Friday, 13 May 2016

Konsep Pentaksiran


Pengujian - satu alat atau prosedur bagi mengukur satu sampel tingkah laku. Ia terdiri daripada satu set terpiawai soalan-soalan atau tugasan yang berkehendakkan murid memberi satu set tindakbalas.

Calon ujian mungkin diminta menyelesaikan sesuatu masalah seperti mendefinisikan sesuatu perkataan, menyusun ayat-ayat al-Qur’an, menyatakan dalil atau hujjah sesuatu kenyataan dan sebagainya. Ujian merupakan alat pengukuran yang membenarkan kita mengukur pencapaian pelajar khususnya dalam bentuk markah. Pengujian menjelaskan tentang berapa baguskah prestasi individu tertentu.

Maksud terpiawai ialah semua prosedur telah dinyatakan awal dan semua pelajar dalam sesuatu kumpulan diuji dengan soalan atau masalah yang sama dan dengan cara yang sama di samping mendapat arahan yang sama. Skor atau markah yang diperolehi hasil daripada jawapan kepada sesuatu ujian adalah sebagai indikator numerik tentang prestasi pelajar. Markat dalam bentuk numerik diperlukan kerana ketepatannya selain analisis boleh dilaksanakan dan ini akan membantu dalam membuat sesuatu keputusan.

Tujuan pengujian:
a)    Mengesan pencapaian hasil pembelajaran yang telah diperolehi.
b)    Mengesan kemajuan yang telah dicapai tentang pencapaian hasil-hasil pembelajaran yang lain.
c)    Mengesan masalah-masalah yang dihadapi oleh calon ujian.

Proses pengujian biasanya dimulakan dari peringkat persediaan soalan, kemudian peringkat pelaksanaan dan seterusnya peringkat pemeriksaan. Melalui proses pengujian guru dapat mengesan sejauh mana murid dapat menguasai satu-satu kemahiran yang telah dipelajari.

Proses pembelajaran murid tidak berakhir dengan menamatkan pelajaran oleh para guru sahaja, malah di akhir sesuatu ujian pihak guru seharusnya mengetahui sejauh mana sesuatu pelajaran itu telah diterima oleh pelajar mereka. Justeru, penilaian sangat penting dalam konteks pembelajaran.


Pengukuran - suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik untuk menentukan setakat manakah individu mempunyai ciri-ciri tertentu yang disukat dengan menggunakan alat.

Dalam pendidikan, pengukuran mengukur secara kuantitatif peringkat atau tahap pencapaian pembelajaran murid dan keberkesanan pengajaran guru. Pada lazimnya, guru menggunakan alat pengukuran  yang mungkin terdiri daripada ujian, soal selidik, senarai semak, inventori atau sesuatu skala. Pengukuran adalah terhad kepada huraian kuantitatif dan tidak termasuk huraian kualitatif atau  membuat  keputusan. Ia tidak bersifat mutlak, bergantung kepada keobjektifan, kesahan dan kebolehpercayaan alat ukur.

Fungsi pengukuran :
a)    Mengesan hasil-hasil pembelajaran yang telah dicapai.
b)    Mengesan jenis-jenis kemahiran yang diperolehi.
c)    Mengesan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai dalam aspek-aspek pembelajaran yang lain.
d)    Mengesan  jenis-jenis masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid-murid
e)    Bagi mendapatkan maklumat untuk :

              i.        Bimbingan.
              ii.      Kecekapan guru.
              iii.    Rekod prestasi dan profil murid, khususnya sebagai maklum balas kepada murid dan ibu bapa.

