Wednesday, 12 March 2014

Pengaruh Tamadun Islam Di Asia

Islam telah bertapak meliputi negara asia tenggara iaitu tanah melayu (Malaysia), Indonesia,Thailand dan Filipina melalui kedatangan pedagang arab yang datang berdagang di nusantara. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah membawa banyak perubahan sebagaimana yang disebut oleh Syed Naquib al-Attas sebagai pencetus kepada zaman baru. Perubahan yang dibawa merupakan perubahan yang menyeluruh berteraskan tauhid.  Persoalannya, sejauh manakah pengaruh tamadun islam telah membawa perubahan kepada masyarakat di asia?
            Pengaruh tamadun Islam adalah sangat jelas dalam sistem pendidikan di asia. Selepas kedatangan Islam, golongan bawahan menerima pendidikan yang sama seperti golongan atasan. Sistem pendidikan yang bermula di istana mula beralih ke beberapa institusi pendidikan Islam seperti pondok dan madrasah.  Melalui sistem pengajian ilmu tersebut lahirlah para cendiakawan dan ulama­ ulama Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli agama. Antara tokoh-tokoh Melayu yang terkenal ialah Syeikh Abdul Malik Abdullah, Sheikh Wan Hasan Wan Ishak dan ramai lagi (Hashim Hj. Musa, 2004 : 46).
          Sebagai buktinya, pengaruh daripada tamadun Islam telah membawa perubahan yang besar terhadap sistem pendidikan di Melaka.  Contohnya, aktiviti pendidikan bukan sahaja berlangsung di istana.  Malahan ia juga berfungsi sebagai perpustakaan atau tempat penyalinan dan terjemahan. Di samping itu, tempat-­tempat lain yang digunakan sebagai tempat pengajian ialah rumah-rumah ulama, masjid, madrasah dan surau.  Di Melaka sendiri, sultan yang pertama bermula dari Megat Iskandar Shah (1414M) sehinggalah sultan-sultan terakhir sebelum 1511M, sangat mengambil berat mengenai perkembangan pendidikan. Pengajian Islam tidak hanya berlaku di rumah-rumah, masjid-masjid dan surau-surau, bahkan ianya juga turut berlaku di istana sultan.
            Pengaruh Tamadun Islam di asia juga turut menonjol dari segi bahasa dan kesusasteraan.  Bahasa Melayu telah menerima pengaruh ajaran Islam bermula abad ke-14 Masihi.  Pada awal abad ke-14, kedudukan agama Islam semakin teguh dan penyebarannya semakin meluas di Asia Tenggara. Bukti keteguhan kedudukan agama Islam di daerah ini dapat dilihat daripada kewujudan penggunaan tulisan Jawi oleh orang-orang Melayu pada ketika itu.
            Pada era kerajaan Melayu Melaka (1400-1511M) misalnya, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca bagi lapan puluh empat bahasa yang dituturkan oleh masyarakat Melaka ketika itu.  Tahap perkembangan bahasa Melayu daripada bahasa Melayu klasik berkembang kepada bahasa yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi telah berlaku pada dua zaman iaitu zaman peralihan (abad ke-19M) dan zaman moden (abad ke-20M) (Mahayudin Hj. Yahya, 1998: 91).  Tulisan Arab mulai diperkenalkan setelah kedatangan Islam.
            Dari segi bahasa, perubahan besar telah berlaku apabila masyarakat Melayu menyesuaikan perkataan Arab ke dalam bahasa Melayu. Perubahan ini dipermudahkan lagi setelah tulisan Arab diubahsuai dan dikenali sebagai tulisan Jawi. Melalui sistem tulisan ini, bahasa Melayu sangat memainkan peranan yang lebih penting apabila ianya digunakan untuk menulis kitab-kitab agama, hikayat-hikayat, undang-undang dan pentadbiran. 
            Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar bagi persuratan dan juga sebagai alat penyebaran dan penyampaian agama Islam di seluruh Alam Melayu. Tulisan jawi telah digunakan semasa permulaan kedatangan Islam.  Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar agama Islam telah menaikkan taraf, kecekapan dan kewibawaannya.  Kedatangan Islam mengangkat martabat bahasa Melayu ke arah mengungkapkan sesuatu yang bersifat ilmiah dan saintifik sehinggakan ianya telah mencapai taraf lingua franca yang digunakan secara meluas di Alam Melayu. Kesan daripada itu, terdapat penggunaan kata dari bahasa Arab yang dipinjam dan telah digunapakai dalam bahasa Melayu.
