Tuesday 13 May 2014

KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN  DAN PEMBELAJARAN ASUHAN TILAWAH AL-QURAN

Definisi Kaedah

Satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik. Ia merupakan langkah-langkah atau peringkat-peringkat pengajaran yang tersusun rapi dan berurutan bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Dalam menerangkan sesuatu prosedur pengajaran dan pembelajaran guru boleh menggunakan kaedah yang sesuai terutama kaedah-kaedah yang dapat memenuhi keperluan murid. Perancangan prosedur tersebut boleh dilakukan dengan cara-cara seperti berikut:

  • Kenalpasti terlebih dahulu apa yang akan digunakan.
  • Tentukan bahan yang hendak disampaikan mengikut peruntukan masa.
  • Tetapkan langkah-langkah mengikut aktiviti yang diperkenalkan.
  • Susun langkah secara berperingkat
Definisi Teknik

Teknik merujuk kepada unit-unit kecil yang terkandung dalam sesuatu kaedah atau cara menjalankan pelbagai langkah dalam pengajaran.Ia merangkumi aktiviti, perlakuan dan kemahiran guru yang digunakan dalam pengajaran. Ia juga ditakrifkan sebagai kemahiran guru dalam mengelolakan kaedah dan cara menjalankan pelbagai langkah dalam aktiviti pengajaran. Ia memberi penekanan bagaimana menggunakan sumber-sumber pengajaran serta menimbang langkah-langkah pengajaran.

Dalam menjalankan apa sahaja kaedah / teknik prinsip-prinsip di bawah boleh dijadikan panduan:
  • Melibatkan murid secara aktif.
  • Menggalakkan pengalaman secara langsung.
  • Menekankan amalan dan penghayatan.
  • Mengambil kira kebolehan dan kemampuan murid.
  • Menyampaikan pengetahuan dan pengalaman secara bersepadu
Objektif Ayat Bacaan, Ayat Hafazan dan Ayat Kefahaman

Ayat Bacaan
Objektif pengajaran dan pembelajaran ayat bacaan dal;am bidang Asuhan Tilawah al-Quran supaya murid dapat menguasai kemahiran membaca sesuatu ayat atau surah al-Quran dengan betul, fasih dan bertajwid. 

Ayat Hafazan
Objektif pengajaran dan pembelajaran ayat hafazan pula ialah supaya murid dapat menghafaz surah-surah tertentu/ ayat-ayat terpilih dengan betul, fasih dan bertajwid untuk dibaca dalam solat dan ibadat harian.

Ayat Kefahaman
Objektif pengajaran dan pembelajaran ayat kefahaman ialah supaya murid dapat memahami maksud beberapa ayat-ayat atau surah terpilih dengan menghayati pengajarannya sebagai rujukan petunjuk Allah.

Objektif pengajaran dan pembelajran Asuhan Tilawah al-Quran  adalah bertujuan secara umumnya supaya murid dapat mengetahui adab membaca al-Quran dan mengamalkan tuntutan al-Quran dalam kehidupan seharian

Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Asuhan Tilawah al Qur’an (Ayat Tilawah / Bacaan)

Banyak kaedah yang boleh digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran Asuhan Tilawah al-Qur’an (ayat bacaan) ini. Di antaranya seperti yang ditunjukkan dalam grafik berikut:

Talaqqi

Dalam melaksanakan kaedah talaqqi ini, murid-murid dikehendaki mendengar pembacaan guru dengan teliti serta melihat pergerakan mulut guru. Kemudian secara beramai-ramai murid-murid membaca mengikut bacaan guru dan diteliti oleh guru sehingga guru berpuas hati.

Musyafahah

Kaedah musyafahah dilaksanakan dengan guru memberi contoh bacaan kepada seorang murid, kemudian murid itu mengikuti bacaan guru secara individu. Guru membaca dan kemudian seorang murid mengikuti bacaan guru.