Pengukuran dalam bidang pendidikan biasanya dijalankan dalam dua tahap. Tahap-tahap ini adalah seperti berikut (Sharifah Alwiah Alsagoff, 1986):

a)    Menempatkan pangkatan murid mengikut pencapaian mereka seperti memilih 10 orang murid yang terbaik daripada satu darjah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Untuk ini, guru memerlukan alat pengukuran yang dapat membeza dan menempatkan kedudukan murid dari segi kebolehan Pendidikan Islam. Untuk pengukuran di tahap ini, guru tidak perlu mengetahui sebanyak mana pengetahuan Pendidikan Islam bagi setiap 10 orang murid terbaik itu atau perbezaan kebolehan Pendidikan Islam bagi 10 orang murid yang terpilih berbanding dengan murid-murid lain. Skala yang digunakan di tahap ini ialah skala urutan sahaja (skala ordinal).

b) Di tahap kedua, khususnya untuk kegunaan analisa perangkaan. Pengukuran jenis ini menggunakan skala selang. Guru harus menyediakan ujian yang memberi unit markah yang sama besarnya (seperti 100% dan di tahap 1% adalah sama berat nilainya). Dari maklumat seperti ini, kesemua murid bukan sahaja dapat diberi pangkatan, malahan perbezaan antara murid dapat dikira.

Ciri-ciri Penting Pengukuran

Berikut adalah ciri-ciri penting pengukuran:

a)     Pengukuran tidak melibatkan proses menilai (seperti sesuatu itu dihargai, dianggap baik, buruk, memadai dan sebagainya). Apabila guru mengukur kebolehan murid contohnya dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, yang dinyatakan ialah sebanyak mana atau setinggi mana pengetahuan Pendidikan yang telah dicapai oleh murid tersebut. Kebolehan atau pengetahuan murid tidak dikaitkan dengan nilai baik, lemah dan sebagainya. Pertimbangan tentang nilai seperti ini dibuat dalam proses penilaian.

b)    Pengukuran membandingkan markah seseorang murid dengan satu skala atau dengan satu standard. Dalam hampir semua pengukuran di bidang pendidikan atau psikologi, skala atau standard yang digunakan ialah pencapaian murid lain. Dengan kata lain, pengukuran dalam pendidikan adalah untuk membandingkan pencapaian semua murid atau tentang perbezaan antara murid. Skala atau standard yang mutlak dan sentiasa tetap tidak dapat digunakan kerana pengukuran dalam pendidikan membandingkan seseorang murid dengan rakan sebayanya dan memberi interpretasi pencapaian murid tersebut berdasarkan pencapaian semua rakan sebayanya (Sharifah Alwiah Alsagoff, 1986).

Penilaian

Penilaian ditakrifkan sebagai proses sistematik yang digunakan untuk mengumpul, menganalisis dan menginterpretasi maklumat perubahan tingkahlaku berdasarkan data kuantitatif dan kualitatif. Ia melibatkan proses  menentu, mendapat dan memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan selanjutnya. Dalam konteks pendidikan, penilaian adalah suatu sistem atau proses yang meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk membuat analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil tindakan yang sewajarnya, seperti merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan.

Proses penilaian melibatkan melibatkan tiga langkah berikut:
a)    Mendapatkan maklumat melalui cara mengukur.
b)    Menetapkan suatu kriteria bagi pengukuran.
c)    Membuat sesuatu pentaksiran atau pertimbangan tentang hasil pengukuran.

Prosedur penilaian mengandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisaan dan penyimpulan. Berikut adalah lima prosedur penilaian secara ringkas:
a)    Peringkat persediaan ujian.
b)    Peringkat pentadbiran ujian.
c)    Peringkat pemeriksaan dan pengukuran.
d)    Peringkat analisis.
e)    Peringkat interpretasi dan tindakan.

Tujuan Penilaian

Penilaian dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran tentang kemajuan pembelajaran murid di samping memberi maklum balas tentang keberkesanan pengajaran guru.  

Melalui penilaian, guru dapat :   
a)    mengesan perkembangan murid secara  menyeluruh;
b)    mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid  dalam pembelajaran lebih awal dari semasa ke semasa;
c)    mengetahui keberkesanan pengajarannya;
d)    merancang dan mengubahsuai pengajarannya; dan
e)    menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta-merta.

Penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya. Di samping itu kekuatan murid yang telah menguasai pula diperkukuh dan diperkaya. Melalui aktiviti tindakan susulan yang berkesan guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian di peringkat pusat.