            Kedatangan tamadun Islam ke asia juga telah membawa pengaruh yang besar terhadap warisan kesusasteraan melayu. Banyak hasil kesusasteraan Melayu ditulis seperti Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat Para Nabi dan Rasul, Hikayat Para Sahabat, Hikayat Para Pahlawan Islam dan Hikayat Ahli-ahli Sufi dan Orang-orang Yang Salih.  Manakala puisi terkenal yang dipengaruhi oleh sastera Islam contohnya ialah Syair Perahu, Syair Burung Pingai oleh Hamzah Fansuri dan Syair Makrifat oleh Abdul Rauf Fansuri. Melalui tulisan jawi, agama Islam telah dapat diperkembangkan. Begitu juga dengan Bahasa dan kesusasteraan Melayu, ianya juga berkembang melalui tulisan jawi. Pada masa yang sama, bahasa Melayu telah diperkayakan dengan kata-kata pinjaman serta istilah daripada bahasa Arab.
            Apa yang jelas dari segi sistem perundangan pula, pengaruh daripada tamadun Islam telah banyak mempengaruhi sistem perundangan di asia khususnya di Alam Melayu. Sistem perundangan tempatan turut mengalami perubahan seperti yang tercatat dalam Hukum Kanun Melaka, Adat Pepatih dan Adat Temenggung. Undang-undang adat yang tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam dikekalkan. Contohnya hakim boleh menggunakan budi bicaranya sama ada menjatuhkan hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri ataupun didenda dan dipenjara sahaja. Setelah Islam datang dan tersebar di seluruh Nusantara, sistem perundangan masyarakat Melayu juga berubah kepada sistem adat dan Islam. Contohnya Melaka mempunyai Hukum Kanun Melaka yang meliputi tanah, sungai, dusun dan setiap tanah jajahan takluk Melaka. Undang-undang Laut Melaka meliputi perusahaan perkapalan, perdagangan di laut dan di darat dan kegiatan yang berkaitan dengannya.
            Oleh kerana Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang induk yang meliputi undang-undang lain di dalam negeri-negeri Melayu, amatlah tepat jika ianya dijadikan contoh tentang wujudnya pengaruh tamadun Islam di asia dalam perundangan. Menurut beberapa orang sarjana barat seperti William R. Roff dan Alfred P. Rubin, Hukum Kanun Melaka atau Undang-Undang Melaka pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping berpegang kepada hukum akal dan hukum adat. Pendapat-pendapat tersebut adalah terbukti sejajar dengan perkataan-perkataan yang terdapat di dalam undang-undang tersebut antaranya menyebut, "...Mengikut hukum Allah, pada hukum Allah, menurut dalil al-Quran dan menurut amr bi al-ma'ruf wa nahyi'ani al-munkar".
          Manakala, dari segi politik dan pemerintahan pula, sistem politik dan pentadbiran masyarakat Melayu telah berubah dan dipadankan dengan ajaran Islam kesan pengaruh daripada Tamadun Islam. Gelaran raja bertukar kepada sultan dan disamakan dengan khalifah seperti yang diperkenalkan dalam sistem politik Islam.   Konsep dewaraja bertukar kepada konsep sultan. Ia merupakan suatu gelaran kepada orang yang diamanahkan mentadbir sesebuah negeri dan pada masa yang sama berperanan sebagai khalifah Allah SWT di bumi.  
         Bukan itu sahaja, dalam sistem kekeluargaan pula turut dapat diperhatikan bahawa wujudnya pengaruh Tamadun Islam ke atas asia tenggara.  Hal ini terbukti apabila kedatangan Islam ke asia telah memantapkan lagi sistem kekeluargaan masyarakat Melayu.  Dalam masyarakat Melayu, pembentukan jati diri dan peribadi Melayu yang baik, beragama, berakhlak dan berbudi bahasa menjadi keutamaan.  Sistem kekeluargaan masyarakat Melayu berteraskan Islam dan adat. Sejak lahir lagi seseorang itu dididik berteraskan Islam dan adat sehinggalah mereka dewasa. Contohnya sebaik sahaja seseorang itu dilahirkan, bapa atau datuk akan mengazankan bayi lelaki, atau mengiqamatkan bayi perempuan. Tujuannya ialah untuk memperdengarkan buat pertama kalinya kepada bayi itu seruan azan dan kalimah syahadah dan meniupkan roh dan semangat Islam kepada bayi tersebut.
