Monday 12 May 2014

Pelaksanaan Program Pendidikan Islam Enam Bulan Pertama Tahun Satu

Latar belakang Pelaksanaan Program Pendidikan Islam Enam Bulan

Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam KBSR dan KBSM pada 21 Januari 1994 telah bersetuju supaya murid tahun satu sekolah kebangsaan diberi penekanan Pendidikan al-Quran dengan menggunakan kaedah Iqra` dalam jangka masa 6 bulan mulai sesi persekolahan 1994/1995.  Kementerian Pendidikan Malaysia melalui surat siaran KP.5206/3/60 Jld.3 (4) yang dikeluarkan pada 1 Mac 1994 telah memaklumkan pelaksanaan kaedah Iqra` dalam tilawah al-Quran di sekolah.  Dalam jangka masa 6 bulan tersebut murid-murid hendaklah dipastikan dapat menguasai bacaan al-Quran.

Pada tahun 2003 sedikit perubahan dari segi pelaksanaan Jawi dan al-Quran KBSR dan KBSM dilakukan.  Mengikut surat siaran (JAPIM) 5206/4/4.1 Jld. 2 (4) bertarikh 3 Januari 2003 telah memaklumkan beberapa mekanisma baru perlaksanaan tersebut antaranya:

  • Murid tahun satu diberi tumpuan khusus dalam 6 bulan pertama persekolahan.  Guru hendaklah memberi tumpuan khusus kepada penguasaan kemahiran menulis dan membaca Jawi dan al-Quran.  Selepas 6 bulan guru boleh meneruskan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam  berpandukan Huraian Sukatan Pelajaran Tahun Satu yang disediakan oleh Kementerian  Pendidikan.
  •  Dalam tempoh ini juga perkara-perkara yang berkaitan Rukun Iman, Rukun Islam dan Solat hendaklah diajar seperti biasa manakala bahagian Adab dan Akhlak Islamiah diajar secara merentas.
  • Selepas 6 bulan pertama persekolahan guru hendaklah melaksanakan pemulihan dan pengayaan secara berterusan.
  • Untuk murid tahun 2 dan seterusnya serta sekolah menengah aktiviti pemulihan dan pengayaan Jawi dan al-Quran dibuat secara berterusan di semua peringkat rendah dan menengah.
  •  Tulisan Jawi digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam  dan ujian serta peperiksaan Pendidikan Islam di peringkat sekolah.
  •  Aktiviti-aktiviti khusus, latih tubi dan kerja rumah serta sebarang bentuk pertandingan dan sebagainya melibatkan tulisan jawi di peringkat bilik darjah dan sekolah dilaksanakan bagi memperkukuh dan meningkatkan penguasaan kemahiran tersebut.

 Objektif

  • Meningkatkan kualiti Pendidikan Islam dengan mempastikan setiap murid menguasai kemahiran al-Quran dan Jawi terutama di peringkat awal persekolahan.
  •  Murid-murid dapat menguasai bacaan al-Quran dalam masa 6 bulan pertama tahun satu
  • Penguasaan bacaan al-Quran melalui kaedah Iqra`, sekaligus membantu murid-murid dapat membaca dan menulis jawi dengan fasih dan betul.
  • Murid-murid tidak akan rasa dibebani dengan sukatan pelajaran yang berat di peringkat ini.
  • Program ini disertakan dengan program transisi Pendidikan Islam agar murid-murid tidak menghadapi kejutan budaya
  • Panduan ini diharapkan dapat membantu guru merancang pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam untuk 6 bulan pertama tahun satu mengikut surat siaran yang diedarkan.
Kumpulan Sasaran dan Waktu Pembelajaran

  • Kumpulan sasaran ialah semua murid tahun satu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan bermula tahun 2003.
 Masa yang diperuntukkan dalam waktu pembelajaran seminggu adalah seperti berikut:
i.          Asas Ulum Syariah ialah 30 minit (1 waktu)
            ii.         Pelajaran Jawi ialah 60 minit (2waktu)
            iii.        Asuhan Tilawah al-Quran (Iqra`) ialah 90 minit (3waktu)

  • Pelajaran Jawi diajar dengan menggunakan Buku Sayang jawi 1, Buku Sayang Jawi 2 dan Buku Kemahiran Menulis yang disusun mengikut Sukatan Pelajaran Jawi KBSR.
 Langkah Pengajaran

  • Guru mengenalpasti murid di dalam sesuatu kelas dari segi kuantiti, kualiti pencapaian murid dan latar belakang keluarga secara rambang.
  •  Guru hendaklah merangka strategi pengajaran dengan mengenalpasti satu kaedah yang akan digunakan seumpama kaedah berkumpulan atau individu.  Jika sekiranya bilangan murid adalah kecil, adalah lebih berkesan digunakan pendekatan pengajaran secara individu.  Tetapi sebaliknya jika murid melebihi kuantiti yang sewajarnya guru boleh mengenalpasti murid yang mahir untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran
  • Pengajaran dan pembelajaran boleh berasaskan taburan pengajaran dan pembelajaran yang dicadangkan dalam panduan ini.
  • Penilaian pertama terhadap pencapaian murid hendaklah dilakukan selepas tiga bulan pengajaran dijalankan.  Penilaian ini hendaklah menggunakan borang penilaian yang dilampirkan.
  • Guru mesti membuat analisis pencapaian murid dan seterusnya merangka strategi sehingga tempoh 6 bulan berakhir.
  •  Jika terdapat murid yang tidak mencapai tahap yang diharapkan dalam tempoh tersebut, pemulihan mesti dijalankan agar tidak ada pelajar yang cicir.
  • Selepas tamat tempoh 6 bulan satu lagi bentuk penilaian keseluruhan hendaklah dibuat bagi mengenalpasti semua pelajar dapat membaca al-Quran dengan baik, membaca dan menulis jawi dengan betul dan fasih serta beradab.
Tindakan Susulan

  • Pemantauan berterusan Sektor Pendidikan Islam dan Moral negeri bagi memastikan program ini berjalan lancar dan dapat mencapai tahap kejayaan yang diharapkan. Pemantauan ini adalah bertujuan memberi bimbingan kepada guru-guru dan membuat penambahbaikan dari aspek pelaksanaan.
  •  Sektor Pendidikan Islam dan Moral Negeri juga dikehendaki menyediakan laporan lengkap yang menunjukkan prestasi guru dan murid serta kekangan-kekangan yang dihadapi semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Laporan tersebut hendaklah dihantar ke Bahagian Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral.
  • Guru mestilah menyediakan laporan lengkap prestasi pencapaian murid dalam Tilawah al-Quran, Pelajaran Jawi dan perkembangan lain. Contoh borang maklumat prestasi murid dilampirkan. Laporan tersebut hendaklah dihantar kepada Bahagian Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral dan salinan kepada Sektor Pendidikan Islam dan Moral Negeri.
Harapan


Mudah-mudahan usaha murni semua pihak termasuk guru akan membuahkan hasil yang diharapkan.  Kegigihan guru-guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran amat diharapkan. Malah kejayaan program ini banyak bergantung kepada semangat dan motivasi para guru yang berdedikasi.   Peranan Jurulatih Utama (JU) hendaklah distrategikan bagi memaksima penyaluran dan penyampaian maklumat kepada semua guru-guru Pendidikan Islam. Pemantauan JPN juga secara berterusan amat perlu bagi mengesani masalah-masalah semasa pelaksanaan dan berusaha untuk menanganinya secara berkesan..     

No comments:

Post a Comment