Ciri-Ciri Utama Ujian

Sebagai pelajar, pernahkah anda merungut bahawa anda dinilai secara tidak adil? Jika ya, bagaimana?  Adakah guru berkenaan menilai respon anda secara tidak konsisten?  Adakah terdapat pelajar dinilai di bawah keadaan yang sesuai berbandingkan yang lain?  Adakah penilaian terlalu memakan masa sehingga pada suatu ketika anda tidak mengambil berat tentang prestasi anda?

Dalam pengalaman anda, apakah ciri-ciri yang anda fikir perlu untuk satu alat penilaian bilik darjah yang baik?  Untuk membina ujian yang baik, setiap guru harus memahami ciri- ciri penting suatu ujian yang baik.  Ciri ciri ini termasuk:

·         Kesahan
·         Kebolehpercayaan
·         Objektiviti
·         Kemudahtadbiran
·         Kemudahtafsiran
  
(a)          Kesahan

Apakah yang anda faham dengan istilah “kesahan”?  Kesahan merujuk kepada takat mana suatu ujian boleh mengukur apa yang sepatut diukur, iaitu, takat mana ujian itu memenuhi objektifnya. Kita akan tanya soalan, “Adakah ujian itu mengukur apa yang ia sepatutnya diukur?”

Apakah sebenarnya kesahan?  Pertama, ia merujuk kepada kesesuaian interpretasi keputusan sesuatu ujian atau alat penilaian untuk satu-satu kumpulan individu, bukan alat itu sendiri.  Kedua, ia merupakan  suatu  anggaran darjah. Ia paling sesuai dianggap dalam bentuk kategori-kategori yang menentukan darjah, seperti  kesahan tinggi, kesahan sederhana dan kesahan rendah. Ketiga, ia  spesifik terhadap kegunaan tertentu atau interpretasi. Tiada ujian yang sah untuk semua tujuan. Sebagai contoh, keputusan-keputusan  suatu ujian matematik mungkin mempunyai darjah kesahan yang tinggi dalam menentukan kemahiran komputer,  satu darjah  kesahan yang rendah untuk penaakulan matematik dan darjah kesahan yang sederhana untuk meramalkan kejayaan dalam seni atau muzik.

Jenis Jenis Kesahan Ujian

Pada asasnya, terdapat lima jenis kesahan ujian. Antara  berikut adalah:
(i)       Kesahan muka
(ii)      Kesahan kandungan
(iii)     Kesahan ramalan
(iv)     Kesahan serentak
(v)      Kesahan konstruk

(i)            Kesahan Muka

Kesahan muka merujuk kepada  apa yang kerap diperlihatkan atau digunakan  sebagai bentuk pengujian. Untuk mempastikan kesahan muka, item-item ujian harus disemak oleh pakar dalam bidang yang diuji. Satu format ujian yang biasa   dan bentuk serupa digunakan.

(ii)     Kesahan Kandungan

Ini adalah proses menentukan setakat  mana satu set tugasan ujian menyediakan sampel relevan dan mewakili sampel domin tugasan yang mana interpretasi skor ujian dibuat. Bagaimana  ini boleh dilakukan?
           
Dalam ujian bilik darjah, domain pencapaian tugasan-tugasan ditentukan oleh pengajaran dan pembentukan ujian melibatkan (a)  menentukan  dengan jelas domin item/tugasan-tugasan yang relevan  untuk diuji dan (b) membina atau memilih satu set yang mewakili  item/ tugasan ujian.  Oleh itu, untuk memperoleh satu ukuran hasil pembelajaran yang sah, kita beralih dari pengajaran (apa yang telah diajar) kepada domin pencapaian (apa yang patut diuji) dan akhirnya  ujian itu sendiri ( satu sampel  mewakili  item/tugasan relevan).

Justeru, kesahan kandungan berlaku semasa pembentukan ujian. Ia  dapat dicapai dengan  penyediaan  spesifikasi ujian yang terperinci dan kemudian membina satu ujian yang menepati spesifikasi tersebut. Adakah anda setuju?