            Malah, proses sosialisasi pada tahap kanak-kanak juga turut memperlihatkan penerapan unsur-unsur Islam yang berterusan hasil daripada pengaruh daripada Tamadun Islam. Seseorang kanak-kanak sejak kecil lagi diajar konsep-konsep dosa, pahala, halal, haram dan sebagainya. Setelah meningkat umur lima tahun ke atas, kanak-kanak juga diajar untuk bersembahyang, berpuasa dan lain-lain. Selain itu, mereka juga diajar supaya hormat-menghormati, bertolak ansur dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam menjalani kehidupan seharian. 
            Bahkan, pengaruh Tamadun Islam di asia yang paling besar jelas sekali dapat dilihat melalui adat dan cara hidup mereka.  Tradisi animisme dan Hinduisme telah diganti dengan adat dan cara hidup Islam yang dilakukan sejak individu itu lahir di dunia sehinggalah hari kematiannya. Islam telah mengubah corak hidup masyarakat Melayu di dalam segala aspek kehidupan manusia.  Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu mengamalkan adat tradisi warisan nenek moyang mereka. Apabila masyarakat Melayu mula menganuti ajaran Islam, adat-adat dalam masyarakat Melayu mula diubahsuai supaya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Adat masyarakat Melayu juga telah mengalami perubahan dengan kedatangan ajaran Islam di rantau ini.  
         Selain daripada mengubah sistem kepercayaan, Islam juga telah mengenepikan adat yang dianggap bercanggah dengan akidah dan kepercayaan Islam.  Perubahan yang jelas telah berlaku terhadap masyarakat Melayu dari segi adat resam dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat apabila kedatangan Islam ke asia telah mengatur kehidupan masyarakat agar kehidupan yang dilalui itu berlangsung dalam suasana aman dan harmoni.
Dalam bidang kesenian pula, pengaruh Islam dapat dikesan pada batu-batu nisan, binaan-binaan, masjid-masjid dan perhiasan seperti seni khat dan sebagainya.  Secara umumnya, pada makam atau batu-batu nisan pada ketika itu terdapat tulisan-tulisan dan kalimah Arab dan beberapa potongan ayat-ayat Al Quran. 
            Selain daripada batu-batu nisan, bentuk masjid juga memperlihatkan pengaruh daripada tamadun islam di asia.  Ianya merupakan karya dan seni bina Islam yang terpenting di Nusantara.  Dari segi corak dan polanya, bangunan masjid yang menunjukkan kronologi dari abad ke-14 sehinggalah ke-18 Masihi masih lagi mempertahankan rekaan berbentuk struktur tradisional.  Walau bagaimanapun, masjid berfungsi sebagai tempat-tempat ibadat.  Jadi, sudah tentulah pengaruh Islam lebih tertonjol dan banyak kelihatan pada binaan tersebut.  Tiap-tiap bahagian bangunannya memberi gambaran kosmologi atau gambaran alam semesta yang mana setiap bahagian tersebut mempunyai pengertian dan peranan yang tersendiri.  
          Kesimpulannya, tamadun Islam telah banyak memberi pengaruh yang besar terutamanya kepada masyarakat dan tamadun Melayu di Asia. Proses penyerapan Islam ini telah berlaku secara berperingkat-peringkat di kalangan masyarakat Melayu yang bermula daripada golongan istana, pembesar sehinggalah kepada rakyat biasa. Proses Islamisasi ini menjadikan masyarakat Melayu akhirnya dapat menerima ajaran Islam dengan baik. Hal ini sudah pasti disebabkan keistimewaan ajaran Islam itu sendiri yang jelas dilihat sebagai suatu agama yang harmoni.  Ianya juga bertunjangkan Al Quran dan As sunnah sebagai sumber atau rujukan utama bagi memandu hidup manusia ke arah landasan islam yang sebenar.

            

No comments:

Post a Comment