Tikrar

Kaedah ini adalah serupa dengan kaedah latih-tubi. Guru memperdengarkan bacaan kepada murid berulang-kali supaya murid dapat menanggapi sebutan dan bacaan guru dengan baik. Murid pula berulang-kali mengulangi sebutan dan bacaan di bawah bimbingan guru dengan betul sehingga guru berpuas hati dengan sebutan dan bacaan murid. Kaedah tikrar dilaksanakan dengan cara;
  1. Murid mengulangi bacaan guru. Selepas guru membaca, murid-murid ikut.
  2. Murid mengulangi bacaan murid. Selepas seorang murid membaca, murid-murid lain ikut.
  3. Murid membaca beramai-ramai mengikut kumpulan, kumpulan lain mendengar sahaja.
  4. Seorang murid membaca, murid lain mendengar sahaja.
 Peringatan:

Kaedah bacaan secara talaqqi dan musyafahah merupakan kaedah yang paling praktikal digunakan dalam pengajaran al-Qur’an. Kaedah ini bertepatan dengan peristiwa Nabi Muhammad SAW. menerima wahyu pertama di Gua Hira`. Nabi Muhammad SAW.  mengambil al-Qur’an daripada malaikat Jibril AS. secara talaqqi dan musyafahah; iaitu malaikat Jibril membacanya dahulu dan didengar oleh Nabi Muhammad SAW. Kemudian Nabi Muhammad SAW. membacanya dengan didengari oleh malaikat Jibril atau mengikut bacaan malaikat Jibril a.s.
  
Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Asuhan Tilawah al-Qur’an (Ayat Hafazan)

Hafazan al-Qur’an merupakan suatu proses mengingati ayat-ayat suci al-Qur’an yang dilakukan secara sistematik dan berulang-ulang berdasarkan panduan-panduan tertentu (Mohd Yusuf Ahmad, 2004). Di antara beberapa panduan atau tatacara menghafaz al-Qur’an yang penting ialah seperti berikut:
-       ikhlas dalam niat dan amalan,
-       menggunakan satu mushaf,
-       memahami apa yang dihafaz,
-       meninggalkan maksiat,
-       hafaz secara berperingkat-peringkat,
-       kerap mendengar bacaan al-Qur’an dan
-       kerap tasmi` hafazan al-Qur’an di hadapan orang lain yang berkemahiran.

Pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran Asuhan Tilawah al-Qur’an (ayat hafazan) ini. 

Cuba Jaya
Dalam melaksanakan kaedah cuba jaya ini, murid-murid diberi masa yang terhad (10 hingga 15 minit) untuk menghafaz ayat-ayat tertentu. Selepas tempoh itu,  murid diminta membaca ayat secara hafaz di hadapan guru. Jika murid belum hafaz, guru meminta murid itu cuba hafaz ayat tersebut sekali lagi. Kaedah ini boleh dilaksanakan dalam bentuk kumpulan atau individu.

Sambung Bacaan
Kaedah sambung bacaan dilaksanakan dengan guru membaca satu ayat dan meminta murid-murid menyambung secara hafaz. Kumpulan A membaca ayat pertama secara hafaz, kumpulan B menyambung ayat ke dua secara hafaz, kumpulan C menyambung ayat ke tiga secara hafaz juga dan begitulah seterusnya sambung-menyambung bacaan secara hafaz antara beberapa kumpulan murid. Kemudian guru meminta seorang murid membaca ayat pertama dan meminta seorang murid lain menyambung bacaan ayat ke dua secara hafaz. Begitulah seterusnya sambung-menyambung bacaan hafazan dalam kalangan murid.

Tasmik
Kaedah tasmik dilaksanakan dengan murid diberi tugas menghafaz ayat tertentu di rumah atau di luar waktu sekolah. Pada hari yang ditetapkan, murid membaca ayat yang sudah dihafaz di hadapan guru untuk ditasmik. Guru tasmik hafazan murid tersebut. Murid yang sudah hafaz dicatat sebagai sudah hafaz, manakala murid yang belum hafaz diminta menghafaz lagi.

Setiap guru al-Qur’an wajib mengetahui dan memahami panduan dan teknik menghafaz al-Qur’an dengan betul supaya mereka dapat mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dan mencapai hasil yang diharapkan.