(ii)          Kesahan Ramalan

Apakah kesahan ramalan? Bolehkah anda mengingat kembali jika skor ssuatu ujian yang dibina oleh anda dapat meramal pencapaian atau prestasi pelajar pada masa hadapan?  Satu ujian yang mempunyai kesahan ramalan boleh meramal   watak atau perubahan seseorang pada masa hadapan. Sebagai contoh, seorang pelajar matrikulasi yang berjaya dalam peperiksaan SPM/STPM akan juga berjaya dalam peperiksaan matrikulasinya nanti.

Dalam cara ini, ujian yang mempunyai kesahan ramalan boleh digunakan untuk memilih calon untuk sesuatu jawatan dan meramal prestasi akademik pelajar masa hadapan atau kejayaan dalam kerjaya mereka. Untuk memperoleh kesahan ramalan yang tinggi dalam suatu ujian, item-item harus benar-benar menguji kebolehan-kebolehan yang relevan kepada kemampuan, kemahiran atau kelayakan yang diperlukan dalam sesuatu bidang kerja masa hadapan.

(iv)      Kesahan Serentak

Apakah kesahan serentak?  Pernahkah anda menghadapi situasi di mana anda membina item-item ujian yang merangkumi aspek-aspek tertentu seperti terdapat dalam latihan harian pelajar, dan anda kemudian dapati bahawa pencapaian ujian mereka hampir serupa dengan latihan-latihan harian?  Jika keadaan sebegini, ujian tersebut boleh dikatakan sebagai mempunyai kesahan serentak yang tinggi. Mengapa? Ini kerana item-item ujian dapat mengesahkan pengukuran suatu ciri atau menunjukkan ketekalan dalam pengukuran.  Contoh lain termasuklah kesahan serentak yang tinggi untuk ujian Matematiks dan Sains tetapi kesahan serentak yang rendah untuk ujian Matematiks dan Bahasa Inggeris.

(v)    Kesahan Konstruk

Untuk memahami kesahan konstruk, anda harus terlebih dahulu memahami maksud konstruk. Satu konstruk didefinisikan sebagai kualiti psikologi yang menerangkan beberapa aspek tingkah laku.  Contoh-contoh konstruk termasuklah kreativiti, kecerdasan, motivasi, keikhlasan, ketabahan, keresahan, kebolehan penaakulan, pemahaman membaca dan watak.

Kesahan konstruk didefinisikan sebagai proses menentukan takat mana prestasi ujian seseorang pelajar boleh diinterpretasi berdasarkan satu atau lebih konstruk psikologikal.  Ia merupakan suatu darjah di mana seseorang boleh membuat inferens beberapa konstruk dalam suatu teori psikologikal daripada skor ujian.

Bilakah kesahan konstruk penting? Kesahan konstruk penting untuk ujian-ujian yang mengukur ciri-ciri (Konstruk) seperti kecerdasan, motivasi, keasertifan dan sebagainya. Sebagai contoh, seorang guru ingin membina satu ujian kertas dan pensel untuk mengukur kreativiti. Apabila dibina, ujian akan dianggap sebagai mempunyai kesahan konstruk jika skor ujian adalah berhubungkait dengan penghakiman yang dibuat berasaskan pemerhatian tingkah laku yang dikenal pasti sebagai kreatif. oleh teori psikologi. 

Jika keputusan ujian tidak mencerminkan konstruk yang diperlukan, maka ia bukan alat yang sah. Sebagai contoh, satu ujian yang dibina untuk mengukur motivasi intrinsik di kalangan pelajar-pelajar tidak dapat diterima sebagai sah jika item-item didapati tidak mengukur motivasi ektrinsik juga. 

Bolehkah anda beza kesemua jenis kesahan ujian? Ia penting untuk kita mengetahui bahawa setiap jenis kesahan mempunyai tujian tertentu dan terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi kesahan ujian. Apakah faktor-faktor ini?  Bolehkah anda menyenaraikan beberapa daripada faktor-faktor tersebut?

Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Kesahan Ujian

Antara beberapa faktor- faktor, termasuklah yang berikut:

  • Arahan yang kurang jelas;
  • Perbendaharaan kata dan struktur ayat sukar difahami;
  • Ambiguiti;
  • Masa yang diberikan tidak mencukupi;
  • Aras kesukaran item ujian tidak sesuai;
  • Item-item ujian tidak dibina dengan baik;
  • Bilangan item yang tidak mencukupi;
  • Susunan jawapan (item objektif) boleh diramalkan
  • Kekaburan pernyataan dalam item ujian menyumbang kepada salahtafsiran dan kekeliruan.
Adakah anda tahu tentang implikasi-implikasi kesahan ujian?  Kesahan ujian boleh menyediakan bukti konkrit untuk mempastikan takat di mana ujian-ujian boleh membekalkan data relevan untuk membuat keputusan masa hadapan berkait dengan tingkah laku-tingkah laku tertentu. Jika kesahan ujian rendah, ujian adalah tidak bermakna dan keputusan tidak mencerminkan kebolehan yang diuji.

(b)           Kebolehpercayaan

Apakah yang anda faham dengan kebolehpercayaan ujian? Untuk mendefinisikan kebolehpercayaan, kita harus tanya soalan ini.  Adakah ujian mengukur apa yang ia sepatutnya mengukur dengan tepat dan tekal? Ketekalan pengukuran adalah penting, iaitu bagaimana konsisten skor-skor ujian atau keputusan-keputusan penilaian antara satu pengukuran dengan yang lain.

Secara ringkas, kebolehpercayaan ujian dirujuk kepada ketekalan prestasi pelajar dalam dua ujian yang sama yang ditadbir pada masa yang berlainan. Sebagai contoh, seorang calon memperoleh 80 markah untuk ujian Matematik dan kemudian memperoleh markah yang sama apabila ujian yang sama ditadbirkan selepas seminggu. Dalam kes ini, ujian dikatakan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.

Mari kita memberi perhatian kepada sifat kebolehpercayaan. Pertama, kebolehpercayaan merujuk kepada keputusan yang diperolehi dengan satu instrumen penilaian, bukan kepada instrumen itu. Adalah sesuai untuk menyatakan bahawa kebolehpercayaan “skor ujian” atau “ pengukuran” daripada “ujian” atau “instrumen”  Kedua, satu anggaran kebolehpercayaan sentiasa merujuk kepada ketekalan tertentu. Skor-skor ujian boleh dipercayai pada tempoh-tempoh masa yang berlainan terhadap sampel soalan yang berlainan, pelbagai pemeriksa dan sebagainya. Ketiga, kebolehpercayaan adalah satu keperluan tetapi bukan satu syarat yang cukup untuk kesahan. Satu ujian yang memberi keputusan yang tidak konsisten tidak mungkin merupakan maklumat sah tentang prestasi yang diukur. Pada satu pihak yang lain, keputusan-keputusan ujian yang konsisten mungkin mengukur sesuatu yang salah atau digunakan dalam cara yang tidak sesuai. Akhirnya, kebolehpercayaan ujian mudah dipengaruhi oleh faktor- faktor seperti emosi, tempat ujian, situasi sekitar, kesihatan, masa dan keselamatan item ujian.

Kaedah-Kaedah menentukan kebolehpercayaan

Secara umumnya, terdapat empat cara, iaitu, 
  • Uji- Ulang uji  (test-retest)
  • Cara bentuk setara (equivalent forms method)
  • Cara bahagi dua (split half)
  • Cara Kuder-Richardson
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Kebolehpercayaan

Beberapa faktor yang mempengaruhi kebolehpercayaan termasuk yang berikut:

  • Panjang ujian.  Semakin panjang ujian semakin boleh dipercayai ujian tersebut. Ini kerana ujian yang lebih panjang akan membekalkan satu sampel soalan yang mencukupi tentang tingkah laku yang diukur, dan skor adalah sesuai dan kurang diseleweng oleh faktor-faktor peluang seperti meneka.  Tambahan pula, ujian yang lebih panjang cenderong untuk mengurangkan pengaruh tekaan. Dalam membina ujian, adalah penting untuk mengingati tentang pengaruh penjang ujian. Maka, ingat, jika ujian pendek diperlukan disebabkan had masa atau umur pelajar, anda harus adakah ujian yang lebih kerap.
  • Sebaran skor. Semakin tersebar skor, semakin tinggi anggaran kebolehpercayaan.  Apakah pandangan anda?
  • Kesukaran ujian. Ujian rujukan norma yang terlalu mudah atau terlalu sukar untuk kumpulan ahli yang mengambilnya berkecenderungan menghasilkan skor yang mempunyai kebolehpercayaan yang rendah.  Ini kerana kedua-dua ujian yang menghasilkan sebaran skor yang terhad. Untuk ujian yang mudah, skor-skor akan berada rapat sekali pada bahagian atas skala. Manakala, untuk ujian yang sukar, skor-skor berkelompok di bahagian bawah skala. Untuk kedua-dua ujian, perbezaan individu adalah kecil dan tidak boleh dipercayai.  Ujian bilik darjah yang direkabentuk untuk mengukur perbezaan di kalangan pelajar harus dibina agar skor purata adalah 50% betul dan bezantara skor dari hampir sifir kepada markah penuh. Bolehkah anda cuba dan ingatkan ini?
  • Keobjektifan ujian. Merujuk kepada takat mana skor-skor yang diperolehi memberi keputusan yang sama. Apabila item ujian objektif digunakan, skor yang dperolehi tidak dipengaruhi oleh penghakiman atau pendapat pemeriksa. Untuk ujian bilik darjah yang dibina oleh guru-guru, keobjektifan memainkan peranan penting. Dalam pengujian esei, ia bergantung kepada pemeriksa dan pemeriksa yang tidak konsisten akan mempengaruhi kebolehpercayaan pengukuran.
(c)          Keobjektifan 

Bolehkah anda menerangkan kefahaman anda tentang keobjektifan?  Satu ujian yang mempunyai keobjektifan yang tinggi merujuk kepada takat mana pemeriksa memberi markah yang sama kepada kertas jawapan ujian yang berlainan dengan jawapan –jawapan yang sama berdasarkan peraturan memberi markah. Jika keadaan sebegini, ujian tersebut dikatakan sebagai mempunyai keobjektifan yang tinggi.

Ujian objektif dikatakan mempunyai keobjektifan yang tinggi kerana pemeriksaan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor kemahiran dan emosi pemeriksa. Manakala, ujian subjektif mempunyai keobjektifan yang rendah kerana skor yang diberi mungkin akan berbeza daripada seorang pemeriksa dengan yang lain walau pun mereka diberi kertas jawapan yang sama.

Oleh yang demikian, bagaimanakah kita boleh cuba mempastikan keobjektifan dalam ujian subjektif?  Ini boleh dilakukan dengan menyedia dan membekalkan peraturan memberi markah untuk digunakan oleh semua pemeriksa bagi sesuatu ujian berkenaan. Tambahan pula, pemeriksa boleh dilatih dan moderasi pemarkahan dilaksanakan untuk mengurangkan perbezaan dalam skor yang diberikan oleh mereka.

(d)         Kebolehtadbiran

Apakah yang dimaksudkan dengan kebolehtadbiran sesuatu ujian?  Ia sebenarnya merujuk kepada pelaksanaan ujian-ujian dalam bilik darjah atau dewan peperiksaan dengan lancar. Ini bermaksud ujian yang ditadbir harus memenuhi syarat-syarat dan keperluan untuk pengujian. Dalam perkataan lain, ia harus praktikal dan boleh diurus dengan mudah. Adakah anda setuju? 

