.    Memeriksa kertas soalan subjektif memerluka tenaga dan masa yang lebih.
7.    Skema pemarkahan adalah sukar ditentulan kerna bukan mudah bagi penggubal soalan  menentukan jumlah skor untuk isi penting dan kurang penting.
8.    Menghadapi kesukaran untuk mengira indeks diskriminasi kerana setiap soalan mempunyai markah yang berbeza-beza dan berkait dengan soalan lain.


SKEMA PEMARKAHAN

Bagi soalan subjektif, adalah penting suatu skema pemarkahan disediakan supaya pemeriksa boleh memberi markah dengan tepat atau hampir tepat dengan skema pemarkahan. Dengan adanya skema pemarkahan ini, pengaruh unsur-unsur subjektif dapat dikurangkan. Hal ini dapat meninggikan ciri keobjektifan serta kebolehpercayaan dalam ujian subjektif yang akan ditadbirkan.

Cara menyediakan skema pemarkahan
a.   Cara analitik
b.   Cara holistik

a)  Cara analitik:

Dengan cara ini, contoh jawapan disediakan bagi setiap soalan. Pada umumnya, unsur-unsur penting dalam pemarkahan caqra analitik merangkumi nilai tara kandungan, pengelolaan dan proses. Misalnya, dalam ujian karangan, markah-markah boleh dicerakinkan seperti berikut:
                  Isi                     : 40
                  Ejaan               : 10
                  Bahasa            : 30
                  Gaya               : 10
                  Pengolahan     : 10
                 Jumlah :100
           
Untuk mengelak masalah kebolehpercayaan, semasa penyelarasan dibuat, penerangan lanjut perlu dilakukan dengan memperincikan apa yang dimaksudkan dengan isi, ejaan, bahasa, gaya, pengolahan dan sebagainya serta berapakah markah yang diberikan bagi tiap-tiap perkara yang diperincikan itu. Misalnya jika jika isi penting yang dikehendaki 8 dan markah penuhnya 40, maka markah penuh untuk setiap satu isi ialah 3 dan jika lengkap dengan contoh setiap satu isi ditambah 2 menjadikan jumlahnya 5.


Bagi mata pelajaran bukan bahasa, unsur-unsur yang penting dalam skema pemarkahan ialah isi kandungan. Oleh itu, markah-markah akan dicerakin kepada isi-isi penting.
 Contoh

Soalan:
Huraikan 5 keistimewaan sirah Rasulullah s.a.w.     (10m)

Skema pemarkahan:
  1. Merupakan sirah yang paling sahih mengenai kehidupan Rasulullah kerana ia diriwayatkan secara ilmiah yang paling kuat lagi tepat
  2. Kehidupan Nabi begitu jelas dalam setiap peringkat.
  3. Sirah Nabi merupakan lukisan sejarah seorang manusia biasa yang mendapat keistimewaan dan tidak diberi sifat-sifat ketuhanan.
  4. Sirah Nabi meliputi seluruh aspek kemanusiaan
  5. Satu-satunya sumber yang tepat dan benar menceritakan bukti kenabian dan kerasulan menggunakan metod iman dan akal

Satu isi  =  2 markah.
5 isi x 2 = 10 markah.


                 





No comments:

Post a Comment