Teknik menghafaz al-Qur’an:
-    Membaca ayat berkenaan dengan sebutan yang betul dan perlahan-lahan (tartil). Jika ayat panjang ambil sebahagiannya sahaja. [Bacaan berpandukan mashaf]
-       Baca dan ulang-ulangkan beberapa kali hingga lancar.
-       Setelah lancar baca ayat berkenaan dengan lebih cepat (Tadwir).
-       Ulang beberapa kali dengan bacaan tadwir
-       Cuba mengingati ayat-ayat berkenaan tanpa melihat mushaf. Kalau tersangkut barulah lihat mushaf. Kemudian teruskan bacaan secara hafazan.
-       Setelah dapat ingat tanpa lihat mushaf, baca pula ayat sambungannya mengikut langkah-langkah di atas.
-       Setelah dapat mengingati ayat kedua ini, mula balik membaca ayat pertama dan ayat kedua secara hafaz, kecuali kalau tersangkut bolehlah merujuk sekejap kepada mushaf.
-       Ulang bacaan beberapa kali secara tadwir supaya lancar tanpa merujuk mushaf.
-       Baca ayat-ayat yang dihafaz itu dalam solat.

Peringatan:

Metodologi dan Psikologi Pendidikan Tilawah al-Qur’an hendaklah diterapkan secara maksimum dan pelbagai dalam pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar tidak mudah jemu, cepat ingat dan tidak mudah lupa, belajar dalam keadaan tidak tertekan dan berlumba-lumba untuk menghafaz. Tanamkan semangat ukhuwah dan kasih sayang di antara guru dan murid.

Guru-guru al-Qur’an hendaklah menjaga personaliti mereka. Antaranya ialah boleh membaca dengan baik, fasih dan bertajwid serta menjadi contoh bacaan kepada anak-anak didiknya. Selain itu, mereka mestilah ikhlas dan mempunyai keperibadian yang luhur.

 Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Asuhan Tilawah Al-Qur’an (Ayat Kefahaman)

Terjemahan
Kaedah ini adalah dimulakan dengan guru membaca keseluruhan ayat yang telah ditentukan. Selepas itu, guru menterjemahkan kalimat-kalimat penting di dalam ayat tersebut. Kemudian guru menterjemahkan keseluruhan ayat. Setelah itu, guru meminta murid menterjemahkan ayat tersebut bergilir-gilir.

Huraian
Kaedah huraian dilaksanakan dengan guru memberi tugasan kepada dua orang murid (mengikut kesesuaian) untuk menghuraikan maksud ayat. Tugasan ini telah diberi kepada mereka satu minggu lebih awal beserta dengan buku rujukan. Pada hari pengajaran dan pembelajaran, murid yang beri tugas menghuraikan maksud ayat di hadapan kelas. Huraian tersebut hendaklah disokong dengan ayat al-Quran, hadith, pendapat ulama, ahli sains, ahli sejarah dan lainnya.

Perbincangan
Kaedah perbincangan dilaksanakan dengan guru dan murid berbincang mengenai intinbat (rumusan) hukum atau pengajaran yang boleh diambil dari maksud ayat yang telah dihuraikan. Kaedah ini boleh dilaksanakan secara kelas atau kumpulan kecil.

Aktiviti:
Cuba anda berikan penjelasan beserta contoh-contoh yang sesuai untuk kesemua kaedah di atas. Contoh-contoh hendaklah menggunakan ayat-ayat kefahaman sekolah rendah.

Kaedah dan Teknik Pengajaran  Pembelajaran

Kaedah merupakan kaifiyat atau prosedur yang dirancang oleh guru bagi melaksanakan sesuatu pengajaran. Prosedur perlulah teratur, kemas dan sistematik. Ia  juga merupakan langkah-langkah / peringkat-peringkat pengajaran yang tersusun dan ada kesinambungan yang perlu diikuti bagi mencapai sesuatu objektif spesifik sesuatu  pelajaran. Pelaksanaan  kaedah adalah sebagai  suatu langkah atau cara yang perlu digunakan oleh guru supaya murid dapat memahami maksud sebenar pengajaran yang ingin disampaikan oleh guru kepada mereka. Ia melibatkan semua cara yang efektik bagi membantu guru menyampaikan pengetahuan, ketrampilan, nilai-nilai dan kemahiran yang ingin disampaikan kepada murid.

Antara kaedah-kaedah yang sering digunakan dalam  pengajaran dan pembelajaran  Asas Ulum Syar’iyyah, Adab dan Akhlak Islamiah  dan Pelajaran Jawi ialah;


§   Tunjukcara / demonstrasi
§   Simulasi
§   Syarahan / kuliah
§   Projek
§   Bermain 
§   Bercerita
§   Perbincangan
§   Latihtubi
§   Kuiz
§   Soal jawab
§   Dialog
§   Lawatan
§   Ulangan
§   Lakonan

No comments:

Post a Comment