Faktor- Faktor yang mempengaruhi kebolehtadbiran

Apakah antara beberapa faktor yang mempengaruhi kebolehtadbiran? Ia merangkumi perkara-perkara berikut:

  • Mudah dalam pentadbiran. Ini bermaksud arahan yang jelas dan mudah serta tempoh masa ujian perlu diberi perhatian. Ia merangkumi penyediaan  dewan peperiksaan secara sistematik dan berkesan,  pengagihan kertas peperiksaan,  pengawasan  dan pengumpulan  kertas peperiksaan serta  kertas jawapan
  • Masa yang diperlukan untuk pentadbiran. Jika kita hendakkan pengukuran yang boleh dipercayai dalam bidang yang diliputi, kita perlu tingkatkan masa pengujian kerana kebolehpercayaan berkait secara langsung dengan panjangnya ujian.
  • Kos pengujian

(e)           Kemudahtafsiran

Adakah anda mempunyai idea tentang maksud kemudahtafsiran?  Kemudahtafsiran ujian merujuk kepada takat mana keputusan ujian diinterpretasikan agar ia memberi maklumat yang jelas berdasarkan objektif penilaian. Ini bermaksud bahawa keputusan ujian harus boleh dikumpul dengan mudah dan diinterpretasikan untuk memberi satu gambaran yang jelas tentang perkara-perkara berikut:

·         Pencapaian pelajar dalam kelas
·         Kekuatan dan kelemahan pembelajaran pelajar
·         Pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran
·         Kesesuaian strategi-strategi pengajaran dan bahan bantuan mengajar yang digunakan
·         Kesesuaian aras kesukaran item ujian

Secara mudahnya, ini bermaksud markah yang diperolehi dapat ditukar kepada data statistik seperti min, sisihan piawai dan skor piawai dengan mudah.  Barulah ujian dianggap sebagai mempunyai kebolehtafsiran yang tinggi atau kemudahtafsiran. Kejayaan atau kegagalan suatu program pengujian ditentukan oleh kegunaan pentafsiran daripada keputusan ujian.  Jika ia ditafsir dengan betul dan diaplikasikan secara berkesan, ia akan menyumbang ke arah keputusan-keputusan pendidikan yang bijak. Manakala, jika keputusan ujian ditafsir secara tidak tepat, ia kurang bernilai dan mungkin menjejas individu-individu atau kumpulan-kumpulan tertentu.

Perbezaan antara Pengujian, Pengukuran dan Penilaian

Perbezaan antara pengujian, pengukuran dan penilaian boleh dilihat dari pelbagai aspek seperti berikut:

Perkara
Pengujian
Pengukuran
Penilaian
Takrif
Teknik mengukur perubahan tingkah laku individu
Proses memperoleh nilai kuantitatif bagi menentukan pencapaian pembelajaran individu.
Proses mentaksir perubahan tingkah laku berdasarkan data kuantitatif dan kualitatif.

Fungsi
Mengesan hasil pembelajaran yang diperoleh
Mengesan hasil pembelajaran, jenis-jenis kemahiran dan kemajuan
Membuat pentaksiran tentang pencapaian murid untuk tujuan pemulihan atau peggredan.

Masa diberi
Kesemua pengujian, pengukuran dan penilaian dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas pengajaran.
Cara

Dijalankan melalui item-item (soalan-soalan) ujian
Dijalankan melalui berbagai cara memperoleh data kuantitatif
Dijalankan melalui ujian dan alat-alat lain seperti soal selidik, rekod anekdot dan senarai semak.
Fokus
Pengujian dan pengukuran difokuskan kepada satu-satu unit pembelajaran atau beberapa unit pembelajaran.
Berdasarkan kepada maklumat pengujian dan data kualitatif dari pemerhatian, soal selidik atau senarai semak.
Hasil

Menunjukkan pencapaian murid dalam satu atau beberapa unit pembelajaran.
Menunjukkan pencapaian dalam segmen pelajaran yang diukur
Menunjukkan pencapaian dan tingkah laku murid secara keseluruhan.
 



No comments:

Post a Comment